Saturday, April 11, 2009

FAM Gantung Stadium Sultan Muhamad Ke IV

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan drastik menggantung pasukan Kelantan dari beraksi di Stadium Sultan Muhamad ke IV hingga 31 Disember 2009 ekoran insiden yang telah mengejutkan negara apabila penyokong skuad Kijang itu merusuh sehingga membakar sebuah trak polis. Lanjutan dari insiden berkenaan, FAM telah memutuskan untuk menggantung gelanggang skuad Kijang. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula dengan serta merta membalas tindakan FAM itu dengan mengugut untuk menarik diri dari Liga Super kerana merasakan bahawa FAM telah mengenakan tindakan yang keterlaluan dalam menghukum mereka.
Apapun bagi kakibola, keputusan yang diambil oleh FAM adalah wajar sebagai pengajaran kepada KAFA serta lain-lain persatuan bolasepak negeri dalam menangani keganasan bolasepak. Sekalipun ada yang telah mula meluahkan rasa simpati kepada KAFA dan marah kepada FAM, bagi kakibola perkara seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan. Buat peminat dan penyokong pasukan Kelantan, perlu diambil iktibar betapa dalam menuntut profesionalisme di kalangan pemain dan juga pasukan negeri itu, mereka sendiri juga perlu menerapkan nilai yang sama dalam menerima hakikat sesuatu keputusan sekalipun umum mengetahui bahawa dalam setandang pisang tetap akan ada yang busuk. Cuma dalam keputusan drastik FAM ini perlu konsisten dalam menangani insiden-insiden serupa yang bakal hadir nanti. Pengamatan pelbagai pihak ialah bagaimana Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) boleh terlepas daripada sebarang tindakan dan denda akibat daripada insiden yang hampir sama di antara penyokong Kelantan dan Selangor sekalipun corak insidennya adalah berbeza.
Yang menarik untuk dilihat sekarang ialah adakah FAM akan mula mengubah pendirian mereka dalam keputusan yang telah dibuat hasil ugutan KAFA? Bagi kakibola, FAM tidak seharusnya tunduk kepada sebarang ugutan oleh persatuan bolasepak negeri dalam apa jua hal. Inilah masanya untuk membawa negeri-negeri mematuhi akan apa jua polisi dan ketetapan yang telah sama-sama mereka putuskan untuk menjamin kelancaran bolasepak negara. Sebelum ini persatuan bolasepak negeri telah lama bermaharajalela dalam "mengajar" FAM untuk mengikut telunjuk mereka dalam melaksanakan pelbagai polisi sehingga membuatkan FAM hilang kredibiliti sebagai badan induk sukan bolasepak negara. Wallahualam

1 comment:

Rantong said...

Salam ziarah. Sekadar pemberitahuan demi kesejahteraan hidup.

Rancangan "Who Wants To Be A MillionaireBlogger.Net" kini, ke udara di screen komputer anda. Sertai & daftar sekarang. Kemasukan adalah PERCUMA...