Saturday, June 20, 2009

Federation of Malaysian Football Clubs?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan Kongres Tahunannya pada Ahad 21 Jun 2009 bertempat di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur. Apa yang bakal dibincangkan di dalam kongres ini antaranya ialah pindaan terhadap Perlembagaan FAM. Selebihnya mungkin tiada apa yang menarik untuk dibincangkan.
Dalam hal ini apa kata kita lontarkan satu cadangan agar Persatuan Bolasepak Malaysia ini dicabar keberkesanan mereka dalam membangunkan bolasepak negara dengan menubuhkan Persekutuan Kelab-Kelab Bolasepak Malaysia atau Federation of Malaysian Football Clubs (FMFC) yang mana keanggotaannya hanya diwakili oleh kelab-kelab bolasepak seluruh Malaysia. Kelab-kelab bolasepak di Malaysia nampaknya lebih profesional pendekatan mereka dan ini adalah lebih baik dari struktur pentadbiran Persatuan Bolasepak Negeri yang sentiasa bercelaru. Tambahan pula kedudukan kewangan kelab-kelab adalah jauh lebih baik dari persatuan Negeri. Ini bagi memberi saingan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia agar mereka segera celik dan peka terhadap kemahuan dan keperluan bolasepak negara demi meningkatkan kualiti sukan berkenaan. Apa kata Felda United FC yang dinaungi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Abdul Razak mengepalai reformasi ini?

Tuesday, April 28, 2009

Meriah Di Ruang Penyokong, Suram Di Atas Padang

Kakibola berkesempatan menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Gergasi Merah, Selangor menentang Wira Merah, Kelantan yang telah diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Final yang menonjolkan kemeriahan luar biasa dengan kehadiran skuad Kijang buat pertama kalinya sejak sekian lama tenggelam dari arus kemeriahan bolasepak tanahair. Dianggarkan seramai 80,000 penyokong bolasepak kedua-dua pasukan telah membanjiri dan memeriahkan stadium dan menyemarakkan lagi suasana final yang memang amat sesuai dan selari dengan namanya.
Namun begitu sayang sekali, kemeriahan di luar padang tidak sama dengan mutu persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan yang menduduki status pasukan terbaik dalam Liga negara. Apa tidaknya, permainan begitu membosankan di sepanjang tempoh 90 minit permainan. Percaturan taktikal yang kurang tepat yang diterapkan oleh kedua-dua jurulatih juga kurang sesuai dengan kemuncak pertandingan kedua terunggul negara. Kedua-dua pasukan kelihatan terlalu berhati-hati dalam pendekatan mereka dan mengakibatkan banyak kesilapan dan tiada kelancaran dalam permainan mereka.
Rumusan yang ingin kakibola nyatakan di sini ialah betapa jauhnya langkah pasukan atau kelab dari Liga Malaysia untuk beraksi dan menyaingi pasukan lain di dalam pertandingan di peringkat antarabangsa apatah lagi pasukan kebangsaan yang bakal dibarisi oleh pemain-pemain dari kelab dan pasukan negeri. Wallahualam.

Saturday, April 11, 2009

FAM Gantung Stadium Sultan Muhamad Ke IV

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan drastik menggantung pasukan Kelantan dari beraksi di Stadium Sultan Muhamad ke IV hingga 31 Disember 2009 ekoran insiden yang telah mengejutkan negara apabila penyokong skuad Kijang itu merusuh sehingga membakar sebuah trak polis. Lanjutan dari insiden berkenaan, FAM telah memutuskan untuk menggantung gelanggang skuad Kijang. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula dengan serta merta membalas tindakan FAM itu dengan mengugut untuk menarik diri dari Liga Super kerana merasakan bahawa FAM telah mengenakan tindakan yang keterlaluan dalam menghukum mereka.
Apapun bagi kakibola, keputusan yang diambil oleh FAM adalah wajar sebagai pengajaran kepada KAFA serta lain-lain persatuan bolasepak negeri dalam menangani keganasan bolasepak. Sekalipun ada yang telah mula meluahkan rasa simpati kepada KAFA dan marah kepada FAM, bagi kakibola perkara seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan. Buat peminat dan penyokong pasukan Kelantan, perlu diambil iktibar betapa dalam menuntut profesionalisme di kalangan pemain dan juga pasukan negeri itu, mereka sendiri juga perlu menerapkan nilai yang sama dalam menerima hakikat sesuatu keputusan sekalipun umum mengetahui bahawa dalam setandang pisang tetap akan ada yang busuk. Cuma dalam keputusan drastik FAM ini perlu konsisten dalam menangani insiden-insiden serupa yang bakal hadir nanti. Pengamatan pelbagai pihak ialah bagaimana Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) boleh terlepas daripada sebarang tindakan dan denda akibat daripada insiden yang hampir sama di antara penyokong Kelantan dan Selangor sekalipun corak insidennya adalah berbeza.
Yang menarik untuk dilihat sekarang ialah adakah FAM akan mula mengubah pendirian mereka dalam keputusan yang telah dibuat hasil ugutan KAFA? Bagi kakibola, FAM tidak seharusnya tunduk kepada sebarang ugutan oleh persatuan bolasepak negeri dalam apa jua hal. Inilah masanya untuk membawa negeri-negeri mematuhi akan apa jua polisi dan ketetapan yang telah sama-sama mereka putuskan untuk menjamin kelancaran bolasepak negara. Sebelum ini persatuan bolasepak negeri telah lama bermaharajalela dalam "mengajar" FAM untuk mengikut telunjuk mereka dalam melaksanakan pelbagai polisi sehingga membuatkan FAM hilang kredibiliti sebagai badan induk sukan bolasepak negara. Wallahualam

