Sunday, March 8, 2009

Who Are The Next Office Bearers of FAM?

Dear Lads & Football Lovers of Malaysia,
Let us nominate who will be the best person(s) to lead the FAM after 2010.
1. President
2. Deputy Presidents
3. Vice Presidents
4. General Secretary

Wednesday, March 4, 2009

Jurulatih Tak Bertauliah Dalam Liga M?

Musim 2008 lepas, samada disedari atau tidak oleh pihak yang berwajib, ada pasukan atau kelab yang menggunakan jurulatih atau pun penolong jurulatih yang tidak bertauliah dalam kempen Liga M. Sepanjang pengetahuan kakibola, kelayakan jurulatih untuk mengendalikan pasukan dalam Liga Super/Premier ialah Lesen A bagi ketua jurulatih dan minima Lesen B untuk penolong jurulatih. Pasukan berkenaan meminjam lesen jurulatih lain untuk didaftarkan dalam senarai kejurulatihan mereka sedangkan jurulatih yang tidak memiliki kelayakan dilantik untuk mengendalikan sesi latihan dan setiap perlawanan. Bagi kakibola agak pelik jika komisioner perlawanan yang sentiasa "nampak tegas" tidak mengenali antara jurulatih yang didaftarkan tetapi tidak "bertugas" dengan jurulatih yang tidak didaftarkan tetapi mengendalikan pasukan dari bangku simpanan pasukan. Pelik kan? Apatah lagi kalau jurulatih tersebut memang satu nama yang tidak asing lagi. Takkan la tak kenal atau tak mampu membezakan nama yang didaftarkan.
Musim ini, kakibola terkejut melihat sahabat kakibola menjadi staf kejurulatihan kepada sebuah pasukan dalam Liga Super yang setahu kakibola tidak mempunyai kelayakan untuk dilantik sebagai staf jurulatih dalam Liga Super/Premier. Rasanya Lesen C pun takde lagi (kalau tak silap). Persoalannya sekarang, bagaimana Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menilai dan mengawasi kelayakan jurulatih untuk didaftarkan dalam Liga Super/Premier ini? Jauh sekali niat untuk menabur pasir dalam periuk nasi sahabat kakibola ini, tetapi lebih menjurus kepada mempertikaikan ketelusan dan ketirisan yang berlaku dalam pendaftaran staf kejurulatihan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga M. Khabarnya tegas sangat? Wallahulam.

Monday, March 2, 2009

Kenyataan, Hukuman dan Tafsiran...

Menarik juga untuk mengikuti perkembangan terkini bolasepak negara. Tidak cukup panas di luar gelanggang, dipanaskan lagi dengan insiden pergaduhan penyokong-penyokong bolasepak Selangor dan Kelantan dalam kancah Liga Super hari Sabtu lalu.
Apa yang kakibola tertarik untuk memperkatakan di sini ialah kesan penghukuman ke atas jurulatih Felda United FC, saudara Redhuan Abdullah yang telah digantung selama 12 bulan dan denda sebanyak RM4,000.00 kerana mengeluarkan kenyataan akhbar yang ditafsirkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM sebagai menghina dan juga tidak tepat. Isi kenyataan akhbar yang dibuat oleh saudara Redhuan telah umum ketahui. Selepas hukuman dijatuhkan, terbit pula kenyataan akhbar oleh dua tokoh penting di dalam badan induk bolasepak negara, YB Dato' Che Mat Jusoh, Naib Presiden yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan YB saudara Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden yang dengan jelas mempertikaikan kewibawaan hukuman yang telah dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM. Bagaimana kita boleh mentafsirkan hukuman dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh 2 pimpinan tertinggi FAM ini? Pelik? Janggal? Hairan? Sepatutnya mereka di bawah bumbung yang sama mempunyai pendirian yang hampir sama. Jawatankuasa Disiplin yang dilantik oleh EXCO FAM sudah tentu faham akan tafsiran peraturan dan undang-undang yang dinaungi mereka. Tapi kenapa diluahkan perbezaan pandangan dan pendapat melalui media, saluran yang perlu terlebih dahulu memperolehi kebenaran dari sekretariat FAM?
Bagi kakibola, sekalipun hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Disiplin FAM ke atas teman kakibola itu dianggap berat dan keterlaluan, hukuman tetap hukuman, manakala kesalahan tetap kesalahan. Tetapi kenapa tiba-tiba ujud rasa simpati oleh pimpinan FAM sendiri? Apakah mereka tidak faham akan isi peraturan dan undang-undang yang melibatkan disiplin pegawai, jurulatih, pemain yang terlibat dalam sebarang aktiviti anjuran FAM? Apakah kerana jawatankuasa disiplin dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh EXCO FAM sedangkan pimpinan yang mengeluarkan kenyataan media yang bercanggah dengan keputusan peraturan itu adalah di kalangan orang politik yang sentiasa ingin menonjolkan diri pada ketika dan situasi yang salah? Apakah mereka terkecuali dari tindakan disiplin?
Kepada saudara Redhuan, banyakkan bersabar, saudara telah meluahkan apa yang betul dan perlu diberi perhatian oleh FAM. Wallahualam

