Tuesday, December 15, 2009

Harimau Muda A Tak Sertai Liga Super - Siapa Untung Siapa Rugi?

Liga Super 2010 yang bakal membuka tirainya 9 Januari ini bakal menyaksikan kehilangan aksi sekumpulan anak-anak muda yang berpotensi besar dalam menyinari bolasepak negara dalam masa terdekat ini. Ini ekoran daripada keputusan Majlis FAM untuk membatalkan penyertaan skuad Harimau Muda A (bawah 21 tahun) dalam saingan Liga Super 2010 bagi memberi laluan kepada Pahang untuk menempatkan diri dalam kelompok elit bolasepak negara. Dalam mesyuarat Majlis FAM yang dipengerusikan sendiri oleh Presidennya, Tuanku Sultan Hj Ahmad Shah, wakil-wakil negeri bersepakat untuk tidak membenarkan skuad Harimau Muda A beraksi dan sebaliknya mahukan pemain-pemain dari pasukan pelapis ini kembali mewakili pasukan negeri masing-masing dalam persaingan Liga Malaysia. Alangkah gelojohnya dan tamaknya wakil-wakil negeri ini. Mereka mengabaikan tanggungjawab untuk melahirkan pemain-pemain pelapis kepada pasukan negara, sebaliknya mahukan pemain yang dibentuk dan dididik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pulangan. Namun begitu, FAM telah memutuskan untuk tidak menyerahkan pemain-pemain ini kepada pasukan negeri dan akan dikekalkan sebagai sebuah pasukan, memandangkan pemain-pemain ini mempunyai kontrak dengan FAM sehingga 31 Jun 2010. Dengan keputusan ini maka persatuan bolasepak negeri yang tergila-gilakan khidmat pemain-pemain muda ini, gigit jari.
Ekoran daripada keputusan Majlis FAM tersebut, kini anak didik jurulatih baru Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, bagaikan tiada tujuan untuk terus menggilap dan memperkasakan bakat yang ada pada mereka. Apa lagi pertandingan yang ada untuk mengukur tahap pencapaian mereka di tahun 2010 selain daripada pertandingan jemputan dan persahabatan serta lawatan pendedahan ke luar negara yang tidak akan memberi sebarang motivasi kepada pemain-pemain muda ini. Jutaan ringgit yang dilaburkan untuk membentuk sebuah pasukan pelapis yang berkualiti tinggi kini terbiar akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab serta hanya mementingkan diri sendiri.
Walaupun ada desas-desus yang mengatakan bahawa pasukan muda ini akan didedahkan di Liga Singapura (S-League) namun usaha itu belum menampakkan sebarang kenyataan kerana Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mencadangkan agar pasukan Young Lions mereka juga diterima untuk beraksi di Liga Malaysia, namun begitu, hasrat tersebut tidak dapati dipenuhi, sekurang-kurangnya untuk 2010, kerana FAM telah pun memutuskan jumlah pasukan dan pengundian bagi pasukan-pasukan yang mengambil bahagian telahpun dimuktamadkan.
Apapun, adalah diharapkan agar pemain-pemain ini mampu mendapat suntikan semangat yang baru berdasarkan kepada kekuatan mental dan disiplin yang telah dibentuk sekian lama untuk menghadapi apa juga kemungkinan di tahun 2010, insyaAllah. Wallahu'alam.

Saturday, December 12, 2009

Budak Kampung 2 Thailand 1 - Natijah Kemenangan...




Tahniah barisan jurulatih dan pemain Malaysia di atas kejayaan menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan A di Sukan SEA Laos. Kemenangan itu sekaligus melayakkan Malaysia ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan dan akan beraksi menentang satu lagi pasukan kampungan, tuan rumah Laos, yang muncul juara kumpulan B. Pencapaian ini juga menepati hasrat dan piawaian yang diletakkan oleh pengurusan pasukan di mana sebelum ini mereka tidak yakin untuk mensasarkan pencapaian pasukan negara. Apapun bagi kakibola, pujian utama harus diberikan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal yang telah berjaya menanam semangat juang dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan para pemain. Bukan satu perkara yang mudah bagi jurulatih ini untuk menampilkan perwatakan yang positif kepada pasukannya di kala mereka berada dalam tekanan untuk menghasilkan satu keputusan yang mampu membawa pasukan negara ke peringkat separuh akhir. Namun baginya, ia lebih mudah memandangkan mereka telah bersama sebagai satu pasukan sejak sekian lama - jurulatih mengenali peribadi pemainnya dan pemain-pemain pula menyedari akan keikhlasan dan kesungguhan jurulatih dalam melaksanakan tugasnya. Itulah kekuatan yang ada dan natijah kemenangan yang dicapai oleh pasukan negara ke Sukan SEA Laos.
Tetapi amat malang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal mengesan atau menghidu keberkesanan atau hasil yang mampu dicapai apabila sesuatu pasukan itu dikekalkan dalam satu jangka masa panjang. Ini ekoran daripada keputusan FAM untuk menidakkan hasrat Harimau Muda A dari beraksi dalam Liga Super 2010. Setelah sekian lama bersama mengharungi kempen Liga Premier dan berjaya menempatkan diri selaku pasukan terbaik di kalangan pasukan yang bertanding, kini pemain-pemain akan dipisahkan untuk dikembalikan ke negeri masing-masing untuk mewakili pasukan negeri mereka dalam kempen Liga Malaysia 2010. FAM pernah melakukan banyak kesilapan dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap namun tidak pernah mempelajari hasil dari kesilapan tersebut. Bermula dengan pembentukan pasukan Harimau di bawah kendalian Kevin Keegan hingga ke formula pembentukan pasukan pra Olimpik dan pra Piala Dunia, ianya tidak pernah menghasilkan keinsafan di kalangan pentadbir bolasepak negara. Keputusan terbaru untuk menghalang pasukan Harimau Muda A beraksi adalah satu pembaziran yang amat nyata. Setelah puluhan juta ringgit dilaburkan ke atas pasukan ini, keakraban, persefahaman dan semangat kerjasama berpasukan yang telah dibina, begitu mudah sekali dimusnahkan hanya demi memenuhi nafsu pihak-pihak tertentu untuk membawa masuk sebuah pasukan ke dalam Liga Super.
Seharusnya pasukan ini dikekalkan dan dimantapkan lagi dengan pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi. Kakibola pernah mencadangkan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal dan jurulatih pasukan Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, betapa pentingnya pasukan remaja kebangsaan ini didedahkan dengan perlawanan yang bertaraf antarabangsa. Jika dengan mengekalkan para pemain dalam satu jangkamasa yang panjang adalah formula terbaik negara, mengapa tidak dihantar pasukan ini untuk menyertai Liga Singapura (Liga S) yang nyata hampir dengan kita dan mempunyai kelab serta pemain yang bertaraf antarabangsa. Masa untuk kepimpinan FAM merenung dan mengkaji semula keputusan yang telah mereka putuskan untuk membubarkan pasukan Harimau Muda A dari menyertai Liga Malaysia 2010. Wallahu'alam.

Monday, December 7, 2009

Budak Kampung Tewas Kepada Vietnam..

Tatkala kakibola menerima berita kekalahan Malaysia di tangan Vietnam dalam perlawanan kedua Sukan SEA di Vientiane, perkara pertama yang terpancul di kotak pemikiran ialah memang keputusan itu sudah diduga. Malaysia memang sudah dijangka akan tewas kepada Vietnam. Keputusan perlawanan pertama membelasah Timor Leste 11-0 juga tidak memeranjatkan kerana umum sedar akan kekuatan yang dimiliki pasukan Timor Leste berbanding Malaysia. Pasukan amatur Malaysia juga mampu tewaskan mereka. Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini ialah bukan soal kalah menang, sebaliknya adakah rangka pembangunan dan pendedahan yang diperolehi oleh pemain-pemain negara di liga negara kita - Liga Malaysia - menepati kehendak pembangunan dan pencapaian sukan itu sendiri.
Bermula dengan kemerosotan pencapaian kelab/negeri dalam pertandingan Piala AFC, kemudiannya kegagalan pasukan negara dalam persaingan kelayakan Piala Asia dan kini Sukan SEA, adakah pemain-pemain bolasepak negara berada di landasan yang betul ke arah pembentukan pasukan kebangsaan yang mantap untuk bersaing di peringkat antarabangsa? Pelbagai sasaran diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelbagai harapan disandarkan oleh masyarakat terhadap pasukan bolasepak negara tetapi apakah di penghujungnya masih ada sinar? Ramai yang telah menyatakan bahawa keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui oleh pasukan kebangsaan tidak boleh diambil kira, dan ternyata kenyataan tersebut adalah tepat. Pertandingan adalah pentas sebenar bagi mengukur pencapaian pasukan negara. Pertandingan yang mendedahkan mereka kepada pelbagai cabaran - mental, fizikal, emosi dan keyakinan diri. Apakah akan panas kembali istilah "jaguh kampung" di kalangan pemain bolasepak negara? Jaguh kampung yang hanya seronok dan gah beraksi di laman sendiri dengan budak-budak belasahan sebaya? Di mana pentas sebenar persaingan kita? Kakibola amat yakin inilah persoalan yang sebenarnya perlu dijawab oleh kepimpinan bolasepak negara. Masa untuk Liga Malaysia diubahsuai supaya lebih kompetitif dan nampak kompetitif dengan saingan pemain-pemain dan pasukan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Hari ini, Liga Malaysia disogokkan dengan pemain dan pasukan yang hanya sekadar memenuhi jumlah penyertaan. Pasukan yang sudah diturunkan ke liga bawahan boleh diangkat untuk kembali ke liga atasan hanya atas alasan untuk mencukupkan bilangan pasukan. Bilakah kualiti akan mendapat tempat di hati kepimpinan bolasepak negara? Sedarlah dari mimpi silam, kini bukan masanya lagi untuk kita berbicara tentang sejarah, bukan masanya kita terus berbicara tentang allahyarham Mokhtar Dahari, bukan masanya lagi untuk berbicara tentang Ghani Minhat, mendiang R.Arumugam, Soh Chin Aun dan sebagainya. Kini masanya untuk kita merenung ke hadapan untuk kembali dihormati oleh pasukan lawan, peminat tempatan dan sekelian warga Malaysia.
Di Sukan SEA Laos, Timor Leste dan Kemboja bukanlah hanya dua pasukan yang perlu ditewaskan tetapi Thailand dan Vietnam yang telah diundi dalam kumpulan yang sama. "One Down One More To Go". Kita telah tewas kepada Vietnam dan kini kita perlu menewaskan Kemboja dan terakhir sekali Thailand andai kita ingin memasang impian untuk layak ke separuh akhir dan membawa pulang setidak-tidaknya gangsa. Vietnam dibarisi pemain-pemain yang didedahkan dengan liga yang berkualiti tinggi, disaingi oleh pemain-pemain yang hebat, baik tempatan mahu pun pemain import. Thailand dibarisi oleh pemain-pemain yang memiliki kualiti teknikal yang hebat, didedahkan dengan perlawanan antarabangsa yang tinggi, dilatih oleh jurulatih yang unggul. Apakah ada kemampuan dan kekuatan untuk kita menewaskan mereka? Sama-samalah kita mendoakan agar mereka beroleh keajaiban dan keizinan untuk mencipta satu kejutan (kemenangan). Wallahu'alam.

Friday, November 27, 2009

PAFA Membelakangi Presiden?

Kakibola mengikuti penuh minat akan perkembangan terkini yang melibatkan Persatuan Bolasepak Amatur Perak (PAFA) yang berkemungkinan hilang kelayakan untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2010 gara-gara gagal menyelesaikan isu tunggakan caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan gaji pemain-pemainnya. Dalam usaha memastikan pasukan Seladang dapat turut serta dalam Liga Super 2010 itu, EXCO Negeri Perak, Zainol Fahzi Paharuddin bersama beberapa orang Ahli Majlis PAFA telah menuju ke Wisma FAM untuk bertemu Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad, bagi menyerahkan cek berjumlah RM272,000.00 bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain dan carumah KWSP.
Dalam situasi ini, tindakan yang diambil oleh wakil negeri dan beberapa orang Ahli Majlis PAFA itu boleh dianggap 'biadap' kerana membelakangi Presiden PAFA sendiri. Jika memang benar niat mereka baik demi bolasepak Perak, apa salahnya perkara ini dimaklumkan kepada Presiden PAFA untuk diselesaikan dengan baik. Presiden PAFA sudah tentu amat menghargai sebarang inisiatif oleh mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan kemelut yang melanda PAFA. Apakah mungkin kerana perbezaan politik membuatkan pendekatan sedemikian rupa diambil oleh mereka yang cuba menjadi wira di kalangan peminat bolasepak Perak? Difahamkan Presiden PAFA, Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula terkilan dengan tindakan FAM yang menerima wakil negeri yang tidak dianggap sebagai wakil sah PAFA dalam menguruskan permasalahan ini. Apakah FAM membenarkan sekretariatnya berurusan dengan individu yang tidak berkenaan dengan ahli gabungannya berhubung dengan perkara yang serius seperti ini? Inilah bahana campurtangan politik dalam organisasi sukan di Malaysia. Wallahualam.

Saturday, November 21, 2009

Salah Urus Punca KM Naza Tarik Diri?

Agak mengejutkan tetapi tidak menghairankan. Itulah ungkapan yang tepat buat Kelab Kuala Muda NAZA (KM Naza) yang telah membuat keputusan baru-baru ini untuk menarik diri dari terus menyertai Liga Malaysia 2010. KM Naza yang bakal meneruskan cabaran mereka di dalam Liga Super 2010 telah memutuskan untuk menarik diri sekaligus mengakibatkan sebahagian besar pemain-pemainnya termasuk barisan kejurulatihan berada di dalam keadaan yang tidak menentu ketika hampir kesemua pasukan dan kelab yang akan bersaing di dalam Liga Malaysia telahpun mengenalpasti barisan pemain mereka.
Dari sumber yang diperolehi, antara punca utama penarikan diri kelab ini adalah salah urus pengurusan pasukan itu sendiri yang membabitkan banyak hal terutamanya dari aspek pengurusan kewangan. Sehubungan dengan itu, pengurusan tertinggi pasukan yang dipengerusikan oleh SM Faisal SM Nasimuddin, telah membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan pembabitan mereka di dalam kancah bolasepak negara. Namun begitu, penglibatan Kumpulan NAZA dalam projek pasukan F1 1Malaysia yang memerlukan suntikan kewangan yang tinggi juga difahamkan antara sebab mengapa pengurusan pasukan memutuskan untuk tidak lagi bersama Liga Malaysia. Andai benar apa yang disampaikan kepada kakibola tentang salah urus pengurusan pasukan khususnya dari aspek kewangan, amat malang bagi kelab yang sedang mencipta nama di persada bolasepak negara ini, kerana selain Johor FC, PKNS FC dan KL Plus FC, Kuala Muda NAZA berpotensi besar untuk mengukir nama sebagai jaguhan kelab bolasepak negara. Sebagai makluman pengurusan pasukan KM Naza berpengkalan di Gurun, Kedah manakala pengurusan tertinggi pasukan pula berpusat di Kuala Lumpur. Wallahualam.

Liga Malaysia - Gaji oh Gaji .....

Akhbar hari ini melaporkan tentang permasalahan yang dikemukakan oleh beberapa jurulatih dan pemain kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tentang tunggakan gaji oleh pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia. Apa nak jadi ni? Bila agaknya masalah ini akan berakhir? Ooopssss...berakhir? No no no....
Masalah ni takkan berakhir selagi pendekatan yang ada sekarang ini tidak diubah. Hampir keseluruhan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia adalah berstatus kebajikan. Apatah lagi dengan kemelut politik yang sedang melanda sebahagian besar negeri-negeri, masalah kewangan akan kekal menjadi topik utama. Lihat saja di utara, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang masih diterajui oleh YB Dato Seri Shahidan Kassim yang bukan lagi menjadi Menteri Besarnya, tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan dari kerajaan negeri. Perak apa kurangnya? YB Dato Seri Nizar Jamaluddin yang menerajui kepimpinan bolasepak Perak juga tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan dari kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB Dato Dr Zambry Abdul Kadir. Apa bezanya Pahang, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur?
Selagi tiada inisiatif untuk mengkorporatkan persatuan bolasepak negeri maka selagi itulah bolasepak Malaysia tidak akan lekang dengan permasalahan gaji dan kewangan. Apabila untung rugi tidak dipedulikan dalam era bolasepak profesional negara, selagi itulah individu-individu yang melibatkan diri dalam industri bolasepak negara akan menjadi mangsa kepada sikap tidak berperikemanusiaan persatuan-persatuan bolasepak yang tidak bertanggungjawab. Masa untuk persatuan bolasepak diterajui dan diurus tadbir oleh golongan profesional dan korporat.
Sudah tiba masanya status persatuan bolasepak negeri diubah dari terus menerus menjadi badan kebajikan yang hanya menanti sumbangan dari kerajaan kepada sebuah institusi yang aktif dalam mengumpul dana sendiri melalui pelbagai cabang komersial yang sedia ada bagi menampung sumber kewangan mereka. Wallahualam.

Gol Perancis - Pengadil Buta?

Apabila kakibola melihat ulangtayang gol yang dijaringkan oleh William Gallas hasil hantaran yang dilakukan oleh Thiery Henry dalam perlawanan di antara Perancis dan Ireland bagi kelayakan ke Piala Dunia 2010, kakibola terfikirkan apakah pengadil memang tidak nampak insiden bola yang terkena tangan Henry sebelum dihantar kepada Gallas untuk gol kemenangan Perancis? Atau apakah pengadil tidak berada di posisi yang membolehkan beliau melihat insiden tersebut? Ekoran daripada insiden itu, timbul pelbagai gesaan agar satu tindakan drastik diambil bagi memperbaiki situasi ini di mana pengadil dapat dibantu untuk mengesan sesuatu insiden dalam membuat sesuatu keputusan dengan lebih tepat. Namun begitu, hajat Ireland untuk mengadakan perlawanan semula telah ditolak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Perlu difahami bahawa peraturan am bolasepak dengan jelas menyebut bahawa sebarang keputusan pengadil yang dibuat di atas padang tidak boleh dipertikaikan dan keputusannya adalah muktamad.
Kakibola masih teringatkan percubaan FIFA memperkenalkan penggunaan 2 pengadil pada tahun 1999 di mana Liga Malaysia menjadi salah satu liga dari seluruh dunia yang digunakan bagi menguji keberkesanan cadangan tersebut. Secara logiknya dan secara peribadi, pendekatan tersebut amat positif memandangkan penggunaan 2 pengadil akan mengurangkan tekanan fizikal ke atas pengadil. Setidaknya dengan menggunakan 2 pengadil, mereka akan dapat mengurangkan pergerakan fizikal dan mengurangkan kepenatan dan secara tidak langsung keputusan mereka akan lebih baik apabila mereka berada dalam kondisi yang stabil. Mungkin masanya FIFA mengkaji semula kaedah menggunakan 2 pengadil untuk digunapakai selain daripada penggunaan gajet komunikasi sepertimana yang dapat dilihat dalam Liga Premier Inggeris (EPL). Atau mungkin FIFA dapat menguji keberkesanan penggunaan 2 lagi pembantu pengadil daripada 2 yang sedia ada sekarang supaya apa yang berlaku dalam perlawanan di antara Perancis dan Ireland dan insiden "Hand of Theiry Henry" dan "Hand of God" milik Diego Maradona tidak berulang? Wallahualam.

Sunday, November 8, 2009

Kelab Di Liga Simpanan...?


