Saturday, November 1, 2008

Kemelut Rumah AFC - Apa Hal Ni?

Saban hari berita tentang kemelut perpindahan Rumah AFC sering diulas di media. Yang mengulas dan menulis adalah mereka yang telah lama berdampingan dengan sukan ini sejak sekian lama. Pelbagai pandangan yang dilontarkan dan yang jelas ialah kritikan terarah kepada Presiden AFC dengan menggambarkan sifat negatif dan ketamakan beliau untuk mengurustadbir AFC. Dalam pelbagai isu yang dikaitkan dengan perpindahan rumah AFC hanyalah 2 - isu kehadiran kelab EPL Manchester United ke Malaysia di ambang Piala Asia dan isu penganjuran bersama CYC oleh AFC dan GGL. Atau ada masalah lain ker?

Andai 2 isu ini yang dijadikan alasan atau kritikan di pihak FAM atau Malaysia amnya terhadap kepimpinan AFC dan keputusan mereka untuk memindahkan Rumah AFC ke luar dari bumi Malaysia, ada sesuatu yang janggal dan tidak kena. Kakibola merasakan FAM perlu melihat kelemahan sendiri dalam hal ini. Dunia bolasepak moden tidak terlalu bergantung kepada sejarah jadi untuk membangkitkan soal sentimen dan sejarah dalam hal ini, adalah salah. Akibat terlalu bergantung kepada sejarahlah bolasepak Malaysia tertinggal jauh. Seharusnya Malaysia sebagai negara yang mempelopori dan peneraju bolasepak Asia sudah maju meninggalkan jauh negara-negara lain, malangnya ia berlaku sebaliknya, kita tertinggal jauh.

Berbalik kepada 2 isu yang dimainkan, kakibola merasakan AFC di pihak yang benar apabila mereka tidak membenarkan FAM menerima kunjungan MU untuk mengadakan perlawanan persahabatan atau "exhibition match" di sini. Ia jelas bertentangan dengan perjanjian penganjuran Piala Asia yang dipersetujui dan ditandatangani oleh FAM dengan AFC. FAM seharusnya sedar akan syarat-syarat dan terma di dalam perjanjian itu. Jadi tak perlu dipertikaikan. Lagi pun kehadiran MU ke Malaysia hanya jelas menguntungkan pihak yang mempromosi acara ini sahaja tetapi bolasepak Malaysia tidak memperolehi apa apa pun melainkan aib di gelanggang sendiri dengan majoriti penonton yang hadir hanya melaungkan nama MU dan mengibarkan bendera MU. Bendera Malaysia dan FAM di mana? Itu jelas sewaktu kehadiran Chelsea. Isu penganjuran bersama CYC antara AFC dan GGL, ianya soal komersial yang perlu diguna sebaik mungkin oleh mana-mana penganjur. Jadi GGL memanafaatkan AFC untuk "milage" dan juga pulangan demi memastikan penganjuran menjadi yang terbaik. Ini yang FAM terlepas pandang dalam banyak "event" yang dianjurkan. Jadi kelemahan siapa?

Oleh itu, andai AFC merasakan bahawa rumahnya tak perlu berada di negara yang tetinggal dalam arus kemajuan bolasepak moden, maka tentu ada rasional dan alasan mereka yang tersendiri. Soal tuntutan atau syarat yang dikenakan bagi mana-mana pihak yang membida untuk menampatkan Rumah AFC di negara mereka, kakibola merasakan ianya sesuatu yang wajar sekalipun ada di antara tuntutan itu kelihatan agak keterlaluan. Namun dalam persaingan bolasepak moden, soal komersial dan pulangan perlu diambil kira. Status yang diminta oleh Presiden AFC telah lama dikecapi dan dinikmati oleh Presiden FIFA. Tak ada pula yang mempertikaikannya. Jadi kalau kita tidak mampu mememuhi apa yang diminta, relakan saja Rumah AFC dipindahkan. Dalam hal ini, kakibola tabik pendirian FAM yang tidak mahu membida dan biarkan saja Eksekutif AFC membuat keputusan. Wallahualam.