Sang Kenari selaku juara bertahan 3 piala utama Liga Malaysia (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia) kini sah gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir sekalipun mampu menewaskan Pulau Pinang 4-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan. Kegagalan ini bermakna pasukan Hijau Kuning gagal mempertahankan ketiga-tiga piala yang pernah dimenanginya 2 tahun berturut-turut.Kepada pasukan lain, tamatnya persaingan liga bermakna masa untuk berehat dan mula menyusun strategi baru bagi memantapkan pasukan masing-masing. Di Kedah usaha lobi-melobi untuk jawatan jurulatih sudahpun bermula lebih awal sebelum kempen Piala Malaysia bermula. Pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) khabarnya sudah nekad untuk tidak menyambung khidmat ketua jurulatih saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan desas-desus yang menyatakan beliau akan mengangkat kaki ke pejabat baru di Lembah Klang semakin kencang. Sudah ujud beberapa kumpulan tertentu yang menggunakan saluran masing-masing untuk mempengaruhi hasrat mereka bagi menduduki jawatan Ketua Jurulatih skuad Kenari. Lebih buruk mungkin ialah sikap sesetengah pihak yang sanggup menggunakan laluan DiRaja bagi mendapatkan jawatan tersebut.
Untuk saudara Mohd Azraai Khor Abdullah kakibola ucapkan tahniah kerana telah berjaya meletakkan pasukan Kedah sebagai pasukan yang amat dihormati dan juga selamat maju jaya dengan majikan baru. Wallahu'alam.



Angin bertiup kencang tentang perkhabaran kemungkinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuanku Sultan Hj Ahmad Shah bakal meletakkan jawatan tahun depan bagi memberi ruang kepada Presiden baru dilantik pada tahun 2010. Perletakan jawatan Pegawai Pembangunan Bolasepak FIFA, saudara Windsor John Paul juga telah dikaitkan dengan kemungkinan penyertaannya ke Wisma FAM bagi menggantikan Setiausaha Agung FAM sekarang, Datuk Azzuddin Ahmad yang dirumuskan banyak pihak sebagai gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan. Sesungguhnya situasi ini boleh dianggap sesuatu yang menarik untuk dinilai dari sudut pembaharuan dalam FAM.


Kakibola menerima panggilan telefon daripada beberapa orang teman jurulatih dari India dan Indonesia yang bertanyakan samada ada pemain dari Malaysia yang berhajat untuk mencuba nasib mereka di dalam Liga Bolasepak India dan Liga Indonesia. Menurut mereka, peraturan pertandingan kedua-dua liga bolasepak kebangsaan di kedua-dua buah negara tersebut membenarkan kelab yang mengambil bahagian untuk mendaftarkan seorang pemain dari kalangan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai pemain tempatan.


