Saturday, January 10, 2009

Kembalikan Kemeriahan Liga Malaysia

Sedang kakibola asyik menonton satu perlawanan bolasepak dalam Liga Malaysia baru-baru ini, tiba-tiba kakibola dikejutkan dengan sapaan pemberita dari Unit Sukan RTM untuk ditemuramah. Persoalan yang diajukan ialah bagaimana kemeriahan Liga Malaysia boleh dikembalikan dan perbezaan pemain Liga Semi Pro dan Liga Profesional. Teruja juga kakibola nak menjawab.
Pada pandangan peribadi kakibola, kemeriahan bolasepak dalam Liga Malaysia ini boleh dilakukan tanpa mengenepikan aspek komersial. Perkara ini pernah disuarakan kepada pihak yang berkaitan malangnya bola yang kempis tak mampu berputar untuk sampai ke pihak berkenaan maka ianya tersadai di tepi jalan. Aspek komersial penting dalam sesebuah liga profesional dan ianya berlaku di mana-mana. Publisiti penting tetapi di Malaysia yang mendapat tempat utama ialah liga luar negara. Kakibola masih ingat lagi, liputan Piala Sumbangsih tidak mendapat tempat langsung dalam akhbar berbahasa Inggeris. Jika publisiti kurang mana mungkin peminat dapat mengikuti perkembangan semasa liga tersebut. Pemain import yang berkualiti tidak kurang juga peranannya dalam menarik minat penonton dan penyokong untuk hadir ke stadium. Apa maknanya sebuah liga profesional jika stadium kosong atau disaksikan hanya puluhan atau ratusan penonton? Kan lebih layak untuk main di padang tepian jalan saja?
Kakibola diajukan pula seterusnya tentang kualiti pemain dalam dua era yang berbeza, Liga Semi Pro dan Liga Profesional negara kita. Baki kakibola mudah saja, pemain era semi profesional memiliki kemahiran teknikal yang tinggi manakala pemain era profesional, sebilangan besarnya tidak memiliki keupayaan teknikal langsung. Hanya berlari, berlari dan terus berlari, ala pemilihan pelatih siri realiti sukan terulung MyTeam yang dimulakan dengan acara larian. Maka layaknya mereka yang sedang beraksi dalam Liga Profesional sekarang digelar sebagai "Pekerja Bolasepak" dan bukannya pemain bolasepak. Situasi ini berlaku kerana aspek pembangunan diabaikan secara total. Pertandingan di peringkat remaja pula lebih menekankan kepada keputusan dan bukannya pendedahan. Maka pemain-pemain yang lambat mencapai proses kematangan akan tercicir sedangkan mereka adalah di kalangan yang memiliki keupayaaan teknikal yang baik.
Kakibola ingin menyarankan kepada FAM dan Persatuan Bolasepak negeri agar mengenepikan pertandingan yang menekankan kepada aspek keputusan ala mee segera. Hapuskan pertandingan yang berorientasikan hadiah kemenangan sebaliknya ditekankan aspek pendedahan, barulah pasukan-pasukan akan terus memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang berterusan. Pertandingan yang dilakukan lebih menjurus kepada pendedahan dan pembangunan dalam membentuk kematangan, kekuatan mental dan fizikal pemain serta memiliki aspek pembelajaran perlu diberi penekanan. Maka dengan itu, kakibola yakin, pemain yang bakal mewakili negara nanti mampu bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa, insyaAllah. Wallahualam.

Pengurus Pasukan Kedah - Gila Jawatan Tapi Tak Mau Bekerja?

Kakibola amat bersimpati dengan teman-teman rapat di negeri Jelapang Padi dengan kemelut masalah yang dihadapi oleh pasukan sang Kenari yang hingga sekarang masih menghadapi masalah pengurusan pasukan. Keputusan perlawanan juga tidak menyebelahi mereka apabila telah tewas kepada Selangor dan Negeri Sembilan, 1-4 dan 0-3 dalam 2 perlawanan awal mereka.
Sebelum ini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah memutuskan untuk mengekalkan Datuk Othman Abdul Aziz selaku Pengurus Pasukan bagi musim 2009 berdasarkan kepada "kontrak' yang telah ditandatanganinya sehingga Jun 2009. Walaubagaimanapun laporan akhbar memetik saudara Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai tidak bersetuju dengan pengurus tersebut atas alasan tidak mendapat kerjasama di samping sering membelakangkan barisan kejurulatihan dalam banyak keputusan. Yang paling dipertikaikan ialah keputusan Datuk Othman Abdul Aziz yang telah melepaskan 2 pemain harapan pasukan tersebut, Bunyamin Omar dan Zainur Fitri. Situasi ini jelas bahawa pengurus pasukan hanya mementingkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan pasukan. Kakibola yakin kejayaan yang dikecapi pasukan Hijau Kuning banyak terletak kepada kesungguhan dan kebijaksanaan jurulatih dan kesungguhan pemain untuk mencapai kejayaan.

Persoalannya di sini apakah motif sebenar Tok Man Aziz bermain tarik tali dalam isu jawatannya sebagai pengurus pasukan? Awalnya beliau mengumumkan penarikan diri kerana tidak akan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri yang memerintah negeri Kedah sekarang kerana perbezaan politik dan kemudiannya menarik balik keputusan itu dan mengumumkan untuk meneruskan jawatannya kerana masih terikat dengan kontraknya. Bagi kakibola, kalau dah rasa takkan dapat bekerjasama dengan pimpinan negeri dan juga tidak yakin akan dapat memberi komitmen yang padu kepada pasukan, elok tarik diri jer la. Jangan pertaruhkan maruah pasukan kerana cita-cita peribadi dan membuatkan keseluruhan pasukan dicemuh oleh peminat setia Hijau Kuning yang tidak faham apa apa akan kemelut yang melanda pasukan kesayangan mereka. Di pihak kepimpinan tertinggi KFA, renung-renungkanlah masalah pasukan, jangan kerana hanya ingin menjaga hati sesetengah pihak yang berkepentingan, kehendak pasukan terabai. Pada mereka yang punya cita-cita dan agenda tersembunyi pula, janganlah diambil kesempatan dalam kegawatan ini untuk menikam dari belakang. Wallahualam.

Sunday, December 7, 2008

Sikap Tegas FAM - Polis Kembali ke Liga Super

Naik mual KakiBola baca berita dan kenyataan FAM tentang penerimaan semula Polis ke dalam Liga Super. Mual yang dah tak mampu nak di luahkan dengan perkataan. Asalnya Polis mengambil keputusan untuk menarik diri dari Liga Super gara-gara kegagalan menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi musim 2009 tetapi menarik balik keputusan itu dan akan terus menyertai. Di pihak FAM yang dikatakan "tegas" telah menghukum Persatuan Bolasepak Polis sebanyak RM10,000.00 kerana penarikan diri dan telah menghadiahkan Persatuan Bolasepak Kelantan dengan kenaikan ke Liga Super menggantikan mereka.

Tup tup...berita hari ini menceritakan sebaliknya akan ketegasan FAM dalam menghukum dan mengambil tindakan ke atas pasukan-pasukan "tepi jalan" dalam mengambil bahagian dalam Liga Profesional Malaysia. Kalaulah hal ini berlaku ke atas kelab lain, entah apa la kesudahannya. "FAM Never Learn and Will Never Improve". Lepas ini apa lagi FAM? Wallahualam

Thursday, November 6, 2008

Tahniah Presiden PFA

KOSMO 6 November melaporkan Dato' Seri Shahidan Kassim, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) telah mencagarkan wang simpanannya untuk menjelaskan tunggakan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini satu tindakan yang terpuji dan membuktikan sikap tanggungjawab seorang pemimpin sebuah persatuan yang akan mengambil apa saja pendekatan bagi memastikan masalah yang dihadapi persatuan yang dipimpinnya dapat diselesaikan. Inilah pengorbanan yang diambil oleh YB Dato Seri Shahidan dalam menangani kemelut hutang wang caruman KWSP pemain-pemain PFA.
Apa yang diharapkan ialah tindakan ini bukan sekadar satu publisiti semata-mata tetapi satu komitmen tulin dan ikhlas seorang pemimpin. Mudah-mudahan tindakan ini akan dicontohi oleh persatuan-persatuan sukan yang lain, khususnya bolasepak dalam memelihara profesionalisme dan juga kebajikan para pemain yang telah bermati-matian mengerah keringat dan tenaga untuk memartabatkan pasukan masing-masing. Wallahualam.

Saturday, November 1, 2008

Kemelut Rumah AFC - Apa Hal Ni?

Saban hari berita tentang kemelut perpindahan Rumah AFC sering diulas di media. Yang mengulas dan menulis adalah mereka yang telah lama berdampingan dengan sukan ini sejak sekian lama. Pelbagai pandangan yang dilontarkan dan yang jelas ialah kritikan terarah kepada Presiden AFC dengan menggambarkan sifat negatif dan ketamakan beliau untuk mengurustadbir AFC. Dalam pelbagai isu yang dikaitkan dengan perpindahan rumah AFC hanyalah 2 - isu kehadiran kelab EPL Manchester United ke Malaysia di ambang Piala Asia dan isu penganjuran bersama CYC oleh AFC dan GGL. Atau ada masalah lain ker?

Andai 2 isu ini yang dijadikan alasan atau kritikan di pihak FAM atau Malaysia amnya terhadap kepimpinan AFC dan keputusan mereka untuk memindahkan Rumah AFC ke luar dari bumi Malaysia, ada sesuatu yang janggal dan tidak kena. Kakibola merasakan FAM perlu melihat kelemahan sendiri dalam hal ini. Dunia bolasepak moden tidak terlalu bergantung kepada sejarah jadi untuk membangkitkan soal sentimen dan sejarah dalam hal ini, adalah salah. Akibat terlalu bergantung kepada sejarahlah bolasepak Malaysia tertinggal jauh. Seharusnya Malaysia sebagai negara yang mempelopori dan peneraju bolasepak Asia sudah maju meninggalkan jauh negara-negara lain, malangnya ia berlaku sebaliknya, kita tertinggal jauh.

Berbalik kepada 2 isu yang dimainkan, kakibola merasakan AFC di pihak yang benar apabila mereka tidak membenarkan FAM menerima kunjungan MU untuk mengadakan perlawanan persahabatan atau "exhibition match" di sini. Ia jelas bertentangan dengan perjanjian penganjuran Piala Asia yang dipersetujui dan ditandatangani oleh FAM dengan AFC. FAM seharusnya sedar akan syarat-syarat dan terma di dalam perjanjian itu. Jadi tak perlu dipertikaikan. Lagi pun kehadiran MU ke Malaysia hanya jelas menguntungkan pihak yang mempromosi acara ini sahaja tetapi bolasepak Malaysia tidak memperolehi apa apa pun melainkan aib di gelanggang sendiri dengan majoriti penonton yang hadir hanya melaungkan nama MU dan mengibarkan bendera MU. Bendera Malaysia dan FAM di mana? Itu jelas sewaktu kehadiran Chelsea. Isu penganjuran bersama CYC antara AFC dan GGL, ianya soal komersial yang perlu diguna sebaik mungkin oleh mana-mana penganjur. Jadi GGL memanafaatkan AFC untuk "milage" dan juga pulangan demi memastikan penganjuran menjadi yang terbaik. Ini yang FAM terlepas pandang dalam banyak "event" yang dianjurkan. Jadi kelemahan siapa?

Oleh itu, andai AFC merasakan bahawa rumahnya tak perlu berada di negara yang tetinggal dalam arus kemajuan bolasepak moden, maka tentu ada rasional dan alasan mereka yang tersendiri. Soal tuntutan atau syarat yang dikenakan bagi mana-mana pihak yang membida untuk menampatkan Rumah AFC di negara mereka, kakibola merasakan ianya sesuatu yang wajar sekalipun ada di antara tuntutan itu kelihatan agak keterlaluan. Namun dalam persaingan bolasepak moden, soal komersial dan pulangan perlu diambil kira. Status yang diminta oleh Presiden AFC telah lama dikecapi dan dinikmati oleh Presiden FIFA. Tak ada pula yang mempertikaikannya. Jadi kalau kita tidak mampu mememuhi apa yang diminta, relakan saja Rumah AFC dipindahkan. Dalam hal ini, kakibola tabik pendirian FAM yang tidak mahu membida dan biarkan saja Eksekutif AFC membuat keputusan. Wallahualam.

