Monday, March 2, 2009

Kenyataan, Hukuman dan Tafsiran...

Menarik juga untuk mengikuti perkembangan terkini bolasepak negara. Tidak cukup panas di luar gelanggang, dipanaskan lagi dengan insiden pergaduhan penyokong-penyokong bolasepak Selangor dan Kelantan dalam kancah Liga Super hari Sabtu lalu.
Apa yang kakibola tertarik untuk memperkatakan di sini ialah kesan penghukuman ke atas jurulatih Felda United FC, saudara Redhuan Abdullah yang telah digantung selama 12 bulan dan denda sebanyak RM4,000.00 kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang ditafsirkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM sebagai menghina dan juga tidak tepat. Isi kenyataan akhbar yang dibuat oleh saudara Redhuan telah umum ketahui. Selepas hukuman dijatuhkan, terbit pula kenyataan akhbar oleh dua tokoh penting di dalam badan induk bolasepak negara, YB Dato' Che Mat Jusoh, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan YB saudara Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden yang dengan jelas mempertikaikan kewibawaan hukuman yang telah dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM. Bagaimana kita boleh mentafsirkan hukuman dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh 2 pimpinan tertinggi FAM ini? Pelik? Janggal? Hairan? Sepatutnya mereka di bawah bumbung yang sama mempunyai pendirian yang hampir sama. Jawatankuasa Disiplin yang dilantik oleh EXCO FAM sudah tentu faham akan tafsiran peraturan dan undang-undang yang dinaungi mereka. Tapi kenapa diluahkan perbezaan pandangan dan pendapat melalui media, saluran yang perlu terlebih dahulu memperolehi kebenaran dari sekretariat FAM?
Bagi kakibola, sekalipun hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM ke atas teman kakibola itu dianggap berat dan keterlaluan, hukuman tetap hukuman, manakala kesalahan tetap kesalahan. Tetapi kenapa tiba-tiba ujud rasa simpati oleh pimpinan FAM sendiri? Apakah mereka tidak faham akan isi peraturan dan undang-undang yang melibatkan disiplin pegawai, jurulatih, pemain yang terlibat dalam sebarang aktiviti anjuran FAM? Apakah kerana jawatankuasa disiplin dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh EXCO FAM sedangkan pimpinan yang mengeluarkan kenyataan media yang bercanggah dengan keputusan peraturan itu adalah di kalangan orang politik yang sentiasa ingin menonjolkan diri pada ketika dan situasi yang salah? Apakah mereka terkecuali dari tindakan disiplin?
Kepada saudara Redhuan, banyakkan bersabar, saudara telah meluahkan apa yang betul dan perlu diberi perhatian oleh FAM. Wallahualam