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Dato' Hj Che Mat Jusoh baru-baru ini dalam mengumumkan pasukan-pasukan yang tidak layak mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2010 turut mengaitkan penarikan diri 2 lagi kelab dari Liga Malaysia iaitu, Perak UPB/MyTeam dan Selangor Proton FC. Sesungguhnya penarikan diri kelab dari Liga M bukanlan sesuatu yang mengejutkan. Sebelum ini sudah terdapat beberapa kelab yang hanya beberapa tahun beraksi di dalam Liga Super mahupun Liga Premier yang menarik diri, antaranya ialah Penang NTFA, Selangor MK Land, Public Bank, MPPJ, Kelantan TNB dan Johor Pasir Gudang.
Kakibola pernah mencadangkan supaya kelab-kelab diberi tugas untuk pembangunan belia serta menyediakan barisan pemain pelapis. Alasan ini diberi memandangkan kelab tidak memiliki asas sokongan yang mantap kerana sokongan lebih tertumpu kepada pasukan-pasukan negeri justeru dalam bolasepak profesional, mereka gagal mendapat pulangan atau menjana pendapatan hasil dari pelaburan tinggi yang telah mereka lakukan. Justeru tidak hairanlah mengapa kelab-kelab tidak mampu bertahan lama. Ada pihak yang menyokong penyertaan kelab atas alasan sumber kewangan mereka yang kukuh, tapi harus diingat bahawa penyertaan kelab bergantung sepenuhnya terhadap minat Ketua Pegawai Eksekutif atau Presiden konglomerat tersebut semata-mata. Jika pengurusan tertinggi mereka tidak berminat dengan bolasepak maka akan berkuburlah penglibatan mereka.
Kakibola penuh yakin sumbangan kelab dalam pembangunan dan penyediaan barisan pelapis adalah lebih logik dan efektif. Ini kerana mereka tidak perlu berbelanja tinggi dalam aspek gaji pemain, logistik dan sebagainya. Mereka boleh diserap sebagai kakitangan sepenuh masa, kontrak mahupun sementara di dalam organisasi yang berkenaan. Setiap negeri tidak perlu menghadkan penyertaan kelab dalam liga pelapis (bawah 20 tahun) ini sebaliknya mengalu-alukan sebanyak mungkin penyertaan dan ini bakal membuka ruang yang lebih besar kepada barisan pemain muda untuk beraksi di peringkat yang kompetitif. Bukan seperti sekarang di mana di dalam liga utama, sebuah negeri mempunyai sehingga 3 pasukan sedangkan asas sokongan mereka amatlah terhad. Bayangkan Kuala Lumpur yang populasi mereka amat rendah perlu menyokong 3 pasukan yang mewakili Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) - KL Plus FC, Felda United FC dan Kuala Lumpur sendiri. Sepatutnya dalam konteks yang dicadangkan ini, jika Kuala Lumpur menghadapi masalah kewangan, salah satu kelab tersebut boleh mewakili negeri tersebut di dalam liga utama tetapi tidak lebih dari hanya satu pasukan sahaja.
Kini semuanya terserah kepada sikap keterbukaan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (JKPT) untuk menerima sebarang pandangan dan mengerah kebijaksanaan mereka untuk memastikan tiada lagi insiden penarikan diri kelab dari Liga Malaysia khususnya akibat daripada masalah kewangan. Wallahu'alam.

Sunday, November 1, 2009

Liga M 2010 - Kelantan, Perak Antara Yang Tersingkir

Media telah melaporkan bahawa finalis Piala Malaysia 2009, Kelantan, adalah antara pasukan yang tidak layak beraksi dalam Liga Malaysia 2010 bersama Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Shahzan Muda kerana kegagalan memenuhi syarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memerlukan setiap pasukan yang bakal bertanding dalam Liga M 2010 menyelesaikan tunggakan gaji dan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Agak mengejutkan juga bila Proton FC membuat keputusan untuk turut menarik diri bersama UPB/MyTeam yang sejak awal lagi telah memutuskan untuk tidak menyertai Liga M 2010. Lebih menghairankan, Sarawak yang sebelum ini telah mengesahkan akan menarik diri, tiba-tiba tersenarai dalam pasukan-pasukan yang akan berentap dalam kempen Liga Premier 2010.
Apa yang kakibola bersama-sama dengan peminat tegar bolasepak negara ingin lihat di sini ialah ketegasan FAM dalam menguatkuasakan peraturan ke atas keenam-enam pasukan yang gagal memenuhi syarat tersebut. Ini penting demi memelihara kredibiliti FAM daripada terus dipersendakan saban tahun oleh ahli gabungannya, apatah lagi masyarakat umum yang telah masak dengan telatah FAM dalam urusan seumpama ini. Peraturan perlu dipatuhi dan dihormati, jika tidak, tidak ada maknanya sebarang peraturan itu jika ianya digubal dan dibuat untuk diengkari. Dalam hal ini, FAM sekali lagi bakal menjadi perhatian umum di atas sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis FAM yang terdiri daripada ahli-ahli gabungannya sendiri yang juga datang dari 6 pasukan terbabit. Jika peraturan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) sudah menetapkan syarat-syarat berikut maka seharusnya Majlis FAM perlu menerima peraturan itu dan memutuskan keenam-enam pasukan tersebut tidak layak untuk menyertai Liga M 2010. Ini bagi menjadikannya iktibar atau pengajaran kepada semua pasukan yang berada di bawah naungan FAM dan menyertai pertandingan dibawah penganjuran FAM agar menghormati dan mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang telah diputuskan. Yang lebih penting ialah kredibiliti dan nama FAM akan terpelihara daripada sebarang cemuhan dan kritikan yang mereka sendiri tidak inginkan.
Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa FAM terkenal dengan pendiriannya yang tidak pernah konsisten dalam banyak hal. Adakah ini juga bakal menjadi salah satu agenda tidak konsistennya FAM dalam peraturan yang digubal mereka sendiri? Sama-samalah kita tunggu akan keputusannya nanti. Wallahu'alam.

Sunday, October 25, 2009

Separuh Akhir Piala Malaysia 2009 - Pertembungan Mantan Jurulatih Kebangsaan

4 pasukan yang melayakkan diri ke peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia 2009 bakal menemukan 4 individu yang pernah melatih skuad kebangsaan. Irfan Bakti Abu Salim (Perlis), B.Sathianathan (Kelantan), Wan Jamak Wan Hassan (Negeri Sembilan) dan Ken Worden (Terengganu) pernah bersama dengan pasukan kebangsaan sebelum ini dan pengalaman mereka sudah tentu menjadi aset berharga ketika berbakti untuk pasukan masing-masing dalam kancah Liga Malaysia 2009. Paling cemerlang dan paling konsisten sudah tentu milik Irfan Bakti Abu Salim yang pernah membimbing pasukan Persipura (Indonesia), Telekom Malaysia, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Ianya dituruti oleh Ken Worden yang mempunyai reputasi baik bersama Selangor dan pernah memenangi beberapa kejuaraan sewaktu bersama mereka. Wan Jamak Wan Hassan pula kembali aktif selepas beberapa tahun berehat panjang selepas mengemudi pasukan kebangsaan dengan membimbing Johor Pasir Gudang sebelum mengambil alih tempat Irfan Bakti Abu Salim di Telekom Malaysia dan kini bersama Negeri Sembilan. B.Sathianathan yang sinonim dengan "M-League is no football" kini mula meletakkan dirinya antara jurulatih yang disegani setelah kali pertama melibatkan diri dalam kancah Liga M bersama pasukan Kelantan.
Separuh Akhir ini bakal menentukan siapa di antara mereka yang wajar memertabatkan diri sebagai jurulatih unggul untuk membimbing pasukan masing-masing ke Final Piala Malaysia 2009. Wallahu'alam.

Friday, October 23, 2009

K-LEAGUE 2009 Di Lancar..

Liga Bolasepak Kedah 2009 atau K-League 2009 bagi merebut Piala Tuanku Sultan Kedah akan dilancarkan pada hari Sabtu 24 Oktober 2009 bertempat di Hotel Regency, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Pertandingan edisi 2009 ini menyaksikan saingan 17 pasukan yang terdiri daripada Persatuan-Persatuan Bolasepak Daerah (PBD), Persatuan Bolasepak Melayu, India dan Cina Kedah berserta beberapa kelab gabungan. Pertandingan ini dihidupkan semula bagi memastikan kesinambungan pembangunan bolasepak Kedah selari dengan moto K-League itu sendiri - Menjana Kemajuan Pembangunan Bolasepak Kedah - yang memerlukan kehadiran lebih ramai bakat-bakat muda bagi menonjolkan kemampuan mereka.
Liga bolasepak di negeri Kedah kali terakhir pernah dianjurkan sebelum ini pada tahun 2007 gagal ditamatkan dengan jayanya akibat kemelut kewangan dan juga beberapa penyalahgunaan kewangan oleh mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan liga berkenaan. Kerajaan negeri yang baru kini telah menyuntik modal penganjuran sejumlah RM60,000.00 kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi menjayakan K-League 2009 di mana pertandingan ini akan bermula pada 7 November 2009 dan perlawanan akhirnya dijadualkan pada 26 Disember 2009 di Stadium UUM, Sintok, Kedah Darul Aman. Bagi memastikan kelancaran pengendalian K-League 2009 ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilantik sebagai sekretariat pertandingan yang akan diketuai oleh Encik Shafferi Rejab yang juga Pengerusi Jawatankuasa Padang dan Pertandingan KFA.
Apapun, adalah diharapkan dengan usaha ini ramai lagi bakat-bakat baru dapat dicungkil untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi sepertimana munculnya bintang-bintang umpama Muhamad Radhi Mat Din, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Badrol Bakhtiar dan Ahmad Shakir Ali, insyaAllah.

Tuesday, October 20, 2009

Tajaan Rokok Penyelesaian Kewangan Bolasepak Negara?

Adakah dengan kembalinya tajaan dari syarikat rokok bakal menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh bolasepak negara dan persatuan bolasepak negeri? Inilah keluhan dan cadangan yang bakal disuarakan oleh Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kepada kerajaan.
Sebelum ini, FAM pernah mendapat tajaan dari syarikat pembuat rokok terkemuka Dunhill dengan jumlah tajaan bernilai RM40 juta setahun berbanding tajaan sekarang oleh TM yang hanya sebanyak RM10 juta. Dalam tajaan sebelum ini, PBN pernah menikmati subsidi dari FAM yang bernilai RM2 juta setahun. Malangnya selepas perjanjian yang ditandatangani kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2003 mengakibatkan syarikat tembakau membatalkan tajaan ke atas sebarang aktiviti sukan di negara ini. Di Indonesia, syarikat pembuat rokok Djarum masih lagi mengekalkan tajaan mereka dalam Liga Indonesia.
Dalam konteks ini, kakibola merasakan tidak salah untuk membenarkan syarikat rokok untuk kembali menaja sukan bolasepak negara kerana ia mungkin menjadi satu tanggungjawab sosial mereka setelah menjahanamkan jutaan rakyat Malaysia dengan ketagihan rokok, apa salahnya jika ia kembali berbakti melalui tajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia hidup sihat melalui sukan yang amat popular. Lagipun, pengharaman tajaan rokok tidak langsung menjejaskan aktiviti mereka untuk terus meningkatkan jualan rokok di negara kita. Kerajaan Malaysia tetap menikmati hasil cukai yang amat lumayan dari penjualan rokok dan di sebalik usaha kerajaan menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan tabiat merokok, aktiviti jualan tetap laris dan semakin meningkat. Wallahu'alam.

Wednesday, October 14, 2009

Tarik Diri Liga M 2010 - Tiada Tindakan FAM?

Hari ini merupakan tarikh akhir untuk semua Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) dan kelab-kelab mengesahkan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia 2010. Sehingga saat berita ini ditulis, hanya 4 pasukan (menurut akhbar) yang telah mengesahkan penyertaan mereka - Selangor dan Johor FC (Liga Super), Johor (Liga Premier) dan Muar FC (Liga FAM). Jika dirujuk kepada syarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pasukan atau kelab yang gagal mengesahkan penyertaan mereka sebelum jam 12 tengahari hari ini, tidak akan dibenarkan mengambil bahagian.
Melaka dan Sarawak sejak awal lagi telah pun memaklumkan kepada FAM bahawa mereka tidak akan menyertai Liga Malaysia 2010 ekoran krisis kewangan yang dihadapi mereka. Namun begitu apa yang pelik dan ingin disampaikan di sini ialah keputusan FAM yang tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap pasukan-pasukan yang menarik diri dari menyertai Liga M 2010. Ini bercanggah dengan peraturan awal yang pernah digunapakai oleh FAM dalam mengenakan hukuman dan tindakan penggantungan serta denda terhadap beberapa kelab yang menarik diri seperti Public Bank FC, MK Land FC dan TNB Kelantan. Apakah ujud "double standard" terhadap kelab berbanding PBN? Sarawak telah pun mentafsirkan peraturan FAM yang menyatakan bahawa FAM hanya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pasukan yang menarik diri sebelum pertandingan dimulakan. Jika benar apa yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung akan tafsiran peraturan itu maka amat malang sekali apabila polisi yang digunapakai hanya untuk mangsa terpilih. Dalam masa yang sama, marilah kita sama-sama tunggu dan lihat akan ketegasan yang dilaungkan oleh FAM dalam soal penyertaan pasukan ke Liga Malaysia 2010. Wallahu'alam.

Kedah Tersingkir dari Piala Malaysia - Persaingan Bermula?

Sang Kenari selaku juara bertahan 3 piala utama Liga Malaysia (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) kini sah gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir sekalipun mampu menewaskan Pulau Pinang 4-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan. Kegagalan ini bermakna pasukan Hijau Kuning gagal mempertahankan ketiga-tiga piala yang pernah dimenanginya 2 tahun berturut-turut.
Kepada pasukan lain, tamatnya persaingan liga bermakna masa untuk berehat dan mula menyusun strategi baru bagi memantapkan pasukan masing-masing. Di Kedah usaha lobi-melobi untuk jawatan jurulatih sudahpun bermula lebih awal sebelum kempen Piala Malaysia bermula. Pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) khabarnya sudah nekad untuk tidak menyambung khidmat ketua jurulatih saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan desas-desus yang menyatakan beliau akan mengangkat kaki ke pejabat baru di Lembah Klang semakin kencang. Sudah ujud beberapa kumpulan tertentu yang menggunakan saluran masing-masing untuk mempengaruhi hasrat mereka bagi menduduki jawatan Ketua Jurulatih skuad Kenari. Lebih buruk mungkin ialah sikap sesetengah pihak yang sanggup menggunakan laluan DiRaja bagi mendapatkan jawatan tersebut.
Untuk saudara Mohd Azraai Khor Abdullah kakibola ucapkan tahniah kerana telah berjaya meletakkan pasukan Kedah sebagai pasukan yang amat dihormati dan juga selamat maju jaya dengan majikan baru. Wallahu'alam.

Saturday, September 26, 2009

Kepimpinan Baru FAM 2010?








Angin bertiup kencang tentang perkhabaran kemungkinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuanku Sultan Hj Ahmad Shah bakal meletakkan jawatan tahun depan bagi memberi ruang kepada Presiden baru dilantik pada tahun 2010. Perletakan jawatan Pegawai Pembangunan Bolasepak FIFA, saudara Windsor John Paul juga telah dikaitkan dengan kemungkinan penyertaannya ke Wisma FAM bagi menggantikan Setiausaha Agung FAM sekarang, Datuk Azzuddin Ahmad yang dirumuskan banyak pihak sebagai gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan. Sesungguhnya situasi ini boleh dianggap sesuatu yang menarik untuk dinilai dari sudut pembaharuan dalam FAM.
Jika benar apa yang ssedang diperkatakan tentang kemungkinan FAM mendapat presiden baru, maka mungkin ianya dapat dilihat FAM bakal menuju satu era pembaharuan. Nama Presiden Persatuan Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Hj Ahmad Shah antara yang dicadangkan berpotensi mengambil alih tempat ayahandanya. Namun begitu sepanjang penglibatan beliau selaku Timbalan Presiden FAM sebelum ini juga gagal memberi impak yang positif dan tidak pernah konsisten dengan banyak polisi yang baginda sendiri utarakan. Dalam masa yang sama Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa juga tampak berminat dan bakal menggerakkan kempennya untuk melobi wakil-wakil Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) dengan melakukan "kunjungan hormat" ke negeri-negeri atas alasan bertemu hati ke hati dengan wakil PBN bagi membincangkan kaedah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh PBN bagi menghadapi Liga Malaysia 2010 seperti yang dilaporkan oleh Kosmo.
Bagi kakibola, jika benar FAM akan mengalami perubahan kepimpinan, sewajarnya masa bagi orang politik diketepikan dan individu yang benar-benar berkemampuan dan jujur dalam memajukan bolasepak negara diberi peluang dan tempat untuk mengemudi cabaran baru FAM di peringkat domestik dan antarabangsa. Jika benar juga saudara Windsor John Paul bakal dibawa masuk untuk menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad selaku Setiausaha Agung yang baru, maka kakibola melihat betapa pengalamannya bersama Asean Football Federation (AFF), Asian Football Confederation (AFC) dan Federation of International Football Associations (FIFA) bakal menjadi satu aset yang amat berharga dalam usaha memajukan bolasepak Malaysia. Namun bagi jawatan Presiden, kakibola suka melontarkan cadangan akan beberapa nama yang mungkin mampu merealisasikan harapan ini, antaranya ialah Datuk Nazir Tun Hj Abdul Razak (Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB), Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal Hj Abu Bakar (Pengerusi MK Land), Dato' Sri Mohammed Shazalli Ramly (Ketua Pegawai Eksekutif Celcom) dan Datuk Seri Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia). Wallahu'alam.

Wednesday, September 23, 2009

Liga Malaysia Diswastakan?

Andai betul sepertimana yang dilaporkan akan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menswastakan Liga Malaysia pada 2011, perkara ini seharusnya disambut baik dan positif oleh pengkritik dan peminat bolasepak negara secara amnya. Walauapapun halangan yang bakal ditempuhi dengan keputusan yang bakal dibuat tentang penswastaan ini, hasrat ini perlu diteruskan bagi memastikan liga bolasepak negara berdaya saing dan mampu menarik minat pengikut bolasepak rantau ini amnya dan peminat setia bolasepak negara khususnya. Masa untuk pasukan-pasukan bolasepak di negara ini samada persatuan bolasepak negeri mahupun kelab untuk mengubah dasar pemikiran mereka dan memenuhi kriteria dan keperluan sebuah pasukan bertaraf profesional.
Bagi kakibola, apapun benda yang baik sudah tentu akan ada halangan-halangan tertentu khususnya dari perstuan-persatuan bolasepak negeri dan pasukan-pasukan yang masih sentiasa berpeluk tubuh dan hanya mengharap ihsan orang lain untuk bernafas dalam bolasepak profesional. Dengan penswastaan Liga M sudah tentu pelbagai syarat kelayakan perlu dipenuhi. Cuma apa yang perlu diwaspada ialah pihak atau badan yang bakal mengambil alih teraju pengelolaan liga bolasepak profesional negara mesti memiliki kekuatan tertentu khususnya dari aspek kewangan dan pengalaman. Tiada maknanya hajat baik penswastaan dirosakkan dengan diserahkan kepada pihak yang tidak memahami akan keperluan penganjuran sebuah liga profesional. Wallahu'alam

Piala Malaysia - Sathianathan Ganti Butler

Kurang seminggu selepas kakibola menulis tentang kelayakan Hashim Mustapha untuk mengemudi pasukan Kelantan, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan perlantikan bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan sebagai pengganti kepada Peter James Butler yang meninggalkan pasukan Kelantan dalam keadaan tergesa-gesa. Perlantikan B.Sathianathan diyakini Presidennya mampu meletakkan pasukan Sang Kijang pada landasan yang tepat dalam mengharungi kempen Piala Malaysia yang bakal bermula pada 26 September ini menentang Pulau Pinang.
Apapun, kakibola mengucapkan tahniah kepada B.Sathianathan yang akhirnya mendapat majikan baru selepas bercuti rehat panjang. Sekalipun masa yang singkat dimiliki beliau untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan dari dalam, pengalaman yang dimilikinya mampu digunakan sebaik mungkin untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Adalah diharapkan perlantikan beliau akan kekal dan tidak berlaku sepertimana di era Hj. Norizan Bakar yang terpaksa melepaskan jawatan separuh jalan sebelum ini. Wallahu'alam.

Tuesday, September 22, 2009

Pemain Asia Di Liga India dan Indonesia..Liga Malaysia?

Kakibola menerima panggilan telefon daripada beberapa orang teman jurulatih dari India dan Indonesia yang bertanyakan samada ada pemain dari Malaysia yang berhajat untuk mencuba nasib mereka di dalam Liga Bolasepak India dan Liga Indonesia. Menurut mereka, peraturan pertandingan kedua-dua liga bolasepak kebangsaan di kedua-dua buah negara tersebut membenarkan kelab yang mengambil bahagian untuk mendaftarkan seorang pemain dari kalangan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai pemain tempatan.
Ini satu perkembangan yang menarik untuk pembangunan pemain-pemain di benua Asia dalam memajukan karier mereka di samping membuka pasaran pemain di dalam liga bolasepak di negara-negara Asia. Selain daripada seorang pemain dari Asia, liga mereka membenarkan kelab-kelab untuk mendaftarkan 3 hingga 5 pemain luar Asia sebagai pemain import. Di samping pasaran pemain, ianya juga memberi ruang kepada liga negara berkenaan dipasarkan ke luar negara mereka dan secara tidak langsung akan memberi publisiti yang baik terhadap peminat-peminat bolasepak di rantau Asia. Seharusnya langkah ini diberi perhatian serius oleh negara-negara lain yang telah menjadikan liga bolasepak negara masing-masing sebagai liga professional. Kakibola difahamkan Liga Vietnam dan Liga Myanmar juga bakal mengikut langkah yang sama. Setakat ini dua orang pemain dari Liga Super Malaysia sudah pun ditawarkan kepada liga kedua-dua buah negara untuk dipertimbangkan tawaran dan pendaftaran mereka dan maklumbalas yang diterima adalah positif. Cuma masalah yang mungkin dihadapi oleh kedua-dua pemain tersebut ialah faktor masa di mana Liga India akan memulakan liga mereka pada 1 Oktober dan Liga Indonesia bakal bermula pada 10 Oktober ini manakala Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 26 September ini bakal tamat pada 6 Disember nanti.
Liga Malaysia bagaimana? Wallahu'alam.

Pujian Kepada Rajagopal..

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad hari ini meminta para pengkritik bolasepak negara agar berhenti mengkritik pasukan bolasepak negara di bawah kendalian K.Rajagopal. Sebaliknya beliau meminta para pengkritik memberi ruang dan peluang kepada jurulatih kebangsaan itu untuk membuktikan keupayaannya di Sukan SEA di Laos nanti. Kenyataan beliau dipetik dari dua akhbar utama hari ini.
Bagi kakibola, sebenarnya kritikan demi kritikan yang dilemparkan bukanlah sebenarnya ditujukan kepada K.Rajogopal mahupun anak didiknya, tetapi kakibola berkeyakinan bahawa kritikan itu ditujukan kepada badan induk bolasepak itu sendiri. Dengan pelbagai polisi yang dangkal dan tidak positif, telah mengundang pelbagai kecaman dari pelbagai pihak. Seharusnya FAM peka dengan kritikan dan juga teguran yang datang dari peminat dan juga mereka yang inginkan bolasepak negara maju dan membangun. Namun pendekatan yang diambil khususnya corak pembangunan yang diambil tidak memberi keyakinan betapa bolasepak negara berada pada landasan yang tepat untuk maju. Sehubungan dengan ini, FAM tidak perlu terlalu sensitif dengan kritikan jika teguran yang sewajarnya membina yang dilontarkan tidak diambil peduli. Dalam hal ini, FAM sendiri perlu berterima kasih kepada K.Rajagopal dan para jurulatih negara sebelumnya yang bertungkus lumus cuba meningkatkan pencapaian bolasepak negara hasil daripada percaturan idea yang mundur yang cuba diterapkan oleh FAM yang tidak membantu perkembangan bolasepak tanahair. Wallahu'alam.

Saturday, September 19, 2009

Mosthakeen Omar Di Gleneagles, Pulau Pinang

Tatkala umat Islam lain sibuk menyiapkan diri menyambut ketibaan Aidil Fitri esoknya, bekas jurulatih Kedah dan Kelantan, Mosthakeen Omar kini terlantar di Gleneagles Pulau Pinang kerana menjalani pembedahan jantung jam 3 petang tadi. Beliau yang kini ditemani isterinya berada di hospital berkenaan. Mosthakeen Omar juga merupakan bekas penolong jurulatih skuad pra-Olimpik negara bersama Chow Kwai Lam dan pernah membimbing Kedah pada tahun 1996 untuk menjuarai Piala FA. Kakibola menerima berita ini dari isterinya selepas solat Maghrib tadi.
Kepada Mosthakeen, kakibola mendoakan semoga beliau segera sembuh dan segala urusan dipermudahkan Allah swt. Kepada peminat-peminat bolasepak Kedah, sama-samalah kita mendoakan agar kesihatannya akan kembali seperti sediakala, insyaAllah. Wallahu'alam.

Butler Tinggalkan Kelantan, Hashim Ambil Alih

Dalam keghairahan menyambut kehadiran Syawal bagi meraikan kemenangan mutlak kita melawan hawa nafsu di sepanjang Ramadhan, tiba-tiba pejabat Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikejutkan dengan faksimili berkaitan surat perletakan jawatan ketua jurulatihnya, Peter James Butler dari meneruskan tugasnya membimbing pasukan The Red Warriors bagi kempen Piala Malaysia. Sesungguhnya perkhabaran ini amat mengejutkan banyak pihak, khususnya para penyokong bolasepak Cik Siti Wan Kembang tatkala prestasi pasukan Kelantan berada pada tahap yang tinggi. Peter Butler kini adalah Pengarah Teknikal kelab Yangoon United di Myanmar.
Kini tempat Peter Butler diambil alih oleh pembantunya, Hashim Mustapha. Persoalannya di sini adakah Hashim Mustapha layak menjadi jurulatih pasukan Kelantan. Bukan soal pengalaman dan pengetahuannya yang dipertikaikan sebaliknya kelayakan lesen kejurulatihan beliau. Setakat ini, Hashim Mustapha baru sahaja menduduki kursus kejurulatihan Lesen B yang diadakan di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Justeru itu ia menjelaskan betapa beliau tidak memiliki Lesen A seperti yang disyaratkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi dilantik sebagai jurulatih sesebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Super atau Liga Premier. Tanpa ada niat mempertikaikan kredibiliti Hashim selaku jurulatih sebaliknya ingin melihat setakat mana ketegasan FAM dalam menangani kes seumpama ini kerana pernah sebelum ini ada kelab yang hanya menggunakan lesen kejurulatihan jurulatih-jurulatih yang mempunyai kelayakan Lesen A tetapi tidak menggunakan khidmat mereka, sebaliknya menggunakan calon yang mereka lantik tetapi tidak memiliki lesen kejurulatihan yang sah. Masa untuk FAM mengambil tindakan kepada pasukan-pasukan yang melanggar peraturan ini dan juga menghukum mana-mana jurulatih yang tidak beretika dengan membenarkan lesen mereka dipergunakan oleh pihak lain. Wallahu'alam.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri

Bersempena dengan kehadiran Syawal yang mulia ini, saya berserta keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua Muslimin dan Muslimat khususnya mereka yang mengikuti blog saya yang tidak seberapa ini. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf, samada yang zahir mahu pun yang batin di samping mendoakan agar kita semua akan beroleh keampunan, rahmat dan ketaqwaan dari Allah swt. Saya dan keluarga turut mendoakan agar perjalanan kita semua untuk bersama keluarga tersayang bagi menyambut Aidil Fitri ini akan dilindungi Allah.
Salam Aidil Fitri Maaf Zahir Batin.

Tuesday, September 8, 2009

FAM Tiada Sasaran Di Laos?

Takut atau tidak yakin dengan diri sendiri? Begitulah gambaran situasi sebenar agaknya dengan pengurusan pasukan bolasepak Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pasukan negara yang bakal mengambil bahagian dalam Sukan SEA di Laos Disember nanti. Apakah alasan mereka untuk tidak menetapkan sebarang sasaran dalam kejohanan dwi tahunan itu?
Bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dato Seri Ibrahim Saad mantan Setiausaha Agong FAM dan pengulas sukan terkenal Serbegeth Singh betapa satu sasaran yang relisatik perlu diletakkan sebagai garis panduan dan penanda aras pencapaian pasukan. Mana mungkin sebuah pasukan menyertai sesuatu pertandingan tanpa sebarang sasaran atau matlamat. Apakah mungkin FAM dan pengurusan pasukan gentar untuk menghadapi sebarang kegagalan yang bakal muncul dari edisi Laos?
Hakikatnya, pihak pengurusan perlu meletakkan satu sasaran, bukan untuk kegunaan FAM tetapi bagi memastikan pasukan (jurulatih dan pemain-pemain) mempunyai matlamat dan hala tuju tatkala menyertai sukan serantau itu. Mungkinkah selama ini pengurus pasukan kebangsaan, Dato' Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, lebih mudah membuat pertimbangan dan penilaian terhadap pengurusan pasukan sebelumnya daripada bersedia menghadapi kemungkinan kegagalan diri sendiri? Setelah gah dengan peningkatan demi peningkatan hasil pendedahan daripada beberapa perlawanan persahabatan yang telah dilalui dan kenaikan negara dalam rangking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seharusnya pasukan negara dibekalkan dengan keyakinan betapa mereka mampu melaksanakannya di Laos dari sekadar pergi "makan angin" tanpa sebarang matlamat. Ataupun pengurusan FAM berhajat untuk tidak meletakkan bebanan harapan ke atas pasukan negara? Wallahu'alam.

Tuesday, September 1, 2009

Kelab Ambil Alih Negeri Dalam Liga Malaysia?

Sepatutnya kelab sudah mengambil alih tempat pasukan bolasepak negeri dalam Liga Profesional Malaysia (Liga M). Demikian luahan mantan Setiausaha Agong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dato' Seri Paul Mony Samuel di pejabatnya di Kelana Jaya semalam. Beliau kini adalah Setiausaha Agong Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). Perkara ini dimaklumkan kepada kakibola dalam kunjungan ke pejabat AFF di Kelana Jaya.
Menurut beliau, kedudukan kelab yang kukuh dari segi kewangan dan juga aspek pentadbiran profesionalnya menjadikan sebab mengapa FAM mempelawa kelab-kelab untuk menyertai Liga Malaysia di kala beliau masih lagi menjadi Setiausaha Agong FAM dengan harapan bahawa kelab secara beransur-ansur akan mampu mengambil alih pasukan negeri dalam kancah bolasepak profesional negara. Keputusan ini dicapai bersama dengan DYMM Tuanku Sultan Ahmad Shah (Presiden FAM) dan juga DYTM Tengku Mahkota Pahang (Timbalan Presiden) ketika itu, atas pandangan dan nasihat yang diberikan oleh wakil Persatuan Bolasepak England dan FIFA. Alasan yang diberikan oleh mereka adalah Malaysia memiliki asas sokongan yang kuat di peringkat negeri berbanding kelab di England. Justeru itu beliau seterusnya menerangkan mengapa nama negeri wajib diletakkan mendahului nama kelab, contohnya Selangor PKNS, Johor Pasir Gudang, Kedah Kuala Muda NAZA dan sebagainya. Ini adalah kerana, faktor negeri tidak boleh dilenyapkan atas aspek sokongan penyokong yang bersandarkan kepada faktor kenegerian. Selepas proses itu, fungsi Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) bolehlah dijadikan sebagai sekretariat untuk membantu kelab dalam setiap urusan dengan FAM. Sebaliknya keadaan menjadi rumit apabila PBN lebih menjurus kepada mementingkan diri dalam menentukan hala tuju bolasepak negara. Lebih merumitkan lagi apabila PBN sekarang diberi kuasa untuk menentukan sebarang keputusan dalam Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang bertanggungjawab dalam memutuskan sebarang format yang melibatkan liga bolasepak negara.
Apapun, adalah menjadi harapan seluruh peminat bolasepak agar apa yang baik demi peningkatan bolasepak negara akan segera terjelma dengan pendekatan yang mengambilkira sokongan masyarakat dan peminat bolasepak khususnya serta mengenepikan pendekatan mementingkan diri sendiri. Wallahualam.

Friday, August 28, 2009

Al-Fatihah Buat Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid

Sebaik sahaja sampai di rumah dari solat sunat tarawih semalam, kakibola menerima sms dari saudara Hafizal Hamad yang menyampaikan berita tentang kembalinya ke rahmatullah, Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid di hospital Kangar akibat serangan sakit jantung. Pemergian beliau sudah tentu satu kehilangan kepada warga bolasepak, khususnya warga pengadil. Pengalaman yang dimiliki beliau di peringkat tertinggi tatkala dilantik sebagai pembantu pengadil di pertandingan bolasepak Piala Dunia di Perancis, sudah tentu telah sempat dikongsi bersama dengan pengadil-pengadil bolasepak yang lain yang seangkatan dengannya. Kali terakhir kakibola bertemu allahyarham ialah semasa Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu.
Al-Fatihah untuk arwah dan sama-sama kita doakan semoga rohnya ditempatkan bersama-sama para solihin dan anbia. Wallahualam.

Tuesday, August 25, 2009

Futsal - Antara Sebab Bolasepak Kurang DiMinati?

Apakah betul permainan futsal yang amat digilai oleh remaja kini antara sebab mengapa kurangnya remaja melibatkan diri dalam permainan bolasepak? Gelanggang futsal yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di merata tempat di seluruh pelusuk negara gah menggamit kehadiran para peminat sukan futsal untuk beraksi hampir 24 jam. Fenomena ini seharusnya melahirkan rasa bimbang di kalangan penggiat sukan bolasepak.
Tinjauan kakibola di beberapa gelanggang futsal mengakui betapa operasi pusat permainan futsal ini kadangkalanya berjalan seawal 8.00 pagi hingga 4.00 pagi keesokannya, terutamanya di hujung minggu. Manakala tinjauan terhadap mereka yang beraksi dalam sukan futsal ini pula berpendapat, sukan futsal tidak memerlukan latihan yang intensif untuk melibatkan diri dalam mana-mana pertandingan. Mereka juga tidak perlu berpeluh di bawah pancaran terik matahari ketika bermain atau berlatih kerana futsal dimainkan di dalam dewan atau tempat yang berbumbung. Tempoh permainan juga tidak lama. Kalau tidak dimainkan secara kompetitif, mereka boleh bermain secara sosial. Tambahan pula pertandingan futsal begitu aktif dikelolakan dan menawarkan hadiah yang lumayan dengan kos pengendalian yang agak rendah berbanding bolasepak. Media pula berperanan pro-aktif terhadap sukan futsal dan melibatkan diri secara langsung dalam mengendalikan pertandingan futsal berbanding bolasepak.
Jika dilihat dari satu sudut, penggiat bolasepak dan juga Persatuan-Persatuan Bolasepak Daerah (PBD), Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) dan khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya risau dengan fenomena ini dan perlu segera menjelmakan sesuatu yang drastik bagi mengembalikan minat para remaja untuk melibatkan diri dalam sukan bolasepak atau kehilangan mereka kepada sukan futsal. FAM dan PBN perlu bijak dalam mengimbangi keperluan dan keutamaan sukan mana yang sepatutnya diberi perhatian dan juga pembangunan. Kemelut dan liputan yang negatif terhadap bolasepak negara lebih memburukkan situasi dan jika tidak ditangani dengan segera, mungkin bolasepak akan berkubur di negara ini. Wallahualam.

Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan al Mubarak dan Selamat Berpuasa

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Melalui kesempatan ini, ingin saya mengucapkan selamat menyambut kehadiran Ramadhan al Mubarak dan selamat berpuasa kepada semua umat Muslim di Malaysia, khususnya mereka yang mengikuti blog saya ini. Salam ampun dan maaf dari saya khas buat insan-insan yang terguris dan terluka hati dan perasaan mereka dek kritikan yang dinukilkan di laman ini. Sesungguhnya semua itu adalah nukilan ilmiah buat renungan dan kemanafaatan bersama. Akhir kata, sama-samalah kita jadikan Ramadhan ini yang lebih baik dari sebelumnya dan mudah-mudahan segala amalan kita diterima Allah berserta rahmatNya. Wallahualam.

Monday, August 17, 2009

Satu Lagi Pasukan FAM Dalam Liga M 2010?

Agak tertarik apabila terbaca cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meletakkan sebuah lagi pasukan dalam Liga Super sekaligus menjadikan jumlah pasukan yang bersaing dalam Liga Super dari 14 kepada 15 pasukan. Adakah perlu sebuah lagi pasukan mewakili FAM dalam Liga M?
Apakah hala tuju pembentukan sebuah pasukan kebangsaan? Bersaing dengan kelab-kelab tempatan atau mendapat pendedahan antarabangsa untuk bersaing di peringkat antarabangsa? FAM perlu mengkaji semula hasrat ini. Ini memandangkan hasrat tersebut akan menyulitkan lagi pasukan-pasukan negeri dan kelab yang terpaksa melepaskan pemain harapan mereka secara paksaan untuk mewakili pasukan kebangsaan tersebut. Penyertaan Harimau Muda dalam kancah Liga Premier telah menimbulkan bukan sedikit keresahan kepada pasukan negeri dan kelab di atas hak mereka terhadap pemain-pemain berkenaan. FAM telah menunjukkan kuasa autokrasi mereka ke atas pasukan-pasukan dengan memaksa pasukan dan kelab melepaskan pemain-pemain harapan mereka untuk mewakili Harimau Muda. Jika hajat FAM itu diteruskan juga, bermakna pasukan negeri dan kelab perlu bersedia untuk kehilangan lebih ramai lagi pemain berkaliber mereka kepada pasukan kebangsaan dalam masa yang amat panjang. Wajarkah sebuah pasukan kebangsaan hanya bersaing dengan kelompok negeri dan kelab sedangkan pendedahan sebenar mereka adalah di peringkat antarabangsa? Jika benar hajat mereka untuk membangun dan mematangkan pasukan remaja kebangsaan, kakibola suka mencadangkan agar mereka didedahkan dalam Liga-S di mana mereka boleh beraksi pada tahap antarabangsa dengan pelbagai kelab dari berbilang negara dengan kehadiran pemain-pemain luar yang berkualiti untuk meningkatkan keupayaan dan keyakinan mereka. Jika logistik dijadikan masalah, kakibola mencadangkan agar pasukan ini ditempatkan di Johor Bharu dan hanya perlu berulang-alik keluar masuk ke Singapura pada setiap kali perlawanan. Wallahualam.

Saturday, August 15, 2009

Liga M 2010 - FAM Tunduk Akhirnya..??

Akhirnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tunduk kepada tuntutan, desakan dan ugutan dari kelab-kelab yang mahukan agar format Liga Malaysia 2010 dikekalkan dan mengikut syarat dan peraturan asal pertandingan. Difahamkan FAM akur kepada desakan kuat kelab agar syarat kenaikan dan penurunan pasukan Liga Super dan Liga Premier dikekalkan. Dengan ini, dua pasukan terbawah Liga Super 2009, Pahang dan Polis akan diturunkan ke Liga Premier 2010 manakala Terengganu T-Team dan Johor Pasir Gudang FC dinaikkan ke Liga Super 2010 berdasarkan kepada kedudukan mereka di tangga kedua dan ketiga dalam Liga Premier 2009 di belakang Harimau Muda yang akan kekal beraksi dalam Liga Premier 2010.
Jika dilihat dari perspektif yang berbeza, ternyata FAM tidak memiliki kekuatan dan pendirian yang kekal dan mantap dalam menangani sehingga perlu tunduk kepada tuntutan dan ugutan kelab. Di pihak kelab, ini adalah kemenangan moral mereka untuk terus mengekalkan diri dalam kelompok elit dan bersaing dengan pasukan-pasukan negeri. Apapun yang pasti, tidak akan ada kelibat pemain luar dalam musim 2010 nanti dan apakah kesudahan dan peningkatan yang diharapkan daripada keputusan yang diambil, sama-samalah kita nantikan. Wallahualam.

Friday, August 14, 2009

Kedah Terlepas Peluang Dapatkan Haris Safwan

Akibat lambat mengambil tindakan susulan dan berunding dengan pihak pengurusan T-Team, Kedah terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat penjaring gol terbanyak Liga Premier 2009, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, kepada sebuah lagi pasukan Liga Super iaitu KL Plus FC yang akan turut beraksi dalam Piala Malaysia 2009 Oktober nanti. Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurulatih Kedah, saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan juga sms yang diterima oleh kakibola dari pemain berkenaan.
Usaha bagi mendapatkan penyerang kelahiran Terengganu itu telah diusahakan beberapa minggu yang lalu bagi memantapkan barisan serangan Sang Kenari yang dihimpit masalah penjaring gol yang berkaliber. Kegagalan mendapatkan khimat Mohd Haris adalah satu tamparan yang hebat buat barisan kejurulatihan Kedah setelah kehilangan Mohd Khyril Muhymeen Zambri akibat kecederaan teruk yang dialaminya ketika pasukan kebangsaan melayani kunjungan pasukan Kenya dalam satu perlawanan persahabatan. Situasi ini juga jelas menimbulkan kesulitan kepada ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor untuk mencari pemain yang berkaliber bagi memantapkan barisan serangan. Ketika ini difahamkan Mohd Azraai Khor bersama Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato' Shukri Hashim sedang berusaha bagi mendapatkan penyerang Harimau Muda, Ahmad Shakir Mohd Ali, bagi dibenarkan mewakili Kedah dalam kempen Piala Malaysia nanti. Namun begitu, usaha tersebut bakal menjadi rumit kerana pasukan B19 negara dijadualkan ke Republik Czech untuk beberapa siri perlawanan persahabatan. Wallahualam.

Tuesday, August 11, 2009

Minat Jawatan Tapi Tak Minat Bekerja

Kakibola simpati sangat dengan nasib teman kakibola dengan sebuah pasukan di utara tanahair. Bermula dengan pelbagai permasalahan di awal musim dan ditimpa kekalahan demi kekalahan berserta beberapa kemelut lain yang melibatkan pengurusan pasukan kini di saat bakal menghadapi tugasan yang lebih getir mempersiapkan diri untuk Piala Malaysia 2009, timbul lagi permasalahan baru. Mesyuarat pengurusan pasukan yang sepatutnya dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) hanya dihadiri oleh seorang Naib Persiden berserta Setiausaha Kehormat dan barisan kejurulatihan. Apalah malangnya nasib! Mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan pengambilan pemain-pemain dari luar untuk dipinjamkan bagi memantapkan lagi persediaan menghadapi pertandingan Piala Malaysia.
Kalau dah tergilakan jawatan untuk jadi popular, laksanakanlan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab. Bayangkan satu mesyuarat yang penting yang bakal membincangkan soal kewangan dan membuat satu keputusan yang penting tidak dihadiri oleh Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Kepada mereka yang hanya tergilakan jawatan ini, kalau dah tak minat nak buat kerja, eloklah diserahkan kepada mereka yang lebih memahami dan berminat untuk menyumbang. Kalau sekadar nak tunggu team jadi juara baru nak tempek muka di depan untuk bergambar dan tunggu hari keputeraan Sultan untuk terima darjah kebesaran, jangan jadikan pasukan mangsa kegelojohan. Jika sesuatu urusan itu bukan diuruskan oleh ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaan. Wallahualam.

Monday, August 10, 2009

Liga Malaysia 2010 - Jangan Tarik Diri?


Kakibola tersenyum apabila membaca tulisan Dato' Raja Ahmad Raja Zainuddin dalam ruangannya dalam sebuah akhbar tempatan hari ini. Selaku bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah tentu beliau arif dan masak dengan hal ehwal pertandingan bolasepak tempatan.
Terkini, kakibola terdengar rungutan dan rasa marah teman-teman jurulatih yang mewakili kelab di dalam Liga Malaysia tentang cadangan terbaru FAM untuk format Liga Malaysia 2010. Sekalipun keputusan muktamad belum lagi dibuat namun begitu cadangan yang dikemukakan oleh FAM melalui JKPT yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mat Jusoh seharusnya mengundang rasa marah dan kecewa mereka. Dua cadangan FAM yang dimaklumkan oleh teman-teman kakibola ialah untuk memisahkan kelab dan negeri dalam 2 liga yang berbeza atau penyertaan dalam Liga Super (Utama) akan dibesarkan lagi dari 14 pasukan musim ini kepada 16 pasukan di mana 3 pasukan dari Liga Premier dinaikkkan dan 1 pasukan dari Liga Super diturunkan. Makanya pasukan anu tu terselamatlah lagi hayatnya dek kemurahan hati JKPT.
Bagi kakibola, kelab-kelab bolasepak seharusnya menerima cadangan yang pertama iaitu memisahkan diri mereka dari pasukan bangsawan (negeri) yang lebih mendominasi pentas polisi dan jaguh dalam membuat keputusan demi menjaga kepentingan diri sendiri daripada melihat pembangunan bolasepak secara meBoldnyeluruh. Penarikan diri mereka adalah wajar untuk membuktikan kepada FAM dan juga Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) tentang kemampuan mereka untuk menguruskan pasukan secara profesional tanpa bergantung kepada sumbangan kewangan dari FAM. Namun begitu pemisahan ini perlu dibuat dengan bersyarat iaitu kelab-kelab yang berada di dalam Liga Malaysia dibolehkan berurusan terus dengan FAM tanpa perlu melalui PBN. Apapun sudah tentu akan ada pro dan kontranya dan setiap ruang yang boleh diperbaiki wajarlah ditangani dengan baik dan berhemah jika ingin mencapai sesuatu yang positif.
Apapun, jika benar kata teman kakibola akan cadangan FAM untuk hanya menurunkan sebuah pasukan dari Liga Super ke Liga Premier musim depan, maka wajarlah sukan bolasepak negara kita diboikot sepenuhnya kerana ianya jelas dan paling jelas betapa pasukan elit akan sentiasa dilindungi. Wallahualam.

Sunday, August 9, 2009

Konvensyen Industri Sukan Malaysia (KISMAS 2009)

Kakibola berkesempatan menghadiri Konvensyen Industri Sukan Malaysia (KISMAS 2009) yang berlangsung pada 7 & 8 Ogos 2009 di Pusat Konvensyen Berjaya Time Square, Kuala Lumpur. Konvensyen ini telah dirasmikan pembukaannya oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan penutupannya disempurnakan oleh YBhg Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Konvensyen ini telah dihadiri sekitar 500 orang terdiri daripada penggiat sukan, pengurus acara (event managers), wakil dari persatuan-persatuan sukan serta wakil syarikat-syarikat korporat serta badan-badan bukan kerajaan. Tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Institut Sukan Negara (ISN) di atas initiatif mengadakan konvensyen sulung untuk industri sukan ini.
Apa yang dapat kakibola rumuskan adalah ianya satu pentas yang cukup baik bagi menyedarkan pihak yang terlibat dalam sukan di negara ini tentang kemampuannya untuk diangkat sebagai sebuah industri. Pelbagai kenyataan dan pandangan yang dilontarkan oleh panelis-panelis yang dijemput untuk membentangkan kertas-kerja masing-masing termasuk maklumbalas yang dikemukakan oleh para peserta. Namun begitu, kakibola merasakan bahawa konvensyen ini gagal menepati sasarannya khususnya penglibatan sektor korporat selaku pihak yang bertanggungjawab dalam menyumbang ke arah penajaan.
Kehadiran tokoh-tokoh besar dalam industri sukan merupakan tarikan utama para peserta ke konvensyen ini malangnya kakibola agak terkilan di atas penarikan diri David Gill, Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United FC pada saat akhir dan digantikan oleh Dr T.J. Rosandich dari Akademi Sukan Amerika Syarikat. Namun begitu, kakibola amat tertarik dengan panelis YBhg Dato' Radha Krishnan dari Universal Fitness & Leisure (UFL). Beliau merupakan warga Malaysia yang terlibat secara langsung dalam perniagaan sukan dan telah mengutarakan banyak perkara yang perlu diberi perhatian jika sukan di Malaysia ingin dijadikan satu industri. Kehadiran tokoh-tokoh industri sukan yang lain seperti YBhg Dato' Peter Gilmore dari T-Best Events (penganjur Monsoon Cup) dan Keld Kristiansen dari Carbon Worldwide (penganjur A1 GP Malaysia) jelas membuktikan bahawa sebenarnya industri sukan negara dimonopoli oleh tokoh luar dan melibatkan sukan-sukan elit yang terbukti baru dan asing dalam dunia sukan negara serta tidak diterokai oleh anak tempatan. Apa yang disarankan oleh YBhg Dato' Radha Krishnan tentang perlunya polisi-polisi tertentu diujudkan oleh KBS dalam usaha mengujudkan satu senario yang lebih memihak kepada penggiat dan promoter sukan tempatan di samping kemudahan-kemudahan kewangan yang sering dinafikan oleh institusi-institusi kewangan negara. Seperkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah dari sudut menerapkan budaya sukan di kalangan warga Malaysia yang jelas masih jauh ketinggalan. Selagi budaya sukan tidak ujud, maka selagi itulah usaha untuk mengangkat sukan sebagai sebuah industri tidak mampu dicapai.
Disamping topik-topik menarik yang diketengahkan oleh para panelis, kakibola agak sedih juga apabila ada di kalangan para peserta yang mengemukakan soalan-soalan yang kurang relevan untuk diajukan kepada para panelis dengan membangkitkan aspek pembangunan sukan daripada membincangkan hala tuju sukan sebagai satu industri.
Namun begitu, kakibola masih kurang yakin akan kemampuan penggiat sukan dan juga promoter serta pengurus acara (event managers) tempatan yang tulin untuk bersaing secara sihat kerana di Malaysia amalan "TECHNICAL KNOW WHO" mengatasi "TECHNICAL KNOW HOW". Wallahualam.

Tuesday, August 4, 2009

Bolasepak Malaysia - Persatuan Bolasepak Negeri Dan KWSP

Laporan media tentang hasil mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mendedahkan kemelut hutang persatuan-persatuan bolasepak negeri (PBN) dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sesuatu yang amat memeranjatkan. Jumlah RM6 juta caruman yang tertunggak adalah sesuatu yang kejam dan keterlaluan yang telah dilakukan oleh majikan terhadap para pemain yang telah bertungkus lumus mengerah tenaga demi memartabatkan pasukan masing-masing.
Kakibola juga tidak terkecuali daripada menerima tempias kemelut ini. Sepanjang 5 tahun sebagai pemain dan 10 tahun sebagai jurulatih mengabdikan diri dengan menganugerahkan pelbagai gelaran kejuaraan dalam arena bolasepak tempatan, aspek kebajikan seperti ini telah diabaikan. Kalau mengikut rekod, tunggakan caruman kakibola oleh PBN terhadap KWSP adalah sebanyak RM23 ribu. Ini tidak termasuk lagi potongan gaji untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dibuat setiap bulan melalui skim Potongan Cukai Berjadual (PCB) tetapi tidak dibayar kepada pihak yang berkenaan yang telah mencecah RM50 ribu. MasyaAllah, apa nak jadi dengan mereka yang telah diberi amanah untuk mentadbir dan mengurus hal ehwal kebajikan insan-insan yang telah menabur bukti demi rezeki yang halal. Wallahualam.

Thursday, July 30, 2009

Bila Sukan DiPimpin Oleh Badut

Ini betul-betul kelakar! Berita Harian semalam melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) berhajat menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan, Azizul Abu Haniffa, Shahrin Majid dan Azman Adnan bagi memperkasakan pasukan Melaka dalam kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 2 Oktober nanti. Samada beliau serius dengan hasrat tersebut atau sekadar mendapatkan liputan murahan media kerana sudah kehilangan perhatian dari peminat bolasepak Melaka, hanya dia saja yang tahu.
Tak salah untuk ketiga-tiga pemain berkenaan turun beraksi mewakili Melaka jika benar mereka mampu, tapi dari sudut realiti, nampak sangat pihak yang membuat kenyataan ini tidak peka langsung akan keperluan pasukan yang beliau pimpin. Lebih malang lagi kalau beliau sendiri tidak pernah mengikuti perkembangan bolasepak dan dinasihati oleh lebai-lebai malang yang kononnya lebih arif dalam hal ehwal bolasepak negeri Hang Tuah itu. Kalau ada lagi ramai individu macam Timbalan Presiden MAFA dalam persatuan bolasepak negeri yang lain, tunggulah hari yang lebih malang dalam bolasepak negara. Wallahualam.

Wednesday, July 29, 2009

Rombakan Liga - T-Team Mangsa Cemburu?

Tatkala kakibola membuka mukasurat 59 akhbar Kosmo terbitan Rabu 29 Julai 2009, kakibola tidak terkejut sangat dengan kenyataan jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor, betapa beliau dan keseluruhan anggota pasukan T-Team yang dinaungi oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu itu dalam keresahan dan kebingungan. Apa habuan nasib mereka dalam Liga M 2010 masih menjadi teka-teki sehingga Isnin ini apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang dipengerusikan oleh "musuh" mereka bakal bersidang dan membuat keputusan.
Kakibola masih teringatkan perbualan dengan seorang pemain senior pasukan T-Team dan juga seorang pegawai mereka betapa pasukan T-Team dicemburi oleh "abang" mereka kerana mendapat layanan (perbelanjaan) yang lebih baik.
Jika faktor ini diambil kira kakibola tidak hairan jika pasukan kelab yang mencuri tumpuan dalam tahun pertama mereka dalam kancah Liga Premier 2009 ini bakal kehilangan status elit setelah berhempas pulas mencipta kegemilangan dalam arena bolasepak tanahair. Segala perbelanjaan, usaha dan kerja-keras yang dilakukan selama ini hanya akan tinggal sia-sia akibat perasaan cemburu pihak yang tidak bertanggungjawab. Apapun untuk pengurusan T-Team dan juga pemain-pemain, teruskan usaha dan ciptakan kejayaan, insyaAllah pengiktirafan sebenar akan menjelma jua, insyaAllah. Wallahualam.

Sunday, July 26, 2009

Liga Super Dah Tamat - Will Pahang Relegated?

Haha..menarik dan kelakar kan tajuk ni? Liga Super dah tamat dan umum pun dah tahu juara baru Liga Super musim 2009 ialah Selangor Darul Ehsan. Malam tadi Selangor membelasah Pahang 5-1 dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Shah Alam. Bukan berhasad bukan berdengki tetapi sekadar ingin menyaksikan samada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bersimpati dengan Pahang buat beberapa kalinya dengan menyelamatkan bekas gergasi Pantai Timur dari terjerumus ke Liga Premier. Sejarah silam telah menyaksikan mereka beberapa kali diselamatkan demi menjaga maruah 2 pemimpin tertinggi FAM ketika itu. Bagaimana pula kali ini? Kita sama-sama tunggukan saat bersejarah ini dari Dato' Che Mat Jusoh. Ura-ura meminda status Liga sudah pun dicanangkan. What's next FAM? Wallahualam.

Wednesday, July 22, 2009

Liputan Media Malaysia Terhadap Bolasepak Negara..

Kelab bolasepak Manchester United telah pun meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Seoul untuk siri Jelajah Asia 2009 sebagai persediaan musim baru 2009/2010. Kuala Lumpur dilanda demam merah hasil lawatan kelab bolasepak England ini yang mengadakan 2 perlawanan persahabatan menentang pasukan Malaysia di Stadium Nasional Kuala Lumpur pada 18 dan 20 Julai lalu. Apa yang menarik untuk diperkatakan di sini ialah tentang liputan media yang diberikan kepada kelab gergasi dunia ini berhubung siri jelajah mereka. Rata-rata pihak media tempatan memberi ruang yang cukup hebat di atas kehadiran mereka di bumi Malaysia. Segala macam cerita yang boleh kita tonton dan baca dalam pelbagai bentuk media tentang pergerakan pegawai-pegawai apatah lagi pemain-pemain kelab MU ini.
Adakah bolasepak kita mendapat liputan yang sama dalam banyak aspek dari media tempatan? Kakibola tertanya-tanya apakah sumbangan pihak media selama ini mencukupi dalam usaha mengembalikan kegemilangan dan kemeriahan (kalau sekalipun bukan untuk kejayaan) bolasepak negara. Acap kali kita akan lebih dihidangkan dengan berita-berita kontroversi dan negatif tentang bolasepak domestik. Dalam hal ini kakibola merasakan media kita perlu dan mampu bersikap lebih adil kepada bolasepak negara. Apa tidaknya, kekadang jadual atau keputusan Liga Malaysia tidak langsung terdapat di dalam ruang media (baik cetak mahupun elektronik), terutamanya media bahasa Inggeris. Malu sangat ke nak siarkan tentang perihal bolasepak negara sedangkan bolasepak antarabangsa khususnya Liga Perdana Inggeris mendapat tempat yang terlebih istimewa. Tahniah kepada saudara Rizal Abdullah kerana telah berupaya mengemukakan kritikan yang pedas terhadap pihak media Malaysia dalam tulisannya di akhbar tabloid Malay Mail.
Kejayaan sesuatu usaha itu terletak pada promosi dan media Malaysia boleh memainkan peranan yang pro-aktif dalam terus menerus mempromosikan sukan bolasepak negara untuk bacaan, ikutan dan tontonan masyarakat Malaysia. Wallahualam.

Selangor Juara Liga Super 2009 - Tahniah

Dengan menundukkan pasukan belasahan PDRM dalam perlawanan Liga Super semalam, Selangor mengesahkan diri mereka sebagai juara baru Liga Super musim 2009. Keputusan besar 6-1 yang diperolehi mereka jelas memberi gambaran betapa Selangor adalah juara yang perlu dihormati. Dengan berbaki satu perlawanan lagi, kejayaan yang dicapai pasukan Selangor seharusnya membuka mata pengurusan pasukan bolasepak negeri yang lain betapa corak kepimpinan dan pengurusan eksekutif mampu memberi pulangan yang positif dalam mengurustadbir sistem bolasepak profesional.
Sekalung tahniah kepada jurulatih Selangor, K.Devan yang telah membuktikan keupayaannya sebagai jurulatih yang berjaya dalam mengendalikan pasukan-pasukan yang dibimbingnya. Tahniah juga kepada pegawai-pegawai pasukan dan barisan pemain yang berusaha keras untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak di negeri Selangor. Tidak lupa ungkapan tahniah kepada individu di belakang tabir dan arkitek kejayaan Selangor iaitu saudara Zakaria Ab Rahim yang telah berjaya mencorak sistem pentadbiran bolasepak yang baik di Persatuan Bolasepak Selangor. Seharusnya inilah yang perlu dicontohi oleh persatuan bolasepak kebangsaan dan negeri dalam meletakkan prestasi bolasepak di peringkat yang tinggi. Kuasa eksekutif yang dimilikinya, setidak-tidaknya mampu meletakkan politiking di tahap paling minima. Apapun kakibola bangga dan kagum dengan kebangkitan Selangor dalam musim 2009. Tahniah Selangor !

Sunday, July 12, 2009

Malaysia v Zimbabwe Sebelum Malaysia v Manchester United - Pelik!

Pelik dan kelakarlah bolasepak Malaysia ni. Mana tidaknya, nak main satu perlawanan persahabatan dengan kelab yang datang "bercuti" pun perlu ada satu persiapan yang hebat. Bukan ada makna apa pun di sebalik perlawanan persahabatan dengan Manchester United Sabtu ni. Boleh naik ranking ker?
Malaysia akan beraksi menentang Zimbabwe dalam satu perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum menghadapi Manchester United. Awalnya pasukan kebangsaan dijadualkan bertemu dengan Liberia tetapi terpaksa dibatalkan gara-gara pasukan pelawat itu, di dalam senarai yang difakskan ke FAM, tidak membarisi barisan terbaik mereka. Kenapa jadi begitu? Wallahualam.

Tuesday, July 7, 2009

Musim 2010 Tanpa Pemain Import Lagi?

The Star 8 Julai 2009 melaporkan FAM kekal melarang pembabitan pemain import dalam Liga Malaysia 2010. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh, krisis kewangan yang melanda pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2009 adalah antara alasan mengapa keputusan ini dibuat.
Dalam hal ini, kakibola melihat betapa keputusan yang dibuat ini adalah agak terburu-buru. Seorang Pengerusi seharusnya tidak membuat keputusan bagi pihak lain tentang pengambilan pemain import untuk pasukan mereka. Jika ada pasukan yang mampu untuk mengambil pemain import mewakili mereka dalam persaingan liga, seharusnya perkara ini dibenarkan. Untuk menyediakan pentas yang sama rata dalam pertandingan adalah satu perkara yang mustahil. FAM perlu membenarkan semangat persaingan yang positif untuk memastikan peningkatan dalam kualiti pasukan dan permainan dalam Liga Malaysia. Kalau dulu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggunakan khidmat Fandi Ahmad, Malek Awab dan K.Kannan untuk menguatkan jentera mereka dalam Piala Malaysia sedangkan pasukan-pasukan lain beraksi tanpa pemain import, mengapa ianya menonjolkan suasana persaingan yang positif tanpa ujud sikap dan sifat iri hati pasukan pasukan lain? Mereke kekal bersaing untuk meletakkan pasukan masing-masing dalam kancah liga. Maka dari situlah Liga Semi Pro mula diperkenalkan.
Dalam konteks sekarang, FAM boleh mengenakan syarat kepada pasukan-pasukan yang ingin menggunakan khidmat pemain import untuk meletakkan bon dengan FAM dengan jumlah yang munasabah tanpa ada niat untuk terus meletakkan beban kepada pasukan berkenaan demi kemajuan liga dan bolasepak negara. Wallahualam.

Wednesday, July 1, 2009

Barisan Jurulatih Kedah Nyaris Tinggalkan Pasukan?

Tanggal 30 Jun, Kedah dijadualkan bertemu pasukan UPB/MyTeam dalam Liga Super di Stadium Darulaman. Namun begitu tidak ramai yang menyedari bahawa tarikh tersebut juga nyaris-nyaris menjadikannya tarikh terakhir barisan kejurulatihan pasukan bolasepak Liga Super Kedah berkhidmat untuk pasukan Hijau Kuning. Ini ekoran daripada kelewatan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyediakan tawaran baru kepada ketiga-tiga tenaga penting di sebalik kejayaan pasukan Sang Kenari dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama 2 tahun berturut-turut. Ketua Jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah, Hj Muhamad Radhi Hj Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail yang kontrak mereka tamat pada 30 Jun 2009 hanya mendapat tawaran secara lisan melalui meja rundingan 2 hari sebelum tarikh kontrak mereka berakhir. Namun begitu ketiga-tiga mereka tidak berpuas hati dengan cara KFA menangani perkara ini. Namun masalah kontrak ini segera ditamatkan apabila Setiausaha Kehormat KFA menyediakan kontrak mereka semalam dan telah ditandatangani di Wisma Darulaman petang tadi.
Persoalannya di sini ialah, inilah gara-gara bidang yang seharusnya dikendalikan oleh mereka yang ahli dalam urusan sukan dikendalikan dan diuruskan oleh ahli politik. Mohd Azraai Khor Abdullah sepatutnya menerima tawaran Persatuan Bolasepak Malaysia untuk menjadi jurulatih kebangsaan namun terpaksa menolaknya apabila Presiden KFA menjanjikan lanjutan kontrak sehingga 2010 namun apa yang dikata tidak dikota dan perkara seumpama ini amatlah dikesali. Sepatutnya persatuan-persatuan bolasepak negeri mencontohi pendekatan yang diambil oleh Persatuan Bolasepak Selangor. Wallahualam.