Wednesday, April 1, 2009

Antara Dollah, Devan, Wan Jamak & Azraai..

New Straits Times hari ini meramalkan bahawa jurulatih Shahzan Muda, Dollah Salleh bakal diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih bolasepak negara yang baru. Kenyataan ini bakal disahkan apabila Majlis Bolasepak FAM bersidang pada 11 April nanti. Apapun persoalannya apakah spekulasi ini menepati kehendak dan keperluan bolasepak negara yang ingin menyaksikan satu perubahan positif terhadap pencapaian dan peningkatan mutu bolasepak negara?
Kakibola secara peribadinya merasakan calon terbaik bagi mengisi jawatan tersebut adalah saudara Wan Jamak Wan Hassan dan K.Devan berdasarkan kepada keupayaan mereka mengemudi barisan pemain baru dan lama dalam pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia sekalipun Liga Malaysia bukanlah pentas terbaik bagi mengukur kemampuan sebenar mereka. Apapun kakibola mengambil kira karisma, perwatakan dan pendekatan terhadap pemain serta pengalaman yang ada pada kedua calon berkenaan bagi membentuk sebuah pasukan bolasepak negara yang mantap. Keupayaan Dollah Salleh mengemudi pasukan bertaraf kelab bukanlah satu isu kerana samada kelab atau negeri ianya tetap sebuah pasukan yang bertanding. Kelebihan MPPJ pada ketika itu ialah kedudukan kewangan yang kukuh serta kemampuan memiliki pemain yang terbaik. Mana-mana pasukan (negeri atau kelab) sekalipun jika memiliki barisan pemain yang mantap, sudah tentu mampu mengecap kejayaan sepertimana Kuala Muda NAZA dan KL Plus. Jadi di sini status pasukan bukanlah jadi ukuran yang hanya suka disensasikan oleh media negara. Ataupun adakah mungkin FAM mengambil jalan mudah untuk melantik Dollah kerana beliau hanya mengemudi pasukan yang tidak berada dalam kelompok persaingan Liga Premier dan sekaligus memudahkan FAM mendapat pelepasan dari majikannya berbanding 3 calon lain yang mengemudi pasukan berstatus elit dan bakal menyukarkan usaha mereka untuk mendapatkan pelepasan dari majikan masing-masing? Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh FAM nanti. Wallahualam.

Thursday, March 26, 2009

Ke Mana Harimau Muda Selepas Ini?

Saban hari di dalam media, pasukan Harimau Muda kendalian K.Rajagopal mendapat liputan yang hebat dengan kenyataan-kenyataan positif dan membanggakan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sehinggakan KBS sanggup menjadikan pasukan ini sebagai 'anak angkat' dengan segala pembiayaan ditanggung oleh mereka. Semalam, FAM dan KBS menandatangani Perjanjian Kerjasama Pengendalian Pengurusan Bolasepak Harimau Muda dan Pak Menteri KBS menjanjikan latihan sebulan di Croatia sebagai insentif kepada mereka sebagai persiapan ke Sukan SEA. Macam dah takde modal lain nak ditawarkan. Entah kenapa tiba-tiba Croatia yang dipilih. Pasukan Harimau Muda yang hebat dalam Liga Premier cuma sekarang ni dah turun ke tangga kedua selepas pembatalan pasukan MBJB dalam Liga Premier. Ketua Jurulatih, K.Rajagopal pulak mengidamkan pasukan ini dapat beraksi dalam Liga Super. Alamak...apa punya pilihan daa....apa kelas Liga Super ni? Nak tahu, tanya B. Sathianathan.
Kakibola pernah mencadangkan supaya pasukan muda yang punya potensi ini dihantar menyertai Liga S yang punya taraf yang lebih tinggi dengan pemain-pemain import berwibawa untuk mendapat pendedahan antarabangsa. Harimau Muda adalah sebuah pasukan kebangsaan yang dibentuk untuk saingan antarabangsa, bukan untuk main liga kampung. Kemasukan ke Liga S sudah tentu mempunyai syarat dan peraturannya yang tersendiri, tetapi jika DPMMFC yang disingkirkan dari Liga M boleh sertai, kakibola tidak nampak bagaimana pasukan kebangsaan yang berjiran tidak dapat diterima masuk atas semangat setiakawan. Kalau susah dan tidak diterima pun mungkin kerana sikap bodoh sombong FAM sendiri. Dari segi kos, tak nampak pun masalahnya. Team boleh ditempatkan di Johor Bharu, kecuali Rajagopal tidak ingin berpindah dari Selangor dan tanpa melibatkan penggunaan nilaiwang Singapura. Wallahualam

Sunday, March 8, 2009

Who Are The Next Office Bearers of FAM?

Dear Lads & Football Lovers of Malaysia,
Let us nominate who will be the best person(s) to lead the FAM after 2010.
1. President
2. Deputy Presidents
3. Vice Presidents
4. General Secretary

Wednesday, March 4, 2009

Jurulatih Tak Bertauliah Dalam Liga M?

Musim 2008 lepas, samada disedari atau tidak oleh pihak yang berwajib, ada pasukan atau kelab yang menggunakan jurulatih atau pun penolong jurulatih yang tidak bertauliah dalam kempen Liga M. Sepanjang pengetahuan kakibola, kelayakan jurulatih untuk mengendalikan pasukan dalam Liga Super/Premier ialah Lesen A bagi ketua jurulatih dan minima Lesen B untuk penolong jurulatih. Pasukan berkenaan meminjam lesen jurulatih lain untuk didaftarkan dalam senarai kejurulatihan mereka sedangkan jurulatih yang tidak memiliki kelayakan dilantik untuk mengendalikan sesi latihan dan setiap perlawanan. Bagi kakibola agak pelik jika komisioner perlawanan yang sentiasa "nampak tegas" tidak mengenali antara jurulatih yang didaftarkan tetapi tidak "bertugas" dengan jurulatih yang tidak didaftarkan tetapi mengendalikan pasukan dari bangku simpanan pasukan. Pelik kan? Apatah lagi kalau jurulatih tersebut memang satu nama yang tidak asing lagi. Takkan la tak kenal atau tak mampu membezakan nama yang didaftarkan.
Musim ini, kakibola terkejut melihat sahabat kakibola menjadi staf kejurulatihan kepada sebuah pasukan dalam Liga Super yang setahu kakibola tidak mempunyai kelayakan untuk dilantik sebagai staf jurulatih dalam Liga Super/Premier. Rasanya Lesen C pun takde lagi (kalau tak silap). Persoalannya sekarang, bagaimana Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menilai dan mengawasi kelayakan jurulatih untuk didaftarkan dalam Liga Super/Premier ini? Jauh sekali niat untuk menabur pasir dalam periuk nasi sahabat kakibola ini, tetapi lebih menjurus kepada mempertikaikan ketelusan dan ketirisan yang berlaku dalam pendaftaran staf kejurulatihan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M. Khabarnya tegas sangat? Wallahulam.

Monday, March 2, 2009

Kenyataan, Hukuman dan Tafsiran...

Menarik juga untuk mengikuti perkembangan terkini bolasepak negara. Tidak cukup panas di luar gelanggang, dipanaskan lagi dengan insiden pergaduhan penyokong-penyokong bolasepak Selangor dan Kelantan dalam kancah Liga Super hari Sabtu lalu.
Apa yang kakibola tertarik untuk memperkatakan di sini ialah kesan penghukuman ke atas jurulatih Felda United FC, saudara Redhuan Abdullah yang telah digantung selama 12 bulan dan denda sebanyak RM4,000.00 kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang ditafsirkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM sebagai menghina dan juga tidak tepat. Isi kenyataan akhbar yang dibuat oleh saudara Redhuan telah umum ketahui. Selepas hukuman dijatuhkan, terbit pula kenyataan akhbar oleh dua tokoh penting di dalam badan induk bolasepak negara, YB Dato' Che Mat Jusoh, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan YB saudara Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden yang dengan jelas mempertikaikan kewibawaan hukuman yang telah dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM. Bagaimana kita boleh mentafsirkan hukuman dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh 2 pimpinan tertinggi FAM ini? Pelik? Janggal? Hairan? Sepatutnya mereka di bawah bumbung yang sama mempunyai pendirian yang hampir sama. Jawatankuasa Disiplin yang dilantik oleh EXCO FAM sudah tentu faham akan tafsiran peraturan dan undang-undang yang dinaungi mereka. Tapi kenapa diluahkan perbezaan pandangan dan pendapat melalui media, saluran yang perlu terlebih dahulu memperolehi kebenaran dari sekretariat FAM?
Bagi kakibola, sekalipun hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM ke atas teman kakibola itu dianggap berat dan keterlaluan, hukuman tetap hukuman, manakala kesalahan tetap kesalahan. Tetapi kenapa tiba-tiba ujud rasa simpati oleh pimpinan FAM sendiri? Apakah mereka tidak faham akan isi peraturan dan undang-undang yang melibatkan disiplin pegawai, jurulatih, pemain yang terlibat dalam sebarang aktiviti anjuran FAM? Apakah kerana jawatankuasa disiplin dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh EXCO FAM sedangkan pimpinan yang mengeluarkan kenyataan media yang bercanggah dengan keputusan peraturan itu adalah di kalangan orang politik yang sentiasa ingin menonjolkan diri pada ketika dan situasi yang salah? Apakah mereka terkecuali dari tindakan disiplin?
Kepada saudara Redhuan, banyakkan bersabar, saudara telah meluahkan apa yang betul dan perlu diberi perhatian oleh FAM. Wallahualam

