
Media telah melaporkan bahawa finalis
Piala Malaysia 2009, Kelantan, adalah antara pasukan yang tidak layak beraksi dalam
Liga Malaysia 2010 bersama
Perak, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan
Shahzan Muda kerana kegagalan memenuhi syarat
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memerlukan setiap pasukan yang bakal bertanding dalam
Liga M 2010 menyelesaikan tunggakan gaji dan caruman kepada
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Agak mengejutkan juga bila
Proton FC membuat keputusan untuk turut menarik diri bersama
UPB/MyTeam yang sejak awal lagi telah memutuskan untuk tidak menyertai
Liga M 2010. Lebih menghairankan,
Sarawak yang sebelum ini telah mengesahkan akan menarik diri, tiba-tiba tersenarai dalam pasukan-pasukan yang akan berentap dalam kempen
Liga Premier 2010.
Apa yang kakibola bersama-sama dengan peminat tegar bolasepak negara ingin lihat di sini ialah ketegasan
FAM dalam menguatkuasakan peraturan ke atas keenam-enam pasukan yang gagal memenuhi syarat tersebut. Ini penting demi memelihara kredibiliti
FAM daripada terus dipersendakan saban tahun oleh ahli gabungannya, apatah lagi masyarakat umum yang telah masak dengan telatah
FAM dalam urusan seumpama ini. Peraturan perlu dipatuhi dan dihormati, jika tidak, tidak ada maknanya sebarang peraturan itu jika ianya digubal dan dibuat untuk diengkari. Dalam hal ini, FAM sekali lagi bakal menjadi perhatian umum di atas sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh
Majlis FAM yang terdiri daripada ahli-ahli gabungannya sendiri yang juga datang dari 6 pasukan terbabit. Jika peraturan
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) sudah menetapkan syarat-syarat berikut maka seharusnya
Majlis FAM perlu menerima peraturan itu dan memutuskan keenam-enam pasukan tersebut tidak layak untuk menyertai
Liga M 2010. Ini bagi menjadikannya iktibar atau pengajaran kepada semua pasukan yang berada di bawah naungan
FAM dan menyertai pertandingan dibawah penganjuran
FAM agar menghormati dan mematuhi segala syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang telah diputuskan. Yang lebih penting ialah kredibiliti dan nama
FAM akan terpelihara daripada sebarang cemuhan dan kritikan yang mereka sendiri tidak inginkan.
Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa FAM terkenal dengan pendiriannya yang tidak pernah konsisten dalam banyak hal. Adakah ini juga bakal menjadi salah satu agenda tidak konsistennya FAM dalam peraturan yang digubal mereka sendiri? Sama-samalah kita tunggu akan keputusannya nanti. Wallahu'alam.