Dalam keghairahan menyambut kehadiran Syawal bagi meraikan kemenangan mutlak kita melawan hawa nafsu di sepanjang Ramadhan, tiba-tiba pejabat Presiden
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikejutkan dengan faksimili berkaitan surat perletakan jawatan ketua jurulatihnya,
Peter James Butler dari meneruskan tugasnya membimbing pasukan
The Red Warriors bagi kempen
Piala Malaysia. Sesungguhnya perkhabaran ini amat mengejutkan banyak pihak, khususnya para penyokong bolasepak Cik Siti Wan Kembang tatkala prestasi pasukan Kelantan berada pada tahap yang tinggi.
Peter Butler kini adalah Pengarah Teknikal kelab
Yangoon United di
Myanmar.Kini tempat
Peter Butler diambil alih oleh pembantunya,
Hashim Mustapha. Persoalannya di sini adakah
Hashim Mustapha layak menjadi jurulatih pasukan Kelantan. Bukan soal pengalaman dan pengetahuannya yang dipertikaikan sebaliknya kelayakan lesen kejurulatihan beliau. Setakat ini,
Hashim Mustapha baru sahaja menduduki kursus kejurulatihan Lesen B yang diadakan di
Kuantan, Pahang Darul Makmur. Justeru itu ia menjelaskan betapa beliau tidak memiliki Lesen A seperti yang disyaratkan oleh
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi dilantik sebagai jurulatih sesebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Super atau Liga Premier. Tanpa ada niat mempertikaikan kredibiliti Hashim selaku jurulatih sebaliknya ingin melihat setakat mana ketegasan
FAM dalam menangani kes seumpama ini kerana pernah sebelum ini ada kelab yang hanya menggunakan lesen kejurulatihan jurulatih-jurulatih yang mempunyai kelayakan Lesen A tetapi tidak menggunakan khidmat mereka, sebaliknya menggunakan calon yang mereka lantik tetapi tidak memiliki lesen kejurulatihan yang sah. Masa untuk
FAM mengambil tindakan kepada pasukan-pasukan yang melanggar peraturan ini dan juga menghukum mana-mana jurulatih yang tidak beretika dengan membenarkan lesen mereka dipergunakan oleh pihak lain. Wallahu'alam.