Friday, January 30, 2009

Presiden FAM Wajar Letak Jawatan?

Dalam kekalutan dan pelbagai permasalahan baik dari aspek pentadbiran, pembangunan dan pelbagai hal yang berkaitan dengan bolasepak negara, kakibola merasakan ini adalah masa terbaik untuk Presiden FAM mengundurkan diri secara terhormat. Tempoh 25 tahun yang diberikan sejak mengambil alih tampok 'pemerintahan' FAM dari YBhg Tan Sri Hamzah Abu Samah, adalah satu tempoh yang terlalu lama dan di sepanjang tempoh tersebut, ternyata sekali tiada peningkatan mahupun kemajuan yang dicapai oleh bolasepak negara. Kata orang, memang mudah menuding jari untuk mencari kesalahan tetapi sejak peralihan kuasa, bolasepak negara sedang menuju ke arah kehancuran yang amat dahsyat. Tanpa perlu mencongak akan kedudukan negara dalam rangking FIFA, umum sudah jelas dan amat mual dengan pelbagai alasan yang diberikan untuk mempertahankan wajarnya kepimpinan FAM mengundur diri. Harapan menggunung yang diberikan kepada barisan kepimpinan baru FAM ternyata tidak menampakkan pulangan yang positif, maka ujud samada ada keikhlasan di kalangan mereka untuk mengembalikan martabat bolasepak negara atau sekadar menumpang 'glamour' di pentas sukan nombor satu negara.
Kebanyakan keputusan yang dibuat oleh FAM hanya satu 'gimmick' dan sekadar menonjolkan kepopularitian mereka dan bukan demi pembangunan dan peningkatan sukan itu sendiri. Penghantaran jurulatih ke Manchester United, penghantaran pemain ke Chelsea, sesungguhnya tidak membantu ke arah peningkatan menyeluruh bolasepak kita. Struktur pentadbiran di peringkat FAM dan negeri perlu dirombak, sistem bolasepak kita perlu diubahsuai bagi menampung keperluan dan keserasian semua pihak tanpa mengambil kira kumpulan yang berkepentingan di dalam organisasi FAM. Persatuan negeri perlu dicelikkan betapa mereka bukan lagi peminta sedekah sebaliknya perlu berusaha membangunkan struktur dan sistem bolasepak di negeri tanpa terlalu bergantung kepada FAM untuk menghulurkan bantuan. Teguran demi teguran dari peminat dan mereka yang berilmu dalam memberi sumbangan, tidak pernah sekalipun diendahkan, mereka hanya gah sesama mereka dengan ungkapan mudah "Kami lebih tahu dari kamu akan apa yang kami buat". Untuk Presiden FAM - turutilah langkah berani yang diambil oleh anakandanya yang merasa bertanggungjawab dalam kemerosotan mutu bolasepak negara. Bersedialah untuk berundur sebelum diundurkan. Wallahulam.

Saturday, January 24, 2009

Tuanku Presiden Murka, Janjikan Tindakan Drastik?

Akhbar-akhbar tempatan hari ini memaparkan rasa kurang senang Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuanku Sultan Ahmad Shah tentang kekalahan pasukan negara kepada UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini.
Kakibola merasakan ini bukan kali pertama rasa murka dan janji Tuanku Presiden untuk mengambil tindakan drastik dalam mengatasi permasalahan bolasepak negara. Dalam pertandingan Piala Asia 2007 dulu pun kedengaran suara yang sama setelah luahan peminat bolasepak negara memuncak akibat prestasi buruk barisan negara yang tewas teruk sebagai pasukan tuan rumah. Kemuncak kemarahan peminat bolasepak negara telah menyaksikan pengunduran YTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Timbalan Presiden. Pemilihan Jawatankuasa FAM juga menyaksikan kemasukan muka baru dengan harapan untuk memulihkan serta mempertingkatkan mutu bolasepak negara. Namun kemurkaan itu hanya bersifat sementara dan tindakan drastik dan tegas yang dijanjikan tidak seberapa sebaliknya individu yang telah disingkirkan, dibawa masuk semula. Kita sama-sama nantikan tanggal 31 Januari nanti dan saksikan apakah keputusan EXCO FAM. Kalau masih 'pi mai pi mai tang tu, memang sahlah keseluruhan FAM perlu 'diruntuhkan'. Wallahualam

Friday, January 23, 2009

Lepas Kalah - Riuh Semula

Kekalahan Malaysia kepada UAE dalam perlawanan kelayakan Piala Asia baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi, keluhan, kritikan dan tuding-menuding antara satu sama lain. Ada pihak yang terasa pedas dek kritikan jurulatih negara, B.Sathianathan dan tidak kurang juga yang bingkas bangun untuk mempertahankan diri sendiri atau pun polisi masing-masing. Paling melucukan apabila mantan Timbalan Presiden FAM yang juga sekarang ini boss Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) menyarankan agar rombakan dibuat terhadap pentadbiran badan induk bolasepak negara untuk mengembalikan kegemilangan sukan ini. Lucu kan?
Setelah sekian lama berada dalam tampuk pentadbiran FAM, entah apa yang telah dilakukan beliau di sepanjang tempoh itu untuk meningkatkan MUTU bolasepak negara hingga berada pada tahap yang parah seperti sekarang? Amat kurang wajar baginya untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian sekalipun telah diajukan oleh pemberita untuk diulas. Cadangan beberapa tokoh bolasepak agar pasukan bolasepak dibubarkan dan digantikan oleh pemain muda amatlah tidak wajar. Ini jelas mempamerkan kedangkalan dan kecetekan pengalaman mereka dalam menangani isu seumpama ini di sebalik lakaran pengalaman yang tinggi dalam pentadbiran dan pengurusan bolasepak. Tidak timbul faktor usia (samada tua atau muda) untuk mewakili pasukan negara asalkan mereka menepati piawaian untuk beraksi di pentas antarabangsa yang menuntut persembahan terbaik demi negara. Mana mungkin diberi peluang kepada rata-rata pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa yang sentiasa menuntut keputusan. Jangan lupa - penonton datang menyaksikan perlawanan dengan membayar tiket dan bukannya masuk percuma dan kehadiran mereka adalah untuk menyaksikan mereka persembahan yang baik serta mendapat keputusan yang wajar. Kakibola bersetuju dengan pandangan yang lebih matang jurulatih Perlis, Irfan Bakti Salim dan bekas legenda bolasepak negara, Shukor Salleh bahawa pasukan yang sedia ada perlu dimantapkan dan bukannya dibubarkan. Apapun ruang dan peluang sentiasa ada untuk diperbaiki asalkan pihak yang terlibat secara langsung peka akan rintihan dan keluhan sekalipun kita sedar bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dalam satu masa tetapi hakikatnya sudah tentu ada perkara utama yang perlu dibereskan, wallahualam.

Thursday, January 22, 2009

Datuk Ghani Minhat Tawar Diri Beri Nasihat

Datuk Abdul Ghani Minhat atau lebih dikenali sebagai Raja Bola Malaysia dalam laporan akhbar dipetik sebagai berkata beliau menawarkan diri untuk memberi pandangan dan nasihat kepada pihak yang sudi mendapatkan pandangan beliau tentang bagaimana bolasepak negara boleh dipertingkatkan. Kakibola merasa amat simpati dengan insan ini yang ingin menawarkan diri demi peningkatan bolasepak negara. Masih ada yang sudi memberi pandangan dan buah fikiran demi pembangunan bolasepak negara tetapi masih adakah yang sudi mendengar?
Cuma kakibola merasa agak pelik, apakah peranan yang dimainkan oleh bekas-bekas wira negara yang disanjung hebat yang menduduki kerusi Majlis FAM dalam pelbagai jawatankuasa yang ada, termasuk Datuk Ghani Minhat sendiri. Apakah yang telah disumbangkan oleh Datuk M.Chandran, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Jamal Nasir Abdul Nasir Ismail, Datuk Dell Akhbar Khan, tatkala mereka berada di dalam FAM? Ataupun mungkin para politikus yang berada di dalam Majlis FAM lebih arif tentang selok belok bolasepak negara daripada mereka? Pada pandangan kakibola, kalau orang yang hebat seperti empat Datuk tadi pun boleh tidak diperdulikan, apa lagi kita yang kerdil ini, mampukah menggoncang Wisma FAM untuk membuat perubahan demi kemajuan bolasepak negara? Kalau mereka ada mengusulkan sesuatu yang baik tetapi tidak dipedulikan, sekurang-kurangnya ada initiatif dari mereka tetapi kalau tak ada dan sekadar memanaskan bangku dan menjadi pak turut, jangan lah berani lagi meluahkan pandangan dan komen di dalam akhbar. Mereka yang layak digelar DAYUS. Wallahualam.

Wednesday, January 21, 2009

Kelayakan Piala Asia - Malaysia 0 UAE 5

Terdetik di hati untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia melawan UAE dalam perlawanan kelayakan ke Piala Asia. Sekalipun tidak meletakkan harapan yang tinggi ke atas pasukan negara untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut, tetapi sekadar mendengar serta menatap laporan di dada-dada akhbar dan juga media elektronik. Maka hasilnya tidak lah memeranjatkan. Keputusan 0-5 yang dicatatkan oleh UAE ke atas Malaysia jelas menunjukkan betapa "tingginya" mutu pasukan negara dalam perlawanan di peringkat antarabangsa. Rasa simpati kakibola pada jurulatih negara, B.Sathianathan yang 'dipaksa' memikul tanggungjawab yang telah diberikan bagi memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain.
Bertolak daripada perlawanan Malaysia-UAE, jelas pemain-pemain negara tidak memiliki kualiti yang boleh dibawa bersaing di peringkat antarabangsa. Barisan pertahanan Malaysia begitu rapuh dengan terlalu banyak ruang yang diberikan kepada lawan untuk membuat gerakan dan membuat percubaan ke arah gol. Situasi berbeza berlaku di barisan pertahanan lawan. Di bahagian tengah jelas gandingan Indra Putra Mahyudin dan Abdul Hardi Jaafar yang dipertaruhkan, tidak memiliki persefahaman yang baik. Indra dan Hardi bermain di 'pace' yang sama sekalipun kagum dengan kelebihan yang ada pada Hardi. Barisan penyerang pula terlalu bergantung kepada keupayaan Safie Sali untuk membuat penyudah malangnya barisan penyerang negara lebih banyak menunggu bola di kaki daripada membuat pergerakan tanpa bola berbanding situasi yang berbeza di pihak penyerang lawan. Lebih menghampakan melihat kelibat penyerang kiri asal Kedah, Khyril Muhaimeen yang seolah-olah tidak berminat untuk bermain dan tidak memberi sebarang sumbangan yang positif kepada pasukan. Kesimpulannya, apa yang dapat kakibola rumuskan ialah, pemain negara kurang kreativiti serta tidak mempamerkan aspek teknikal yang baik yang diperlukan oleh seorang pemain dan juga sebuah pasukan. Walaubagaimanapun pemilihan Syamsuri Mustafa untuk menjaga gawang agak boleh dipertikaikan kerana telah beliau berehat panjang dari aksi kompetitif baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa dan ternyata agak gugup dalam menangani situasi-situasi tertentu. Apapun B.Sathianathan lebih memahami akan keperluan pasukan dan mempunyai alasan tersendiri untuk menyenaraikan penjaga gol Terengganu T-Team tersebut.
Untuk pengurusan pasukan dan juga FAM, bertepuk tanganlah sendiri dan pekakkan lah telinga serta butakan mata anda dalam menghadapi situasi ini. Ringan-ringankanlah tangan untuk terus menuding ke arah hamba Allah yang bergelar jurulatih. Wallahualam.

Tuesday, January 20, 2009

Kelayakan Piala Asia - Malaysia lwn UAE

Pasukan negara akan melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam siri kelayakan Piala Asia yang akan berlangsung pada Rabu 21 Januari 2009. Tempoh singkat yang dimiliki ketua jurulatih negara, B.Sathianathan bakal menjadi satu "aspek halangan" kepada persiapan mereka dalam menghadapi pasukan yang di atas kertasnya merupakan sebuah pasukan yang jauh lebih mantap berbanding pasukan negara. Ianya bakal dijadikan alasan untuk tidak mampu memberi saingan atau lebih tepat gagal memenangi perlawanan tersebut. Terbaru, faktor kecergasan pemain-pemain sudah mula dimainkan bagi menyokong alasan bakal kegagalan pasukan negara nanti di sebalik kenyataan awal yang sudah pun dibuat betapa mereka mampu membuat kejutan ke atas pasukan UAE.
Apapun, harapan semua, khususnya peminat setia bolasepak negara, adalah tidak disogokkan dengan harapan palsu. Sekalipun ianya bertujuan untuk menanam keyakinan kepada barisan negara betapa mereka mampu melakukan sesuatu yang di luar harapan semua, namun jangan diulangi kenyataan yang seharusnya mengundang rasa "mual" di kalangan peminat tempatan. Apapun jangan faktor tempoh waktu latihan dijadikan alasan untuk tidak dapat memberikan yang terbaik. Wallahualam.

Thursday, January 15, 2009

Selangor Tawar Biasiswa RM2 Juta

Harian Metro melaporkan bahawa kerajaan negeri Selangor pimpinan YB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menawarkan biasiswa berjumlah RM2juta setahun kepada para pemain bolasepak negeri Selangor. Tawaran ini meliputi pemain-pemain dari pasukan utama, pelapis mahupun akademi. Kakibola berasakan inilah caranya untuk memotivasikan para penggiat sukan khususnya bolasepak untuk terus memberikan yang terbaik. Setidak-tidaknya mereka tahu bahawa aspek kebajikan mereka semasa dan selepas mewakili negeri tidak terabai.
Berapa lama sangat mereka mampu untuk bermain mewakili negeri dalam bolasepak ni? Kalau tanpa kecederaan, insyaAllah mereka dapat beraksi paling lama 10 tahun itu pun pada usia mereka 30 tahun. Selepas dari itu, apa yang mampu mereka buat untuk menanggung perbelanjaan seharian peribadi dan keluarga? Tahniah kepada kerajaan negeri Selangor yang memulakan langkah yang baik dan seharusnya dicontohi oleh negeri-negeri lain. Jangan hanya nakkan keputusan sahaja tapi mengabaikan kebajikan para pemain. Apapun, sukan-sukan lain jangan lah pulak diabaikan, jenguk-jenguk sama keperluan mereka. Wallahualam.

Finally MU Will Come To Malaysia

Congratulations to all who had a hand in bringing Manchester United Football Club (MUFC) to Malaysia. Definitely they will be the happiest persons for all the hardwork done and will be reaping the 'rewards' from all the football fans especially MUFC supporters in Malaysia and probably Singapore and Brunei too. BUT...the question is what benefit does the Malaysian footballers gain from their trip?
New Straits Time reported today that Manchester United FC is scheduled to play a match in Malaysia on July 26th 2009. The public knows that the promoter will have to pay the club in order to get them here. They don't come cheap and we talk about RMmillions going to be spent to bring them here for HOLIDAY, although FAM nor the Malaysian government is involved in paying them. My main argument here is the benefit Malaysian footballers will gain. Its going to be merely an exhibition match and they will DEFINITELY not have their best players when they step into the Shah Alam Stadium or the Bukit Jalil National Stadium. WHY? Because Kuala Lumpur is their last stop after their hectic and exhausting schedule after playing China, Korea and Indonesia. Why Malaysia is again the last country hosting their trip? Simply because the Malaysian team doesn't have the right quality and strength to play against the tired team of Sir Alex Ferguson and that wouldn't give much trouble to their reputation. I'm not belittling our national heros but its the fact that I'm talking about. The only parties that would be happy to see the team is the MUFC fans and be prepared for our boys (Malaysian players) to be boooeed and jeered by our own Malaysians. Bet me.
To FAM, never allow our team to be humiliated by our own fans, playing against a team that comes for holiday and vacation. Some might disagree with what I said and the FAM must say that it's the best EXPOSURE for the national players but to me its all about pride and humiliation. During this time, several M-League matches will be postponed just to allowed the "circus" to be held here at the National Stadium.
Sorry to all the MUFC fans for my negative remarks over their trip here to Malaysia.

Wednesday, January 14, 2009

Pemain Liga M Tiada Perlindungan Insurans?
















Alamak...apa ni? Apa nak jadi ni? Akhbar melaporkan hampir kesemua pemain "profesional' yang beraksi dalam Liga Malaysia - Liga Super dan Liga Premier tidak dilindungi dengan insurans. Kecuali 4 pasukan, yang lainnya memungkinkan pemain-pemain mereka yang bakal menimpa kecederaan atau sebarang musibah derita tanpa sebarang perlindungan. Profesional kah pegawai-pegawai pengurusan dalam Persatuan dan Kelab yang bergabung dengan Persatuan Bolasepak Malaysia ni? Dah berbelas tahun Liga Profesional diperkenalkan, gah sana gah sini, benda macam ni pun terlepas pandang?
Alahai para pegawai dalam Persatuan dan Kelab. Jangan hanya mementingkan keputusan tanpa mengambil kira faktor kebajikan pemain. Bila cakap tentang profesionalisme, pemain lah yang selalunya menjadi topik panas. Tak profesional bila minta gaji tinggi, tak profesional bila tak menjaringkan gol, tak profesional bila main tak elok, itu lah ini lah...cuba tenung betul betul akan jari yang menuding tu. Lupakah yang 3 lagi sedang menuding diri kita sendiri? Tukar lah pendekatan tu, perbaikilah dan fahamilah erti profesional dalam sukan baru lah bolasepak kita akan maju. Selagi ada pegawai-pegawai pengurusan dan pentadbiran dalam bolasepak Malaysia yang bersikap macam ni, alamatlah impian Tuanku Presiden untuk bolasepak Malaysia bersaing dengan negara-negara jiran tinggal impian. Wallahualam

Tuesday, January 13, 2009

Liga M Tanpa Pemain Impot - Che Mat Bangga?

