Sunday, December 7, 2008

Sikap Tegas FAM - Polis Kembali ke Liga Super

Naik mual KakiBola baca berita dan kenyataan FAM tentang penerimaan semula Polis ke dalam Liga Super. Mual yang dah tak mampu nak di luahkan dengan perkataan. Asalnya Polis mengambil keputusan untuk menarik diri dari Liga Super gara-gara kegagalan menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi musim 2009 tetapi menarik balik keputusan itu dan akan terus menyertai. Di pihak FAM yang dikatakan "tegas" telah menghukum Persatuan Bolasepak Polis sebanyak RM10,000.00 kerana penarikan diri dan telah menghadiahkan Persatuan Bolasepak Kelantan dengan kenaikan ke Liga Super menggantikan mereka.

Tup tup...berita hari ini menceritakan sebaliknya akan ketegasan FAM dalam menghukum dan mengambil tindakan ke atas pasukan-pasukan "tepi jalan" dalam mengambil bahagian dalam Liga Profesional Malaysia. Kalaulah hal ini berlaku ke atas kelab lain, entah apa la kesudahannya. "FAM Never Learn and Will Never Improve". Lepas ini apa lagi FAM? Wallahualam

Thursday, November 6, 2008

Tahniah Presiden PFA

KOSMO 6 November melaporkan Dato' Seri Shahidan Kassim, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) telah mencagarkan wang simpanannya untuk menjelaskan tunggakan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini satu tindakan yang terpuji dan membuktikan sikap tanggungjawab seorang pemimpin sebuah persatuan yang akan mengambil apa saja pendekatan bagi memastikan masalah yang dihadapi persatuan yang dipimpinnya dapat diselesaikan. Inilah pengorbanan yang diambil oleh YB Dato Seri Shahidan dalam menangani kemelut hutang wang caruman KWSP pemain-pemain PFA.
Apa yang diharapkan ialah tindakan ini bukan sekadar satu publisiti semata-mata tetapi satu komitmen tulin dan ikhlas seorang pemimpin. Mudah-mudahan tindakan ini akan dicontohi oleh persatuan-persatuan sukan yang lain, khususnya bolasepak dalam memelihara profesionalisme dan juga kebajikan para pemain yang telah bermati-matian mengerah keringat dan tenaga untuk memartabatkan pasukan masing-masing. Wallahualam.

Saturday, November 1, 2008

Kemelut Rumah AFC - Apa Hal Ni?

Saban hari berita tentang kemelut perpindahan Rumah AFC sering diulas di media. Yang mengulas dan menulis adalah mereka yang telah lama berdampingan dengan sukan ini sejak sekian lama. Pelbagai pandangan yang dilontarkan dan yang jelas ialah kritikan terarah kepada Presiden AFC dengan menggambarkan sifat negatif dan ketamakan beliau untuk mengurustadbir AFC. Dalam pelbagai isu yang dikaitkan dengan perpindahan rumah AFC hanyalah 2 - isu kehadiran kelab EPL Manchester United ke Malaysia di ambang Piala Asia dan isu penganjuran bersama CYC oleh AFC dan GGL. Atau ada masalah lain ker?

Andai 2 isu ini yang dijadikan alasan atau kritikan di pihak FAM atau Malaysia amnya terhadap kepimpinan AFC dan keputusan mereka untuk memindahkan Rumah AFC ke luar dari bumi Malaysia, ada sesuatu yang janggal dan tidak kena. Kakibola merasakan FAM perlu melihat kelemahan sendiri dalam hal ini. Dunia bolasepak moden tidak terlalu bergantung kepada sejarah jadi untuk membangkitkan soal sentimen dan sejarah dalam hal ini, adalah salah. Akibat terlalu bergantung kepada sejarahlah bolasepak Malaysia tertinggal jauh. Seharusnya Malaysia sebagai negara yang mempelopori dan peneraju bolasepak Asia sudah maju meninggalkan jauh negara-negara lain, malangnya ia berlaku sebaliknya, kita tertinggal jauh.

Berbalik kepada 2 isu yang dimainkan, kakibola merasakan AFC di pihak yang benar apabila mereka tidak membenarkan FAM menerima kunjungan MU untuk mengadakan perlawanan persahabatan atau "exhibition match" di sini. Ia jelas bertentangan dengan perjanjian penganjuran Piala Asia yang dipersetujui dan ditandatangani oleh FAM dengan AFC. FAM seharusnya sedar akan syarat-syarat dan terma di dalam perjanjian itu. Jadi tak perlu dipertikaikan. Lagi pun kehadiran MU ke Malaysia hanya jelas menguntungkan pihak yang mempromosi acara ini sahaja tetapi bolasepak Malaysia tidak memperolehi apa apa pun melainkan aib di gelanggang sendiri dengan majoriti penonton yang hadir hanya melaungkan nama MU dan mengibarkan bendera MU. Bendera Malaysia dan FAM di mana? Itu jelas sewaktu kehadiran Chelsea. Isu penganjuran bersama CYC antara AFC dan GGL, ianya soal komersial yang perlu diguna sebaik mungkin oleh mana-mana penganjur. Jadi GGL memanafaatkan AFC untuk "milage" dan juga pulangan demi memastikan penganjuran menjadi yang terbaik. Ini yang FAM terlepas pandang dalam banyak "event" yang dianjurkan. Jadi kelemahan siapa?

Oleh itu, andai AFC merasakan bahawa rumahnya tak perlu berada di negara yang tetinggal dalam arus kemajuan bolasepak moden, maka tentu ada rasional dan alasan mereka yang tersendiri. Soal tuntutan atau syarat yang dikenakan bagi mana-mana pihak yang membida untuk menampatkan Rumah AFC di negara mereka, kakibola merasakan ianya sesuatu yang wajar sekalipun ada di antara tuntutan itu kelihatan agak keterlaluan. Namun dalam persaingan bolasepak moden, soal komersial dan pulangan perlu diambil kira. Status yang diminta oleh Presiden AFC telah lama dikecapi dan dinikmati oleh Presiden FIFA. Tak ada pula yang mempertikaikannya. Jadi kalau kita tidak mampu mememuhi apa yang diminta, relakan saja Rumah AFC dipindahkan. Dalam hal ini, kakibola tabik pendirian FAM yang tidak mahu membida dan biarkan saja Eksekutif AFC membuat keputusan. Wallahualam.

Saturday, October 25, 2008

Pestabola Merdeka Edisi ke 40


Salam sejahtera buat semua. Setelah agak lama menyepikan diri kerana kesibukan beberapa tugas penting, kini kembali untuk mengasah mata pena yang telah lama tersimpan. Kesepian arena bolasepak negara membuatkan saya juga menyepikan diri sehingga munculnya semula kehangatan Pestabola Merdeka yang melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan pasukan Vietnam menjuarai kejohanan edisi ke 41 dengan menewaskan pasukan negara 6-5 melalui sepakan penalti.
Tanpa ada niat memperkecilkan pasukan negara, namun apa yang disajikan oleh mereka dalam final semalam jelas menunjukkan kelemahan dan kedangkalan mereka dalam aspek psikologi dan kekuatan mental. Pemain Malaysia bermain mengikut arahan dan "buku" manakala pemain lawan bermain mengikut kesesuaian situasi dan ini hadir dari kreativiti dan kekuatan mental mereka. Pengalaman setahun kakibola di bumi Vietnam yang amat menyanjungi Karl Heinz Weigang, begitu kagum dengan kreativiti pemain-pemain muda Vietnam. Ini jelas melalui persembahan pemain bawah 23 Vietnam ketika beraksi menentang Malaysia. Kakibola kagum dengan pemain jersi 16 yang sering menganggu konsentrasi dan emosi pemain-pemain Malaysia.
Keghairahan pasukan negara menewaskan lawan satu demi satu pada peringkat awal dan separuh akhir, jelas tidak menggambarkan kualiti pasukan negara secara komprehensif. Kualiti pasukan lawan pada peringkat awal boleh dipertikaikan. Bermula dengan Nepal dan disusuli dengan Sierra Leone yang diwakili oleh pemain bawah 20 serta kemudiannya Afghanistan, tidak hairanlah mengapa peminat-peminat enggan ke stadium. Di pihak FAM, sekalipun ingin mengubah ranking negara ke tahap yang lebih baik, jangan pandang mudah akan aspek kualiti. Pendedahan luar negara yang diberikan hanya untuk pertandingan seumpama ini seharusnya diteliti semula. Akan hadir pelbagai alasan selepas ini, namun kita mengharapkan segala kelemahan yang terserlah dalam Pestabola Merdeka ini akan segera diatasi. Yang paling utama baki kakibola ialah betapa pentingnya aspek teknikal dan kekuatan mental serta kreativiti dititikberatkan dan bukan hanya sekadar arahan taktikal. Apapun untuk B.Sathianathan, tahniah kerana telah membuktikan jurulatih tempatan mampu melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan yang berpotensi. Wallahualam.

Monday, August 25, 2008

Kedah Juara Piala Malaysia 2008


Tahniah buat skuad Hijau Kuning yang muncul juara Piala Malaysia 2008. Kejayaan menjuarai Piala Malaysia ini adalah kejuaraan ketiga selepas memenangi Piala FA dan Liga Super sebelum ini. Tiada ungkapan kata kata yang dapat menggambarkan kehebatan pasukan pimpinan Mohd Azraai Khor Abdullah melainkan akur akan kemampuan mereka. Ini sekaligus menjadikan mereka untuk merangkul 3 kejuaraan berturut-turut.

Aksi final Piala Malaysia edisi 2008 ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat bolasepak kedua-dua buah negeri yang gah dengan kehebatan penyokong mereka. Kebanjiran hampir 60,000 penonton ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, kembali menjelmakan kehangatan bolasepak yang telah sekian lama sepi. Apapun tahniah juga kepada pasukan Selangor yang telah mempamerkan aksi yang baik dan menjadikan final ini sesuatu yang istimewa.

Sunday, August 10, 2008

Liga M 2009 Tanpa Pemain Import?






Peminat bolasepak negara telah maklum akan keputusan FAM untuk tidak membenarkan pemain import beraksi dalam Liga M 2009. Apapun rasional ke atas keputusan yang dibuat hanya mereka yang tahu. Pelik? Hairan? Setuju?

Bagi kakibola, keputusan yang dibuat adalah kurang bijak. Alasan kemerosotan bolasepak negara di samping ingin memberi peluang kepada pembangunan adalah satu alasan yang dangkal. Belum pernah terdengar liga profesional di negara lain yang prestasi bolasepak mereka merosot dengan hadirnya pemain import. Liga S dengan 5 pemain import telah berjaya meletakkan Singapura di tahap mengatasi Malaysia. Liga V juga telah meletakkan Vietnam sebagai sebuah kuasa baru bolasepak Asia selepas Jepun. Mampukah Malaysia tanpa pemain import. Dalam hal ini kakibola merasakan sistem kita yang tak betul, bukannya pemain. Malang sungguh nasih pemain bolasepak di Malaysia, asal tak kena saja, pemain yang menjadi mangsa. Apapun keputusan yang dibuat adalah lebih kepada sentimen dari lojik. Dalam hal ini kakibola merasakan FAM dan mana-mana pasukan negeri atau kelab yang menyokong usul ini sebagai tidak berwawasan dan hanya ingin gah di tempat sendiri sahaja. Dalam usaha kelab-kelab profesional memperkasakan diri dengan barisan pemain terbaik untuk mencapai penghormatan terbaik di rantau benua, kita hanya mahu disanjung dalam gelanggang sempit. Dah tak ada modal lain nanti, berbaliklah kita kepada legenda Mokhtar Dahari, Datuk Ghani Minhat dan kelayakan negara ke Olimpik Moscow. Itu semua sudah menjadi sejarah dan nostalgia, dalam kehidupan kita perlu mencongak ke hadapan dan sejarah sebagai pendorong semangat.

Dalam sudut komersial, bayangkan pasukan-pasukan beraksi tanpa kelibat pemain import. Alasan kemerosotan bolasepak negara kerana kehadiran pemain import adalah satu alasan yang tidak dapat diterima. Soal kualiti pemain import dalam Liga M bukannya salah pemain itu sendiri sebaliknya kebangangan pihak pengurusan dan kejurulatihan yang tidak mampu menilai kualiti. Maka tersenarailah pelancong Afrika yang datang dengan CV hebat di atas kertas untuk mewakili pasukan masing masing dengan gaji yang "CIPUT". Salah pemain ker?

Bagi pasukan yang punya kewangan kukuh, sepatutnya mereka dibenarkan mengambil pemain import dan ujudkan semangat bersaing di kalangan pasukan dan kelab. "To win you must be the best". Hanya pasukan yang tak punya semangat melawan sahaja yang membiarkan diri mereka ditewaskan tanpa saingan. Dalam liga profesional, soal untung rugi perlu diambil kira. Mana mungkin sebuah filem tanpa pelakon yang hebat mampu menarik penonton dan mengaut keuntungan? Itulah hakikat sebuah liga profesional yang diibaratkan sebuah perniagaan, kalau pasukan tak ada kualiti, mampukah menarik penonton ke stadium? Tepuk dada tanya selera. Wallahualam

Wednesday, July 16, 2008

Hilangnya Pejuang Bolasepak Negara - Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil

Tatkala rakyat negeri Kedah sedang meraikan Ulangtahun ke 50 Pemerintahan DYMM Tuanku Sultan Kedah, seorang insan yang telah mengabdikan dirinya kepada pembangunan dan kejayaan bolasepak negeri Kedah Darul Aman, telah kembali menemui penciptanya. Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil, 69 tahun, telah kembali ke rahmatullah setelah beliau rebah di Majlis Pelancaran Setem Kenangan 50 tahun pemerintahan Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mengenang kembali penglibatan kakibola dengan Allahyarham sewaktu melatih pasukan Kedah Darul Aman (1991-2000), memang tidak dapat dinafikan lagi sepertimana yang diakui ramai pihak yang pernah bekerja bersama beliau, Allahyarham adalah insan yang mempunyai visi yang jauh dalam mentadbir serta melaksanakan pelbagai program khususnya pembangunan bolasepak. Hasilnya jelas dengan kejayaan pasukan Kedah Darul Aman sehingga kini. Hasil perancangan yang teliti dengan kaedah yang mantap, negeri Kedah telah mencapai pelbagai kejayaan. Sebagai Pengurus Pasukan, beliau meletakkan dirinya sebagai seorang ayah kepada para pemain dengan mengutamakan kebajikan sebagai asas untuk mencapai kejayaan. Sebagai insan yang amat prihatin akan perkembangan bolasepak tanahair, beliau kerap melemparkan kritikan yang pedas tetapi membina agar sesuatu yang positif dapat dilaksanakan namun begitu kelantangan beliau mengakibatkan beliau digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun, kehilangannya jelas akan diratapi oleh setiap peminat dan pencinta bolasepak Hijau Kuning khasnya dan peminat bolasepak negara amnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkannya di sisi para solihin, anbia dan syuhada. Al-Fatihah

Saturday, July 12, 2008

Shebby cadang gugur semua pemain kebangsaan?

Pengulas sukan Shebby Singh mencadangkan agar kesemua pemain kebangsaan yang sedia ada digugurkan dan digantikan dengan pemain-pemain B23. Atas alasan apakah cadangan ini dilontarkan?
Kakibola simpati dengan jurulatih-jurulatih kebangsaan. Manakan tidak! Di Malaysia sekarang sudah tidak ada lagi pemain bolasepak sebaliknya terlalu ramai "pekerja bola" yang memenuhi industri bolasepak negara yang hadir sekadar untuk makan gaji. Terlebih kuantiti dari kualiti.

Wednesday, June 25, 2008

RM1 juta untuk EMAS Olimpik?

Wowww...hebatnyer! Kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Najib memang pemurah. Sogokkan lagi duit banyak-banyak. Kalau tak berjaya juga tahun ni, gandakan lagi jadi RM2 juta.
Inilah budaya kita. Saya cuba untuk berfikiran positif tetapi masih tidak nampak akan rasionalnya mempertaruhkan sejumlah wang yang begitu banyak untuk tujuan itu. Mungkin ada yang bersetuju dengan saya, mungkin juga ramai yang tidak. Tidak mengapa jika infrastruktur dan kemudahan yang ada di negara kita tidak menepati piawaian antarabangsa mahupun dunia, sebaliknya dengan aplikasi dan pendekatan serta sikap yang betul, sepatutnya kita sudah mampu mencapai apa yang kita kehendaki. Jangan mula membentuk budaya sukan yang dimonopoli oleh wang ringgit. Apa sudah jadi dengan juara-juara kita sebelum ini? Lepas dapat habuan entah ke mana perginya.
Negara kita perlukan juara sejati, juara yang lahir hasil komitmen dan kesungguhan yang mantap dan tinggi. Tidak mengapa dengan ganjaran yang berpatutan tetapi menyogok dan mengumpan dengan nilai wang ringgit sebelum kejayaan dicapai adalah satu malapetaka kepada sukan negara. Wallahualam.

Sunday, June 22, 2008

Kedah kekalkan Piala FA - Tahniah!

Selepas mempertahankan kejuaraan Liga, sang Kenari kekal unggul dengan mempertahankan Piala FA yang dimenanginya musim lalu. Bertambah hebat keunggulan Kedah apabila menundukkan pasukan Gergasi Merah di gelanggang mereka sendiri di hadapan hampir 50,000 penyokong kedua-dua pasukan. Turut berangkat mencemar duli ke pertandingan akhir itu ialah DYMM Tuanku Sultan Kedah, yang sentiasa menjadi pendorong kepada setiap anggota pasukan untuk terus memberikan yang terbaik kepada bumi Hijau Kuning.
Kalungan tahniah kakibola khususnya kepada barisan kejurulatihan Kedah yang diterajui oleh saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan didokong oleh Tuan Hj Muhamad Radhi Mat Din dan saudara Ahmad Sobri Ismail yang telah mampu membimbing barisan muda serta mengekalkan semangat juang dan berpasukan yang tinggi di dalam pasukan. Keupayaan Mohd Azraai Khor dalam mengenalpasti bakat serta menyerlahkan kemampuan barisan muda Hijau Kuning adalah sesuatu yang amat membanggakan. Tanpa terlalu bergantung kepada pemain luar, beliau telah mampu menjelmakan semangat cintakan negeri dan meraih sokongan para peminat, penyokong dan pengikut setia negeri Jelapang Padi.
Bagi kakibola, tiada lain yang dapat diungkapkan melainkan tabik hormat kepada rakan karib kakibola di Kedah (saudara Mohd Azraai Khor, Hj Muhamad Radhi dan saudara Ahmad Sobri). Kekalkan rentak kejayaan seterusnya dalam pertandingan Piala Malaysia, insyaAllah.

