Sepatutnya kelab sudah mengambil alih tempat pasukan bolasepak negeri dalam Liga Profesional Malaysia (Liga M). Demikian luahan mantan Setiausaha Agong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dato' Seri Paul Mony Samuel di pejabatnya di Kelana Jaya semalam. Beliau kini adalah Setiausaha Agong Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). Perkara ini dimaklumkan kepada kakibola dalam kunjungan ke pejabat AFF di Kelana Jaya.
Menurut beliau, kedudukan kelab yang kukuh dari segi kewangan dan juga aspek pentadbiran profesionalnya menjadikan sebab mengapa FAM mempelawa kelab-kelab untuk menyertai Liga Malaysia di kala beliau masih lagi menjadi Setiausaha Agong FAM dengan harapan bahawa kelab secara beransur-ansur akan mampu mengambil alih pasukan negeri dalam kancah bolasepak profesional negara. Keputusan ini dicapai bersama dengan DYMM Tuanku Sultan Ahmad Shah (Presiden FAM) dan juga DYTM Tengku Mahkota Pahang (Timbalan Presiden) ketika itu, atas pandangan dan nasihat yang diberikan oleh wakil Persatuan Bolasepak England dan FIFA. Alasan yang diberikan oleh mereka adalah Malaysia memiliki asas sokongan yang kuat di peringkat negeri berbanding kelab di England. Justeru itu beliau seterusnya menerangkan mengapa nama negeri wajib diletakkan mendahului nama kelab, contohnya Selangor PKNS, Johor Pasir Gudang, Kedah Kuala Muda NAZA dan sebagainya. Ini adalah kerana, faktor negeri tidak boleh dilenyapkan atas aspek sokongan penyokong yang bersandarkan kepada faktor kenegerian. Selepas proses itu, fungsi Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) bolehlah dijadikan sebagai sekretariat untuk membantu kelab dalam setiap urusan dengan FAM. Sebaliknya keadaan menjadi rumit apabila PBN lebih menjurus kepada mementingkan diri dalam menentukan hala tuju bolasepak negara. Lebih merumitkan lagi apabila PBN sekarang diberi kuasa untuk menentukan sebarang keputusan dalam Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang bertanggungjawab dalam memutuskan sebarang format yang melibatkan liga bolasepak negara.
Apapun, adalah menjadi harapan seluruh peminat bolasepak agar apa yang baik demi peningkatan bolasepak negara akan segera terjelma dengan pendekatan yang mengambilkira sokongan masyarakat dan peminat bolasepak khususnya serta mengenepikan pendekatan mementingkan diri sendiri. Wallahualam.