Tuesday, February 3, 2009

Bahana Menunggu FAM dan Bolasepak Malaysia

Peminat bolasepak sudah maklum dengan keputusan FAM untuk menggugurkan B.Sathianathan dan Datuk Soh Chin Aun sebagai jurulatih dan Pengurus Pasukan. Sebenarnya ramai yang menjangkakan keputusan Jawatankuasa Eksekutif FAM lebih dari sekadar pengguguran 2 insan tidak berdosa ini, malangnya, seperti yang kakibola ramalkan, ia hanya panas di mulut Presiden FAM tetapi tidak pada tindakannya. Apa lagi yang ada dalam mesyuarat 'panas' FAM itu?
Terkini, Menteri Belia dan Sukan telah mula menunjukkan minat untuk 'campurtangan' dalam hal ehwal rumahtangga FAM dengan hasrat untuk membantu memulihkan bolasepak negara. Semalam beliau telah mengadakan pertemuan dengan bekas-bekas pemain bolasepak kebangsaan bagi mendapatkan maklumbalas tentang apa yang difikirkan baik dan perlu dilakukan demi kebaikan bolasepak negara. Tetapi kehadiran bekas-bekas pemain menemui pak menteri kakibola nampak seolah-olah ingin menonjolkan diri masing-masing. Situasi ini jelas membayangkan bahawa sebenarnya FAM dalam bahaya dan pelbagai bahana bakal menyusul jika tidak ditangani dengan bijak, waras dan betul. Entah kenapa tiba-tiba Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput masuk campur dalam hal ehwal FAM sedangkan sejak sekian lama mereka tidak pernah perlu kepada bantuan orang luar untuk menasihati mereka. Faktor kewangan sudah tentu antara perkara pokok tetapi agenda lain?
Perlu diingat FIFA melarang penglibatan kerajaan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan persatuan bolasepak kebangsaan. Jika dilihat situasi ini kakibola risau dengan penglibatan pak menteri yang juga orang politik yang sentiasa oportunis dalam mengambil kesempatan terhadap kelemahan pihak lain. Bukan mempertikaikan keikhlasan mereka, tetapi orang politik tetap dengan permainan politik mereka. Bekas-bekas pemain pula sekalipun nak membantu, lontarlah idea yang benar-benar dapat membantu dan jangan hanya sekadar nak menonjolkan diri hingga yang ada menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan dan bahagian tertentu di dalam badan induk bolasepak negara. Kakibola tak kata mereka tak pandai dan tak mahir tapi kakibola optimis tak ramai yang betul betul mampu melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran dengan baik. Kalau pun ada, harapnya menyumbang dengan ikhlas dan bukan untuk kepentingan diri sendiri dan demi orang tertentu. Wallahualam

Al-Fatihah Untuk Mohd Nazri Abdullah

Bekas pengadil terulung negara, Mohd Nazri Abdullah, 53 tahun, telah kembali ke rahmatullah malam semalam (waktu tempatan) di Kepulauan Canary, Sepanyol. Allahyarham berada di sana bagi mengendalikan kursus bagi penolong-penolong pengadil FIFA menjelang Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Allahyarham rebah di hotel kediamannya setelah kembali dari berjogging dan disahkan meninggal dunia pada jam 7.10malam (waktu tempatan). Allahyarham adalah insan yang bertanggungjawab mengenengahkan bakat kakibola ke peringkat yang kompetitif apabila membawa kakibola mewakili kelabnya, Kilat Prai dalam Liga Divisyen 1 Pulau Pinang.
Salam takziah buat keluarga allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.

Friday, January 30, 2009

Presiden FAM Wajar Letak Jawatan?

Dalam kekalutan dan pelbagai permasalahan baik dari aspek pentadbiran, pembangunan dan pelbagai hal yang berkaitan dengan bolasepak negara, kakibola merasakan ini adalah masa terbaik untuk Presiden FAM mengundurkan diri secara terhormat. Tempoh 25 tahun yang diberikan sejak mengambil alih tampok 'pemerintahan' FAM dari YBhg Tan Sri Hamzah Abu Samah, adalah satu tempoh yang terlalu lama dan di sepanjang tempoh tersebut, ternyata sekali tiada peningkatan mahupun kemajuan yang dicapai oleh bolasepak negara. Kata orang, memang mudah menuding jari untuk mencari kesalahan tetapi sejak peralihan kuasa, bolasepak negara sedang menuju ke arah kehancuran yang amat dahsyat. Tanpa perlu mencongak akan kedudukan negara dalam rangking FIFA, umum sudah jelas dan amat mual dengan pelbagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan wajarnya kepimpinan FAM mengundur diri. Harapan menggunung yang diberikan kepada barisan kepimpinan baru FAM ternyata tidak menampakkan pulangan yang positif, maka ujud samada ada keikhlasan di kalangan mereka untuk mengembalikan martabat bolasepak negara atau sekadar menumpang 'glamour' di pentas sukan nombor satu negara.
Kebanyakan keputusan yang dibuat oleh FAM hanya satu 'gimmick' dan sekadar menonjolkan kepopularitian mereka dan bukan demi pembangunan dan peningkatan sukan itu sendiri. Penghantaran jurulatih ke Manchester United, penghantaran pemain ke Chelsea, sesungguhnya tidak membantu ke arah peningkatan menyeluruh bolasepak kita. Struktur pentadbiran di peringkat FAM dan negeri perlu dirombak, sistem bolasepak kita perlu diubahsuai bagi menampung keperluan dan keserasian semua pihak tanpa mengambil kira kumpulan yang berkepentingan di dalam organisasi FAM. Persatuan negeri perlu dicelikkan betapa mereka bukan lagi peminta sedekah sebaliknya perlu berusaha membangunkan struktur dan sistem bolasepak di negeri tanpa terlalu bergantung kepada FAM untuk menghulurkan bantuan. Teguran demi teguran dari peminat dan mereka yang berilmu dalam memberi sumbangan, tidak pernah sekalipun diendahkan, mereka hanya gah sesama mereka dengan ungkapan mudah "Kami lebih tahu dari kamu akan apa yang kami buat". Untuk Presiden FAM - turutilah langkah berani yang diambil oleh anakandanya yang merasa bertanggungjawab dalam kemerosotan mutu bolasepak negara. Bersedialah untuk berundur sebelum diundurkan. Wallahulam.

Saturday, January 24, 2009

Tuanku Presiden Murka, Janjikan Tindakan Drastik?

