
Apapun bagi kakibola, keputusan yang diambil oleh FAM adalah wajar sebagai pengajaran kepada KAFA serta lain-lain persatuan bolasepak negeri dalam menangani keganasan bolasepak. Sekalipun ada yang telah mula meluahkan rasa simpati kepada KAFA dan marah kepada FAM, bagi kakibola perkara seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan. Buat peminat dan penyokong pasukan Kelantan, perlu diambil iktibar betapa dalam menuntut profesionalisme di kalangan pemain dan juga pasukan negeri itu, mereka sendiri juga perlu menerapkan nilai yang sama dalam menerima hakikat sesuatu keputusan sekalipun umum mengetahui bahawa dalam setandang pisang tetap akan ada yang busuk. Cuma dalam keputusan drastik FAM ini perlu konsisten dalam menangani insiden-insiden serupa yang bakal hadir nanti. Pengamatan pelbagai pihak ialah bagaimana Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) boleh terlepas daripada sebarang tindakan dan denda akibat daripada insiden yang hampir sama di antara penyokong Kelantan dan Selangor sekalipun corak insidennya adalah berbeza.
Yang menarik untuk dilihat sekarang ialah adakah FAM akan mula mengubah pendirian mereka dalam keputusan yang telah dibuat hasil ugutan KAFA? Bagi kakibola, FAM tidak seharusnya tunduk kepada sebarang ugutan oleh persatuan bolasepak negeri dalam apa jua hal. Inilah masanya untuk membawa negeri-negeri mematuhi akan apa jua polisi dan ketetapan yang telah sama-sama mereka putuskan untuk menjamin kelancaran bolasepak negara. Sebelum ini persatuan bolasepak negeri telah lama bermaharajalela dalam "mengajar" FAM untuk mengikut telunjuk mereka dalam melaksanakan pelbagai polisi sehingga membuatkan FAM hilang kredibiliti sebagai badan induk sukan bolasepak negara. Wallahualam