Apabila dimaklumkan tentang berita perletakan jawatan jurulatih Perlis, Mosthakeen Omar, kakibola hanya tersenyum. Apa tidaknya? Secara jujur, situasi ini memang sudah dijangka sejak awal lagi apabila sahabat dan bekas sifu tahun 1996 ini menyatakan hasratnya untuk melatih skuad Singa Utara bagi musim 2011. Dinilai akan pelbagai peristiwa dan kontroversi yang melanda pasukan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) di bawah kepimpinan Dato' Seri Shahidan Kassim, sememangnya nasib Perlis mudah diramal dan kakibola sendiri telah menjangkakan Perlis di bawah kendalian Mosthakeen tidak akan ke mana. Bermula dengan kontroversi penyingkiran jurulatih muda, Mohd Nidzam Adzha Yusoff untuk digantikan dengan Yunuf Alif, era kejatuhan Singa Utara sudah terserlah. Pasukan yang bercita-cita besar tetapi realitinya tidak berusaha sebaik mungkin untuk memantapkan pasukan untuk memberi saingan. Tetapi apakan daya, tangan Mosthakeen diikat dengan kemampuan yang terhad. Apakah mungkin ini petanda bahawa jawatan Presiden PFA yang telah disandang oleh Dato' Seri Shahidan Kassim sejak sekian lama ini perlu dilepaskan kepada pihak yang lebih berkemampuan? Apapun kakibola bersimpati dengan nasib yang menimpa Mosthakeen Omar.
Di Pulau Mutiara timbul pula kontroversi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) menahan gaji pemain gara-gara persembahan buruk pasukan itu dalam Liga Premier. Setelah melalui 5 perlawanan, Sang Kumbang tumbang dalam semua perlawanan. Desas desus mengatakan pemain-pemain sudah terlibat dengan dalam mengatur perlawanan bertiup kencang. Jurulatih Pulau Pinang, Robert Scully, dikhabarkan telah membawa beberapa pemain dari luar Pulau Mutiara untuk memantapkan cabaran mereka dalam kancah Liga Premier. Namun dikhabarkan tawaran gaji yang dibuat sebelum musim bermula berbeza dengan nilai di dalam kontrak. Jika betul apa yang kakibola dengar, maka amat malang sekali kepada perkembangan bolasepak profesional negara. Janganlah marahkan kelambu, nyamuk dibakar. Akibat tiada keputusan dan kekurangan dari sudut pengurusan, pemain pula yang dijadikan mangsa. Siasat dulu! Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan tegas telah menyatakan bahawa tindakan menahan gaji pemain adalah satu kesalahan dan bercanggah dengan isi kontrak yang telah diselaraskan oleh badan induk itu. Adakah situasi sama yang dilalui oleh Presiden PFA perlu dituruti oleh Dato Seri Zahrain Mohamed Hashim? PFA + FAP = 0? Wallahu'alam.
1 comment:
nampaknya penang bakal mengikut jejak melaka...akibat gaji tidak dibayar..
Post a Comment