Apabila kakibola terbaca akan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk akhirnya menyerahkan piala Liga Super kepada juara musim 2012, Kelantan, kakibola terasa lega. Apatah lagi seluruh penyokong, pencinta dan peminat bolasepak Kelantan serta kepimpinan dan ahli pasukannya yang menantikan saat-saat cukup bermakna untuk meraikan dan menjulang piala hasil perahan keringat sepanjang musim. Bagi mereka yang telah memerah segenap kudrat mereka di atas padang dengan titisan peluh yang mencurah-curah, meraikan detik kegemilangan seumpama ini amat dinanti-nantikan. Sudah tentu untuk meraikan kejayaan tersebut di gelanggang keramat mereka dan dihadapan penyokong-penyokong adalah satu suasana yang cukup bermakna.
Bolasepak dimainkan di atas padang dan perit jerih serta susah payah untuk meraih kemenangan tidak sama dengan mereka yang hanya duduk merancang di dalam kamar dingin. Mereka tidak dapat merasakan kehangatan suasana dan hiruk pikuk jeritan serta pekikan para penonton di stadium. Mereka tidak dapat merasakan herdikan serta makian para penonton tatkala pasukan gagal meraih keputusan yang dikehendaki. Mereka hanya mampu tersenyum tatkala kantung mula dipenuhi, yang lainnya, apa peduli kami. Sebab itu kakibola berpendapat bahawa bolasepak itu adalah urusan padang jadi sewajarnya ianya diberi pengiktirafan di padang dan bukannya di pejabat. Jangan diulangi kesilapan dan 'penghinaan' yang sama sepertimana yang dialami oleh pasukan Sarawak pada tahun 1997 apabila Piala Liga hanya dikirim melalui pos. Wallahu'alam.
1 comment:
apa la salah jika dibuat satu trofi replika menyerupai yang asal untuk dijulang lagipun itu lebih baik dari menjulang piala cardboard sungguh tak profesional
Post a Comment