Thursday, June 19, 2008

Final Piala FA 2008 - Selangor v Kedah

Selangor dan Kedah bakal menentukan siapakah juara Piala FA bagi musim 2007/2008 pada hari Sabtu 21 Jun 2008. Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang kepada perlawanan Akhir ini dan bakal menyaksikan samada Kedah mampu mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas atau Selangor akan merampasnya kembali. Sayang sekali perlawanan Akhir ini berlangsung di tengah-tengah kehangatan Euro 2008 yang lebih banyak mendapat tempat dan publisiti di punggung-punggung akhbar mahupun TV. Harapnya peminat bolasepak tempatan masih setia menyokong bolasepak negara sekalipun ianya sedang menghadapi zaman kemuruduman.
Kakibola masih teringat akan nostalgia kehangatan Stadium Shah Alam ketika dalam barisan jurulatih bersama pasukan Kedah beraksi menentang Selangor pada tahun 1994 dalam Liga Divisyen 1 (ketika itu). Itulah julung-julung kalinya Stadium Shah Alam dipenuhi 96 ribu orang penonton (mengikut catatan tidak rasmi di dalam akhbar). Suasana yang penuh dengan teriakan dan jeritan para penyokong kedua-dua pasukan yang menjadikan Stadium Shah Alam dan perlawanan tersebut kekal dalam memori kakibola. Perlawanan tersebut memihak kepada pasukan pelawat (Kedah) dengan jaringan 1-0. Andainya sebelum ini kita hanya dapat membaca, mendengar dan melihat dari kaca TV akan kehebatan Stadium Wembley di England atau Stadium Maracana di Brazil, di mana kedua-dua stadium tersebut ketika itu dilaporkan mampu memuatkan 100 ribu penonton dalam setiap perlawanan, namun suasana tersebut sempat kakibola rasai dan nikmati pada tahun 1994.
Tetapi sayangnya sekarang, kesemua stadium di negara kita layu (kecuali Stadium Darulaman) dan tidak bermaya dengan hampir setiap perlawanan hanya disaksikan oleh segelintir peminat setianya sahaja. Mengapa terjadi begini?

No comments: