Sunday, June 22, 2008

Kedah kekalkan Piala FA - Tahniah!

Selepas mempertahankan kejuaraan Liga, sang Kenari kekal unggul dengan mempertahankan Piala FA yang dimenanginya musim lalu. Bertambah hebat keunggulan Kedah apabila menundukkan pasukan Gergasi Merah di gelanggang mereka sendiri di hadapan hampir 50,000 penyokong kedua-dua pasukan. Turut berangkat mencemar duli ke pertandingan akhir itu ialah DYMM Tuanku Sultan Kedah, yang sentiasa menjadi pendorong kepada setiap anggota pasukan untuk terus memberikan yang terbaik kepada bumi Hijau Kuning.
Kalungan tahniah kakibola khususnya kepada barisan kejurulatihan Kedah yang diterajui oleh saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan didokong oleh Tuan Hj Muhamad Radhi Mat Din dan saudara Ahmad Sobri Ismail yang telah mampu membimbing barisan muda serta mengekalkan semangat juang dan berpasukan yang tinggi di dalam pasukan. Keupayaan Mohd Azraai Khor dalam mengenalpasti bakat serta menyerlahkan kemampuan barisan muda Hijau Kuning adalah sesuatu yang amat membanggakan. Tanpa terlalu bergantung kepada pemain luar, beliau telah mampu menjelmakan semangat cintakan negeri dan meraih sokongan para peminat, penyokong dan pengikut setia negeri Jelapang Padi.
Bagi kakibola, tiada lain yang dapat diungkapkan melainkan tabik hormat kepada rakan karib kakibola di Kedah (saudara Mohd Azraai Khor, Hj Muhamad Radhi dan saudara Ahmad Sobri). Kekalkan rentak kejayaan seterusnya dalam pertandingan Piala Malaysia, insyaAllah.