Sunday, December 5, 2010

Naturalisasi Pemain - Apakah Malaysia Akan Turuti Langkah Indonesia & Filipina?



Agak menarik apabila mengikuti senarai pemain-pemain yang mewakili Indonesia dalam pertandingan Piala Suzuki AFF 2010. Di celah nama-nama yang agak sinonim dengan sebutan bahasa Indonesianya, terselit satu nama yang agak asing - Christian Gérard Alvaro González (gambar atas). Pemain berusia 35 tahun yang berasal dari Uruguay dan mewakili kelab Persib Bandung dalam Liga Indonesia itu telah dinaturalisasikan sebagai warga Indonesia bagi memantapkan cabaran pasukan Garuda dalam pertandingan antarabangsa. Turut tersenarai ialah pemain penyerang lincah berusia 22 tahun asal Belanda yang beraksi untuk Persema Malang, Irfan Haarys Bachdim (gambar bawah). Kedua-dua pemain tersebut jelas memainkan peranan yang cukup berkesan ketika menewaskan Malaysia dalam perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Langkah drastik Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang memiliki populasi seramai 237 juta penduduk mengambil pemain bolasepak yang dinaturalisasikan sebagai warga Indonesia jelas menterjemahkan usaha mereka untuk kembali memartabatkan Indonesia sebagai kuasa bolasepak serantau setelah para peminat begitu hampa menanti sejak sekian lama. Ini juga merupakan satu langkah berani yang diambil oleh Ketua Umum PSSI, H. AM. Nurdin Halid dalam dalam memberi nafas baru terhadap bolasepak Indonesia untuk mencapai kejayaan. Tindakan Indonesia adalah menuruti langkah Singapura yang mendahului negara-negara di rantau ASEAN dengan mendaftarkan pemain-pemain asing sebagai warganegara mereka. Usaha Singapura dan Indonesia turut disertai oleh Filipina yang mendaftarkan 8 pemain luar yang telah dinaturalisasikan sebagai warga Filipina dalam kempen Piala Suzuki AFF 2010. Langkah Filipina jelas difahami memandangkan mereka tidak memiliki pemain-pemain yang berwibawa bagi menggalas cabaran ke pertandingan di peringkat antarabangsa. Apatah lagi bolasepak bukanlah satu sukan yang popular di kalangan rakyat Filipina, justeru langkah mereka menaturalisasikan pemain-pemain luar adalah dilihat sebagai satu langkah berani bagi memberi cabaran bermakna di pentas serantau. Antara pemain-pemain yang telah dinaturalisasikan oleh Filipina ialah Neil Etheridge (penjaga gol), Robert James Dazo Gier (pertahanan), James Joseph Placer Younghusband (tengah), Philip James Placer Younghusband (penyerang), Christopher Robert Barbon Greatwich (penyerang) semuanya dari England, Ray Anthony Jónsson (pertahanan - Iceland), Jason Nicolas Maria Dantes de Jong (tengah - Belanda) dan Mark Drinkuth (penyerang - Germany).
Apakah bolasepak Malaysia juga wajar mengambil pendekatan yang sama sepertimana Singapura, Indonesia dan Filipina dalam usaha melonjakkan cabaran Malaysia di persada antarabangsa atau kekal dengan pendekatan yang ada sekarang dengan bergantung harapan kepada anak-anak muda negara? Wallahu'alam.

Saturday, December 4, 2010

Mentaliti Bolasepak Malaysia?

Apabila kakibola terbaca laporan akhbar tentang penarikan diri Selangor dari saingan Piala AFC 2011, memang terkejut sangat. Perkhabaran ini hadir selepas Negeri Sembilan lebih awal menyatakan pendirian mereka untuk tidak turut serta dalam pertandingan serantau benua Asia. Alasan yang diberikan oleh kedua-dua wakil pasukan ialah ketiadaan pemain import bagi memantapkan cabaran mereka di pentas antarabangsa tersebut jelas amat mengecewakan.
Alangkah malangnya apabila Piala AFC yang seharusnya menjadi pentas terbaik untuk menimba pengalaman serta memperolehi pendedahan peringkat tertinggi, wakil Malaysia yang mendapat peluang bertindak untuk menarik diri. Bayangkan kelab-kelab di seluruh dunia tidak kira dari pelusuk benua mana sekalipun, bekerja keras untuk menempatkan diri mereka di puncak persada liga negara bagi mendapat tempat dalam kejohanan serantau, tetapi di Malaysia keadaan berlaku sebaliknya. Keputusan menang atau kalah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak bertanding.
Perlu dilihat kesan kepada penglibatan pasukan-pasukan negara dalam pertandingan seumpama ini. Selain daripada pendedahan kepada pemain-pemain mahupun jurulatih, ianya juga merupakan pentas untuk para pemain termasuk jurulatih untuk memasarkan diri mereka. Inilah peluang terbaik untuk untuk pemain-pemain mahu pun jurulatih membuktikan kualiti mereka kepada pasukan lawan yang disaingi untuk menarik minat mereka agar dapat menawarkan peluang beraksi bersama pasukan yang berpotensi. Atau apakah mungkin jurulatih atau pemain tidak dahagakan peluang beraksi di pentas yang lebih baik. Wallahu'alam.

Wednesday, November 24, 2010

Zinedine Zidane Beraksi Untuk Kedah?

Jika segalanya berjalan sepertimana yang dirancang, pasukan bolasepak Kedah bakal mendapat 'khidmat' lagenda bolasepak dunia yang juga bekas pemain antarabangsa Perancis dan Real Madrid, Zinedine Yazid Zidane bagi tahun 2011. Walaubagaimanapun, 'khidmat' pemain tersohor dunia yang pernah dilanda kontroversi menanduk pemain Itali, Marco Materazzi itu hanyalah untuk satu perlawanan persahabatan sahaja yang dijadualkan pada bulan Februari 2011 nanti.
Usaha bagi membawa Zinedine Zidane ke Kedah sedang dilakukan oleh bekas jurulatih Kedah & bekas penolong jurulatih Harimau Muda A, saudara Azman Hj Eusoff dengan kerjasama Mans Sports & Event Management. Kehadiran Zinedine Zidane ke Kedah bakal memberi peluang kepada anak-anak muda yang kurang bernasib baik serta miskin untuk mendampingi pemain ini di samping beraksi dalam satu perlawanan amal di Stadium Darulaman. Di antara program yang sedang diatur di sepanjang kehadiran beliau ke Kedah ialah klinik bolasepak bersama anak-anak muda dari serata daerah di negeri Kedah di satu lokasi yang akan diputuskan nanti oleh pihak penganjur. Di samping itu, kemuncak kehadiran beliau ialah satu perlawanan bolasepak yang menampilkan aksinya bersama peserta-peserta terpilih dari klinik bolasepak yang dikendalikan menentang pasukan bekas-bekas pemain negeri Kedah Darul Aman. Selesai programnya di Kedah Darul Aman, beliau akan singgah di Kuala Lumpur untuk mengendalikan satu lagi klinik bolasepak bagi anak-anak miskin bandar di Bangsar sebelum berlepas pulang ke Perancis.
Walaubagaimanapun, kehadiran beliau ke Malaysia tertakluk kepada ruang jadual yang ada berikutan perlantikannya sebagai penasihat kepada pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid. Sama-samalah kita nantikan kehadirannya ke Kedah Darul Aman. Wallahu'alam.

Saturday, October 9, 2010

Nasib Si Jurulatih

Herdikan, cacian, maki hamun & segala kata-kata kesat adalah satu perkara yang lumrah dalam dunia jurulatih tatkala keputusan yang diperolehi tidak memihak kepada pasukan yang dibimbing. Apa saja yang dibuat semuanya tidak betul, seolah-olah apa yang dipandang & dinilai oleh penonton, peminat atau penyokong saja yang betul. Senario ini berlaku dan boleh dilihat di mana-mana sahaja. Lebih buruk lagi jika situasi ini berlaku akibat didalangi oleh individu atau pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi keadaan akibat tidak puas hati dengan sesuatu keputusan yang tidak memihak kepadanya.
Bercakap tentang bolasepak hari ini, pemain adalah aset utama yang perlu dilindungi oleh pengurusan mahupun persatuan atau kelab. Jurulatih hanyalah pelengkap kepada organisasi pasukan untuk melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan bagi menghasilkan kejayaan. Jika kejayaan tidak menyusul, maka kesalahan pastinya diletakkan ke atas bahu jurulatih kerana gagal menghadirkan kemenangan tanpa mengetahui akan masalah sebenar, kekurangan yang dimiliki pasukan di samping kelemahan yang mungkin timbul akibat kurangnya sokongan dari pelbagai faktor dari pihak pengurusan dan pentadbiran pasukan serta persatuan. Ini realiti!
Di Malaysia, kelab-kelab penyokong semakin ghairah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap jatuh bangunnya pasukan yang mereka dokongi. Namun begitu, dalam keghairahan mereka menyokong, ada yang sudah tergelincir dari matlamat asal 'menyokong' kepada meruntuhkan pasukan dan lebih buruk lagi ialah usaha untuk menyingkirkan jurulatih. Jauh dari situ ada juga yang berhasrat untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok pembuat dasar bagi menentukan hala tuju pasukan kerana merasakan suara mereka perlu didengar dan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk pasukan. Mungkin ada benarnya dalam sesuatu situasi pihak pengurusan telah tersalah pilih jurulatih dalam mengemudi pasukan kerana faktor-faktor tertentu tetapi kesalahan tidak boleh diletakkan kepada jurulatih, sebaliknya kepada pengurusan dan pentadbiran pasukan.
Pemain hari ini ditatang bagai minyak yang penuh. Apa yang mereka cakap dan lakukan memang benar belaka. Pemain hari ini boleh menentukan jatuh bangun seseorang jurulatih termasuk memilih jurulatih mana yang mereka suka atau selesa. Peminat, penyokong dan pengurusan pasukan lebih suka dan mudah mendengar 'keluhan' pemain daripada mendengar keluhan dan permasalahan jurulatih. Kenapa jadi begitu? Ini kerana pemain lebih mudah dihampiri, pemain lebih mesra dengan peminat berbanding jurulatih. Maka mudah untuk peminat, penyokong dan pengurusan mendengar 'masalah' yang mereka hadapi. Apa saja kenyataan atau alasan yang mereka beri (yang memihak kepada kelemahan mereka sendiri) diakui membabi buta sahaja oleh sebilangan besar yang mendengar. Tetapi siapa yang ingin mendengar keluhan jurulatih? Kakibola pernah mendengar cerita seorang sahabat tentang 'dongengan' seorang pemain kerana tidak sehaluan dengan jurulatih. Tetapi itu cerita versi pemain yang rapat dengannya kerana tinggal sekampung. Tetapi apabila jurulatih berkesempatan menceritakan versinya pula, maka baru difahami mengapa pemain tersebut bertindak demikian.
Dalam hal ini, berilah peluang kepada jurulatih untuk mencorak pasukan dan keputusan pasukan. Selamilah masalah jurulatih dan fahamilah kesukaran yang dilalui oleh insan bergelar jurulatih. Mereka tidak mampu memuaskan hati semua pihak dalam satu masa. Kepada para penyokong pasukan, janganlah dibuai akan mimpi kejayaan semalam kerana apa yang dilalui hari ini tidak sama dengan apa yang sedang dihadapi sekarang. Jadilah penyokong yang setia kepada pasukan kerana tidak ada seorang jurulatih atau pemain pun yang inginkan kegagalan. Wallahu'alam.

Friday, September 17, 2010

Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah 2010

Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah 2010 yang dijadualkan pada 30 Oktober 2010 nanti bakal menyaksikan penyertaan beberapa pasukan dari Thailand dan Singapura. Kejohanan yang akan dilangsungkan di Kompleks Sukan UUM di Sintok, Kedah Darul Aman adalah merupakan kejohanan edisi kedua di mana pasukan dari selatan Kedah, Alma Rangers FC telah muncul juara sulong manakala UiTM Arau pula tampil sebagai naib juara pada tahun lepas. Sementara itu Kulim FC menduduki tangga ketiga dan Padang Terap FC di tangga keempat.
Pengarah Kejohanan, Azman Hj Eusoff, menjangkakan kejohanan edisi ke-2 ini akan dapat menarik penyertaan lebih banyak pasukan berbanding tahun lepas bersandarkan kepada kejayaan dan kelancaran penganjuran yang amat baik pada kejohanan edisi pertama. Ditambah pula dengan kualiti padang perlawanan yang berkualiti tinggi yang terdapat di Kompleks Sukan UUM, penganjuran pada tahun ini dijangkakan dapat dijalankan dengan lebih baik. Pihak penganjur telah mengekalkan nilai hadiah yang sama pada tahun ini di mana juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5000.00 manakala naib juara akan memiliki hadiah wang tunai sebanyak RM3000.00. Manakala bagi pasukan yang gagal ke Final tidak perlu beraksi untuk berebut hadiah wang tunai bagi tempat ketiga dan keempat, sebaliknya akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM700.00 setiap pasukan dan pasukan yang gagal ke peringkat Separuh Akhir akan menerima imbuhan RM100.00.
Dari segi format pula, pertandingan ini mengekalkan format LIGA sepertimana di tahun sebelumnya di mana pasukan-pasukan yang mengambil bahagian akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan (mengikut jumlah penyertaan) dan setiap pasukan akan berpeluang beraksi sekurang-kurangnya 2 perlawanan. Ini bagi membolehkan setiap pasukan bersaing secara adil dan kompetitif khususnya kepada pasukan-pasukan yang datang dari jauh.
Setakat ini beberapa pasukan sudah pun membuat pengesahan awal akan penyertaan mereka dan beberapa pasukan lain telah pun menyatakan kesediaan mereka untuk mengambil bahagian. Pada tahun lepas, beberapa kelab dari Lembah Klang dan Perak turut serta di dalam pertandingan ini dan mengakui kualiti penganjurannya.
Menurut Azman lagi, beliau mengharapkan pertandingan bolasepak 9 sebelah ini akan dapat dikomersialkan sepertimana yang dilakukan kepada sukan futsal di mana pihak media memainkan peranan yang pro-aktif dalam mempromosikan sukan tersebut. Beliau amat berharap kejohanan edisi kedua ini akan menjadi pemangkin kepada penganjuran yang lebih baik dan menyeluruh dan tidak menolak kemungkinan kejohanan ini akan menjadi acara tahunan dan Pulau Pinang menjadi sasarannya selepas ini. Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah ini dianjurkan oleh Mans Sports & Event Management dengan kerjasama Pusat Sukan UUM. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober 2010.

Thursday, August 12, 2010

Perkongsian Pintar Dalam Bolasepak Malaysia

Baru-baru ini kakibola berkesempatan untuk menghadiri satu program anjuran Persatuan Bolasepak Kedah Aman (KFA) yang membincangkan tentang hala tuju mereka. Program yang dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN) dan Institut Pengurusan & Intergriti Negeri (INSPIN) itu telah diadakan di salah sebuah hotel di Alor Setar. Beberapa panel telah dijemput bagi menjayakan sesi forum termasuk saudara Windsor John Paul (bekas Pegawai Pembangunan FIFA), saudara Ahmad Khawari Isa (Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia) dan wakil kepada Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Dato Dr Ramlan Abdul Aziz manakala saudara Jasni Shafie sebagai moderator forum.
Kakibola merasakan initiatif yang diambil oleh KFA dalam menganjurkan program seumpama ini dengan mengumpulkan pelbagai lapisan pemikir dan penyumbang idea adalah sesuatu yang amat baik dan harus dipuji sesuai dengan keperluan KFA sendiri. Sekalipun terdapat sedikit kecacatan dalam penganjuran edisi sulung ini khususnya dengan ketidakhadiran ramai jemputan yang terdapat di dalam senarai, namun ianya tidak menggambarkan kegagalan penganjuran secara keseluruhannya.
Kakibola tertarik dengan pembentangan yang dibuat oleh saudara Windsor John Paul yang menggesa agar KFA khasnya dan Malaysia amnya supaya memiliki falsafah bolasepak sendiri sepertimana yang dimiliki oleh negara-negara yang maju dalam sukan ini. Untuk berjaya, Malaysia perlu memiliki falsafah sendiri bersesuaian dengan kemampuan teknikal, fizikal & latarbelakang agar ianya dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk dituruti di peringkat pembangunan remaja dan akar umbi. Dalam masa yang sama, kakibola turut melontarkan saranan samada KFA dan persatuan-persatuan bolasepak negeri (PBN) sudah bersedia untuk membuat satu anjakan transformasi bagi mengemaskinikan sistem pentadbiran dan pengurusan bolasepak profesional yang sedia ada. Kakibola mencadangkan agar KFA dan PBN mengadakan satu program perkongsian pintar atau 'smart partnership' dengan pihak-pihak korporat yang berminat untuk menyumbang ke arah kemajuan bolasepak negeri dan negara. Ianya ialah dengan PBN memberi laluan kepada kelab-kelab bolasepak swasta yang sedia ada untuk masuk menggantikan pasukan negeri khususnya negeri-negeri yang manghadapi masalah kewangan. Sebagai CONTOH, untuk mengelak dari menanggung beban kewangan yang tinggi oleh kerajaan negeri atau agensi di bawahnya, KFA boleh mempelawa NAZA yang sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Malaysia untuk mewakili mereka. NAZA diakui mempunyai sumber kewangan yang kukuh mampu menyuntik sumbangan dana yang baik untuk program pembangunan bolasepak secara berterusan. Sudah tentu apabila sektor korporat seperti NAZA mengambil alih pengurusan dan pentadbiran persatuan, mereka memerlukan 'orang-orang mereka' yang lebih competent dan efisyen untuk berada di dalam pejabat KFA bagi memastikan setiap urusan berjalan dengan baik dan profesional. Maka dengan itu, Ahli Majlis atau Ahli Jawatankuasa yang sedia ada di dalam persatuan perlu 'berkorban' untuk memberi laluan kepada tenaga profesional masuk mengambil tempat mereka dalam aspek pentadbiran persatuan, pengurusan pasukan dan juga dalam membuat pelbagai keputusan yang berkaitan, sekali pun tindakan ini bakal menjadikan mereka (Ahli Majlis atau Ahli Jawatankuasa) tidak popular.
Kakibola penuh yakin, perkongsian pintar seumpama ini tidak akan memberi kerugian kepada mana-mana pihak, sebaliknya memberi pulangan yang baik demi kemajuan dan kemantapan pasukan dan bolasepak itu sendiri asalkan niat yang ada hanyalah untuk melihat bolasepak itu maju dan terus maju. Wallahu'alam.

Wednesday, July 21, 2010

A Journery To An End (Ep 1) - Menyertai Rejimen Wisma FAM

"Hello..are you sure that they will accept me to join you? I've been so vocal against them. I'm afraid that I'm not welcome to be part of your team". Itulah antara barisan ayat yang masih aku ingat ketika berbicara dengan sahabatku Mohd Azraai Khor Abdullah ketika tawaran untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad Harimau Muda A disuarakan. Aku seperti tidak percaya bahawa aku bakal menjejaki pusat pentadbiran bolasepak negara di Kelana Jaya kerana tidak pernah aku impikan betapa aku bakal menjadi jurulatih sebuah pasukan kebangsaan. Apapun itulah realitinya - betapa keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh seorang jurulatih ternama yang telah berjaya membimbing pasukan Kedah untuk menjuarai "double treble" dalam kancah pertandingan bolasepak di Malaysia.
Setelah berbincang dengan pembantuku yang setia di Universiti Utara Malaysia (UUM), Izham Mustaffa, dan merujuk kepada boss ku, Tuan Haji Shafferi Rejab, di Pusat Sukan UUM, maka aku bertekad untuk menyahut cabaran demi negara. Hatiku berat bercampur sayu untuk meninggalkan kampus UUM di Sintok, Kedah kerana telah berasa cukup selesa dengan kehidupan bersama warga universiti yang telah aku corakkan masa depan bolasepak mereka. Apapun demi negara, ku gagahkan juga bergerak menuju Kelana Jaya sekalipun menyedari pelbagai cabaran yang bakal aku harungi. Maka pada tanggal 14 Disember 2009, aku mula menjejakkan kaki ke Wisma FAM dan diperkenalkan kepada jurulatih penjaga gol, saudara Mohana Sundram Packirisamy dan 'anak-anak harimau' dalam satu sesi latihan. Kagum dengan kelibat mereka dengan skil dan teknik permainan yang tinggi, aku terfikir sejenak, alangkah bertuahnya aku kerana dapat membimbing dan melatih anak-anak muda negara yang berkualiti tinggi ini dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia nanti. Apakah tugas yang bakal aku galas ini mampu memberi pulangan sepertimana yang diharapkan oleh segenap lapisan peminat setia dan penyokong bolasepak negara?
Tanggal 18 Disember 2009, aku menurunkan tandatanganku secara rasmi di atas 8 helaian kertas yang mengesahkan aku sebagai anggota kejurulatihan pasukan bolasepak B21 Malaysia atau lebih dikenali sebagai Harimau Muda A sehingga 13 Disember 2011.
bersambung di Episod seterusnya.....

Friday, July 16, 2010

Watak Utama Di Sebalik Kontroversi Menyepi?

Laporan akhbar 2-3 hari ini banyak berkisar tentang isu jurulatih Harimau Muda A yang "ditamatkan tugas" dan "meletak jawatan". Isu ini dikaitkan dengan pertelingkahan dan perselisihan faham di antara jurulatih pasukan B21 negara. Laporan media menggambarkan seolah-olah ketiga-tiga jurulatih tidak sehaluan dalam menjalankan tugas masing-masing. Namun hakikatnya yang sebenar tidak digambarkan langsung apabila watak utama di sebalik segala kemelut yang melanda tidak ditonjolkan. Kakibola ingin menjelaskan betapa aku tidak terlibat langsung dalam kemelut perselisihan faham yang melanda pasukan Harimau Muda A semasa di Slovakia. Sebaliknya kakibola hanya menjadi mangsa keadaan akibat rasa tidak puas hati individu yang sememangnya tidak wajar berada dalam satu pasukan yang sedang berusaha melakar sebuah kejayaan.
Kalau tidak kerana kebijaksanaan pelakon utama yang menyediakan skrip sendiri untuk diuar-uarkan di Wisma FAM dalam menjatuhkan orang lain demi menyelamatkan diri sendiri, apa yang sedang melanda barisan kejurulatihan dan juga pasukan Harimau Muda tidak akan sampai ke tahap ini. Setakat ini hanya dua watak sahaja yang ditonjolkan dan digembar-gemburkan oleh media seolah-olah inilah individu yang meranapkan harapan pencinta bolasepak Malaysia, sedangkan yang melakar segala angkara, menyembunyi dan menyepikan diri, ketawa berdekah-dekah di sebalik tabir tanda berpuas hati yang amat sangat. "Alang-alang aku disingkirkan, baik diseret sama mereka berdua". Lebih malang, perkara ini dilakukan ketika kakibola sedang bercuti, meluangkan masa bersama keluarga.
Kakibola tidak berhasrat untuk membabitkan 0rang lain di sini cuba sekadar ingin menjelaskan betapa kakibola tidak terlibat dalam episod pertelingkahan ini dan ingin membersihkan segala tanggapan negatif. Kakibola sebaliknya berperanan sebagai orang tengah yang cuba meredakan keadaan demi menjaga keharmonian pasukan serta untuk menjaga nama baik bolasepak negara. Saksi kepada semua keadaan ini adalah "anak-anak harimau", 2 chef yang bertugas serta Allah swt. Namun agak malang di atas segala bantuan yang dihulurkan, ini balasan yang dipulangkan. Apapun kakibola redha dengan segala ketentuan dan mengakui setiap yang berlaku itu Allah janjikan hikmah disebaliknya. Kakibola mengharapkan dengan penjelasan ini, akan membersihkan aku dari penglibatan dalam apa juga keadaan serta memberi ruang agar para pemerhati mampu membuat tafsiran dan penilaian sendiri.
Kepada individu yang mendokong watak utama di sebalik kemelut ini, kakibola ucapkan jutaan terima kasih di atas segala "jasa baik" yang dihulurkan dan menjadi seorang kawan yang "setia" di sepanjang 6 bulan menggalas tugas sebagai jurulatih. Wallahu'alam.

Wednesday, July 7, 2010

A Journey To An End

Kakibola amat gembira bercampur ghairah apabila dimaklumkan bahawa pasukan bolasepak B21 negara (Harimau Muda A) bakal menyertai Liga 1 Slovakia. Peluang pendedahan seumpama ini amat dinanti-nantikan apatah lagi selepas pasukan remaja negara dinafikan penyertaan mereka dalam Liga M. Maka berangkatlah seluruh gerombolan wira muda negara berserta 3 jurulatih ke Slovakia pada tanggal 20 Februari 2010.
Setibanya pasukan di Slovakia, kakibola dan anggota pasukan ditempatkan di Hotel Vion yang terletak di daerah Zlate Moravce yang juga merupakan pengkalan kepada Vion FC. Ketibaan pasukan disambut dengan cuaca sejuk (penghujung musim salji di Eropah). Persiapan berjalan seperti biasa cuma faktor kesuntukan masa bagi menyesuaikan diri dengan cuaca dan persekitaran adalah halangan utama menjelang perlawanan pertama. 4 perlawanan dilalui dan keputusan tidak begitu memberangsangkan. Namun itu bukanlah kayu ukuran prestasi pasukan kerana TUJUAN UTAMA ialah untuk mendedahkan para pemain dan menimba sebanyak mungkin pengalaman di peringkat antarabangsa. Selepas 4 perlawanan, Ladislav Totkovic (bekas jurulatih beberapa kelab di Slovakia) dilantik sebagai Penasihat Teknikal bagi menasihati barisan kejurulatihan tentang aspek kekuatan dan kelemahan pasukan pasukan yang bakal dihadapi nanti.
Hari demi hari berlalu dengan saban waktu ada sahaja topik bolasepak semasa (tempatan mahupun antarabangsa) yang diperdebatkan. Namun tidak pernah walau sedetik, kakibola menyangkakan perbincangan umum di meja makan bakal menjadi racun pemusnah. Bahan bualan umum yang dijadikan senjata makan tuan akibat dituduh menghina, melacurkan keburukan bolasepak negara, menuduh dan pelbagai yang negatif. Angkara manusia durjana mana dan jenis apakah yang sanggup membunuh 'kawan' dengan tohmahan sedemikan keji? Perbalahan di antara dua individu yang turut menyeret orang lain ke dalam kemelut yang tiada langsung kena mengena dalam hal ini. Allah, para pemain dan 2 chefs menjadi saksi terhadap segala kemelut, kepayahan dan kesulitan yang kakibola alami dalam memelihara keharmonian pasukan dari menjadi lebih buruk. Namun malang sekali apabila bantuan dan sokongan yang diberikan, lebur demi menutup kehinaan diri.
Maka tanggal 31 Mei, pulanglah anak-anak harimau ke tanahair dengan harapan untuk meneruskan program latihan. Namun tidak disangka, penghijrahan sementara ke bumi asing (Slovakia) merupakan penamat kepada sebuah pengembaraan yang baru bermula. Kini masanya kakibola kembali mencongak masa depan bagi menyambung satu perjalanan yang masih jauh. Titik noktah semakin hampir dan kini cuma menunggu saat penghakiman dimeterai. Wallahu'alam.

Thursday, April 8, 2010

Final Piala FA - Perang Ganjaran Bermula

Final Piala FA edisi 2010 yang akan berlangsung Sabtu ini (10 April 2010) di Stadium Nasional, Bukit Jalil telah menyemarakkan suasana bolasepak di negara kita. Pertemuan di antara Negeri Sembilan menentang Kedah adalah satu perlawanan akhir yang dijangka akan mencetuskan senario baru bolasepak Malaysia. Apa tidaknya, kerana ini adalah kali pertama kedua pasukan bertembung di pentas final dan sudah tentu Stadium Nasional akan menyaksikan gabungan warna baru mencorak senario di sekeliling stadium.
Sudah menjadi resam apabila setiap kali tibanya final sesuatu pertandingan, pasukan-pasukan terbabit melalui presidennya atau ketua eksekutif negerinya sibuk dengan pengisytiharan ganjaran kemenangan jika berjaya membawa pulang piala yang dipertandingkan. Samada soalan ini dibangkitkan oleh media atau sememangnya pengisytiharan ini sengaja ditimbulkan untuk meningkatkan populariti pemimpin atau persatuan, hanya mereka yang tahu. Tetapi apakah pengisytiharan ini perlu? Atau apakah para pemain dan pegawai pasukan dahagakan pengisytiharan seumpama itu untuk meningkatkan semangat mereka ketika bersaing di pentas final? Kakibola penuh yakin, para pemain yang memiliki semangat profesionalisme yang tebal di dalam diri dan jiwa, tidak memerlukan pengisytiharan seumpama itu untuk menyuntik semangat perjuangan mereka. Perjuangan mereka adalah tulin dan mereka akan berjuang habis-habisan di atas padang. Tanya pemain-pemain Negeri Sembilan dan tanyalah pemain-pemain Kedah. Akan menjadi lebih malang apabila janji yang asalnya untuk menaikkan semangat mereka ketika final menjadi runtuhan moral yang tidak terhingga gara-gara kegagalan pemimpin persatuan menunaikan janji-janji mereka. Sudah lama dan sudah banyak kakibola dengar rintihan dan keluhan para pemain akan janji-janji masam yang dilontarkan oleh para pemimpin persatuan bolasepak. Tanyalah kepada mereka yang pernah beraksi di pentas final dalam banyak pertandingan yang dipertandingkan di negara kita. Tanya pemain Trengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan, Selangor dan juga pemain-pemain kebangsaan. Mereka sudah melalui dan merasai keperitan menunggu sesuatu yang yang sepatutnya menjadi hak mereka tetapi tidak dihormati.
Alangkah baiknya jika ditanamkan semangat berjuang untuk kemenangan di kalangan atlit kita daripada terus bergantung kepada suntikan ganjaran semata-mata untuk berjaya. Memang tidak dinafikan ganjaran itu perlu dan ganjaran itu penting sebagai menghargai pengorbanan mereka tetapi biar kejayaan itu dikecapi dulu dan bukannya sebelum melangkah ke medan juang. Wallahu'alam.

Wednesday, March 31, 2010

Prasarana Sederhana, Manafaat Besar












Kali pertama kakibola menjejakkan kaki di bumi Slovakia, kakibola teruja dengan keindahan panorama yang meliputi lanskapnya. Di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna menuju ke hotel penginapan di Zlate Moravce, terbayangkan bagaimana keadaan kelab FC Vion yang bakal menjadi kediaman kami di sepanjang 3 bulan berkelana. Setibanya pasukan di Hotel Vion setelah perjalanan yang mengambil masa hampir 2 jam, kakibola terpegun dengan pelbagai kemudahan yang tersedia dalam sebuah bangunan yang cukup sederhana. Dengan keluasan sekitar 3 hektar, ia merangkumi sebuah kompleks yang terdiri daripada hotel 3 bintang dengan 31 bilik penginapan yang sederhana tapi amat selesa, sebuah stadium yang baik dengan kapasiti penonton 4000 orang, 2 padang latihan (astroturf dan rumput) dan sebuah padang sederhana saiznya untuk latihan penjaga gol dan aktiviti memanaskan badan. Padang latihan ini digunakan mengikut keadaan cuaca yang berbeza-beza dan diselia rapi oleh petugas yang komited terhadap mutu padang.
Di dalam kompleks utama terdapat hotel penginapan, pejabat pentadbiran kelab, restoran, jimnasium, sauna, kolam renang (yang boleh dikawal suhu airnya), sauna, jacuzzi dan bilik urut serta 2 gelanggang tenis yang boleh diubah cara penggunaannya (tertutup ketika musim salji atau terbuka). Lebih menarik ialah bilik persalinan pasukan terletak di bangunan yang sama dan menghubungkanya ke stadium melalui laluan bawah tanah. Inilah yang sepatutnya dimiliki oleh pasukan-pasukan bolasepak "profesional" di Malaysia. Dengan infrastruktur yang ringkas dan mudah tetapi dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh warga bolasepak di sekitar daerah Zlate Moravce. Selain daripada pasukan profesionalnya, kemudahan di kompleks ini turut digunakan oleh pasukan pelapis dan akademi remajanya selain daripada program-program yang berkaitan bolasepak anjuran FC Vion atau Persatuan Bolasepak Slovakia. Mungkin inilah yang sering diperkatakan oleh bekas pemain kebangsaan dan juga jurulatih remaja FC Bayern Munich, saudara Lim Teong Kim. Jika bolasepak Malaysia ingin maju, kemudahannya perlu tersedia dan bukan seperti melukut di tepi gantang.
Di Malaysia, prasarana bolasepak cukup hebat dengan stadium yang gah besarnya tetapi penggunaannya amat terbatas dan bukan dimiliki oleh kelab itu sendiri sebaliknya terpaksa disewa untuk perlawanan dan latihan. Sehingga kekadang timbul soal sewa yang tidak berbayar. Apakah Persatuan Bolasepak Negeri dan kelab bolasepak "profesional" di Malaysia amat ketandusan idea dan sumber untuk mengujudkan sebuah kemudahan sukan yang ringkas seperti di FC Vion ini? Rasanya tidak tetapi lebih suka mengambil pendekatan mudah dengan menyewa, menumpang atau meminjam padang-padang yang terdapat disekitarnya. Maka selagi kemudahan seumpama ini tidak disediakan maka selama itulah aspek pembangunan akan terabai. Mungkin juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh mencontohi model kompleks sukan FC Vion ini atau mana-mana kelab lain yang tidak memerlukan sebuah kompleks yang gah besarnya tetapi mampu dimanafaatkan sepenuhnya oleh warga bolasepak. Wallahu'alam.

