Saturday, December 12, 2009

Budak Kampung 2 Thailand 1 - Natijah Kemenangan...




Tahniah barisan jurulatih dan pemain Malaysia di atas kejayaan menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan A di Sukan SEA Laos. Kemenangan itu sekaligus melayakkan Malaysia ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan dan akan beraksi menentang satu lagi pasukan kampungan, tuan rumah Laos, yang muncul juara kumpulan B. Pencapaian ini juga menepati hasrat dan piawaian yang diletakkan oleh pengurusan pasukan di mana sebelum ini mereka tidak yakin untuk mensasarkan pencapaian pasukan negara. Apapun bagi kakibola, pujian utama harus diberikan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal yang telah berjaya menanam semangat juang dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan para pemain. Bukan satu perkara yang mudah bagi jurulatih ini untuk menampilkan perwatakan yang positif kepada pasukannya di kala mereka berada dalam tekanan untuk menghasilkan satu keputusan yang mampu membawa pasukan negara ke peringkat separuh akhir. Namun baginya, ia lebih mudah memandangkan mereka telah bersama sebagai satu pasukan sejak sekian lama - jurulatih mengenali peribadi pemainnya dan pemain-pemain pula menyedari akan keikhlasan dan kesungguhan jurulatih dalam melaksanakan tugasnya. Itulah kekuatan yang ada dan natijah kemenangan yang dicapai oleh pasukan negara ke Sukan SEA Laos.
Tetapi amat malang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal mengesan atau menghidu keberkesanan atau hasil yang mampu dicapai apabila sesuatu pasukan itu dikekalkan dalam satu jangka masa panjang. Ini ekoran daripada keputusan FAM untuk menidakkan hasrat Harimau Muda A dari beraksi dalam Liga Super 2010. Setelah sekian lama bersama mengharungi kempen Liga Premier dan berjaya menempatkan diri selaku pasukan terbaik di kalangan pasukan yang bertanding, kini pemain-pemain akan dipisahkan untuk dikembalikan ke negeri masing-masing untuk mewakili pasukan negeri mereka dalam kempen Liga Malaysia 2010. FAM pernah melakukan banyak kesilapan dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap namun tidak pernah mempelajari hasil dari kesilapan tersebut. Bermula dengan pembentukan pasukan Harimau di bawah kendalian Kevin Keegan hingga ke formula pembentukan pasukan pra Olimpik dan pra Piala Dunia, ianya tidak pernah menghasilkan keinsafan di kalangan pentadbir bolasepak negara. Keputusan terbaru untuk menghalang pasukan Harimau Muda A beraksi adalah satu pembaziran yang amat nyata. Setelah puluhan juta ringgit dilaburkan ke atas pasukan ini, keakraban, persefahaman dan semangat kerjasama berpasukan yang telah dibina, begitu mudah sekali dimusnahkan hanya demi memenuhi nafsu pihak-pihak tertentu untuk membawa masuk sebuah pasukan ke dalam Liga Super.
Seharusnya pasukan ini dikekalkan dan dimantapkan lagi dengan pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi. Kakibola pernah mencadangkan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal dan jurulatih pasukan Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, betapa pentingnya pasukan remaja kebangsaan ini didedahkan dengan perlawanan yang bertaraf antarabangsa. Jika dengan mengekalkan para pemain dalam satu jangkamasa yang panjang adalah formula terbaik negara, mengapa tidak dihantar pasukan ini untuk menyertai Liga Singapura (Liga S) yang nyata hampir dengan kita dan mempunyai kelab serta pemain yang bertaraf antarabangsa. Masa untuk kepimpinan FAM merenung dan mengkaji semula keputusan yang telah mereka putuskan untuk membubarkan pasukan Harimau Muda A dari menyertai Liga Malaysia 2010. Wallahu'alam.

Monday, December 7, 2009

Budak Kampung Tewas Kepada Vietnam..

