Friday, July 13, 2012

Rozaimi Bakal Cuba Nasib Bersama BEC Tero Sasana FC

Berita tentang tawaran kelab bolasepak ternama Thai Premier League (TPL), BEC Tero Sasana FC kepada bintang muda negara asal Sabah yang kini bersama pasukan Harimau Muda B di bawah kendalian jurulatih Ong Kim Swee, Mohammad Rozaimi Abdul Rahman (gambar), seharusnya membuka satu lagi lembaran baru buat arena bolasepak negara. Selepas Safee Sali (Pelita Jaya FC, Indonesia) dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor (SC Beira Mar, Portugal), kini beliau akan mengikuti langkah dua lagi rakan seniornya (Wan Zack Haikal & Wan Zaharul Nizam) untuk mengembangkan bakatnya ke negara asing.
Ketika dihubungi, beliau menegaskan bahawa buat masa ini tumpuannya adalah untuk memastikan Sabah memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir acara bolasepak SUKMA 2012 menentang Perak esok (Sabtu 14 Julai). Sebaik sahaja tamat perlawanan akhir SUKMA, beliau perlu bergegas pulang ke kampung halamannya di Bongawan, Sabah untuk mengemaskan pakaian dan kelengkapannya untuk melaporkan diri ke kem latihan pasukan kebangsaan 18 Julai nanti.
Apapun tawaran dari kelab TPL ini tidak perlu dipersiakan oleh beliau seandainya beliau ingin melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburinya ini. Kelab BEC Tero Sasana FC ini adalah sebuah kelab yang berpusat di kotaraya Bangkok dan pernah beberapa kali beraksi dalam AFC Champions League dengan pencapaian terbaik ialah menjadi naib juara pada musim 2002-2003.
Beliau menafikan kononnya ada desas desus yang mengatakan beliau telah menolak tawaran dari BEC Tero Sasana FC sebaliknya akan menyertai Selangor bagi kempen Piala Malaysia 2012. Yang pasti beliau akan berangkat ke Bangkok untuk menjalani latihan bersama mereka selama seminggu sebaik tamat latihan pusat dan perlawanan persahabatan menentang Arsenal dan Manchester City nanti. Baginya peluang yang datang ini tidak akan ditolak mentah-mentah kerana menyedari peluang untuk beraksi dengan sebuah kelab ternama Thailand adalah pentas terbaik untuk memasarkan dirinya ke tahap yang lebih tinggi.

Bolasepak Urusan Padang Bukan Urusan Pejabat


Apabila kakibola terbaca akan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk akhirnya menyerahkan piala Liga Super kepada juara musim 2012, Kelantan, kakibola terasa lega. Apatah lagi seluruh penyokong, pencinta dan peminat bolasepak Kelantan serta kepimpinan dan ahli pasukannya yang menantikan saat-saat cukup bermakna untuk meraikan dan menjulang piala hasil perahan keringat sepanjang musim. Bagi mereka yang telah memerah segenap kudrat mereka di atas padang dengan titisan peluh yang mencurah-curah, meraikan detik kegemilangan seumpama ini amat dinanti-nantikan. Sudah tentu untuk meraikan kejayaan tersebut di gelanggang keramat mereka dan dihadapan penyokong-penyokong adalah satu suasana yang cukup bermakna.
Bolasepak dimainkan di atas padang dan perit jerih serta susah payah untuk meraih kemenangan tidak sama dengan mereka yang hanya duduk merancang di dalam kamar dingin. Mereka tidak dapat merasakan kehangatan suasana dan hiruk pikuk jeritan serta pekikan para penonton di stadium. Mereka tidak dapat merasakan herdikan serta makian para penonton tatkala pasukan gagal meraih keputusan yang dikehendaki. Mereka hanya mampu tersenyum tatkala kantung mula dipenuhi, yang lainnya, apa peduli kami. Sebab itu kakibola berpendapat bahawa bolasepak itu adalah urusan padang jadi sewajarnya ianya diberi pengiktirafan di padang dan bukannya di pejabat. Jangan diulangi kesilapan dan 'penghinaan' yang sama sepertimana yang dialami oleh pasukan Sarawak pada tahun 1997 apabila Piala Liga hanya dikirim melalui pos. Wallahu'alam.