Tuesday, February 3, 2009

Bahana Menunggu FAM dan Bolasepak Malaysia

Peminat bolasepak sudah maklum dengan keputusan FAM untuk menggugurkan B.Sathianathan dan Datuk Soh Chin Aun sebagai jurulatih dan Pengurus Pasukan. Sebenarnya ramai yang menjangkakan keputusan Jawatankuasa Eksekutif FAM lebih dari sekadar pengguguran 2 insan tidak berdosa ini, malangnya, seperti yang kakibola ramalkan, ia hanya panas di mulut Presiden FAM tetapi tidak pada tindakannya. Apa lagi yang ada dalam mesyuarat 'panas' FAM itu?
Terkini, Menteri Belia dan Sukan telah mula menunjukkan minat untuk 'campurtangan' dalam hal ehwal rumahtangga FAM dengan hasrat untuk membantu memulihkan bolasepak negara. Semalam beliau telah mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas pemain bolasepak kebangsaan bagi mendapatkan maklumbalas tentang apa yang difikirkan baik dan perlu dilakukan demi kebaikan bolasepak negara. Tetapi kehadiran bekas-bekas pemain menemui pak menteri kakibola nampak seolah-olah ingin menonjolkan diri masing-masing. Situasi ini jelas membayangkan bahawa sebenarnya FAM dalam bahaya dan pelbagai bahana bakal menyusul jika tidak ditangani dengan bijak, waras dan betul. Entah kenapa tiba-tiba Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput masuk campur dalam hal ehwal FAM sedangkan sejak sekian lama mereka tidak pernah perlu kepada bantuan orang luar untuk menasihati mereka. Faktor kewangan sudah tentu antara perkara pokok tetapi agenda lain?
Perlu diingat FIFA melarang penglibatan kerajaan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan persatuan bolasepak kebangsaan. Jika dilihat situasi ini kakibola risau dengan penglibatan pak menteri yang juga orang politik yang sentiasa oportunis dalam mengambil kesempatan terhadap kelemahan pihak lain. Bukan mempertikaikan keikhlasan mereka, tetapi orang politik tetap dengan permainan politik mereka. Bekas-bekas pemain pula sekalipun nak membantu, lontarlah idea yang benar-benar dapat membantu dan jangan hanya sekadar nak menonjolkan diri hingga yang ada menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan dan bahagian tertentu di dalam badan induk bolasepak negara. Kakibola tak kata mereka tak pandai dan tak mahir tapi kakibola optimis tak ramai yang betul betul mampu melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan baik. Kalau pun ada, harapnya menyumbang dengan ikhlas dan bukan untuk kepentingan diri sendiri dan demi orang tertentu. Wallahualam

Al-Fatihah Untuk Mohd Nazri Abdullah

Bekas pengadil terulung negara, Mohd Nazri Abdullah, 53 tahun, telah kembali ke rahmatullah malam semalam (waktu tempatan) di Kepulauan Canary, Sepanyol. Allahyarham berada di sana bagi mengendalikan kursus bagi penolong-penolong pengadil FIFA menjelang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Allahyarham rebah di hotel kediamannya setelah kembali dari berjogging dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.10malam (waktu tempatan). Allahyarham adalah insan yang bertanggungjawab mengenengahkan bakat kakibola ke peringkat yang kompetitif apabila membawa kakibola mewakili kelabnya, Kilat Prai dalam Liga Divisyen 1 Pulau Pinang.
Salam takziah buat keluarga allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.