Tuesday, March 30, 2010

Langkah Yang Hampir Tapi Berliku

Pertama sekali salam buat semua yang sentiasa mengikuti nukilanku yang tidak seberapa melalui blog ringkas ini. Setelah sekian lama menyepikan diri dari menukilkan coretan-coretan nakal di sini, kini aku kembali. Kakibola lupa akan kata laluan di blog ini akibat daripada pertukaran kata laluan setelah blog ini dicerobohi.
Tanggal 16 Disember 2009 kakibola memulakan tugas di pejabat pentadbiran bolasepak negara di Kelana Jaya. Setelah dipelawa oleh sahabat karib yang juga mentorku, akhirnya kakibola menjadi sebahagian daripada warga Wisma FAM di Aras 1. Terasa teruja untuk menjadi jurulatih kepada sebuah pasukan kebangsaan yang memiliki ramai anak-anak muda yang berpotensi dan berkaliber untuk mengibarkan bendera negara di puncak tertinggi, insyaAllah. Namun jujurnya, kakibola tidak pernah bermimpi untuk menjadi jurulatih sebuah pasukan kebangsaan kerana menyedari kemampuan yang tidak seberapa. Kini, badan sukan yang sebelum ini menjadi sasaran kritikan pedas telah bertukar menjadi majikanku.
Apakah aku masih mampu untuk mengekalkan prinsipku untuk terus mengkritik badan bolasepak negara demi kemajuannya atau aku akan bertukar menjadi lalang yang sekadar menari mengikut arah tiupan angin? Apakah aku perlu menutup kelantangan mulutku atau terus menyuarakan teguran dan kritikan demi melihat sukan yang amatku minati ini maju ke hadapan? Ada di kalangan rakan-rakanku yang mula meragui ketegasanku dalam menyuarakan pendapat dan pandangan setelah aku menyertai rejimen FAM. Mana mungkin aku mampu menegur insan-insan angkuh yang menguasai rumah usang di Kelana Jaya yang kini menjadi tempat aku mencari rezeki.
YANG PASTI, TEGURAN AKAN TETAP DISUARAKAN, KRITIKAN AKAN TETAP DILEMPARKAN, YANG SALAH TETAP AKAN DIPERBETULKAN. Kalau dulu aku di luar hanya mampu menjadi anjing salakkan bukit, tapi kini aku sudah berada di dalam, maka ruang untuk menegur, mengkritik dan memperbetulkan sudah berada di landasan, maka insyaAllah akan kugunakan sepenuhnya demi bolasepak Malaysia. Namun segala yang bakal aku lontarkan, terserah pada mereka yang berkuasa untuk menilai dan menerimanya. Wallahu'alam.

Tuesday, January 19, 2010

Harimau Muda A Digantung Tak Bertali

Keputusan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) untuk menolak penyertaan pasukan Harimau Muda A (B21) negara ke Liga Singapura (S-League) memberi tamparan yang hebat kepada keseluruhan anggota pasukan remaja tersebut. Setelah ditolak penglibatan mereka dalam Liga Super bagi memberi laluan kepada Pahang, kini anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah terkapai-kapai bagai kapal tanpa haluan. FAS atau S-League sebaliknya menerima dua buah kelab dari China (Beijing Guo'an) dan Perancis (Etoile) bagi melengkapkan jumlah pasukan yang menyertai liga mereka. Kini ke manakah arah tuju pasukan remaja negara yang berpotensi tinggi ini?
Bagi kakibola, ini adalah satu situasi yang amat merumitkan kepada keseluruhan anggota pasukan. Kesan daripada keputusan salah yang diambil kini telah mengakibatkan 25 pemain remaja yang memiliki potensi besar digantung tak bertali - tidak dapat mewakili negeri/kelab dalam mengharungi persaingan Liga Malaysia dan tidak mempunyai pertandingan untuk disertai bagi mengekalkan tahap kompetitif mereka. Kakibola merasakan adalah lebih baik pemain-pemain ini dilepaskan ke pasukan-pasukan negeri masing-masing bagi membolehkan mereka meneruskan kesinambungan kecemerlangan sepertimana yang telah dicapai sebelum ini. Manakala bagi pemain-pemain yang kurang berpotensi untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Liga Super/Premier, mungkin mereka boleh diserapkan dengan pasukan Piala Presiden yang mana keseluruhan mereka masih layak berdasarkan kepada kelayakan umur. Dalam masa yang sama, Persatuan Bolasepak Malaysia harus bingkas bangun dari tidur emas mereka bersama pasukan B23 negara kerana ini adalah barisan pelapis terbaik bagi menggalas cabaran negara bagi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA di Bandung. Jangan sampai pisang berbuah lebih dari sekali. Wallahu'alam.

