Dalam kekalutan dan pelbagai permasalahan baik dari aspek pentadbiran, pembangunan dan pelbagai hal yang berkaitan dengan bolasepak negara, kakibola merasakan ini adalah masa terbaik untuk Presiden FAM mengundurkan diri secara terhormat. Tempoh 25 tahun yang diberikan sejak mengambil alih tampok 'pemerintahan' FAM dari YBhg Tan Sri Hamzah Abu Samah, adalah satu tempoh yang terlalu lama dan di sepanjang tempoh tersebut, ternyata sekali tiada peningkatan mahupun kemajuan yang dicapai oleh bolasepak negara. Kata orang, memang mudah menuding jari untuk mencari kesalahan tetapi sejak peralihan kuasa, bolasepak negara sedang menuju ke arah kehancuran yang amat dahsyat. Tanpa perlu mencongak akan kedudukan negara dalam rangking FIFA, umum sudah jelas dan amat mual dengan pelbagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan wajarnya kepimpinan FAM mengundur diri. Harapan menggunung yang diberikan kepada barisan kepimpinan baru FAM ternyata tidak menampakkan pulangan yang positif, maka ujud samada ada keikhlasan di kalangan mereka untuk mengembalikan martabat bolasepak negara atau sekadar menumpang 'glamour' di pentas sukan nombor satu negara.
Kebanyakan keputusan yang dibuat oleh FAM hanya satu 'gimmick' dan sekadar menonjolkan kepopularitian mereka dan bukan demi pembangunan dan peningkatan sukan itu sendiri. Penghantaran jurulatih ke Manchester United, penghantaran pemain ke Chelsea, sesungguhnya tidak membantu ke arah peningkatan menyeluruh bolasepak kita. Struktur pentadbiran di peringkat FAM dan negeri perlu dirombak, sistem bolasepak kita perlu diubahsuai bagi menampung keperluan dan keserasian semua pihak tanpa mengambil kira kumpulan yang berkepentingan di dalam organisasi FAM. Persatuan negeri perlu dicelikkan betapa mereka bukan lagi peminta sedekah sebaliknya perlu berusaha membangunkan struktur dan sistem bolasepak di negeri tanpa terlalu bergantung kepada FAM untuk menghulurkan bantuan. Teguran demi teguran dari peminat dan mereka yang berilmu dalam memberi sumbangan, tidak pernah sekalipun diendahkan, mereka hanya gah sesama mereka dengan ungkapan mudah "Kami lebih tahu dari kamu akan apa yang kami buat". Untuk Presiden FAM - turutilah langkah berani yang diambil oleh anakandanya yang merasa bertanggungjawab dalam kemerosotan mutu bolasepak negara. Bersedialah untuk berundur sebelum diundurkan. Wallahulam.