Peminat bolasepak sudah maklum dengan keputusan FAM untuk menggugurkan B.Sathianathan dan Datuk Soh Chin Aun sebagai jurulatih dan Pengurus Pasukan. Sebenarnya ramai yang menjangkakan keputusan Jawatankuasa Eksekutif FAM lebih dari sekadar pengguguran 2 insan tidak berdosa ini, malangnya, seperti yang kakibola ramalkan, ia hanya panas di mulut Presiden FAM tetapi tidak pada tindakannya. Apa lagi yang ada dalam mesyuarat 'panas' FAM itu?
Terkini, Menteri Belia dan Sukan telah mula menunjukkan minat untuk 'campurtangan' dalam hal ehwal rumahtangga FAM dengan hasrat untuk membantu memulihkan bolasepak negara. Semalam beliau telah mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas pemain bolasepak kebangsaan bagi mendapatkan maklumbalas tentang apa yang difikirkan baik dan perlu dilakukan demi kebaikan bolasepak negara. Tetapi kehadiran bekas-bekas pemain menemui pak menteri kakibola nampak seolah-olah ingin menonjolkan diri masing-masing. Situasi ini jelas membayangkan bahawa sebenarnya FAM dalam bahaya dan pelbagai bahana bakal menyusul jika tidak ditangani dengan bijak, waras dan betul. Entah kenapa tiba-tiba Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput masuk campur dalam hal ehwal FAM sedangkan sejak sekian lama mereka tidak pernah perlu kepada bantuan orang luar untuk menasihati mereka. Faktor kewangan sudah tentu antara perkara pokok tetapi agenda lain?
Perlu diingat FIFA melarang penglibatan kerajaan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan persatuan bolasepak kebangsaan. Jika dilihat situasi ini kakibola risau dengan penglibatan pak menteri yang juga orang politik yang sentiasa oportunis dalam mengambil kesempatan terhadap kelemahan pihak lain. Bukan mempertikaikan keikhlasan mereka, tetapi orang politik tetap dengan permainan politik mereka. Bekas-bekas pemain pula sekalipun nak membantu, lontarlah idea yang benar-benar dapat membantu dan jangan hanya sekadar nak menonjolkan diri hingga yang ada menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan dan bahagian tertentu di dalam badan induk bolasepak negara. Kakibola tak kata mereka tak pandai dan tak mahir tapi kakibola optimis tak ramai yang betul betul mampu melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan baik. Kalau pun ada, harapnya menyumbang dengan ikhlas dan bukan untuk kepentingan diri sendiri dan demi orang tertentu. Wallahualam
No comments:
Post a Comment