Kekalahan Malaysia kepada UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi, keluhan, kritikan dan tuding-menuding antara satu sama lain. Ada pihak yang terasa pedas dek kritikan jurulatih negara, B.Sathianathan dan tidak kurang juga yang bingkas bangun untuk mempertahankan diri sendiri atau pun polisi masing-masing. Paling melucukan apabila mantan Timbalan Presiden FAM yang juga sekarang ini boss Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menyarankan agar rombakan dibuat terhadap pentadbiran badan induk bolasepak negara untuk mengembalikan kegemilangan sukan ini. Lucu kan?
Setelah sekian lama berada dalam tampuk pentadbiran FAM, entah apa yang telah dilakukan beliau di sepanjang tempoh itu untuk meningkatkan MUTU bolasepak negara hingga berada pada tahap yang parah seperti sekarang? Amat kurang wajar baginya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian sekalipun telah diajukan oleh pemberita untuk diulas. Cadangan beberapa tokoh bolasepak agar pasukan bolasepak dibubarkan dan digantikan oleh pemain muda amatlah tidak wajar. Ini jelas mempamerkan kedangkalan dan kecetekan pengalaman mereka dalam menangani isu seumpama ini di sebalik lakaran pengalaman yang tinggi dalam pentadbiran dan pengurusan bolasepak. Tidak timbul faktor usia (samada tua atau muda) untuk mewakili pasukan negara asalkan mereka menepati piawaian untuk beraksi di pentas antarabangsa yang menuntut persembahan terbaik demi negara. Mana mungkin diberi peluang kepada rata-rata pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa yang sentiasa menuntut keputusan. Jangan lupa - penonton datang menyaksikan perlawanan dengan membayar tiket dan bukannya masuk percuma dan kehadiran mereka adalah untuk menyaksikan mereka persembahan yang baik serta mendapat keputusan yang wajar. Kakibola bersetuju dengan pandangan yang lebih matang jurulatih Perlis, Irfan Bakti Salim dan bekas legenda bolasepak negara, Shukor Salleh bahawa pasukan yang sedia ada perlu dimantapkan dan bukannya dibubarkan. Apapun ruang dan peluang sentiasa ada untuk diperbaiki asalkan pihak yang terlibat secara langsung peka akan rintihan dan keluhan sekalipun kita sedar bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam satu masa tetapi hakikatnya sudah tentu ada perkara utama yang perlu dibereskan, wallahualam.