New Straits Times hari ini meramalkan bahawa jurulatih Shahzan Muda, Dollah Salleh bakal diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih bolasepak negara yang baru. Kenyataan ini bakal disahkan apabila Majlis Bolasepak FAM bersidang pada 11 April nanti. Apapun persoalannya apakah spekulasi ini menepati kehendak dan keperluan bolasepak negara yang ingin menyaksikan satu perubahan positif terhadap pencapaian dan peningkatan mutu bolasepak negara?
Kakibola secara peribadinya merasakan calon terbaik bagi mengisi jawatan tersebut adalah saudara Wan Jamak Wan Hassan dan K.Devan berdasarkan kepada keupayaan mereka mengemudi barisan pemain baru dan lama dalam pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia sekalipun Liga Malaysia bukanlah pentas terbaik bagi mengukur kemampuan sebenar mereka. Apapun kakibola mengambil kira karisma, perwatakan dan pendekatan terhadap pemain serta pengalaman yang ada pada kedua calon berkenaan bagi membentuk sebuah pasukan bolasepak negara yang mantap. Keupayaan Dollah Salleh mengemudi pasukan bertaraf kelab bukanlah satu isu kerana samada kelab atau negeri ianya tetap sebuah pasukan yang bertanding. Kelebihan MPPJ pada ketika itu ialah kedudukan kewangan yang kukuh serta kemampuan memiliki pemain yang terbaik. Mana-mana pasukan (negeri atau kelab) sekalipun jika memiliki barisan pemain yang mantap, sudah tentu mampu mengecap kejayaan sepertimana Kuala Muda NAZA dan KL Plus. Jadi di sini status pasukan bukanlah jadi ukuran yang hanya suka disensasikan oleh media negara. Ataupun adakah mungkin FAM mengambil jalan mudah untuk melantik Dollah kerana beliau hanya mengemudi pasukan yang tidak berada dalam kelompok persaingan Liga Premier dan sekaligus memudahkan FAM mendapat pelepasan dari majikannya berbanding 3 calon lain yang mengemudi pasukan berstatus elit dan bakal menyukarkan usaha mereka untuk mendapatkan pelepasan dari majikan masing-masing? Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh FAM nanti. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment