Tuesday, December 15, 2009

Harimau Muda A Tak Sertai Liga Super - Siapa Untung Siapa Rugi?

Liga Super 2010 yang bakal membuka tirainya 9 Januari ini bakal menyaksikan kehilangan aksi sekumpulan anak-anak muda yang berpotensi besar dalam menyinari bolasepak negara dalam masa terdekat ini. Ini ekoran daripada keputusan Majlis FAM untuk membatalkan penyertaan skuad Harimau Muda A (bawah 21 tahun) dalam saingan Liga Super 2010 bagi memberi laluan kepada Pahang untuk menempatkan diri dalam kelompok elit bolasepak negara. Dalam mesyuarat Majlis FAM yang dipengerusikan sendiri oleh Presidennya, Tuanku Sultan Hj Ahmad Shah, wakil-wakil negeri bersepakat untuk tidak membenarkan skuad Harimau Muda A beraksi dan sebaliknya mahukan pemain-pemain dari pasukan pelapis ini kembali mewakili pasukan negeri masing-masing dalam persaingan Liga Malaysia. Alangkah gelojohnya dan tamaknya wakil-wakil negeri ini. Mereka mengabaikan tanggungjawab untuk melahirkan pemain-pemain pelapis kepada pasukan negara, sebaliknya mahukan pemain yang dibentuk dan dididik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pulangan. Namun begitu, FAM telah memutuskan untuk tidak menyerahkan pemain-pemain ini kepada pasukan negeri dan akan dikekalkan sebagai sebuah pasukan, memandangkan pemain-pemain ini mempunyai kontrak dengan FAM sehingga 31 Jun 2010. Dengan keputusan ini maka persatuan bolasepak negeri yang tergila-gilakan khidmat pemain-pemain muda ini, gigit jari.
Ekoran daripada keputusan Majlis FAM tersebut, kini anak didik jurulatih baru Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, bagaikan tiada tujuan untuk terus menggilap dan memperkasakan bakat yang ada pada mereka. Apa lagi pertandingan yang ada untuk mengukur tahap pencapaian mereka di tahun 2010 selain daripada pertandingan jemputan dan persahabatan serta lawatan pendedahan ke luar negara yang tidak akan memberi sebarang motivasi kepada pemain-pemain muda ini. Jutaan ringgit yang dilaburkan untuk membentuk sebuah pasukan pelapis yang berkualiti tinggi kini terbiar akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab serta hanya mementingkan diri sendiri.
Walaupun ada desas-desus yang mengatakan bahawa pasukan muda ini akan didedahkan di Liga Singapura (S-League) namun usaha itu belum menampakkan sebarang kenyataan kerana Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mencadangkan agar pasukan Young Lions mereka juga diterima untuk beraksi di Liga Malaysia, namun begitu, hasrat tersebut tidak dapati dipenuhi, sekurang-kurangnya untuk 2010, kerana FAM telah pun memutuskan jumlah pasukan dan pengundian bagi pasukan-pasukan yang mengambil bahagian telahpun dimuktamadkan.
Apapun, adalah diharapkan agar pemain-pemain ini mampu mendapat suntikan semangat yang baru berdasarkan kepada kekuatan mental dan disiplin yang telah dibentuk sekian lama untuk menghadapi apa juga kemungkinan di tahun 2010, insyaAllah. Wallahu'alam.

Saturday, December 12, 2009

Budak Kampung 2 Thailand 1 - Natijah Kemenangan...




