Saturday, January 10, 2009

Pengurus Pasukan Kedah - Gila Jawatan Tapi Tak Mau Bekerja?

Kakibola amat bersimpati dengan teman-teman rapat di negeri Jelapang Padi dengan kemelut masalah yang dihadapi oleh pasukan sang Kenari yang hingga sekarang masih menghadapi masalah pengurusan pasukan. Keputusan perlawanan juga tidak menyebelahi mereka apabila telah tewas kepada Selangor dan Negeri Sembilan, 1-4 dan 0-3 dalam 2 perlawanan awal mereka.
Sebelum ini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah memutuskan untuk mengekalkan Datuk Othman Abdul Aziz selaku Pengurus Pasukan bagi musim 2009 berdasarkan kepada "kontrak' yang telah ditandatanganinya sehingga Jun 2009. Walaubagaimanapun laporan akhbar memetik saudara Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai tidak bersetuju dengan pengurus tersebut atas alasan tidak mendapat kerjasama di samping sering membelakangkan barisan kejurulatihan dalam banyak keputusan. Yang paling dipertikaikan ialah keputusan Datuk Othman Abdul Aziz yang telah melepaskan 2 pemain harapan pasukan tersebut, Bunyamin Omar dan Zainur Fitri. Situasi ini jelas bahawa pengurus pasukan hanya mementingkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan pasukan. Kakibola yakin kejayaan yang dikecapi pasukan Hijau Kuning banyak terletak kepada kesungguhan dan kebijaksanaan jurulatih dan kesungguhan pemain untuk mencapai kejayaan.

Persoalannya di sini apakah motif sebenar Tok Man Aziz bermain tarik tali dalam isu jawatannya sebagai pengurus pasukan? Awalnya beliau mengumumkan penarikan diri kerana tidak akan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri yang memerintah negeri Kedah sekarang kerana perbezaan politik dan kemudiannya menarik balik keputusan itu dan mengumumkan untuk meneruskan jawatannya kerana masih terikat dengan kontraknya. Bagi kakibola, kalau dah rasa takkan dapat bekerjasama dengan pimpinan negeri dan juga tidak yakin akan dapat memberi komitmen yang padu kepada pasukan, elok tarik diri jer la. Jangan pertaruhkan maruah pasukan kerana cita-cita peribadi dan membuatkan keseluruhan pasukan dicemuh oleh peminat setia Hijau Kuning yang tidak faham apa apa akan kemelut yang melanda pasukan kesayangan mereka. Di pihak kepimpinan tertinggi KFA, renung-renungkanlah masalah pasukan, jangan kerana hanya ingin menjaga hati sesetengah pihak yang berkepentingan, kehendak pasukan terabai. Pada mereka yang punya cita-cita dan agenda tersembunyi pula, janganlah diambil kesempatan dalam kegawatan ini untuk menikam dari belakang. Wallahualam.

No comments: