Monday, December 7, 2009

Budak Kampung Tewas Kepada Vietnam..

Tatkala kakibola menerima berita kekalahan Malaysia di tangan Vietnam dalam perlawanan kedua Sukan SEA di Vientiane, perkara pertama yang terpancul di kotak pemikiran ialah memang keputusan itu sudah diduga. Malaysia memang sudah dijangka akan tewas kepada Vietnam. Keputusan perlawanan pertama membelasah Timor Leste 11-0 juga tidak memeranjatkan kerana umum sedar akan kekuatan yang dimiliki pasukan Timor Leste berbanding Malaysia. Pasukan amatur Malaysia juga mampu tewaskan mereka. Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini ialah bukan soal kalah menang, sebaliknya adakah rangka pembangunan dan pendedahan yang diperolehi oleh pemain-pemain negara di liga negara kita - Liga Malaysia - menepati kehendak pembangunan dan pencapaian sukan itu sendiri.
Bermula dengan kemerosotan pencapaian kelab/negeri dalam pertandingan Piala AFC, kemudiannya kegagalan pasukan negara dalam persaingan kelayakan Piala Asia dan kini Sukan SEA, adakah pemain-pemain bolasepak negara berada di landasan yang betul ke arah pembentukan pasukan kebangsaan yang mantap untuk bersaing di peringkat antarabangsa? Pelbagai sasaran diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelbagai harapan disandarkan oleh masyarakat terhadap pasukan bolasepak negara tetapi apakah di penghujungnya masih ada sinar? Ramai yang telah menyatakan bahawa keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui oleh pasukan kebangsaan tidak boleh diambil kira, dan ternyata kenyataan tersebut adalah tepat. Pertandingan adalah pentas sebenar bagi mengukur pencapaian pasukan negara. Pertandingan yang mendedahkan mereka kepada pelbagai cabaran - mental, fizikal, emosi dan keyakinan diri. Apakah akan panas kembali istilah "jaguh kampung" di kalangan pemain bolasepak negara? Jaguh kampung yang hanya seronok dan gah beraksi di laman sendiri dengan budak-budak belasahan sebaya? Di mana pentas sebenar persaingan kita? Kakibola amat yakin inilah persoalan yang sebenarnya perlu dijawab oleh kepimpinan bolasepak negara. Masa untuk Liga Malaysia diubahsuai supaya lebih kompetitif dan nampak kompetitif dengan saingan pemain-pemain dan pasukan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Hari ini, Liga Malaysia disogokkan dengan pemain dan pasukan yang hanya sekadar memenuhi jumlah penyertaan. Pasukan yang sudah diturunkan ke liga bawahan boleh diangkat untuk kembali ke liga atasan hanya atas alasan untuk mencukupkan bilangan pasukan. Bilakah kualiti akan mendapat tempat di hati kepimpinan bolasepak negara? Sedarlah dari mimpi silam, kini bukan masanya lagi untuk kita berbicara tentang sejarah, bukan masanya kita terus berbicara tentang allahyarham Mokhtar Dahari, bukan masanya lagi untuk berbicara tentang Ghani Minhat, mendiang R.Arumugam, Soh Chin Aun dan sebagainya. Kini masanya untuk kita merenung ke hadapan untuk kembali dihormati oleh pasukan lawan, peminat tempatan dan sekelian warga Malaysia.
Di Sukan SEA Laos, Timor Leste dan Kemboja bukanlah hanya dua pasukan yang perlu ditewaskan tetapi Thailand dan Vietnam yang telah diundi dalam kumpulan yang sama. "One Down One More To Go". Kita telah tewas kepada Vietnam dan kini kita perlu menewaskan Kemboja dan terakhir sekali Thailand andai kita ingin memasang impian untuk layak ke separuh akhir dan membawa pulang setidak-tidaknya gangsa. Vietnam dibarisi pemain-pemain yang didedahkan dengan liga yang berkualiti tinggi, disaingi oleh pemain-pemain yang hebat, baik tempatan mahu pun pemain import. Thailand dibarisi oleh pemain-pemain yang memiliki kualiti teknikal yang hebat, didedahkan dengan perlawanan antarabangsa yang tinggi, dilatih oleh jurulatih yang unggul. Apakah ada kemampuan dan kekuatan untuk kita menewaskan mereka? Sama-samalah kita mendoakan agar mereka beroleh keajaiban dan keizinan untuk mencipta satu kejutan (kemenangan). Wallahu'alam.

4 comments:

Zarpeno said...

kaki bola, bila dan kenapa player kita tak dak yg main kat kelab luaq?sbb tak dpt offer atau takmau pi.

afc cup tmpat yg paling sesuai utk promosi pemain-pemain kita kan.tapi..

KakiBola said...

zarpeno-interesting question. budak-budak kita ada yg teringin nak pergi, tapi letak harga melepasi "piawaian antarabangsa". baru-baru ini saya berusaha untuk menempatkan 2 pemain di liga india dan indonesia, tapi akibat harga yang terlalu tinggi, maka kelab tersebut terpaksa melupakan niat mereka untuk mendapatkan khidmat 2 pemain tersebut. wallahu'alam.

Zarpeno said...
This comment has been removed by the author.
Zarpeno said...

adeih...rugi2...experience main kat luaq no...ok coach tima kaseh.

tahniah KS UUM.gud luck in semi final