Pasukan negara akan melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam siri kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung pada Rabu 21 Januari 2009. Tempoh singkat yang dimiliki ketua jurulatih negara, B.Sathianathan bakal menjadi satu "aspek halangan" kepada persiapan mereka dalam menghadapi pasukan yang di atas kertasnya merupakan sebuah pasukan yang jauh lebih mantap berbanding pasukan negara. Ianya bakal dijadikan alasan untuk tidak mampu memberi saingan atau lebih tepat gagal memenangi perlawanan tersebut. Terbaru, faktor kecergasan pemain-pemain sudah mula dimainkan bagi menyokong alasan bakal kegagalan pasukan negara nanti di sebalik kenyataan awal yang sudah pun dibuat betapa mereka mampu membuat kejutan ke atas pasukan UAE.
Apapun, harapan semua, khususnya peminat setia bolasepak negara, adalah tidak disogokkan dengan harapan palsu. Sekalipun ianya bertujuan untuk menanam keyakinan kepada barisan negara betapa mereka mampu melakukan sesuatu yang di luar harapan semua, namun jangan diulangi kenyataan yang seharusnya mengundang rasa "mual" di kalangan peminat tempatan. Apapun jangan faktor tempoh waktu latihan dijadikan alasan untuk tidak dapat memberikan yang terbaik. Wallahualam.