Kurang seminggu selepas kakibola menulis tentang kelayakan Hashim Mustapha untuk mengemudi pasukan Kelantan, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan perlantikan bekas jurulatih kebangsaan, B.Sathianathan sebagai pengganti kepada Peter James Butler yang meninggalkan pasukan Kelantan dalam keadaan tergesa-gesa. Perlantikan B.Sathianathan diyakini Presidennya mampu meletakkan pasukan Sang Kijang pada landasan yang tepat dalam mengharungi kempen Piala Malaysia yang bakal bermula pada 26 September ini menentang Pulau Pinang.Apapun, kakibola mengucapkan tahniah kepada B.Sathianathan yang akhirnya mendapat majikan baru selepas bercuti rehat panjang. Sekalipun masa yang singkat dimiliki beliau untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan dari dalam, pengalaman yang dimilikinya mampu digunakan sebaik mungkin untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap. Adalah diharapkan perlantikan beliau akan kekal dan tidak berlaku sepertimana di era Hj. Norizan Bakar yang terpaksa melepaskan jawatan separuh jalan sebelum ini. Wallahu'alam.

Kakibola menerima panggilan telefon daripada beberapa orang teman jurulatih dari India dan Indonesia yang bertanyakan samada ada pemain dari Malaysia yang berhajat untuk mencuba nasib mereka di dalam Liga Bolasepak India dan Liga Indonesia. Menurut mereka, peraturan pertandingan kedua-dua liga bolasepak kebangsaan di kedua-dua buah negara tersebut membenarkan kelab yang mengambil bahagian untuk mendaftarkan seorang pemain dari kalangan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai pemain tempatan.