Thursday, June 19, 2008

Selangor Dapat Pengurus Baru

Tahniah kepada Persatuan Bolasepak Selangor kerana mempunyai Pengurus baru bagi menggantikan Datuk Satim Diman yang telah meletakkan jawatan pada bulan Mac lalu. Zakaria Ab Rahim telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan yang bukan sahaja mengurus pasukan utama Selangor tetapi turut juga dipertanggungjawabkan untuk mengurus barisan pelapis pasukan Selangor seperti Liga Simpanan, Liga Remaja dan Akademi FAS. Sudah tentu harapan menggunung oleh peminat-peminat setia Merah Kuning akan terarah kepada beliau dalam mengembalikan reputasi pasukan Selangor di arena bolasepak kebangsaan.
Bagi kakibola, ini satu pendekatan yang baik yang telah diambil oleh Pengurusan FAS dalam usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan aspek pentadbiran dan pengurusan pasukan bolasepak professional di Malaysia.
Apapun bagi kakibola, pendekatan yang lebih mantap mungkin boleh diambil oleh kelab-kelab atau persatuan-persatuan bolasepak di negara ini untuk melantik Pengurus Besar atau CEO bagi mentadbir persatuan dan kelab masing-masing. Ini kerana kalau sekadar menguruskan pasukan, ianya MUNGKIN tidak memberi impak yang besar kepada sebarang perubahan yang mahu diambil. Sebaliknya seorang Pengurus Besar atau CEO mampu melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan kerana ianya juga melibatkan soal pengurusan kewangan serta pembangunan secara menyeluruh termasuk aspek pemasaran (jenama). Ini selaras dengan pendekatan profesional yang ingin dan perlu dilaksanakan dengan segera dalam bolasepak negara. Wallahualam

Final Piala FA 2008 - Selangor v Kedah

Selangor dan Kedah bakal menentukan siapakah juara Piala FA bagi musim 2007/2008 pada hari Sabtu 21 Jun 2008. Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang kepada perlawanan Akhir ini dan bakal menyaksikan samada Kedah mampu mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas atau Selangor akan merampasnya kembali. Sayang sekali perlawanan Akhir ini berlangsung di tengah-tengah kehangatan Euro 2008 yang lebih banyak mendapat tempat dan publisiti di punggung-punggung akhbar mahupun TV. Harapnya peminat bolasepak tempatan masih setia menyokong bolasepak negara sekalipun ianya sedang menghadapi zaman kemuruduman.
Kakibola masih teringat akan nostalgia kehangatan Stadium Shah Alam ketika dalam barisan jurulatih bersama pasukan Kedah beraksi menentang Selangor pada tahun 1994 dalam Liga Divisyen 1 (ketika itu). Itulah julung-julung kalinya Stadium Shah Alam dipenuhi 96 ribu orang penonton (mengikut catatan tidak rasmi di dalam akhbar). Suasana yang penuh dengan teriakan dan jeritan para penyokong kedua-dua pasukan yang menjadikan Stadium Shah Alam dan perlawanan tersebut kekal dalam memori kakibola. Perlawanan tersebut memihak kepada pasukan pelawat (Kedah) dengan jaringan 1-0. Andainya sebelum ini kita hanya dapat membaca, mendengar dan melihat dari kaca TV akan kehebatan Stadium Wembley di England atau Stadium Maracana di Brazil, di mana kedua-dua stadium tersebut ketika itu dilaporkan mampu memuatkan 100 ribu penonton dalam setiap perlawanan, namun suasana tersebut sempat kakibola rasai dan nikmati pada tahun 1994.
Tetapi sayangnya sekarang, kesemua stadium di negara kita layu (kecuali Stadium Darulaman) dan tidak bermaya dengan hampir setiap perlawanan hanya disaksikan oleh segelintir peminat setianya sahaja. Mengapa terjadi begini?

Thursday, June 5, 2008

CYC oh CYC....Oh I See!

Dalam kehangatan liputan SUKMA di Terengganu, akhbar-akhbar utama masih tetap juga memberi perhatian kepada kemelut yang melanda penganjuran Champions Youth Cup (CYC) antara KBS-GGL-FAM. Kemelut kini lebih terarah kepada tafsiran isi kontrak yang termaktub di dalam perjanjian antara KBS-GGL. Dalam situasi terbaru nampaknya KBS seolah-olah ingin menghalalkan penganjuran CYC di Malaysia setelah dilaporkan oleh media bahawa sejumlah RM8juta telah dibayar kepada GGL bagi penganjuran untuk tahun 2008.
Apa dah jadi ni? Takkan la peguam sebelum ni dan peguam sekarang tak dapat memahami terma yang termaktub dalam kontrak berkenaan. Atau adakah kerana KBS dalam situasi terpaksa kerana duit dah dilepaskan kepada GGL, nak tarik balik, mungkin akan menambah masalah kerana perlu membayar balik dalam bentuk gantirugi?
Dalam keresahan rakyat dengan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel sehingga 40%, duit dilonggokkan begitu mudah sekali tanpa sebarang manafaat utk rakyat? Nak suruh gunakan bahasa yang molek lagi ker?
Rakyat disuruh dan dipesan untuk belanja dengan berhemah, berjimat cermat, tapi kerajaan membelanjakan duit rakyat dengan senang lenang macam duit tu bapak diorang yang punya? Mana perginya Kepimpinan Melalui Teladan, cakap lain buat lain, cakap tak serupa bikin. Terima kasih kerana kerajaan telah menganugerahkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran kepada rakyat jelata (Slogan pilihanraya - SEJAHTERA - AMAN - MAKMUR). Tradisi Membela Rakyat kini sudah bertukar menjadi TRADISI MEMBEBANKAN RAKYAT.

Saturday, May 31, 2008

Pemain Liga Super di SUKMA 2008

Telah mula kedengaran rungutan daripada wakil pasukan-pasukan bolasepak di SUKMA Terengganu, khususnya jurulatih-jurulatih yang terlibat akan penyertaan pemain-pemain Liga Super ke pertandingan bawah 23 tahun dwi tahunan ini. Apatah lagi pasukan-pasukan yang menghadapi kesukaran untuk menghadapi lawan mereka yang memiliki ramai pemain berstatus elit.

Bagi kakibola, sepatutnya pemain-pemain yang telah beraksi di Liga M (Super dan Premier) tidak dibenarkan turut serta dalam SUKMA. Ini secara tidak langsung menyekat perkembangan lebih ramai bakat baru yang seharusnya mendapat peluang untuk mempamerkan bakat mereka secara mendedahkan prestasi mereka ke peringkat yang kompetitif. Ianya juga secara tidak langsung menyerlahkan kelemahan pihak yang terlibat dalam sukan negeri dan negara yang lebih mementingkan keputusan dari pendedahan demi melahirkan lebih ramai pemain yang berkaliber. Maka akibat daripada itu, kelahiran bakat-bakat baru tersekat kerana kelompok kecil yang mendominasi sukan di pelbagai peringkat pertandingan, samada kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Kakibola berharap, pihak penganjur SUKMA perlu beri perhatian serius atas rungutan pihak yang terbabit secara langsung, bukan sahaja dalam sukan bolasepak malahan sukan-sukan lain yang memerlukan lebih ramai lagi pemain atau atlit yang kompetitif.

Wednesday, May 28, 2008

Liga Super 2008-2009 hanya untuk negeri?

Akhbar NST melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh, bakal mencadangkan agar Liga Super bagi musim 2008-2009 nanti hanya akan disertai oleh pasukan-pasukan negeri sahaja atau lebih tepat Persatuan Bolasepak Negeri. Walaubagaimanapun kedudukan Persatuan Bolasepak Polis dan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera belum dapat dipastikan kedudukan mereka samada akan kekal menyertai kumpulan elit ataupun dituruntaraf ke Liga Premier. Situasi ini bakal menyaksikan 2 kelab yang sedang beraksi dalam kumpulan elit, UPB/MyTeam dan Johor FC, bakal turun pangkat. Sekaligus ianya juga menyekat hasrat 2 lagi kelab yang mengungguli Liga Premier iaitu Kuala Muda NAZA FC dan KL Plus FC.
Bagi kakibola, keputusan ini agak drastik dan sukar diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung di dalam pasukan-pasukan atau pun kelab-kelab yang berkenaan kerana menjadi impian setiap kelab yang menyertai apa jua pertandingan untuk melonjakkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi. Tapi untuk jangka masa panjang, kakibola merasakan tindakan ini perlu dan cadangan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk melaksanakan pendekatan ini seharusnya dipuji. Namun persoalannya ialah adakah masa ini bertepatan dengan hasrat mereka..
Mengapa kakibola menyokong langkah ini? Antaranya ialah faktor sokongan penonton. Liga yang baik seharusnya mampu menarik minat penyokong untuk menyokong pasukan mereka yakni hadir memenuhi ruang di stadium. Format yang sedia ada sekarang bukan menambah minat penyokong sebaliknya memecah-belahkan penyokong. Mana tidaknya, dalam sebuah negeri terdapat 3-4 pasukan yang bertanding dalam liga yang sama. Selangor mempunyai 3 pasukan (FA Selangor, PKNS FC, Proton FC) manakala Kuala Lumpur mempunyai 3 pasukan (KLFA, KL Plus FC, Felda FC) yang semuanya berada dalam liga yang sama, Pahang, 2 pasukan (Pahang FA & Kuantan Port/Shahzan Muda), Johor 2 pasukan (Johor Pasir Gudang FC & Johor FC). Ini secara tidak langsung memecahbelahkan jumlah penyokong.
Persatuan Bolasepak Negeri seharusnya diberi kuasa mutlak untuk mendapatkan pemain-pemain yang terbaik di dalam negeri untuk mewakili pasukan mereka. Sejarah juga membuktikan bahawa sentimen kenegerian memainkan peranan yang penting dalam menzahirkan pasukan dan sokongan yang kuat.
Dalam sudut yang lain, peranan kelab boleh ditonjolkan sebagai pasukan pelapis yang beraksi dalam Liga Premier. Namun begitu, setiap negeri hanya boleh diwakili oleh sebuah kelab sahaja dan kelab yang mewakili negeri dalam Liga Premier ini hanyalah satu dan tidak lebih dari itu. Sekurang-kurangnya Persatuan Negeri tidak lagi dibebankan dengan tanggungan kewangan yang lebih untuk menguruskan 2 buah pasukan sekaligus. Ini jelas akan membawa kepada format Piala Malaysia sebelum Liga Semi-Pro dan Liga Profesional diperkenalkan. Setidak-tidaknya kita tak berundur ke belakang untuk membawa pemain menjadi amator. Secara tidak langsung, Persatuan Bolasepak Negeri boleh kembali memberi tumpuan untuk mengaktifkan kembali liga negeri dan daerah di negeri masing-masing...wallahualam

Saturday, May 24, 2008

FAM tidak iktiraf CYC

Syabas FAM! Keputusan yang diambil oleh FAM untuk tidak mengiktiraf Kejohanan CYC di Malaysia adalah keputusan yang bukan sekadar tepat jika dilihat serta diambil kira senario terkini penganjurannya, malahan keputusan bermaruah. Bermaruah dalam menjaga imej badan induk itu serta pentadbiran bolasepak negara agar tidak diperkotak katikkan oleh orang luar yang datang mengaut untung di negara kita hasil kebodohan pihak yang menganjurkan kejohanan ini.
Di pihak KBS, pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan penganjuran tanpa merujuk kepada peraturan dan perundangan bolasepak negara seharusnya dilanyak habis-habis. Tuanku Presiden sendiri pun dah tahu nak bertitah tentang pembaziran duit rakyat yang dibelanjakan oleh KBS macam duit bapak dia yang punya. Siapalah penasihat dibelakang penganjuran CYC ni...wallahualam....

Thursday, May 22, 2008

Malaysia tercicir dari AFC Champions League

Sudah jatuh ditimpa tangga...itulah ungkapan yang mungkin tepat ke atas kemelut yang melanda bolasepak negara. Dalam huru hara mereka dengan penganjuran Inter Continental Cup, dah permasalahan dalam penganjuran CYC, kini tiba satu lagi perkhabaran yang mungkin tidak enak didengar oleh badan induk bolasepak negara apabila AFC dalam perancangan mereka untuk menaikkan taraf bolasepak Asia, telah memutuskan bahawa Malaysia dikategorikan dalam kelas D sekaligus menidakkan peluang kelab Malaysia untuk beraksi dalam AFC Champions League.
Ini satu tamparan yang cukup hebat. Ketepikan konflik yang ujud antara AFC dan FAM, nyata apa yang ingin dilaksanakan oleh AFC, telah menimbulkan satu situasi yang agak malang bagi bolasepak negara. Bagi AFC mungkin ianya agak drastik tetapi jika dilihat dengan lebih tepat lagi, langkah ini mungkin sesuai dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan badan induk bolasepak dunia, FIFA, akan pasukan pasukan bolasepak di Asia.
Jadi FAM, mula lah bangun dari tidor, sedar lah dari mimpi, di mana kita sekarang? Selarikah perancangan kita jika India, Singapura, Indonesia dan Vietnam sudah berada lebih atas dari kita sedangkan sejarah liga bolasepak kita GAH menampilkan bahawa liga kita adalah yang terbaik.
Jangan terlalu bersandarkan kepada sejarah dan tradisi jika ingin terus bersaing....

