Wednesday, May 28, 2008

Liga Super 2008-2009 hanya untuk negeri?

Akhbar NST melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh, bakal mencadangkan agar Liga Super bagi musim 2008-2009 nanti hanya akan disertai oleh pasukan-pasukan negeri sahaja atau lebih tepat Persatuan Bolasepak Negeri. Walaubagaimanapun kedudukan Persatuan Bolasepak Polis dan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera belum dapat dipastikan kedudukan mereka samada akan kekal menyertai kumpulan elit ataupun dituruntaraf ke Liga Premier. Situasi ini bakal menyaksikan 2 kelab yang sedang beraksi dalam kumpulan elit, UPB/MyTeam dan Johor FC, bakal turun pangkat. Sekaligus ianya juga menyekat hasrat 2 lagi kelab yang mengungguli Liga Premier iaitu Kuala Muda NAZA FC dan KL Plus FC.
Bagi kakibola, keputusan ini agak drastik dan sukar diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung di dalam pasukan-pasukan atau pun kelab-kelab yang berkenaan kerana menjadi impian setiap kelab yang menyertai apa jua pertandingan untuk melonjakkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi. Tapi untuk jangka masa panjang, kakibola merasakan tindakan ini perlu dan cadangan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk melaksanakan pendekatan ini seharusnya dipuji. Namun persoalannya ialah adakah masa ini bertepatan dengan hasrat mereka..
Mengapa kakibola menyokong langkah ini? Antaranya ialah faktor sokongan penonton. Liga yang baik seharusnya mampu menarik minat penyokong untuk menyokong pasukan mereka yakni hadir memenuhi ruang di stadium. Format yang sedia ada sekarang bukan menambah minat penyokong sebaliknya memecah-belahkan penyokong. Mana tidaknya, dalam sebuah negeri terdapat 3-4 pasukan yang bertanding dalam liga yang sama. Selangor mempunyai 3 pasukan (FA Selangor, PKNS FC, Proton FC) manakala Kuala Lumpur mempunyai 3 pasukan (KLFA, KL Plus FC, Felda FC) yang semuanya berada dalam liga yang sama, Pahang, 2 pasukan (Pahang FA & Kuantan Port/Shahzan Muda), Johor 2 pasukan (Johor Pasir Gudang FC & Johor FC). Ini secara tidak langsung memecahbelahkan jumlah penyokong.
Persatuan Bolasepak Negeri seharusnya diberi kuasa mutlak untuk mendapatkan pemain-pemain yang terbaik di dalam negeri untuk mewakili pasukan mereka. Sejarah juga membuktikan bahawa sentimen kenegerian memainkan peranan yang penting dalam menzahirkan pasukan dan sokongan yang kuat.
Dalam sudut yang lain, peranan kelab boleh ditonjolkan sebagai pasukan pelapis yang beraksi dalam Liga Premier. Namun begitu, setiap negeri hanya boleh diwakili oleh sebuah kelab sahaja dan kelab yang mewakili negeri dalam Liga Premier ini hanyalah satu dan tidak lebih dari itu. Sekurang-kurangnya Persatuan Negeri tidak lagi dibebankan dengan tanggungan kewangan yang lebih untuk menguruskan 2 buah pasukan sekaligus. Ini jelas akan membawa kepada format Piala Malaysia sebelum Liga Semi-Pro dan Liga Profesional diperkenalkan. Setidak-tidaknya kita tak berundur ke belakang untuk membawa pemain menjadi amator. Secara tidak langsung, Persatuan Bolasepak Negeri boleh kembali memberi tumpuan untuk mengaktifkan kembali liga negeri dan daerah di negeri masing-masing...wallahualam

No comments: