Thursday, February 3, 2011

Latihan Bulanan Untuk Pasukan Kebangsaan?

Tatkala terbaca laporan akhbar akan hasrat pasukan kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat setiap bulan, kakibola tertanya-tanya apakah logiknya program sedemikian? Apakah perlu diadakan latihan pusat setiap bulan untuk sebuah pasukan kebangsaan tatkala kalendar tahunan FAM tidak memiliki apa-apa pertandingan rasmi antarabangsa. Reaksi pertama yang diperolehi dari sebilangan besar jurulatih ialah mereka terkejut dan kecewa. Tetapi sudah tentu bagi mereka untuk meluahkan pandangan dan perasaan secara terbuka, bakal menjerat mereka kepada tindakan termasuk penggantungan oleh FAM.
Program latihan pusat setiap bulan untuk pasukan kebangsaan dilihat mereka sebagai merosakkan segala perancangan yang telah diatur terlebih awal bagi memantapkan pasukan masing-masing bagi mengharungi cabaran dalam liga. Jika ianya dilaksanakan, para pemain terpaksa berhempas pulas melengkapkan jadual pertandingan akan yang dipadatkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT). Akibat daripada jadual yang padat maka para pemain bakal terdedah kepada risiko kecederaan dan hasilnya pasukan kebangsaan akan hanya memperolehi barisan pelatih yang cedera. Perlu dipertimbangkan juga akan komitmen para pemain yang terlibat terhadap majikan mereka di dalam Liga M. Mereka dituntut untuk memberi prestasi terbaik untuk mendapatkan keputusan kerana mereka dibayar gaji dan diupah untuk menghasilkan keputusan. Tanpa menolak kepentingan pasukan kebangsaan namun dalam situasi ini, perlu dilihat kewajaran latihan pusat setiap bulan yang bakal menganggu rentak prestasi pasukan di dalam liga dan sekaligus merencatkan keghairahan penonton memandangkan pasukan kebangsan tidak punya komitmen dalam pertandingan antarabangsa. Rata-rata sebilangan besar jurulatih menolak idea ini sebaliknya mencadangkan supaya pasukan kebangsaan mencontohi kalendar pertandingan persahabatan antarabangsa FIFA atau UEFA yang menetapkan tempoh tertentu agar pasukan kebangsaan mendapat perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan yang benar-benar berkualiti. Mereka juga berpandangan bahawa Malaysia tidak memiliki ramai pemain yang berkualiti untuk menyarung jersi kebangsaan, justeru jangan diambil risiko yang bakal merugikan pasukan kebangsaan itu sendiri.
Apapun, dalam keghairahan untuk melonjakkan kehebatan diri, perlu berlaku adil pada orang lain yang turut menuntut perkara yang sama daripada pemain2 dengan pasukan mereka. Wallahu'alam.

Saturday, January 22, 2011

Akhirnya Ikatan Terlerai

Tanggal 4 Januari 2011, kakibola dipanggil untuk bertemu dengan Setiausaha Agung FAM, Dato' Azzuddin Ahmad di pejabatnya di Aras 3, Wisma FAM. Pertemuan tersebut menjurus kepada keputusan mesyuarat Majlis Eksekutif FAM yang telah bersidang pada hari Ahad, 2 Januari 2011 yang turut membincangkan masalah yang dihadapi kakibola bersama rakan seperjuangan, saudara Mohd Azraai Khor Abdullah. Tatkala masuk ke pejabat beliau dengan ditemani oleh Ketua Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia, Puan Salomi Shaari, beliau memaklumkan bahawa Majlis Eksekutif telah bersetuju memenuhi tuntutan yang diletakkan oleh kakibola sebagai syarat untuk mengemukakan surat perletakan jawatan, ekoran krisis yang melanda barisan kejurulatihan pasukan Harimau Muda A, sekembalinya dari latihan pendedahan di Slovakia. Kalimah pertama yang dapat dilafazkan ketika menerima perkhabaran tersebut hanyalah ALHAMDULILLAH. Walau apapun alasan di atas kelewatan keputusan ini dicapai, kakibola sudah tidak berminat untuk mendengarnya melainkan ingin segera dilepaskan untuk memulakan perjalanan karier yang baru sekalipun hajat untuk mendapatkan majikan baru dalam kancah persaingan bolasepak Malaysia sudah tertutup. Lanjutan dari itu, tepat jam 12.00 tengahari pada hari Jumaat, 7 Januari 2011, kakibola menerima surat rasmi melalui saudara Mohd Azraai Khor Abdullah tentang keputusan FAM untuk mememuhi tuntutan sekaligus melepaskan kakibola dari jawatan Penolong Jurulatih Pasukan Harimau Muda A.
Derita dan penyiksaan yang dilalui di sepanjang tempoh tersebut bukanlah satu situasi yang mudah setelah saban hari 'terpenjara' tanpa tugas di bilik pejabat yang sejuknya tidak, panasnya tidak. Duduk berdepan laptop sambil melayari facebook telah menjadi rutin harian sehinggalah kad perakam waktu diketik untuk pulang pada jam 5.30petang. Situasi menjadi lebih tidak selesa tatkala jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal dan pembantunya, Tan Cheng Hoe sibuk menguruskan persiapan pasukan untuk menyertai latihan pendedahan di luar negara dan Sukan Asia serta Piala Suzuki AFF. Sesungguhnya ujud perasaan cemburu pada mereka kerana mempunyai tugasan untuk berjuang bersama pasukan di pelbagai pertandingan. Apapun kakibola redha dengan apa yang dihadapi dan dilalui.
Melalui nukilan ini, kakibola ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Annuar Musa yang telah banyak membantu dalam mendengar keluhan dan rintihan tanpa jemu. Juga tidak lupa penghargaan kakibola kepada DYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah yang telah sudi membawa perkara ini untuk dibincangkan dan diputuskan di dalam Majlis Eksekutif FAM. Ucapan terima kasih ini kakibola turut panjangkan kepada saudara Hafizal Hamad, Muhamad Rizal Hashim dan Dato' Dell Akhbar Khan yang tidak pernah putus bertanya khabar sambil cuba membantu merungkai misteri kelewatan masalah ini sehingga menemui titik noktahnya. Tanpa mengabaikan sokongan moral yang diberikan oleh rakan-rakan dan teman-teman di facebook, kakibola ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih buat semua. Apapun pengalaman yang dilalui di sepanjang tempoh tersebut, kakibola masih menerimanya dari sudut yang positif sebagai sebahagian daripada asam garam dan liku-liku kehidupan seorang hamba Allah bergelar Penolong Jurulatih sebuah pasukan remaja kebangsaan. Terima kasih kepada YBhg Dato' Azzuddin Ahmad dan seluruh warga kerja FAM di atas pengalaman singkat ini.
Di sebalik gembira dengan keputusan ini, sudah tentu kakibola masih perlu berkongsi kesedihan dan simpati dengan 'boss' dan rakan karib, saudara Mohd Azraai Khor Abdullah yang belum dapat merungkai permasalahannya. Apapun, kakibola mendoakan agar beliau diberi kekuatan dan dipermudahkan oleh Allah segala urusannya. Buat anak-anak harimau, teruslah mengaum demi melonjak dan memartabatkan bolasepak negara di pentas antarabangsa. Wallahu'alam.
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU....!

Sunday, December 5, 2010

Naturalisasi Pemain - Apakah Malaysia Akan Turuti Langkah Indonesia & Filipina?



Agak menarik apabila mengikuti senarai pemain-pemain yang mewakili Indonesia dalam pertandingan Piala Suzuki AFF 2010. Di celah nama-nama yang agak sinonim dengan sebutan bahasa Indonesianya, terselit satu nama yang agak asing - Christian Gérard Alvaro González (gambar atas). Pemain berusia 35 tahun yang berasal dari Uruguay dan mewakili kelab Persib Bandung dalam Liga Indonesia itu telah dinaturalisasikan sebagai warga Indonesia bagi memantapkan cabaran pasukan Garuda dalam pertandingan antarabangsa. Turut tersenarai ialah pemain penyerang lincah berusia 22 tahun asal Belanda yang beraksi untuk Persema Malang, Irfan Haarys Bachdim (gambar bawah). Kedua-dua pemain tersebut jelas memainkan peranan yang cukup berkesan ketika menewaskan Malaysia dalam perlawanan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Langkah drastik Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) yang memiliki populasi seramai 237 juta penduduk mengambil pemain bolasepak yang dinaturalisasikan sebagai warga Indonesia jelas menterjemahkan usaha mereka untuk kembali memartabatkan Indonesia sebagai kuasa bolasepak serantau setelah para peminat begitu hampa menanti sejak sekian lama. Ini juga merupakan satu langkah berani yang diambil oleh Ketua Umum PSSI, H. AM. Nurdin Halid dalam dalam memberi nafas baru terhadap bolasepak Indonesia untuk mencapai kejayaan. Tindakan Indonesia adalah menuruti langkah Singapura yang mendahului negara-negara di rantau ASEAN dengan mendaftarkan pemain-pemain asing sebagai warganegara mereka. Usaha Singapura dan Indonesia turut disertai oleh Filipina yang mendaftarkan 8 pemain luar yang telah dinaturalisasikan sebagai warga Filipina dalam kempen Piala Suzuki AFF 2010. Langkah Filipina jelas difahami memandangkan mereka tidak memiliki pemain-pemain yang berwibawa bagi menggalas cabaran ke pertandingan di peringkat antarabangsa. Apatah lagi bolasepak bukanlah satu sukan yang popular di kalangan rakyat Filipina, justeru langkah mereka menaturalisasikan pemain-pemain luar adalah dilihat sebagai satu langkah berani bagi memberi cabaran bermakna di pentas serantau. Antara pemain-pemain yang telah dinaturalisasikan oleh Filipina ialah Neil Etheridge (penjaga gol), Robert James Dazo Gier (pertahanan), James Joseph Placer Younghusband (tengah), Philip James Placer Younghusband (penyerang), Christopher Robert Barbon Greatwich (penyerang) semuanya dari England, Ray Anthony Jónsson (pertahanan - Iceland), Jason Nicolas Maria Dantes de Jong (tengah - Belanda) dan Mark Drinkuth (penyerang - Germany).
Apakah bolasepak Malaysia juga wajar mengambil pendekatan yang sama sepertimana Singapura, Indonesia dan Filipina dalam usaha melonjakkan cabaran Malaysia di persada antarabangsa atau kekal dengan pendekatan yang ada sekarang dengan bergantung harapan kepada anak-anak muda negara? Wallahu'alam.

Saturday, December 4, 2010

Mentaliti Bolasepak Malaysia?

Apabila kakibola terbaca laporan akhbar tentang penarikan diri Selangor dari saingan Piala AFC 2011, memang terkejut sangat. Perkhabaran ini hadir selepas Negeri Sembilan lebih awal menyatakan pendirian mereka untuk tidak turut serta dalam pertandingan serantau benua Asia. Alasan yang diberikan oleh kedua-dua wakil pasukan ialah ketiadaan pemain import bagi memantapkan cabaran mereka di pentas antarabangsa tersebut jelas amat mengecewakan.
Alangkah malangnya apabila Piala AFC yang seharusnya menjadi pentas terbaik untuk menimba pengalaman serta memperolehi pendedahan peringkat tertinggi, wakil Malaysia yang mendapat peluang bertindak untuk menarik diri. Bayangkan kelab-kelab di seluruh dunia tidak kira dari pelusuk benua mana sekalipun, bekerja keras untuk menempatkan diri mereka di puncak persada liga negara bagi mendapat tempat dalam kejohanan serantau, tetapi di Malaysia keadaan berlaku sebaliknya. Keputusan menang atau kalah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak bertanding.
Perlu dilihat kesan kepada penglibatan pasukan-pasukan negara dalam pertandingan seumpama ini. Selain daripada pendedahan kepada pemain-pemain mahupun jurulatih, ianya juga merupakan pentas untuk para pemain termasuk jurulatih untuk memasarkan diri mereka. Inilah peluang terbaik untuk untuk pemain-pemain mahu pun jurulatih membuktikan kualiti mereka kepada pasukan lawan yang disaingi untuk menarik minat mereka agar dapat menawarkan peluang beraksi bersama pasukan yang berpotensi. Atau apakah mungkin jurulatih atau pemain tidak dahagakan peluang beraksi di pentas yang lebih baik. Wallahu'alam.

Wednesday, November 24, 2010

Zinedine Zidane Beraksi Untuk Kedah?

Jika segalanya berjalan sepertimana yang dirancang, pasukan bolasepak Kedah bakal mendapat 'khidmat' lagenda bolasepak dunia yang juga bekas pemain antarabangsa Perancis dan Real Madrid, Zinedine Yazid Zidane bagi tahun 2011. Walaubagaimanapun, 'khidmat' pemain tersohor dunia yang pernah dilanda kontroversi menanduk pemain Itali, Marco Materazzi itu hanyalah untuk satu perlawanan persahabatan sahaja yang dijadualkan pada bulan Februari 2011 nanti.
Usaha bagi membawa Zinedine Zidane ke Kedah sedang dilakukan oleh bekas jurulatih Kedah & bekas penolong jurulatih Harimau Muda A, saudara Azman Hj Eusoff dengan kerjasama Mans Sports & Event Management. Kehadiran Zinedine Zidane ke Kedah bakal memberi peluang kepada anak-anak muda yang kurang bernasib baik serta miskin untuk mendampingi pemain ini di samping beraksi dalam satu perlawanan amal di Stadium Darulaman. Di antara program yang sedang diatur di sepanjang kehadiran beliau ke Kedah ialah klinik bolasepak bersama anak-anak muda dari serata daerah di negeri Kedah di satu lokasi yang akan diputuskan nanti oleh pihak penganjur. Di samping itu, kemuncak kehadiran beliau ialah satu perlawanan bolasepak yang menampilkan aksinya bersama peserta-peserta terpilih dari klinik bolasepak yang dikendalikan menentang pasukan bekas-bekas pemain negeri Kedah Darul Aman. Selesai programnya di Kedah Darul Aman, beliau akan singgah di Kuala Lumpur untuk mengendalikan satu lagi klinik bolasepak bagi anak-anak miskin bandar di Bangsar sebelum berlepas pulang ke Perancis.
Walaubagaimanapun, kehadiran beliau ke Malaysia tertakluk kepada ruang jadual yang ada berikutan perlantikannya sebagai penasihat kepada pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid. Sama-samalah kita nantikan kehadirannya ke Kedah Darul Aman. Wallahu'alam.

Saturday, October 9, 2010

Nasib Si Jurulatih

Herdikan, cacian, maki hamun & segala kata-kata kesat adalah satu perkara yang lumrah dalam dunia jurulatih tatkala keputusan yang diperolehi tidak memihak kepada pasukan yang dibimbing. Apa saja yang dibuat semuanya tidak betul, seolah-olah apa yang dipandang & dinilai oleh penonton, peminat atau penyokong saja yang betul. Senario ini berlaku dan boleh dilihat di mana-mana sahaja. Lebih buruk lagi jika situasi ini berlaku akibat didalangi oleh individu atau pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi keadaan akibat tidak puas hati dengan sesuatu keputusan yang tidak memihak kepadanya.
Bercakap tentang bolasepak hari ini, pemain adalah aset utama yang perlu dilindungi oleh pengurusan mahupun persatuan atau kelab. Jurulatih hanyalah pelengkap kepada organisasi pasukan untuk melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan bagi menghasilkan kejayaan. Jika kejayaan tidak menyusul, maka kesalahan pastinya diletakkan ke atas bahu jurulatih kerana gagal menghadirkan kemenangan tanpa mengetahui akan masalah sebenar, kekurangan yang dimiliki pasukan di samping kelemahan yang mungkin timbul akibat kurangnya sokongan dari pelbagai faktor dari pihak pengurusan dan pentadbiran pasukan serta persatuan. Ini realiti!
Di Malaysia, kelab-kelab penyokong semakin ghairah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap jatuh bangunnya pasukan yang mereka dokongi. Namun begitu, dalam keghairahan mereka menyokong, ada yang sudah tergelincir dari matlamat asal 'menyokong' kepada meruntuhkan pasukan dan lebih buruk lagi ialah usaha untuk menyingkirkan jurulatih. Jauh dari situ ada juga yang berhasrat untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok pembuat dasar bagi menentukan hala tuju pasukan kerana merasakan suara mereka perlu didengar dan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk pasukan. Mungkin ada benarnya dalam sesuatu situasi pihak pengurusan telah tersalah pilih jurulatih dalam mengemudi pasukan kerana faktor-faktor tertentu tetapi kesalahan tidak boleh diletakkan kepada jurulatih, sebaliknya kepada pengurusan dan pentadbiran pasukan.
Pemain hari ini ditatang bagai minyak yang penuh. Apa yang mereka cakap dan lakukan memang benar belaka. Pemain hari ini boleh menentukan jatuh bangun seseorang jurulatih termasuk memilih jurulatih mana yang mereka suka atau selesa. Peminat, penyokong dan pengurusan pasukan lebih suka dan mudah mendengar 'keluhan' pemain daripada mendengar keluhan dan permasalahan jurulatih. Kenapa jadi begitu? Ini kerana pemain lebih mudah dihampiri, pemain lebih mesra dengan peminat berbanding jurulatih. Maka mudah untuk peminat, penyokong dan pengurusan mendengar 'masalah' yang mereka hadapi. Apa saja kenyataan atau alasan yang mereka beri (yang memihak kepada kelemahan mereka sendiri) diakui membabi buta sahaja oleh sebilangan besar yang mendengar. Tetapi siapa yang ingin mendengar keluhan jurulatih? Kakibola pernah mendengar cerita seorang sahabat tentang 'dongengan' seorang pemain kerana tidak sehaluan dengan jurulatih. Tetapi itu cerita versi pemain yang rapat dengannya kerana tinggal sekampung. Tetapi apabila jurulatih berkesempatan menceritakan versinya pula, maka baru difahami mengapa pemain tersebut bertindak demikian.
Dalam hal ini, berilah peluang kepada jurulatih untuk mencorak pasukan dan keputusan pasukan. Selamilah masalah jurulatih dan fahamilah kesukaran yang dilalui oleh insan bergelar jurulatih. Mereka tidak mampu memuaskan hati semua pihak dalam satu masa. Kepada para penyokong pasukan, janganlah dibuai akan mimpi kejayaan semalam kerana apa yang dilalui hari ini tidak sama dengan apa yang sedang dihadapi sekarang. Jadilah penyokong yang setia kepada pasukan kerana tidak ada seorang jurulatih atau pemain pun yang inginkan kegagalan. Wallahu'alam.

Friday, September 17, 2010

Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah 2010

Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah 2010 yang dijadualkan pada 30 Oktober 2010 nanti bakal menyaksikan penyertaan beberapa pasukan dari Thailand dan Singapura. Kejohanan yang akan dilangsungkan di Kompleks Sukan UUM di Sintok, Kedah Darul Aman adalah merupakan kejohanan edisi kedua di mana pasukan dari selatan Kedah, Alma Rangers FC telah muncul juara sulong manakala UiTM Arau pula tampil sebagai naib juara pada tahun lepas. Sementara itu Kulim FC menduduki tangga ketiga dan Padang Terap FC di tangga keempat.
Pengarah Kejohanan, Azman Hj Eusoff, menjangkakan kejohanan edisi ke-2 ini akan dapat menarik penyertaan lebih banyak pasukan berbanding tahun lepas bersandarkan kepada kejayaan dan kelancaran penganjuran yang amat baik pada kejohanan edisi pertama. Ditambah pula dengan kualiti padang perlawanan yang berkualiti tinggi yang terdapat di Kompleks Sukan UUM, penganjuran pada tahun ini dijangkakan dapat dijalankan dengan lebih baik. Pihak penganjur telah mengekalkan nilai hadiah yang sama pada tahun ini di mana juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5000.00 manakala naib juara akan memiliki hadiah wang tunai sebanyak RM3000.00. Manakala bagi pasukan yang gagal ke Final tidak perlu beraksi untuk berebut hadiah wang tunai bagi tempat ketiga dan keempat, sebaliknya akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM700.00 setiap pasukan dan pasukan yang gagal ke peringkat Separuh Akhir akan menerima imbuhan RM100.00.
Dari segi format pula, pertandingan ini mengekalkan format LIGA sepertimana di tahun sebelumnya di mana pasukan-pasukan yang mengambil bahagian akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan (mengikut jumlah penyertaan) dan setiap pasukan akan berpeluang beraksi sekurang-kurangnya 2 perlawanan. Ini bagi membolehkan setiap pasukan bersaing secara adil dan kompetitif khususnya kepada pasukan-pasukan yang datang dari jauh.
Setakat ini beberapa pasukan sudah pun membuat pengesahan awal akan penyertaan mereka dan beberapa pasukan lain telah pun menyatakan kesediaan mereka untuk mengambil bahagian. Pada tahun lepas, beberapa kelab dari Lembah Klang dan Perak turut serta di dalam pertandingan ini dan mengakui kualiti penganjurannya.
Menurut Azman lagi, beliau mengharapkan pertandingan bolasepak 9 sebelah ini akan dapat dikomersialkan sepertimana yang dilakukan kepada sukan futsal di mana pihak media memainkan peranan yang pro-aktif dalam mempromosikan sukan tersebut. Beliau amat berharap kejohanan edisi kedua ini akan menjadi pemangkin kepada penganjuran yang lebih baik dan menyeluruh dan tidak menolak kemungkinan kejohanan ini akan menjadi acara tahunan dan Pulau Pinang menjadi sasarannya selepas ini. Liga 9 Sebelah Terbuka Kedah ini dianjurkan oleh Mans Sports & Event Management dengan kerjasama Pusat Sukan UUM. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Oktober 2010.

Thursday, August 12, 2010

Perkongsian Pintar Dalam Bolasepak Malaysia

Baru-baru ini kakibola berkesempatan untuk menghadiri satu program anjuran Persatuan Bolasepak Kedah Aman (KFA) yang membincangkan tentang hala tuju mereka. Program yang dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN) dan Institut Pengurusan & Intergriti Negeri (INSPIN) itu telah diadakan di salah sebuah hotel di Alor Setar. Beberapa panel telah dijemput bagi menjayakan sesi forum termasuk saudara Windsor John Paul (bekas Pegawai Pembangunan FIFA), saudara Ahmad Khawari Isa (Presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia) dan wakil kepada Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Dato Dr Ramlan Abdul Aziz manakala saudara Jasni Shafie sebagai moderator forum.
Kakibola merasakan initiatif yang diambil oleh KFA dalam menganjurkan program seumpama ini dengan mengumpulkan pelbagai lapisan pemikir dan penyumbang idea adalah sesuatu yang amat baik dan harus dipuji sesuai dengan keperluan KFA sendiri. Sekalipun terdapat sedikit kecacatan dalam penganjuran edisi sulung ini khususnya dengan ketidakhadiran ramai jemputan yang terdapat di dalam senarai, namun ianya tidak menggambarkan kegagalan penganjuran secara keseluruhannya.
Kakibola tertarik dengan pembentangan yang dibuat oleh saudara Windsor John Paul yang menggesa agar KFA khasnya dan Malaysia amnya supaya memiliki falsafah bolasepak sendiri sepertimana yang dimiliki oleh negara-negara yang maju dalam sukan ini. Untuk berjaya, Malaysia perlu memiliki falsafah sendiri bersesuaian dengan kemampuan teknikal, fizikal & latarbelakang agar ianya dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk dituruti di peringkat pembangunan remaja dan akar umbi. Dalam masa yang sama, kakibola turut melontarkan saranan samada KFA dan persatuan-persatuan bolasepak negeri (PBN) sudah bersedia untuk membuat satu anjakan transformasi bagi mengemaskinikan sistem pentadbiran dan pengurusan bolasepak profesional yang sedia ada. Kakibola mencadangkan agar KFA dan PBN mengadakan satu program perkongsian pintar atau 'smart partnership' dengan pihak-pihak korporat yang berminat untuk menyumbang ke arah kemajuan bolasepak negeri dan negara. Ianya ialah dengan PBN memberi laluan kepada kelab-kelab bolasepak swasta yang sedia ada untuk masuk menggantikan pasukan negeri khususnya negeri-negeri yang manghadapi masalah kewangan. Sebagai CONTOH, untuk mengelak dari menanggung beban kewangan yang tinggi oleh kerajaan negeri atau agensi di bawahnya, KFA boleh mempelawa NAZA yang sebelum ini pernah beraksi dalam Liga Malaysia untuk mewakili mereka. NAZA diakui mempunyai sumber kewangan yang kukuh mampu menyuntik sumbangan dana yang baik untuk program pembangunan bolasepak secara berterusan. Sudah tentu apabila sektor korporat seperti NAZA mengambil alih pengurusan dan pentadbiran persatuan, mereka memerlukan 'orang-orang mereka' yang lebih competent dan efisyen untuk berada di dalam pejabat KFA bagi memastikan setiap urusan berjalan dengan baik dan profesional. Maka dengan itu, Ahli Majlis atau Ahli Jawatankuasa yang sedia ada di dalam persatuan perlu 'berkorban' untuk memberi laluan kepada tenaga profesional masuk mengambil tempat mereka dalam aspek pentadbiran persatuan, pengurusan pasukan dan juga dalam membuat pelbagai keputusan yang berkaitan, sekali pun tindakan ini bakal menjadikan mereka (Ahli Majlis atau Ahli Jawatankuasa) tidak popular.
Kakibola penuh yakin, perkongsian pintar seumpama ini tidak akan memberi kerugian kepada mana-mana pihak, sebaliknya memberi pulangan yang baik demi kemajuan dan kemantapan pasukan dan bolasepak itu sendiri asalkan niat yang ada hanyalah untuk melihat bolasepak itu maju dan terus maju. Wallahu'alam.

Wednesday, July 21, 2010

A Journery To An End (Ep 1) - Menyertai Rejimen Wisma FAM

"Hello..are you sure that they will accept me to join you? I've been so vocal against them. I'm afraid that I'm not welcome to be part of your team". Itulah antara barisan ayat yang masih aku ingat ketika berbicara dengan sahabatku Mohd Azraai Khor Abdullah ketika tawaran untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad Harimau Muda A disuarakan. Aku seperti tidak percaya bahawa aku bakal menjejaki pusat pentadbiran bolasepak negara di Kelana Jaya kerana tidak pernah aku impikan betapa aku bakal menjadi jurulatih sebuah pasukan kebangsaan. Apapun itulah realitinya - betapa keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh seorang jurulatih ternama yang telah berjaya membimbing pasukan Kedah untuk menjuarai "double treble" dalam kancah pertandingan bolasepak di Malaysia.
Setelah berbincang dengan pembantuku yang setia di Universiti Utara Malaysia (UUM), Izham Mustaffa, dan merujuk kepada boss ku, Tuan Haji Shafferi Rejab, di Pusat Sukan UUM, maka aku bertekad untuk menyahut cabaran demi negara. Hatiku berat bercampur sayu untuk meninggalkan kampus UUM di Sintok, Kedah kerana telah berasa cukup selesa dengan kehidupan bersama warga universiti yang telah aku corakkan masa depan bolasepak mereka. Apapun demi negara, ku gagahkan juga bergerak menuju Kelana Jaya sekalipun menyedari pelbagai cabaran yang bakal aku harungi. Maka pada tanggal 14 Disember 2009, aku mula menjejakkan kaki ke Wisma FAM dan diperkenalkan kepada jurulatih penjaga gol, saudara Mohana Sundram Packirisamy dan 'anak-anak harimau' dalam satu sesi latihan. Kagum dengan kelibat mereka dengan skil dan teknik permainan yang tinggi, aku terfikir sejenak, alangkah bertuahnya aku kerana dapat membimbing dan melatih anak-anak muda negara yang berkualiti tinggi ini dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia nanti. Apakah tugas yang bakal aku galas ini mampu memberi pulangan sepertimana yang diharapkan oleh segenap lapisan peminat setia dan penyokong bolasepak negara?
Tanggal 18 Disember 2009, aku menurunkan tandatanganku secara rasmi di atas 8 helaian kertas yang mengesahkan aku sebagai anggota kejurulatihan pasukan bolasepak B21 Malaysia atau lebih dikenali sebagai Harimau Muda A sehingga 13 Disember 2011.
bersambung di Episod seterusnya.....

Friday, July 16, 2010

Watak Utama Di Sebalik Kontroversi Menyepi?

Laporan akhbar 2-3 hari ini banyak berkisar tentang isu jurulatih Harimau Muda A yang "ditamatkan tugas" dan "meletak jawatan". Isu ini dikaitkan dengan pertelingkahan dan perselisihan faham di antara jurulatih pasukan B21 negara. Laporan media menggambarkan seolah-olah ketiga-tiga jurulatih tidak sehaluan dalam menjalankan tugas masing-masing. Namun hakikatnya yang sebenar tidak digambarkan langsung apabila watak utama di sebalik segala kemelut yang melanda tidak ditonjolkan. Kakibola ingin menjelaskan betapa aku tidak terlibat langsung dalam kemelut perselisihan faham yang melanda pasukan Harimau Muda A semasa di Slovakia. Sebaliknya kakibola hanya menjadi mangsa keadaan akibat rasa tidak puas hati individu yang sememangnya tidak wajar berada dalam satu pasukan yang sedang berusaha melakar sebuah kejayaan.
Kalau tidak kerana kebijaksanaan pelakon utama yang menyediakan skrip sendiri untuk diuar-uarkan di Wisma FAM dalam menjatuhkan orang lain demi menyelamatkan diri sendiri, apa yang sedang melanda barisan kejurulatihan dan juga pasukan Harimau Muda tidak akan sampai ke tahap ini. Setakat ini hanya dua watak sahaja yang ditonjolkan dan digembar-gemburkan oleh media seolah-olah inilah individu yang meranapkan harapan pencinta bolasepak Malaysia, sedangkan yang melakar segala angkara, menyembunyi dan menyepikan diri, ketawa berdekah-dekah di sebalik tabir tanda berpuas hati yang amat sangat. "Alang-alang aku disingkirkan, baik diseret sama mereka berdua". Lebih malang, perkara ini dilakukan ketika kakibola sedang bercuti, meluangkan masa bersama keluarga.
Kakibola tidak berhasrat untuk membabitkan 0rang lain di sini cuba sekadar ingin menjelaskan betapa kakibola tidak terlibat dalam episod pertelingkahan ini dan ingin membersihkan segala tanggapan negatif. Kakibola sebaliknya berperanan sebagai orang tengah yang cuba meredakan keadaan demi menjaga keharmonian pasukan serta untuk menjaga nama baik bolasepak negara. Saksi kepada semua keadaan ini adalah "anak-anak harimau", 2 chef yang bertugas serta Allah swt. Namun agak malang di atas segala bantuan yang dihulurkan, ini balasan yang dipulangkan. Apapun kakibola redha dengan segala ketentuan dan mengakui setiap yang berlaku itu Allah janjikan hikmah disebaliknya. Kakibola mengharapkan dengan penjelasan ini, akan membersihkan aku dari penglibatan dalam apa juga keadaan serta memberi ruang agar para pemerhati mampu membuat tafsiran dan penilaian sendiri.
Kepada individu yang mendokong watak utama di sebalik kemelut ini, kakibola ucapkan jutaan terima kasih di atas segala "jasa baik" yang dihulurkan dan menjadi seorang kawan yang "setia" di sepanjang 6 bulan menggalas tugas sebagai jurulatih. Wallahu'alam.