Monday, June 22, 2009

Liga M Balik Ke Semi Pro Pula?


Aduh FAM aduh...nak balik ke Semi Pro pulak? Lepas ni apa nak jadi pulak?
FAM selepas Kongres Tahunannya di Kuala Lumpur semalam, telah dititahkan oleh Presidennya supaya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan mengkaji semula status Liga Malaysia yang didapatinya selama ini tidak menepati hasrat membangunkan sukan itu dan meningkatkan kualiti permainan bolasepak di negara ini. Salah status kah? Atau salah pemain kah? Atau salah mereka yang mentadbir dan menguruskan liga itu sendiri? FAM lebih arif dan faham di mana silapnya tetapi lebih gemar mengambil pendekatan menyalahkan orang lain daripada mengakui kesilapan diri sendiri.
Tanya Setiausaha Agung FAM tentang cadangan yang telah kakibola kemukakan agar liga kita kembali meriah dan mampu menarik semula penonton untuk memenuhi ruang stadium. Kakibola pernah mencadangkan supaya Liga Utama hanya disaingi oleh pasukan-pasukan negeri sahaja manakala kelab yang amat berminat untuk bersaing diletakkan dalam Liga Pelapis atau Liga Simpanan memandangkan mereka lebih berkeupayaan dari segi kewangan yang tidak terlalu bergantung kepada kehadiran penonton ke stadium dan juga kutipan pintu. Persatuan-persatuan negeri yang tidak berkeupayaan untuk menyediakan sumber kewangan yang kukuh bagi membentuk pasukan mereka bolehlah dibenarkan untuk menjemput kelab mewakili mereka dalam Liga Utama. Namun begitu, setiap negeri hanya boleh diwakili oleh sebuah pasukan sahaja samada dalam Liga Utama mahu pun Liga Pelapis atau Liga Simpanan. Secara tidak langsung, pasukan negeri akan mampu mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk mewakili pasukan mereka manakala kelab menumpukan perhatian mereka dalam aspek pembangunan.
Selaras dengan itu juga, para pentadbir dan pengurusan persatuan bolasepak negeri dan FAM sendiri perlu didedahkan dan dididik untuk mampu mentadbir persatuan masing-masing secara komersial dan tidak terlalu bergantung kepada sumbangan Kerajaan Negeri atau Pusat untuk menjalankan aktiviti mereka. Keadaan kebanyakan persatuan-persatuan negeri sekarang tidak kurang kedudukannya sebagai pengemis.
Untuk menukar status liga bukanlah penyelesaiannya sebaliknya harus mendedahkan persatuan negeri untuk benar-benar memahami apakah maksud sebenarnya Liga Bolasepak Profesional. Wallahualam.