Akhbar-akhbar tempatan hari ini memaparkan rasa kurang senang Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuanku Sultan Ahmad Shah tentang kekalahan pasukan negara kepada UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini.
Kakibola merasakan ini bukan kali pertama rasa murka dan janji Tuanku Presiden untuk mengambil tindakan drastik dalam mengatasi permasalahan bolasepak negara. Dalam pertandingan Piala Asia 2007 dulu pun kedengaran suara yang sama setelah luahan peminat bolasepak negara memuncak akibat prestasi buruk barisan negara yang tewas teruk sebagai pasukan tuan rumah. Kemuncak kemarahan peminat bolasepak negara telah menyaksikan pengunduran YTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan Presiden. Pemilihan Jawatankuasa FAM juga menyaksikan kemasukan muka baru dengan harapan untuk memulihkan serta mempertingkatkan mutu bolasepak negara. Namun kemurkaan itu hanya bersifat sementara dan tindakan drastik dan tegas yang dijanjikan tidak seberapa sebaliknya individu yang telah disingkirkan, dibawa masuk semula. Kita sama-sama nantikan tanggal 31 Januari nanti dan saksikan apakah keputusan EXCO FAM. Kalau masih 'pi mai pi mai tang tu, memang sahlah keseluruhan FAM perlu 'diruntuhkan'. Wallahualam

Friday, January 23, 2009

Lepas Kalah - Riuh Semula

Kekalahan Malaysia kepada UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi, keluhan, kritikan dan tuding-menuding antara satu sama lain. Ada pihak yang terasa pedas dek kritikan jurulatih negara, B.Sathianathan dan tidak kurang juga yang bingkas bangun untuk mempertahankan diri sendiri atau pun polisi masing-masing. Paling melucukan apabila mantan Timbalan Presiden FAM yang juga sekarang ini boss Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menyarankan agar rombakan dibuat terhadap pentadbiran badan induk bolasepak negara untuk mengembalikan kegemilangan sukan ini. Lucu kan?
Setelah sekian lama berada dalam tampuk pentadbiran FAM, entah apa yang telah dilakukan beliau di sepanjang tempoh itu untuk meningkatkan MUTU bolasepak negara hingga berada pada tahap yang parah seperti sekarang? Amat kurang wajar baginya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian sekalipun telah diajukan oleh pemberita untuk diulas. Cadangan beberapa tokoh bolasepak agar pasukan bolasepak dibubarkan dan digantikan oleh pemain muda amatlah tidak wajar. Ini jelas mempamerkan kedangkalan dan kecetekan pengalaman mereka dalam menangani isu seumpama ini di sebalik lakaran pengalaman yang tinggi dalam pentadbiran dan pengurusan bolasepak. Tidak timbul faktor usia (samada tua atau muda) untuk mewakili pasukan negara asalkan mereka menepati piawaian untuk beraksi di pentas antarabangsa yang menuntut persembahan terbaik demi negara. Mana mungkin diberi peluang kepada rata-rata pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa yang sentiasa menuntut keputusan. Jangan lupa - penonton datang menyaksikan perlawanan dengan membayar tiket dan bukannya masuk percuma dan kehadiran mereka adalah untuk menyaksikan mereka persembahan yang baik serta mendapat keputusan yang wajar. Kakibola bersetuju dengan pandangan yang lebih matang jurulatih Perlis, Irfan Bakti Salim dan bekas legenda bolasepak negara, Shukor Salleh bahawa pasukan yang sedia ada perlu dimantapkan dan bukannya dibubarkan. Apapun ruang dan peluang sentiasa ada untuk diperbaiki asalkan pihak yang terlibat secara langsung peka akan rintihan dan keluhan sekalipun kita sedar bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam satu masa tetapi hakikatnya sudah tentu ada perkara utama yang perlu dibereskan, wallahualam.