Tatkala kakibola menerima berita kekalahan Malaysia di tangan Vietnam dalam perlawanan kedua Sukan SEA di Vientiane, perkara pertama yang terpancul di kotak pemikiran ialah memang keputusan itu sudah diduga. Malaysia memang sudah dijangka akan tewas kepada Vietnam. Keputusan perlawanan pertama membelasah Timor Leste 11-0 juga tidak memeranjatkan kerana umum sedar akan kekuatan yang dimiliki pasukan Timor Leste berbanding Malaysia. Pasukan amatur Malaysia juga mampu tewaskan mereka. Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini ialah bukan soal kalah menang, sebaliknya adakah rangka pembangunan dan pendedahan yang diperolehi oleh pemain-pemain negara di liga negara kita - Liga Malaysia - menepati kehendak pembangunan dan pencapaian sukan itu sendiri.
Bermula dengan kemerosotan pencapaian kelab/negeri dalam pertandingan Piala AFC, kemudiannya kegagalan pasukan negara dalam persaingan kelayakan Piala Asia dan kini Sukan SEA, adakah pemain-pemain bolasepak negara berada di landasan yang betul ke arah pembentukan pasukan kebangsaan yang mantap untuk bersaing di peringkat antarabangsa? Pelbagai sasaran diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelbagai harapan disandarkan oleh masyarakat terhadap pasukan bolasepak negara tetapi apakah di penghujungnya masih ada sinar? Ramai yang telah menyatakan bahawa keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui oleh pasukan kebangsaan tidak boleh diambil kira, dan ternyata kenyataan tersebut adalah tepat. Pertandingan adalah pentas sebenar bagi mengukur pencapaian pasukan negara. Pertandingan yang mendedahkan mereka kepada pelbagai cabaran - mental, fizikal, emosi dan keyakinan diri. Apakah akan panas kembali istilah "jaguh kampung" di kalangan pemain bolasepak negara? Jaguh kampung yang hanya seronok dan gah beraksi di laman sendiri dengan budak-budak belasahan sebaya? Di mana pentas sebenar persaingan kita? Kakibola amat yakin inilah persoalan yang sebenarnya perlu dijawab oleh kepimpinan bolasepak negara. Masa untuk Liga Malaysia diubahsuai supaya lebih kompetitif dan nampak kompetitif dengan saingan pemain-pemain dan pasukan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Hari ini, Liga Malaysia disogokkan dengan pemain dan pasukan yang hanya sekadar memenuhi jumlah penyertaan. Pasukan yang sudah diturunkan ke liga bawahan boleh diangkat untuk kembali ke liga atasan hanya atas alasan untuk mencukupkan bilangan pasukan. Bilakah kualiti akan mendapat tempat di hati kepimpinan bolasepak negara? Sedarlah dari mimpi silam, kini bukan masanya lagi untuk kita berbicara tentang sejarah, bukan masanya kita terus berbicara tentang allahyarham Mokhtar Dahari, bukan masanya lagi untuk berbicara tentang Ghani Minhat, mendiang R.Arumugam, Soh Chin Aun dan sebagainya. Kini masanya untuk kita merenung ke hadapan untuk kembali dihormati oleh pasukan lawan, peminat tempatan dan sekelian warga Malaysia.
Di Sukan SEA Laos, Timor Leste dan Kemboja bukanlah hanya dua pasukan yang perlu ditewaskan tetapi Thailand dan Vietnam yang telah diundi dalam kumpulan yang sama. "One Down One More To Go". Kita telah tewas kepada Vietnam dan kini kita perlu menewaskan Kemboja dan terakhir sekali Thailand andai kita ingin memasang impian untuk layak ke separuh akhir dan membawa pulang setidak-tidaknya gangsa. Vietnam dibarisi pemain-pemain yang didedahkan dengan liga yang berkualiti tinggi, disaingi oleh pemain-pemain yang hebat, baik tempatan mahu pun pemain import. Thailand dibarisi oleh pemain-pemain yang memiliki kualiti teknikal yang hebat, didedahkan dengan perlawanan antarabangsa yang tinggi, dilatih oleh jurulatih yang unggul. Apakah ada kemampuan dan kekuatan untuk kita menewaskan mereka? Sama-samalah kita mendoakan agar mereka beroleh keajaiban dan keizinan untuk mencipta satu kejutan (kemenangan). Wallahu'alam.

Friday, November 27, 2009

PAFA Membelakangi Presiden?