Tahniah barisan jurulatih dan pemain Malaysia di atas kejayaan menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan A di Sukan SEA Laos. Kemenangan itu sekaligus melayakkan Malaysia ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan dan akan beraksi menentang satu lagi pasukan kampungan, tuan rumah Laos, yang muncul juara kumpulan B. Pencapaian ini juga menepati hasrat dan piawaian yang diletakkan oleh pengurusan pasukan di mana sebelum ini mereka tidak yakin untuk mensasarkan pencapaian pasukan negara. Apapun bagi kakibola, pujian utama harus diberikan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal yang telah berjaya menanam semangat juang dan keyakinan diri yang tinggi di kalangan para pemain. Bukan satu perkara yang mudah bagi jurulatih ini untuk menampilkan perwatakan yang positif kepada pasukannya di kala mereka berada dalam tekanan untuk menghasilkan satu keputusan yang mampu membawa pasukan negara ke peringkat separuh akhir. Namun baginya, ia lebih mudah memandangkan mereka telah bersama sebagai satu pasukan sejak sekian lama - jurulatih mengenali peribadi pemainnya dan pemain-pemain pula menyedari akan keikhlasan dan kesungguhan jurulatih dalam melaksanakan tugasnya. Itulah kekuatan yang ada dan natijah kemenangan yang dicapai oleh pasukan negara ke Sukan SEA Laos.
Tetapi amat malang apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal mengesan atau menghidu keberkesanan atau hasil yang mampu dicapai apabila sesuatu pasukan itu dikekalkan dalam satu jangka masa panjang. Ini ekoran daripada keputusan FAM untuk menidakkan hasrat Harimau Muda A dari beraksi dalam Liga Super 2010. Setelah sekian lama bersama mengharungi kempen Liga Premier dan berjaya menempatkan diri selaku pasukan terbaik di kalangan pasukan yang bertanding, kini pemain-pemain akan dipisahkan untuk dikembalikan ke negeri masing-masing untuk mewakili pasukan negeri mereka dalam kempen Liga Malaysia 2010. FAM pernah melakukan banyak kesilapan dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap namun tidak pernah mempelajari hasil dari kesilapan tersebut. Bermula dengan pembentukan pasukan Harimau di bawah kendalian Kevin Keegan hingga ke formula pembentukan pasukan pra Olimpik dan pra Piala Dunia, ianya tidak pernah menghasilkan keinsafan di kalangan pentadbir bolasepak negara. Keputusan terbaru untuk menghalang pasukan Harimau Muda A beraksi adalah satu pembaziran yang amat nyata. Setelah puluhan juta ringgit dilaburkan ke atas pasukan ini, keakraban, persefahaman dan semangat kerjasama berpasukan yang telah dibina, begitu mudah sekali dimusnahkan hanya demi memenuhi nafsu pihak-pihak tertentu untuk membawa masuk sebuah pasukan ke dalam Liga Super.
Seharusnya pasukan ini dikekalkan dan dimantapkan lagi dengan pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi. Kakibola pernah mencadangkan kepada jurulatih negara, K.Rajagopal dan jurulatih pasukan Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah, betapa pentingnya pasukan remaja kebangsaan ini didedahkan dengan perlawanan yang bertaraf antarabangsa. Jika dengan mengekalkan para pemain dalam satu jangkamasa yang panjang adalah formula terbaik negara, mengapa tidak dihantar pasukan ini untuk menyertai Liga Singapura (Liga S) yang nyata hampir dengan kita dan mempunyai kelab serta pemain yang bertaraf antarabangsa. Masa untuk kepimpinan FAM merenung dan mengkaji semula keputusan yang telah mereka putuskan untuk membubarkan pasukan Harimau Muda A dari menyertai Liga Malaysia 2010. Wallahu'alam.

Monday, December 7, 2009

Budak Kampung Tewas Kepada Vietnam..