Thursday, January 22, 2009

Datuk Ghani Minhat Tawar Diri Beri Nasihat

Datuk Abdul Ghani Minhat atau lebih dikenali sebagai Raja Bola Malaysia dalam laporan akhbar dipetik sebagai berkata beliau menawarkan diri untuk memberi pandangan dan nasihat kepada pihak yang sudi mendapatkan pandangan beliau tentang bagaimana bolasepak negara boleh dipertingkatkan. Kakibola merasa amat simpati dengan insan ini yang ingin menawarkan diri demi peningkatan bolasepak negara. Masih ada yang sudi memberi pandangan dan buah fikiran demi pembangunan bolasepak negara tetapi masih adakah yang sudi mendengar?
Cuma kakibola merasa agak pelik, apakah peranan yang dimainkan oleh bekas-bekas wira negara yang disanjung hebat yang menduduki kerusi Majlis FAM dalam pelbagai jawatankuasa yang ada, termasuk Datuk Ghani Minhat sendiri. Apakah yang telah disumbangkan oleh Datuk M.Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Jamal Nasir Abdul Nasir Ismail, Datuk Dell Akhbar Khan, tatkala mereka berada di dalam FAM? Ataupun mungkin para politikus yang berada di dalam Majlis FAM lebih arif tentang selok belok bolasepak negara daripada mereka? Pada pandangan kakibola, kalau orang yang hebat seperti empat Datuk tadi pun boleh tidak diperdulikan, apa lagi kita yang kerdil ini, mampukah menggoncang Wisma FAM untuk membuat perubahan demi kemajuan bolasepak negara? Kalau mereka ada mengusulkan sesuatu yang baik tetapi tidak dipedulikan, sekurang-kurangnya ada initiatif dari mereka tetapi kalau tak ada dan sekadar memanaskan bangku dan menjadi pak turut, jangan lah berani lagi meluahkan pandangan dan komen di dalam akhbar. Mereka yang layak digelar DAYUS. Wallahualam.

Wednesday, January 21, 2009

Kelayakan Piala Asia - Malaysia 0 UAE 5

Terdetik di hati untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia melawan UAE dalam perlawanan kelayakan ke Piala Asia. Sekalipun tidak meletakkan harapan yang tinggi ke atas pasukan negara untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut, tetapi sekadar mendengar serta menatap laporan di dada-dada akhbar dan juga media elektronik. Maka hasilnya tidak lah memeranjatkan. Keputusan 0-5 yang dicatatkan oleh UAE ke atas Malaysia jelas menunjukkan betapa "tingginya" mutu pasukan negara dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Rasa simpati kakibola pada jurulatih negara, B.Sathianathan yang 'dipaksa' memikul tanggungjawab yang telah diberikan bagi memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain.
Bertolak daripada perlawanan Malaysia-UAE, jelas pemain-pemain negara tidak memiliki kualiti yang boleh dibawa bersaing di peringkat antarabangsa. Barisan pertahanan Malaysia begitu rapuh dengan terlalu banyak ruang yang diberikan kepada lawan untuk membuat gerakan dan membuat percubaan ke arah gol. Situasi berbeza berlaku di barisan pertahanan lawan. Di bahagian tengah jelas gandingan Indra Putra Mahyudin dan Abdul Hardi Jaafar yang dipertaruhkan, tidak memiliki persefahaman yang baik. Indra dan Hardi bermain di 'pace' yang sama sekalipun kagum dengan kelebihan yang ada pada Hardi. Barisan penyerang pula terlalu bergantung kepada keupayaan Safie Sali untuk membuat penyudah malangnya barisan penyerang negara lebih banyak menunggu bola di kaki daripada membuat pergerakan tanpa bola berbanding situasi yang berbeza di pihak penyerang lawan. Lebih menghampakan melihat kelibat penyerang kiri asal Kedah, Khyril Muhaimeen yang seolah-olah tidak berminat untuk bermain dan tidak memberi sebarang sumbangan yang positif kepada pasukan. Kesimpulannya, apa yang dapat kakibola rumuskan ialah, pemain negara kurang kreativiti serta tidak mempamerkan aspek teknikal yang baik yang diperlukan oleh seorang pemain dan juga sebuah pasukan. Walaubagaimanapun pemilihan Syamsuri Mustafa untuk menjaga gawang agak boleh dipertikaikan kerana telah beliau berehat panjang dari aksi kompetitif baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa dan ternyata agak gugup dalam menangani situasi-situasi tertentu. Apapun B.Sathianathan lebih memahami akan keperluan pasukan dan mempunyai alasan tersendiri untuk menyenaraikan penjaga gol Terengganu T-Team tersebut.
Untuk pengurusan pasukan dan juga FAM, bertepuk tanganlah sendiri dan pekakkan lah telinga serta butakan mata anda dalam menghadapi situasi ini. Ringan-ringankanlah tangan untuk terus menuding ke arah hamba Allah yang bergelar jurulatih. Wallahualam.