Kakibola mengikuti penuh minat akan perkembangan terkini yang melibatkan Persatuan Bolasepak Amatur Perak (PAFA) yang berkemungkinan hilang kelayakan untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2010 gara-gara gagal menyelesaikan isu tunggakan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan gaji pemain-pemainnya. Dalam usaha memastikan pasukan Seladang dapat turut serta dalam Liga Super 2010 itu, EXCO Negeri Perak, Zainol Fahzi Paharuddin bersama beberapa orang Ahli Majlis PAFA telah menuju ke Wisma FAM untuk bertemu Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, bagi menyerahkan cek berjumlah RM272,000.00 bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain dan carumah KWSP.
Dalam situasi ini, tindakan yang diambil oleh wakil negeri dan beberapa orang Ahli Majlis PAFA itu boleh dianggap 'biadap' kerana membelakangi Presiden PAFA sendiri. Jika memang benar niat mereka baik demi bolasepak Perak, apa salahnya perkara ini dimaklumkan kepada Presiden PAFA untuk diselesaikan dengan baik. Presiden PAFA sudah tentu amat menghargai sebarang inisiatif oleh mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan kemelut yang melanda PAFA. Apakah mungkin kerana perbezaan politik membuatkan pendekatan sedemikian rupa diambil oleh mereka yang cuba menjadi wira di kalangan peminat bolasepak Perak? Difahamkan Presiden PAFA, Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula terkilan dengan tindakan FAM yang menerima wakil negeri yang tidak dianggap sebagai wakil sah PAFA dalam menguruskan permasalahan ini. Apakah FAM membenarkan sekretariatnya berurusan dengan individu yang tidak berkenaan dengan ahli gabungannya berhubung dengan perkara yang serius seperti ini? Inilah bahana campurtangan politik dalam organisasi sukan di Malaysia. Wallahualam.

Saturday, November 21, 2009

Salah Urus Punca KM Naza Tarik Diri?

Agak mengejutkan tetapi tidak menghairankan. Itulah ungkapan yang tepat buat Kelab Kuala Muda NAZA (KM Naza) yang telah membuat keputusan baru-baru ini untuk menarik diri dari terus menyertai Liga Malaysia 2010. KM Naza yang bakal meneruskan cabaran mereka di dalam Liga Super 2010 telah memutuskan untuk menarik diri sekaligus mengakibatkan sebahagian besar pemain-pemainnya termasuk barisan kejurulatihan berada di dalam keadaan yang tidak menentu ketika hampir kesemua pasukan dan kelab yang akan bersaing di dalam Liga Malaysia telahpun mengenalpasti barisan pemain mereka.
Dari sumber yang diperolehi, antara punca utama penarikan diri kelab ini adalah salah urus pengurusan pasukan itu sendiri yang membabitkan banyak hal terutamanya dari aspek pengurusan kewangan. Sehubungan dengan itu, pengurusan tertinggi pasukan yang dipengerusikan oleh SM Faisal SM Nasimuddin, telah membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan pembabitan mereka di dalam kancah bolasepak negara. Namun begitu, penglibatan Kumpulan NAZA dalam projek pasukan F1 1Malaysia yang memerlukan suntikan kewangan yang tinggi juga difahamkan antara sebab mengapa pengurusan pasukan memutuskan untuk tidak lagi bersama Liga Malaysia. Andai benar apa yang disampaikan kepada kakibola tentang salah urus pengurusan pasukan khususnya dari aspek kewangan, amat malang bagi kelab yang sedang mencipta nama di persada bolasepak negara ini, kerana selain Johor FC, PKNS FC dan KL Plus FC, Kuala Muda NAZA berpotensi besar untuk mengukir nama sebagai jaguhan kelab bolasepak negara. Sebagai makluman pengurusan pasukan KM Naza berpengkalan di Gurun, Kedah manakala pengurusan tertinggi pasukan pula berpusat di Kuala Lumpur. Wallahualam.

Liga Malaysia - Gaji oh Gaji .....

Akhbar hari ini melaporkan tentang permasalahan yang dikemukakan oleh beberapa jurulatih dan pemain kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang tunggakan gaji oleh pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia. Apa nak jadi ni? Bila agaknya masalah ini akan berakhir? Ooopssss...berakhir? No no no....
Masalah ni takkan berakhir selagi pendekatan yang ada sekarang ini tidak diubah. Hampir keseluruhan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia adalah berstatus kebajikan. Apatah lagi dengan kemelut politik yang sedang melanda sebahagian besar negeri-negeri, masalah kewangan akan kekal menjadi topik utama. Lihat saja di utara, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang masih diterajui oleh YB Dato Seri Shahidan Kassim yang bukan lagi menjadi Menteri Besarnya, tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan dari kerajaan negeri. Perak apa kurangnya? YB Dato Seri Nizar Jamaluddin yang menerajui kepimpinan bolasepak Perak juga tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan dari kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB Dato Dr Zambry Abdul Kadir. Apa bezanya Pahang, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur?
Selagi tiada inisiatif untuk mengkorporatkan persatuan bolasepak negeri maka selagi itulah bolasepak Malaysia tidak akan lekang dengan permasalahan gaji dan kewangan. Apabila untung rugi tidak dipedulikan dalam era bolasepak profesional negara, selagi itulah individu-individu yang melibatkan diri dalam industri bolasepak negara akan menjadi mangsa kepada sikap tidak berperikemanusiaan persatuan-persatuan bolasepak yang tidak bertanggungjawab. Masa untuk persatuan bolasepak diterajui dan diurus tadbir oleh golongan profesional dan korporat.
Sudah tiba masanya status persatuan bolasepak negeri diubah dari terus menerus menjadi badan kebajikan yang hanya menanti sumbangan dari kerajaan kepada sebuah institusi yang aktif dalam mengumpul dana sendiri melalui pelbagai cabang komersial yang sedia ada bagi menampung sumber kewangan mereka. Wallahualam.