Tuesday, May 20, 2008

Mesyuarat EXCO FAM

Mesyuarat EXCO FAM yang berlangsung pada hari Sabtu lepas, diharapkan media agar ada isu-isu panas yang sedang hangat diperkatakan, akan beroleh respons atau maklumbalas, tapi hampeh. Mesyuarat yang dilaporkan berlangsung selama 5 jam itu hanya membincangkan beberapa isu seperti tawaran kontrak kepada B.Sathianathan, keputusan tidak melanjutkan kontrak Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts dan yang paling lama berlangsung tentulah undian pasukan bagi pertandingan Piala Malaysia. Isu CYC dan rasuah yang sedang hangat diperkatakan, disejukkan sementara. Mungkin isu CYC dan rasuah yang melibatkan 2 buah pasukan itu tidak cukup penting..wallahualam.
Apapun yang menarik ialah selain daripada undian Piala Malaysia ialah keputusan FAM untuk tidak melanjutkan kontrak Pengarah Teknikal FAM. Atas apa alasannya sekalipun, hanya FAM yang mengetahui. Cuma bagi kakibola, FAM mungkin tak memerlukan Pengarah Teknikal. Kakibola sangsi apakah sumbangan dan keberkesanan Pengarah Teknikal kepada FAM. Selama ni, Pengarah Teknikal ini hanyalah sekadar jawatan. Puluhan ribu ringgit sebulan dibayar tapi faedahnya tiada. Kebanyakan keputusan yang melibatkan hal ehwal bolasepak, Ahli Majlis yang bijak pandai saja yang bincang dan putuskan...kan lebih baik tamatkan saya riwayat Pengarah Teknikal dalam FAM. Lantik saja salah seorang di kalangan bijak pandai Ahli Majlis untuk memberi pandangan dan nasihat dan kepada Ahli yang lain dalam hal ehwal nak memajukan bolasepak negara. Sekenal kakibola, sejak dari Richard Bates, Ronald Smith, Karl Heinz Weigang, Lim Kim Chon dan Robert Alberts...keberkesanan mereka hanya dalam mengendalikan Kursus Kejurulatihan sahaja.....cukup ke?

Tuesday, May 13, 2008

Lepas Argentina, Ghana pula.....

Alahai FAM...nama pertandingan cukup hebat - Piala Antara Benua atau nak lebih glamour Inter Continental Cup. Di mana hebatnya pertandingan ini, saya kurang pasti. Dari sudut nama, rasanya memang dah gah tapi dari segi penyertaan, wallahualam. Kemeriahan yang diharapkan dengan MENJEMPUT (bukan hadir atas dasar merit) pasukan kebangsaan yang hebat, mula berkubur. Argentina mendahului pasukan hebat menarik diri dari kejohanan sulung ini, dan terbaru Ghana. Di mana kehebatan yang bakal terserlah, sama-sama kita tunggu.
Cuma satu pandangan saya kepada FAM atau mana-mana pihak yang "gatal" nak anjur pertandingan seumpama Inter Continental Cup, Champions Youth Cup, baik berhenti saja lah. Tak pernah pulak saya dengar atau terbaca negara yang nak tingkatkan mutu bolasepaknya perlu mengadakan pertandingan sendiri untuk mendedahkan pasukan kebangsaan mereka. Yang terbaik ialah banyakkan perlawanan pendedahan di luar negara secara konsisten dan berkala. Pemain-pemain negara perlukan keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai peningkatan atau kejayaan di peringkat antarabangsa. Bukan sekadar pendedahan dalam negara melalui pembabitan dalam pertandingan anjuran sendiri. Kalau di Asia Tenggara, pergilah main dengan Indonesia, Vietnam, Thailand...dedahkan mereka dengan bukan sahaja pasukan lawan yang lebih kompetitif tetapi juga dengan suasana stadium yang penuh dengan penyokong fanatik mereka....wallahualam

Malaysia 1 Maldives 1

Tinggal 3 hari sebelum perlawanan pembukaan Piala Antara Benua, pasukan Malaysia yang sedang dalam rangka persiapan menghadapi Kejohanan Terulung negara (nama pun antara benua, tentu hebat) sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Maldives di Stadium MBPJ. Hasil perlawanan tersebut ialah Malaysia 1 Maldives 1.
Luahan pertama yang kedengaran daripada Ketua Jurulatih kebangsaan ialah kesuntukan masa dalam mengumpul para pemain bagi menghadapi perlawanan tersebut. Satu alasan lumrah yang kita dengari dalam bolasepak Malaysia. Entah bila kita akan sentiasa bersedia pun tak tahu.
FAM pun kalau dah tahu jurulatih negara tak ada masa nak kumpulkan pemain dan memantapkan pasukan, pilihlah tarikh lain untuk anjurkan kejohanan ni, kasihan la pulak. Ini seolah-olah memaksa pasukan kebangsaan beraksi pada ketika mereka tidak atau belum bersedia. Kita dah tak nak dengar alasan belum bersedia, tidak cukup masa...zaman profesional ni semuanya melibatkan perancangan dan ketelitian.
Selamat berjaya menjuarai Piala Antara Benua...

Saturday, May 3, 2008

Lebih baik hentikan CYC..

Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Lef Jen (B) Datuk Azzudin Ahmad dalam Utusan Malaysia (3 Mei 2008) hari ini. Tahniah lah kalau FAM sendiri sedar akan perkara ini. Sememangnya CYC dengan nilai penganjuran sebanyak RM17 juta ringgit setahun tidak pernah ada nilai dan sumbangannya ke arah pembangunan bolasepak negara. Hanya mengenyangkan pihak-pihak yang terbabit dalam urusan perjanjian penganjuran sahaja.
Tak tahu lah pulak kalau kenyataan itu dikeluarkan hanya selepas "kekecewaan" FAM ekoran tindak-tanduk GGL yang membelakangkan FAM kerana sedar bekerjasama dengan FAM tak akan bagi pulangan yang lebih lumayan kepada mereka (GGL). Atau betul-betul FAM sedar yang CYC tak memberi apa apa manafaat. Pakcik-pakcik di kampung pun tahu akan pembaziran CYC, ini kan pulak mereka yang mengikuti akan perkembangan bolasepak negara. Cukuplah...
Duit kita punya, nak belanja macam mana, GGLyang tentukan? Pooraahhhhh...
Inter Continental Cup macam mana pulak FAM? Ada manafaat ker? Renung-renungkan lah...

Aneh Tapi Tidak Pelik

Aneh tapi tidak pelik? Itulah kata-kata yang diluahkan oleh pengkritik sukan negara, Profesor Datuk Dr Khoo Kay Kim berhubung kes rayuan Persatuan Bolasepak Selangor ke atas keputusan yang dijatuhkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia kepada Ketua Jurulatih pasukan Selangor dan 3 pemainnya ekoran insiden meninggalkan program klinik Ian Rush yang dianjurkan oleh badan induk bolasepak negara baru-baru ini. Kes tersebut yang telah dirayu keputusannya oleh FAS akan didengar oleh Jawatankuasa Rayuan FAM hanya selepas tamat Liga 2007-2008 nanti.
Bagi bola-kempis perkara ini memang tidak pelik sebab perkara seumpama ini pernah berlaku sebelumnya. Ianya berkaitan dengan insiden yang pernah menjadi isu hangat negara yang di mana isu ini turut diperdebatkan di Parlimen, tetapi bagi FAM perkara ini tidak lah sebegitu penting. Yang saya maksudkan ialah isu pergaduhan yang membabitkan pemain dari Kelab TNB Kelantan yang dipukul oleh pemain dan pegawai pasukan lawan. Pemain dan pegawai terbabit hanya dipanggil untuk membela diri selepas tamat Liga Premier 2005. Dalam hal ini ianya boleh dilihat sebagai seorang penjenayah yang telah dirakam kesalahannya melalui cctv dan boleh serta telah dikenalpasti identitinya dibiarkan bebas melakukan jenayah yang sama tanpa ditahan untuk disiasat. Sebaliknya bila liga tamat, barulah Jawatankuasa Disiplin memanggil pihak-pihak yang terbabit untuk dibincangkan dan dijatuhkan hukuman. Persoalannya ialah mengapa hanya selepas Liga tamat? Kenapa tidak sebelumnya atau pun setidak-tidaknya pemain tersebut sepatutnya digantung "ditahan reman" terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan.
Mungkin Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan terlalu sibuk dengan tugas-tugas resmi mereka agaknya..wallahualam

Thursday, May 1, 2008

CYC - Apa hal lah pulak...

Dalam keghairahan masyarakat nak menyaksikan satu lagi siri pembaziran wang yang tak memberi sebarang manafaat kepada bolasepak negara, timbul pulak kekecohan terbaru dalam penganjuran CYC musim ke-2. Apa dah jadi pulak ni? Di mana yang tak kena?
Tu dia la terlampau percaya dan bagi muka sangat kat Mat Salleh buat kerja-kerja macam ni. Dia kira apa janji masyuk jer, yang lain dia peduli apa...
Malaysia nak glamour sangat dalam meletak nama di persada dunia bolasepak sedangkan realitinya tak ada apa sangat yang nak gah. Cuma syok tengok orang datang melawat Malaysia, puji Malaysia bagus sebagai penganjur tapi pengisian tak ada. Cubalah wang yang dibiaya itu kita belanja dengan cara yang betul dalam ertikata pembangunan yang realistik, tentu lebih baik faedahnya. Tapi apa nak buat, duit bukan Menterian punya, bukan FAM punya, macam mana nak belanja...lantak laa...
Tingkatkan lagi kualiti liga bolasepak kita, itu saja antara jalan utama untuk tingkatkan kualiti bolasepak negara. Kalau liga sekadar layak main di padang MPBJ saja, baik tak payah. Namanya liga profesional, tapi penonton tak ada, macam mana nak dapat pulangan. Last last jadi macam Public Bank FC, MPPJ FC, TNB FC, MK LAND FC yang terpaksa gulung tikar...

Tuesday, April 29, 2008

Bolasepak Malaysia kembali ke Semi Profesional

Lepas terbaca statement yang dicadangkan oleh bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad supaya bolasepak Malaysia kembali ke era Semi Profesional, saya terkedu sejenak. Orang berebut nak maju ke hadapan, ada lagi yang suruh undur ke belakang. Bertambah terkedu lagi saya bila DYMM Tuanku Presiden FAM menyarankan agar PEMAIN-PEMAIN bolasepak negara mencontohi pemain Afrika untuk menjadi pemain profesional yang baik, yang mengenepikan kepentingan diri untuk berjaya. Alahai....pemain jugak lagi yang SALAH.
Dari dulu lagi (era semi-pro) hingga dah era profesional, asal ada jer masalah dalam bolasepak Malaysia, pemain juga yang jadi puncanya. Wahai pentadbir bolasepak negara dan negeri-negeri, cerminlah diri sendiri dulu sebelum pemain dijadikan mangsa kesilapan kamu. Satu jari menuding kepada pemain, 4 jari lagi sedia menuding ke arah diri sendiri.
Wahai Datuk Mazlan, konsep profesional tak salah, yang kurang, adalah mereka yang ada dalam barisan pembuat polisi bolasepak Malaysia. Sepatutnya pemain-pemain kita dibimbing untuk menghadapi dunia profesionalisme kerana ianya mengorak ke arah memajukan diri dan sukan itu sendiri, bukan menghukum.
Mereka yang di dalam pejabat-pejabat persatuan bolasepak negara dan negeri...Profesional kah kamu?

Piala Malaysia digantung?

Alamak...pertandingan penuh tradisi dan penuh legenda, Piala Malaysia akan digantung? Apa ni FAM? Marahkan nyamuk, kelambu dibakar...? Loghat sangat ka? Timbalan Presiden FAM menegaskan kemungkinan pertandingan Piala Malaysia digantung gara-gara insiden rasuah yang diyakini menular kembali dalam bolasepak negara.
Tepat kah keputusan itu? Sebenarnya rasuah ni tak ke mana pun, masih berlegar dalam masyarakat kita, tak kira lah sukan ke, perniagaan ke..rasuah di Malaysia ada selalu. Politik negara kita pun ada rasuah, apa nak hairan dengan bolasepak. Bukan nak menyokong tapi dah naik mual. Tindakan yang diambil dalam menangani rasuah bolasepak tidak mencukupi dan tidak setegas yang disangka. Bunyinya gerun sangat - buang daerah! Tapi kalau setakat buang daerah ke Kuala Perlis atau mana-mana tempat yang boleh survive dan menjalankan perniagaan pulak tu, apa yang nak diseriknya.
Kalau nak bertindak atau mengambil tindakan, biarlah ada rasa takut dan gerun. Jadi jangan hairanlah kalau ulat-ulat rasuah kembali menyerang tatkala bolasepak negara dalam situasi yang goyah.
Bola Malaysia oh bola Malaysia...glamour je lebih tapi habuk....

