Datuk Abdul Ghani Minhat atau lebih dikenali sebagai Raja Bola Malaysia dalam laporan akhbar dipetik sebagai berkata beliau menawarkan diri untuk memberi pandangan dan nasihat kepada pihak yang sudi mendapatkan pandangan beliau tentang bagaimana bolasepak negara boleh dipertingkatkan. Kakibola merasa amat simpati dengan insan ini yang ingin menawarkan diri demi peningkatan bolasepak negara. Masih ada yang sudi memberi pandangan dan buah fikiran demi pembangunan bolasepak negara tetapi masih adakah yang sudi mendengar?
Cuma kakibola merasa agak pelik, apakah peranan yang dimainkan oleh bekas-bekas wira negara yang disanjung hebat yang menduduki kerusi Majlis FAM dalam pelbagai jawatankuasa yang ada, termasuk Datuk Ghani Minhat sendiri. Apakah yang telah disumbangkan oleh Datuk M.Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Jamal Nasir Abdul Nasir Ismail, Datuk Dell Akhbar Khan, tatkala mereka berada di dalam FAM? Ataupun mungkin para politikus yang berada di dalam Majlis FAM lebih arif tentang selok belok bolasepak negara daripada mereka? Pada pandangan kakibola, kalau orang yang hebat seperti empat Datuk tadi pun boleh tidak diperdulikan, apa lagi kita yang kerdil ini, mampukah menggoncang Wisma FAM untuk membuat perubahan demi kemajuan bolasepak negara? Kalau mereka ada mengusulkan sesuatu yang baik tetapi tidak dipedulikan, sekurang-kurangnya ada initiatif dari mereka tetapi kalau tak ada dan sekadar memanaskan bangku dan menjadi pak turut, jangan lah berani lagi meluahkan pandangan dan komen di dalam akhbar. Mereka yang layak digelar DAYUS. Wallahualam.