Gol Perancis - Pengadil Buta?

Apabila kakibola melihat ulangtayang gol yang dijaringkan oleh William Gallas hasil hantaran yang dilakukan oleh Thiery Henry dalam perlawanan di antara Perancis dan Ireland bagi kelayakan ke Piala Dunia 2010, kakibola terfikirkan apakah pengadil memang tidak nampak insiden bola yang terkena tangan Henry sebelum dihantar kepada Gallas untuk gol kemenangan Perancis? Atau apakah pengadil tidak berada di posisi yang membolehkan beliau melihat insiden tersebut? Ekoran daripada insiden itu, timbul pelbagai gesaan agar satu tindakan drastik diambil bagi memperbaiki situasi ini di mana pengadil dapat dibantu untuk mengesan sesuatu insiden dalam membuat sesuatu keputusan dengan lebih tepat. Namun begitu, hajat Ireland untuk mengadakan perlawanan semula telah ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Perlu difahami bahawa peraturan am bolasepak dengan jelas menyebut bahawa sebarang keputusan pengadil yang dibuat di atas padang tidak boleh dipertikaikan dan keputusannya adalah muktamad.
Kakibola masih teringatkan percubaan FIFA memperkenalkan penggunaan 2 pengadil pada tahun 1999 di mana Liga Malaysia menjadi salah satu liga dari seluruh dunia yang digunakan bagi menguji keberkesanan cadangan tersebut. Secara logiknya dan secara peribadi, pendekatan tersebut amat positif memandangkan penggunaan 2 pengadil akan mengurangkan tekanan fizikal ke atas pengadil. Setidaknya dengan menggunakan 2 pengadil, mereka akan dapat mengurangkan pergerakan fizikal dan mengurangkan kepenatan dan secara tidak langsung keputusan mereka akan lebih baik apabila mereka berada dalam kondisi yang stabil. Mungkin masanya FIFA mengkaji semula kaedah menggunakan 2 pengadil untuk digunapakai selain daripada penggunaan gajet komunikasi sepertimana yang dapat dilihat dalam Liga Premier Inggeris (EPL). Atau mungkin FIFA dapat menguji keberkesanan penggunaan 2 lagi pembantu pengadil daripada 2 yang sedia ada sekarang supaya apa yang berlaku dalam perlawanan di antara Perancis dan Ireland dan insiden "Hand of Theiry Henry" dan "Hand of God" milik Diego Maradona tidak berulang? Wallahualam.

Sunday, November 8, 2009

Kelab Di Liga Simpanan...?


