Peminat bolasepak negara telah maklum akan keputusan FAM untuk tidak membenarkan pemain import beraksi dalam Liga M 2009. Apapun rasional ke atas keputusan yang dibuat hanya mereka yang tahu. Pelik? Hairan? Setuju?
Bagi kakibola, keputusan yang dibuat adalah kurang bijak. Alasan kemerosotan bolasepak negara di samping ingin memberi peluang kepada pembangunan adalah satu alasan yang dangkal. Belum pernah terdengar liga profesional di negara lain yang prestasi bolasepak mereka merosot dengan hadirnya pemain import. Liga S dengan 5 pemain import telah berjaya meletakkan Singapura di tahap mengatasi Malaysia. Liga V juga telah meletakkan Vietnam sebagai sebuah kuasa baru bolasepak Asia selepas Jepun. Mampukah Malaysia tanpa pemain import. Dalam hal ini kakibola merasakan sistem kita yang tak betul, bukannya pemain. Malang sungguh nasih pemain bolasepak di Malaysia, asal tak kena saja, pemain yang menjadi mangsa. Apapun keputusan yang dibuat adalah lebih kepada sentimen dari lojik. Dalam hal ini kakibola merasakan FAM dan mana-mana pasukan negeri atau kelab yang menyokong usul ini sebagai tidak berwawasan dan hanya ingin gah di tempat sendiri sahaja. Dalam usaha kelab-kelab profesional memperkasakan diri dengan barisan pemain terbaik untuk mencapai penghormatan terbaik di rantau benua, kita hanya mahu disanjung dalam gelanggang sempit. Dah tak ada modal lain nanti, berbaliklah kita kepada legenda Mokhtar Dahari, Datuk Ghani Minhat dan kelayakan negara ke Olimpik Moscow. Itu semua sudah menjadi sejarah dan nostalgia, dalam kehidupan kita perlu mencongak ke hadapan dan sejarah sebagai pendorong semangat.
Dalam sudut komersial, bayangkan pasukan-pasukan beraksi tanpa kelibat pemain import. Alasan kemerosotan bolasepak negara kerana kehadiran pemain import adalah satu alasan yang tidak dapat diterima. Soal kualiti pemain import dalam Liga M bukannya salah pemain itu sendiri sebaliknya kebangangan pihak pengurusan dan kejurulatihan yang tidak mampu menilai kualiti. Maka tersenarailah pelancong Afrika yang datang dengan CV hebat di atas kertas untuk mewakili pasukan masing masing dengan gaji yang "CIPUT". Salah pemain ker?
Bagi pasukan yang punya kewangan kukuh, sepatutnya mereka dibenarkan mengambil pemain import dan ujudkan semangat bersaing di kalangan pasukan dan kelab. "To win you must be the best". Hanya pasukan yang tak punya semangat melawan sahaja yang membiarkan diri mereka ditewaskan tanpa saingan. Dalam liga profesional, soal untung rugi perlu diambil kira. Mana mungkin sebuah filem tanpa pelakon yang hebat mampu menarik penonton dan mengaut keuntungan? Itulah hakikat sebuah liga profesional yang diibaratkan sebuah perniagaan, kalau pasukan tak ada kualiti, mampukah menarik penonton ke stadium? Tepuk dada tanya selera. Wallahualam
No comments:
Post a Comment