Tatkala kakibola menerima berita kekalahan Malaysia di tangan Vietnam dalam perlawanan kedua Sukan SEA di Vientiane, perkara pertama yang terpancul di kotak pemikiran ialah memang keputusan itu sudah diduga. Malaysia memang sudah dijangka akan tewas kepada Vietnam. Keputusan perlawanan pertama membelasah Timor Leste 11-0 juga tidak memeranjatkan kerana umum sedar akan kekuatan yang dimiliki pasukan Timor Leste berbanding Malaysia. Pasukan amatur Malaysia juga mampu tewaskan mereka. Tetapi apa yang ingin diperkatakan di sini ialah bukan soal kalah menang, sebaliknya adakah rangka pembangunan dan pendedahan yang diperolehi oleh pemain-pemain negara di liga negara kita - Liga Malaysia - menepati kehendak pembangunan dan pencapaian sukan itu sendiri.
Bermula dengan kemerosotan pencapaian kelab/negeri dalam pertandingan Piala AFC, kemudiannya kegagalan pasukan negara dalam persaingan kelayakan Piala Asia dan kini Sukan SEA, adakah pemain-pemain bolasepak negara berada di landasan yang betul ke arah pembentukan pasukan kebangsaan yang mantap untuk bersaing di peringkat antarabangsa? Pelbagai sasaran diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelbagai harapan disandarkan oleh masyarakat terhadap pasukan bolasepak negara tetapi apakah di penghujungnya masih ada sinar? Ramai yang telah menyatakan bahawa keputusan perlawanan persahabatan yang dilalui oleh pasukan kebangsaan tidak boleh diambil kira, dan ternyata kenyataan tersebut adalah tepat. Pertandingan adalah pentas sebenar bagi mengukur pencapaian pasukan negara. Pertandingan yang mendedahkan mereka kepada pelbagai cabaran - mental, fizikal, emosi dan keyakinan diri. Apakah akan panas kembali istilah "jaguh kampung" di kalangan pemain bolasepak negara? Jaguh kampung yang hanya seronok dan gah beraksi di laman sendiri dengan budak-budak belasahan sebaya? Di mana pentas sebenar persaingan kita? Kakibola amat yakin inilah persoalan yang sebenarnya perlu dijawab oleh kepimpinan bolasepak negara. Masa untuk Liga Malaysia diubahsuai supaya lebih kompetitif dan nampak kompetitif dengan saingan pemain-pemain dan pasukan yang berkualiti dan bukannya kuantiti. Hari ini, Liga Malaysia disogokkan dengan pemain dan pasukan yang hanya sekadar memenuhi jumlah penyertaan. Pasukan yang sudah diturunkan ke liga bawahan boleh diangkat untuk kembali ke liga atasan hanya atas alasan untuk mencukupkan bilangan pasukan. Bilakah kualiti akan mendapat tempat di hati kepimpinan bolasepak negara? Sedarlah dari mimpi silam, kini bukan masanya lagi untuk kita berbicara tentang sejarah, bukan masanya kita terus berbicara tentang allahyarham Mokhtar Dahari, bukan masanya lagi untuk berbicara tentang Ghani Minhat, mendiang R.Arumugam, Soh Chin Aun dan sebagainya. Kini masanya untuk kita merenung ke hadapan untuk kembali dihormati oleh pasukan lawan, peminat tempatan dan sekelian warga Malaysia.
Di Sukan SEA Laos, Timor Leste dan Kemboja bukanlah hanya dua pasukan yang perlu ditewaskan tetapi Thailand dan Vietnam yang telah diundi dalam kumpulan yang sama. "One Down One More To Go". Kita telah tewas kepada Vietnam dan kini kita perlu menewaskan Kemboja dan terakhir sekali Thailand andai kita ingin memasang impian untuk layak ke separuh akhir dan membawa pulang setidak-tidaknya gangsa. Vietnam dibarisi pemain-pemain yang didedahkan dengan liga yang berkualiti tinggi, disaingi oleh pemain-pemain yang hebat, baik tempatan mahu pun pemain import. Thailand dibarisi oleh pemain-pemain yang memiliki kualiti teknikal yang hebat, didedahkan dengan perlawanan antarabangsa yang tinggi, dilatih oleh jurulatih yang unggul. Apakah ada kemampuan dan kekuatan untuk kita menewaskan mereka? Sama-samalah kita mendoakan agar mereka beroleh keajaiban dan keizinan untuk mencipta satu kejutan (kemenangan). Wallahu'alam.