Thursday, April 24, 2008

2 Pemain Malaysia pulang dari Chelsea

Selamat kembali kepada 2 pemain remaja kebangsaan yang baru pulang semalam dari "LATIHAN" selama 2 minggu bersama kelab ternama England, Chelsea FC. 2 pemain bertuah yang terpilih, Baddrol Bakhtiar dari Kedah dan Bunyamin Omar yang mewakili UPB My Team berkesempatan untuk mengikuti "LATIHAN" bersama pasukan Chelsea hasil 'KERJASAMA" antara FAM-MSN-Gifted Group.

FAM dalam kenyataannya dalam Harian Metro amat mengharapkan "LATIHAN" 2 minggu itu akan dapat membantu meningkatkan mutu permainan mereka di samping menambah keampuhan dan kekuatan pasukan remaja negara. Apapun jujurnya, saya tak nampak apa yang dapat mereka pelajari selama 2 minggu di sana melainkan (jika ada) initiatif sendiri untuk meningkatkan jati diri sebagai seorang pemain profesional tulin. Yang lain..wallahualam...

Wednesday, April 23, 2008

Rasuah kembali?

Isu hangat terkini ialah tumpuan terhadap kemungkinan kembalinya gejala rasuah bolasepak dalam Liga Malaysia. Apakah benar ini berlaku?

Nak kata mustahil, tak mustahil..nak kata takde, nampak macam ade. FAM, Polis, BPR..mula lah anda mengatur langkah untuk merisik hal ini. Di Malaysia ni takde pun berita yang boleh dianggap khabar angin. Takde angin masakan pokok bergoyang. Bab rasuah ni kalau nak tunggu bukti datang bergolek, memang tak jumpa punya. So tak perlu lah tunggu laporan polis atau pasukan menghantar laporan kepada FAM baru nak bertindak. Mulalah gerakkan dari sekarang sebelum peminat bolasepak kembali mula rasa tertipu.

Lepas CYC, kini Inter Continental Cup pula..

Satu demi satu, penglibatan kita dalam penganjuran bolasepak tahap antarabangsa, tetapi entah apa faedahnya yang diperolehi oleh pemain-pemain kita (khususnya remaja) dan pembangunan bolasepak keseluruhannya, pun saya tak pasti. Yang pasti tentulah kantung pihak yang mencadangkan dan menganjurkannya penuh dengan duit saguhati kerajaan yang pemurah. Kononnya untuk pembangunan bolasepak tetapi kalau jumlah besar yang ditaburkan ke setiap pelosok daerah, rasanya lebih berbaloi.

Rasanya FAM tak pernah belajar dari kesilapan-kesilapan yang lampau dalam membuat sesuatu keputusan. Kita hanya mahu dipuji sebagai penganjur terbaik sebaliknya lupa akan peranan utama yang perlu dimainkan dalam memertabatkan semula sukan bolasepak di negara sendiri. FAM hanya mahu menonjolkan diri hanya di puncak dunia tetapi lupa asas di bawah retak seribu. Bila duit dah mula datang, mula lah nak lupa diri.

Masa untuk fokus dan beri perhatian terhadap pembangunan belia. Penganjuran pertandingan mega seperti CYC dan Inter Continental Cup ini hanya menyediakan tilam dan bantal tidur kepada mereka yang memerlukan (memanaskan badan sebelum ke Olimpik Beijing). Wallahualam

Friday, April 18, 2008

FAM oh FAM..

FAM oh FAM...apa dah jadi ni..? Pelik, lucu, hairan, aarrrghhhhh....

Bolasepak Malaysia digemparkan dengan perlantikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin FAM yang bukan dari kalangan Ahli Majlis FAM? Ape ni FAM? Badan sukan yang mengiktiraf diri mereka profesional tetapi masih melakukan kesilapan amatur. Dah mula dah FAM mengelabah bila akhbar mula membangkitkan hal ini.

Patut la bolasepak Malaysia tak maju ke hadapan, ditadbir oleh mereka yang tidak peka dan melakukan sesuatu mengikut pemikiran mereka yang bercelaru. Kerajaan Malaysia dah diubah hasil rasa tidak puas hati rakyat dengan 'Makkal Sakthi' mereka. FAM nak tunggu macam tu jugak ker? Mereka yang dah diminta untuk mengundurkan diri, masih di situ lagi, contohi lah DYTM Tengku Mahkota Pahang yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM, kerana merasakan apa yang disumbangnya tidak cukup untuk membangunkan bolasepak negara.

Lawatan Chelsea ke Malaysia

Sukan tanpa politik? Politik dalam sukan? Kehadiran pasukan Chelsea ke Malaysia yang dijadualkan pada 27 Julai 2008 menimbulkan satu polemik di kalangan pemerhati sukan (khususnya bolasepak). Pelbagai kenyataan telah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkenaan tentang kehadiran pasukan The Blues, baik dari pihak kerajaan, menteri, pentadbir sukan dan peminat-peminat sukan bolasepak sendiri. Wajarkah pasukan The Blues dibenarkan hadir ke Malaysia ketika Pengurus dan salah seorang pemainnya adalah warga negara Yahudi (Laknatullah), Israel?

Bola Kempis merasakan kehadiran pasukan Chelsea ke Malaysia tak perlu dihalang kerana ianya baik untuk bolasepak Malaysia. Cuma yang menjadi masalah ialah kehadiran Pengurus The Blues, Avram Grant dan pemainnya, Tal Ben-Haim yang merupakan warganegara Yahudi (Laknatullah), Israel. Dalam hal ini, kerajaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu memelihara sensitiviti warga Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya. Maka dalam hal ini, kemasukan kedua-dua individu berkenaan ke negara kita tidak seharusnya dibenarkan.

Ini bukan soal politik dalam sukan tetapi adalah soal kemanusiaan di atas kekejaman yang telah dilakukan oleh warga Yahudi (Laknatullah) serta negara Israel ke atas umat Islam di Palestin. Ini bukan soal kita tidak mahu mencampur adukkan politik dalam sukan tetapi soal kedaulatan negara Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu. Lupakah kita tentang pemboikotan pasukan bolasepak Malaysia ke Sukan Olimpik di Moscow? Apakah pemboikotan itu bukan atas dasar politik? Melayu mudah lupa....