Saturday, October 25, 2008

Pestabola Merdeka Edisi ke 40


Salam sejahtera buat semua. Setelah agak lama menyepikan diri kerana kesibukan beberapa tugas penting, kini kembali untuk mengasah mata pena yang telah lama tersimpan. Kesepian arena bolasepak negara membuatkan saya juga menyepikan diri sehingga munculnya semula kehangatan Pestabola Merdeka yang melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan pasukan Vietnam menjuarai kejohanan edisi ke 41 dengan menewaskan pasukan negara 6-5 melalui sepakan penalti.
Tanpa ada niat memperkecilkan pasukan negara, namun apa yang disajikan oleh mereka dalam final semalam jelas menunjukkan kelemahan dan kedangkalan mereka dalam aspek psikologi dan kekuatan mental. Pemain Malaysia bermain mengikut arahan dan "buku" manakala pemain lawan bermain mengikut kesesuaian situasi dan ini hadir dari kreativiti dan kekuatan mental mereka. Pengalaman setahun kakibola di bumi Vietnam yang amat menyanjungi Karl Heinz Weigang, begitu kagum dengan kreativiti pemain-pemain muda Vietnam. Ini jelas melalui persembahan pemain bawah 23 Vietnam ketika beraksi menentang Malaysia. Kakibola kagum dengan pemain jersi 16 yang sering menganggu konsentrasi dan emosi pemain-pemain Malaysia.
Keghairahan pasukan negara menewaskan lawan satu demi satu pada peringkat awal dan separuh akhir, jelas tidak menggambarkan kualiti pasukan negara secara komprehensif. Kualiti pasukan lawan pada peringkat awal boleh dipertikaikan. Bermula dengan Nepal dan disusuli dengan Sierra Leone yang diwakili oleh pemain bawah 20 serta kemudiannya Afghanistan, tidak hairanlah mengapa peminat-peminat enggan ke stadium. Di pihak FAM, sekalipun ingin mengubah ranking negara ke tahap yang lebih baik, jangan pandang mudah akan aspek kualiti. Pendedahan luar negara yang diberikan hanya untuk pertandingan seumpama ini seharusnya diteliti semula. Akan hadir pelbagai alasan selepas ini, namun kita mengharapkan segala kelemahan yang terserlah dalam Pestabola Merdeka ini akan segera diatasi. Yang paling utama baki kakibola ialah betapa pentingnya aspek teknikal dan kekuatan mental serta kreativiti dititikberatkan dan bukan hanya sekadar arahan taktikal. Apapun untuk B.Sathianathan, tahniah kerana telah membuktikan jurulatih tempatan mampu melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan yang berpotensi. Wallahualam.

Monday, August 25, 2008

Kedah Juara Piala Malaysia 2008


Tahniah buat skuad Hijau Kuning yang muncul juara Piala Malaysia 2008. Kejayaan menjuarai Piala Malaysia ini adalah kejuaraan ketiga selepas memenangi Piala FA dan Liga Super sebelum ini. Tiada ungkapan kata kata yang dapat menggambarkan kehebatan pasukan pimpinan Mohd Azraai Khor Abdullah melainkan akur akan kemampuan mereka. Ini sekaligus menjadikan mereka untuk merangkul 3 kejuaraan berturut-turut.

Aksi final Piala Malaysia edisi 2008 ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat bolasepak kedua-dua buah negeri yang gah dengan kehebatan penyokong mereka. Kebanjiran hampir 60,000 penonton ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, kembali menjelmakan kehangatan bolasepak yang telah sekian lama sepi. Apapun tahniah juga kepada pasukan Selangor yang telah mempamerkan aksi yang baik dan menjadikan final ini sesuatu yang istimewa.

Sunday, August 10, 2008

Liga M 2009 Tanpa Pemain Import?






Peminat bolasepak negara telah maklum akan keputusan FAM untuk tidak membenarkan pemain import beraksi dalam Liga M 2009. Apapun rasional ke atas keputusan yang dibuat hanya mereka yang tahu. Pelik? Hairan? Setuju?

Bagi kakibola, keputusan yang dibuat adalah kurang bijak. Alasan kemerosotan bolasepak negara di samping ingin memberi peluang kepada pembangunan adalah satu alasan yang dangkal. Belum pernah terdengar liga profesional di negara lain yang prestasi bolasepak mereka merosot dengan hadirnya pemain import. Liga S dengan 5 pemain import telah berjaya meletakkan Singapura di tahap mengatasi Malaysia. Liga V juga telah meletakkan Vietnam sebagai sebuah kuasa baru bolasepak Asia selepas Jepun. Mampukah Malaysia tanpa pemain import. Dalam hal ini kakibola merasakan sistem kita yang tak betul, bukannya pemain. Malang sungguh nasih pemain bolasepak di Malaysia, asal tak kena saja, pemain yang menjadi mangsa. Apapun keputusan yang dibuat adalah lebih kepada sentimen dari lojik. Dalam hal ini kakibola merasakan FAM dan mana-mana pasukan negeri atau kelab yang menyokong usul ini sebagai tidak berwawasan dan hanya ingin gah di tempat sendiri sahaja. Dalam usaha kelab-kelab profesional memperkasakan diri dengan barisan pemain terbaik untuk mencapai penghormatan terbaik di rantau benua, kita hanya mahu disanjung dalam gelanggang sempit. Dah tak ada modal lain nanti, berbaliklah kita kepada legenda Mokhtar Dahari, Datuk Ghani Minhat dan kelayakan negara ke Olimpik Moscow. Itu semua sudah menjadi sejarah dan nostalgia, dalam kehidupan kita perlu mencongak ke hadapan dan sejarah sebagai pendorong semangat.

Dalam sudut komersial, bayangkan pasukan-pasukan beraksi tanpa kelibat pemain import. Alasan kemerosotan bolasepak negara kerana kehadiran pemain import adalah satu alasan yang tidak dapat diterima. Soal kualiti pemain import dalam Liga M bukannya salah pemain itu sendiri sebaliknya kebangangan pihak pengurusan dan kejurulatihan yang tidak mampu menilai kualiti. Maka tersenarailah pelancong Afrika yang datang dengan CV hebat di atas kertas untuk mewakili pasukan masing masing dengan gaji yang "CIPUT". Salah pemain ker?

Bagi pasukan yang punya kewangan kukuh, sepatutnya mereka dibenarkan mengambil pemain import dan ujudkan semangat bersaing di kalangan pasukan dan kelab. "To win you must be the best". Hanya pasukan yang tak punya semangat melawan sahaja yang membiarkan diri mereka ditewaskan tanpa saingan. Dalam liga profesional, soal untung rugi perlu diambil kira. Mana mungkin sebuah filem tanpa pelakon yang hebat mampu menarik penonton dan mengaut keuntungan? Itulah hakikat sebuah liga profesional yang diibaratkan sebuah perniagaan, kalau pasukan tak ada kualiti, mampukah menarik penonton ke stadium? Tepuk dada tanya selera. Wallahualam

Wednesday, July 16, 2008

Hilangnya Pejuang Bolasepak Negara - Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil

Tatkala rakyat negeri Kedah sedang meraikan Ulangtahun ke 50 Pemerintahan DYMM Tuanku Sultan Kedah, seorang insan yang telah mengabdikan dirinya kepada pembangunan dan kejayaan bolasepak negeri Kedah Darul Aman, telah kembali menemui penciptanya. Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil, 69 tahun, telah kembali ke rahmatullah setelah beliau rebah di Majlis Pelancaran Setem Kenangan 50 tahun pemerintahan Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mengenang kembali penglibatan kakibola dengan Allahyarham sewaktu melatih pasukan Kedah Darul Aman (1991-2000), memang tidak dapat dinafikan lagi sepertimana yang diakui ramai pihak yang pernah bekerja bersama beliau, Allahyarham adalah insan yang mempunyai visi yang jauh dalam mentadbir serta melaksanakan pelbagai program khususnya pembangunan bolasepak. Hasilnya jelas dengan kejayaan pasukan Kedah Darul Aman sehingga kini. Hasil perancangan yang teliti dengan kaedah yang mantap, negeri Kedah telah mencapai pelbagai kejayaan. Sebagai Pengurus Pasukan, beliau meletakkan dirinya sebagai seorang ayah kepada para pemain dengan mengutamakan kebajikan sebagai asas untuk mencapai kejayaan. Sebagai insan yang amat prihatin akan perkembangan bolasepak tanahair, beliau kerap melemparkan kritikan yang pedas tetapi membina agar sesuatu yang positif dapat dilaksanakan namun begitu kelantangan beliau mengakibatkan beliau digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun, kehilangannya jelas akan diratapi oleh setiap peminat dan pencinta bolasepak Hijau Kuning khasnya dan peminat bolasepak negara amnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkannya di sisi para solihin, anbia dan syuhada. Al-Fatihah

Saturday, July 12, 2008

Shebby cadang gugur semua pemain kebangsaan?

Pengulas sukan Shebby Singh mencadangkan agar kesemua pemain kebangsaan yang sedia ada digugurkan dan digantikan dengan pemain-pemain B23. Atas alasan apakah cadangan ini dilontarkan?
Kakibola simpati dengan jurulatih-jurulatih kebangsaan. Manakan tidak! Di Malaysia sekarang sudah tidak ada lagi pemain bolasepak sebaliknya terlalu ramai "pekerja bola" yang memenuhi industri bolasepak negara yang hadir sekadar untuk makan gaji. Terlebih kuantiti dari kualiti.