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Dato' Hj Che Mat Jusoh baru-baru ini dalam mengumumkan pasukan-pasukan yang tidak layak mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2010 turut mengaitkan penarikan diri 2 lagi kelab dari Liga Malaysia iaitu, Perak UPB/MyTeam dan Selangor Proton FC. Sesungguhnya penarikan diri kelab dari Liga M bukanlan sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini sudah terdapat beberapa kelab yang hanya beberapa tahun beraksi di dalam Liga Super mahupun Liga Premier yang menarik diri, antaranya ialah Penang NTFA, Selangor MK Land, Public Bank, MPPJ, Kelantan TNB dan Johor Pasir Gudang.
Kakibola pernah mencadangkan supaya kelab-kelab diberi tugas untuk pembangunan belia serta menyediakan barisan pemain pelapis. Alasan ini diberi memandangkan kelab tidak memiliki asas sokongan yang mantap kerana sokongan lebih tertumpu kepada pasukan-pasukan negeri justeru dalam bolasepak profesional, mereka gagal mendapat pulangan atau menjana pendapatan hasil dari pelaburan tinggi yang telah mereka lakukan. Justeru tidak hairanlah mengapa kelab-kelab tidak mampu bertahan lama. Ada pihak yang menyokong penyertaan kelab atas alasan sumber kewangan mereka yang kukuh, tapi harus diingat bahawa penyertaan kelab bergantung sepenuhnya terhadap minat Ketua Pegawai Eksekutif atau Presiden konglomerat tersebut semata-mata. Jika pengurusan tertinggi mereka tidak berminat dengan bolasepak maka akan berkuburlah penglibatan mereka.
Kakibola penuh yakin sumbangan kelab dalam pembangunan dan penyediaan barisan pelapis adalah lebih logik dan efektif. Ini kerana mereka tidak perlu berbelanja tinggi dalam aspek gaji pemain, logistik dan sebagainya. Mereka boleh diserap sebagai kakitangan sepenuh masa, kontrak mahupun sementara di dalam organisasi yang berkenaan. Setiap negeri tidak perlu menghadkan penyertaan kelab dalam liga pelapis (bawah 20 tahun) ini sebaliknya mengalu-alukan sebanyak mungkin penyertaan dan ini bakal membuka ruang yang lebih besar kepada barisan pemain muda untuk beraksi di peringkat yang kompetitif. Bukan seperti sekarang di mana di dalam liga utama, sebuah negeri mempunyai sehingga 3 pasukan sedangkan asas sokongan mereka amatlah terhad. Bayangkan Kuala Lumpur yang populasi mereka amat rendah perlu menyokong 3 pasukan yang mewakili Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) - KL Plus FC, Felda United FC dan Kuala Lumpur sendiri. Sepatutnya dalam konteks yang dicadangkan ini, jika Kuala Lumpur menghadapi masalah kewangan, salah satu kelab tersebut boleh mewakili negeri tersebut di dalam liga utama tetapi tidak lebih dari hanya satu pasukan sahaja.
Kini semuanya terserah kepada sikap keterbukaan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (JKPT) untuk menerima sebarang pandangan dan mengerah kebijaksanaan mereka untuk memastikan tiada lagi insiden penarikan diri kelab dari Liga Malaysia khususnya akibat daripada masalah kewangan. Wallahu'alam.

Sunday, November 1, 2009

Liga M 2010 - Kelantan, Perak Antara Yang Tersingkir

Media telah melaporkan bahawa finalis Piala Malaysia 2009, Kelantan, adalah antara pasukan yang tidak layak beraksi dalam Liga Malaysia 2010 bersama Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Shahzan Muda kerana kegagalan memenuhi syarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memerlukan setiap pasukan yang bakal bertanding dalam Liga M 2010 menyelesaikan tunggakan gaji dan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Agak mengejutkan juga bila Proton FC membuat keputusan untuk turut menarik diri bersama UPB/MyTeam yang sejak awal lagi telah memutuskan untuk tidak menyertai Liga M 2010. Lebih menghairankan, Sarawak yang sebelum ini telah mengesahkan akan menarik diri, tiba-tiba tersenarai dalam pasukan-pasukan yang akan berentap dalam kempen Liga Premier 2010.
Apa yang kakibola bersama-sama dengan peminat tegar bolasepak negara ingin lihat di sini ialah ketegasan FAM dalam menguatkuasakan peraturan ke atas keenam-enam pasukan yang gagal memenuhi syarat tersebut. Ini penting demi memelihara kredibiliti FAM daripada terus dipersendakan saban tahun oleh ahli gabungannya, apatah lagi masyarakat umum yang telah masak dengan telatah FAM dalam urusan seumpama ini. Peraturan perlu dipatuhi dan dihormati, jika tidak, tidak ada maknanya sebarang peraturan itu jika ianya digubal dan dibuat untuk diengkari. Dalam hal ini, FAM sekali lagi bakal menjadi perhatian umum di atas sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis FAM yang terdiri daripada ahli-ahli gabungannya sendiri yang juga datang dari 6 pasukan terbabit. Jika peraturan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) sudah menetapkan syarat-syarat berikut maka seharusnya Majlis FAM perlu menerima peraturan itu dan memutuskan keenam-enam pasukan tersebut tidak layak untuk menyertai Liga M 2010. Ini bagi menjadikannya iktibar atau pengajaran kepada semua pasukan yang berada di bawah naungan FAM dan menyertai pertandingan dibawah penganjuran FAM agar menghormati dan mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang telah diputuskan. Yang lebih penting ialah kredibiliti dan nama FAM akan terpelihara daripada sebarang cemuhan dan kritikan yang mereka sendiri tidak inginkan.
Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa FAM terkenal dengan pendiriannya yang tidak pernah konsisten dalam banyak hal. Adakah ini juga bakal menjadi salah satu agenda tidak konsistennya FAM dalam peraturan yang digubal mereka sendiri? Sama-samalah kita tunggu akan keputusannya nanti. Wallahu'alam.