Tuesday, January 5, 2010

LATIHAN di England? Pertimbangkan semula..

Keputusan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk meneruskan juga cadangan menghantar pasukan bolasepak B23 negara ke Eropah di sebalik tentangan dan bantahan pelbagai pihak, seharusnya diberi pertimbangan semula. Apatah lagi dengan England sebagai haluan yang dituju. Ramai pihak yang telah mengulas termasuk tokoh-tokoh bolasepak negara dan majoriti berpandangan cadangan ini tidak praktikal. Perlu diakui Pak Menteri Sukan kita kurang arif dalam hal ehwal bolasepak, maka dengan itu beliau perlu dinasihati dengan betul dan tepat agar apa yang diusahakan nanti menepati matlamat yang diharapkan dan yang paling penting nilai wang yang dibelanjakan benar benar berbaloi. Jika benar perlunya didedahkan di luar negara, apakah pemilihan pasukan B23 negara adalah pilihan yang tepat? Adakah destinasi (England) yang dituju memang bertepatan? Apakah kaedah BERLATIH DI LUAR NEGARA yang ingin dilaksanakan itu menepati kehendak pembangunan bolasepak kita?
Bagi kakibola, cadangan Pak Menteri untuk mendedahkan pemain negara ke Eropah, amatlah dialu-alukan apatah lagi dengan aspirasi untuk menjulang pasukan bolasepak negara ke peringkat yang lebih tinggi selepas memenangi emas di Sukan SEA Laos. Namun begitu, kakibola merasakan barisan pemain yang wajar mendapat pendedahan ini adalah pemain-pemain yang sedang mewakili pasukan Harimau Muda (B19 dan B21) memandangkan usia mereka yang jauh lebih muda. Rasionalnya ialah mereka juga yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan SEA 2011 di Bandung dan kelayakan Olimpik 2012 di Manchester. Jadi apakah perlu pasukan B23 yang dihantar berlatih sedangkan mereka sudah punyai komitmen dengan pasukan dan kelab masing-masing dalam Liga Malaysia. Selain dari itu, hasrat Pak Menteri yang ingin menghantar barisan pemain negara ke Eropah hanya untuk tujuan latihan memang tidak praktikal. Bayangkan mereka berada di luar negara hanya untuk latihan tetapi tidak dapat beraksi secara kompetitif. Apa sudah jadi dengan beberapa pemain negara yang pernah dihantar hanya untuk tujuan latihan? Taraf permainan mereka masih juga sama dan mendatar dan lebih buruk lagi jika tahap permainan mereka lebih rendah dari pemain-pemain tempatan yang tidak pernah mendapat pendedahan luar. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak yang beriya benar nak menghantar pemain ke luar ialah dengan mendapatkan "kerjasama" serantau melalui penempatan pemain di dalam liga negara-negara ASEAN dan Asia, memandangkan Liga Malaysia sudah tidak mengizinkan pemain luar beraksi. Setidak-tidaknya pemain-pemain negara boleh beraksi pada tahap yang kompetitif dan mampu mempelajari gaya dan corak permainan negara luar sepertimana berlakunya "perpindahan teknologi" bolasepak Eropah ke Afrika. Dengan hanya menghantar pemain untuk tujuan berlatih, ianya ibarat menghasilkan "kuda tari" daripada menghasilkan "kuda perang". Perlu diingat dan diketahui bahawa kelab-kelab bolasepak Eropah amat mengambil berat soal kualiti. Mereka tidak memerlukan pemain kita di sana sebaliknya memerlukan wang kita untuk kepentingan mereka. Dalam hal ini, janganlah kita membuang masa tergila-gila nakkan pemain kita berlatih di sana sedangkan sebelah mata mereka pun tidak pernah memandang pada kita.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu realistik dalam merangka satu program pembangunan yang berkesinambungan dan bukan hanya untuk satu jangka masa yang singkat. Kakibola tertarik dengan ulasan bekas pemain kebangsaan dan juga penolong jurulatih pasukan bawah 20 tahun Bayern Munich, Lim Teong Kim yang menyatakan bahawa pembangunan terbaik pada peringkat ini ialah penyediaan prasarana yang baik dan lengkap bagi membawa lebih ramai pemain berbakat untuk diasuh dan dididik dengan lebih sistematik dan teratur. Dari sudut lokasi yang dipilih pula, mengapa England? Mengapa tidak Perancis, Belanda atau Jerman yang sudah terbukti program pembangunan mereka berjaya menghasilkan pemain-pemain remaja yang berkualiti dan berdaya saing? England sendiri telah mengakui betapa program pembangunan mereka gagal dan sudah ketinggalan. Jadi mengapa perlu kita ke England untuk berguru? Masalah bahasa? Bolasepak memiliki aura tersendiri dalam mendekatkan manusia sejagat dan bahasa bolasepak adalah bahasa universal biarpun dalam bahasa apa sekalipun ianya dipertuturkan, maka seharusnya niat untuk menghantar pemain kita berguru ke England dipertimbangkan semula.
Apapun, sebarang niat yang baik demi kemajuan bolosepak negara amatlah disanjung cumanya bak kata jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal, biarlah segala peruntukan yang disalurkan atas nama pembangunan diurus dengan baik, bijak dan telus agar manafaatnya dapat dikecapi oleh mereka yang benar-benar layak. Wallahu'alam