Sunday, October 25, 2009

Separuh Akhir Piala Malaysia 2009 - Pertembungan Mantan Jurulatih Kebangsaan

4 pasukan yang melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2009 bakal menemukan 4 individu yang pernah melatih skuad kebangsaan. Irfan Bakti Abu Salim (Perlis), B.Sathianathan (Kelantan), Wan Jamak Wan Hassan (Negeri Sembilan) dan Ken Worden (Terengganu) pernah bersama dengan pasukan kebangsaan sebelum ini dan pengalaman mereka sudah tentu menjadi aset berharga ketika berbakti untuk pasukan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia 2009. Paling cemerlang dan paling konsisten sudah tentu milik Irfan Bakti Abu Salim yang pernah membimbing pasukan Persipura (Indonesia), Telekom Malaysia, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Ianya dituruti oleh Ken Worden yang mempunyai reputasi baik bersama Selangor dan pernah memenangi beberapa kejuaraan sewaktu bersama mereka. Wan Jamak Wan Hassan pula kembali aktif selepas beberapa tahun berehat panjang selepas mengemudi pasukan kebangsaan dengan membimbing Johor Pasir Gudang sebelum mengambil alih tempat Irfan Bakti Abu Salim di Telekom Malaysia dan kini bersama Negeri Sembilan. B.Sathianathan yang sinonim dengan "M-League is no football" kini mula meletakkan dirinya antara jurulatih yang disegani setelah kali pertama melibatkan diri dalam kancah Liga M bersama pasukan Kelantan.
Separuh Akhir ini bakal menentukan siapa di antara mereka yang wajar memertabatkan diri sebagai jurulatih unggul untuk membimbing pasukan masing-masing ke Final Piala Malaysia 2009. Wallahu'alam.

Friday, October 23, 2009

K-LEAGUE 2009 Di Lancar..

Liga Bolasepak Kedah 2009 atau K-League 2009 bagi merebut Piala Tuanku Sultan Kedah akan dilancarkan pada hari Sabtu 24 Oktober 2009 bertempat di Hotel Regency, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Pertandingan edisi 2009 ini menyaksikan saingan 17 pasukan yang terdiri daripada Persatuan-Persatuan Bolasepak Daerah (PBD), Persatuan Bolasepak Melayu, India dan Cina Kedah berserta beberapa kelab gabungan. Pertandingan ini dihidupkan semula bagi memastikan kesinambungan pembangunan bolasepak Kedah selari dengan moto K-League itu sendiri - Menjana Kemajuan Pembangunan Bolasepak Kedah - yang memerlukan kehadiran lebih ramai bakat-bakat muda bagi menonjolkan kemampuan mereka.
Liga bolasepak di negeri Kedah kali terakhir pernah dianjurkan sebelum ini pada tahun 2007 gagal ditamatkan dengan jayanya akibat kemelut kewangan dan juga beberapa penyalahgunaan kewangan oleh mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan liga berkenaan. Kerajaan negeri yang baru kini telah menyuntik modal penganjuran sejumlah RM60,000.00 kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi menjayakan K-League 2009 di mana pertandingan ini akan bermula pada 7 November 2009 dan perlawanan akhirnya dijadualkan pada 26 Disember 2009 di Stadium UUM, Sintok, Kedah Darul Aman. Bagi memastikan kelancaran pengendalian K-League 2009 ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilantik sebagai sekretariat pertandingan yang akan diketuai oleh Encik Shafferi Rejab yang juga Pengerusi Jawatankuasa Padang dan Pertandingan KFA.
Apapun, adalah diharapkan dengan usaha ini ramai lagi bakat-bakat baru dapat dicungkil untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sepertimana munculnya bintang-bintang umpama Muhamad Radhi Mat Din, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Badrol Bakhtiar dan Ahmad Shakir Ali, insyaAllah.