Naib Presiden FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Haji Che Mat Jusoh dilaporkan berkata bahawa beliau berpuas hati dengan pencapaian Liga Malaysia setakat ini. Jumlah jaringan gol yang besar yang telah dijaringkan oleh penyerang-penyerang tempatan menjadi ukuran betapa hasil yang dimahukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia tanpa pemain-pemain import telah terserlah. Beliau juga bingkas menekankan betapa mungkin ketiadaan barisan pertahanan yang ampuh akibat ketiadaan pemain pertahanan import yang mantap memungkinkan jumlah jaringan gol itu.
Bagi kakibola, apapun rumusan yang dibuat oleh FAM tentang hal ini lebih menyerlahkan kehebatan kita hanya di gelanggang sendiri bak jaguh kampung. Tidak dinafikan bahawa mereka mampu menjaringkan gol yang banyak dan menyerlahkan diri mereka sebagai penjaring unggul tetapi cabaran yang mereka lalui dalam liga tempatan tanpa kelibat pemain yang berkualiti tinggi, tetap dianggap gagal dan tidak mencapai matkamat untuk mendedahkan mereka ke tahap yang lebih kompetitif. Pemain-pemain hebat seperti di Thailand, Vietnam dan Indonesia sekalipun didedahkan dengan kehadiran pemain-pemain import apatah lagi pemain-pemain Malaysia yang serba kekurangan khususnya dalam aspek teknikal dan taktikal, dari mana boleh mereka pelajari jika tidak ada pendekatan secara langsung dengan pemain-pemain yang baik. Akhirnya yang mampu mereka pelajari hanyalah stail dan gaya hidup negatif seperti rambut panjang, memakai subang, melakarkan tattoo dan sebagainya. Wallahualam.

Saturday, January 10, 2009

Kembalikan Kemeriahan Liga Malaysia

Sedang kakibola asyik menonton satu perlawanan bolasepak dalam Liga Malaysia baru-baru ini, tiba-tiba kakibola dikejutkan dengan sapaan pemberita dari Unit Sukan RTM untuk ditemuramah. Persoalan yang diajukan ialah bagaimana kemeriahan Liga Malaysia boleh dikembalikan dan perbezaan pemain Liga Semi Pro dan Liga Profesional. Teruja juga kakibola nak menjawab.
Pada pandangan peribadi kakibola, kemeriahan bolasepak dalam Liga Malaysia ini boleh dilakukan tanpa mengenepikan aspek komersial. Perkara ini pernah disuarakan kepada pihak yang berkaitan malangnya bola yang kempis tak mampu berputar untuk sampai ke pihak berkenaan maka ianya tersadai di tepi jalan. Aspek komersial penting dalam sesebuah liga profesional dan ianya berlaku di mana-mana. Publisiti penting tetapi di Malaysia yang mendapat tempat utama ialah liga luar negara. Kakibola masih ingat lagi, liputan Piala Sumbangsih tidak mendapat tempat langsung dalam akhbar berbahasa Inggeris. Jika publisiti kurang mana mungkin peminat dapat mengikuti perkembangan semasa liga tersebut. Pemain import yang berkualiti tidak kurang juga peranannya dalam menarik minat penonton dan penyokong untuk hadir ke stadium. Apa maknanya sebuah liga profesional jika stadium kosong atau disaksikan hanya puluhan atau ratusan penonton? Kan lebih layak untuk main di padang tepian jalan saja?
Kakibola diajukan pula seterusnya tentang kualiti pemain dalam dua era yang berbeza, Liga Semi Pro dan Liga Profesional negara kita. Baki kakibola mudah saja, pemain era semi profesional memiliki kemahiran teknikal yang tinggi manakala pemain era profesional, sebilangan besarnya tidak memiliki keupayaan teknikal langsung. Hanya berlari, berlari dan terus berlari, ala pemilihan pelatih siri realiti sukan terulung MyTeam yang dimulakan dengan acara larian. Maka layaknya mereka yang sedang beraksi dalam Liga Profesional sekarang digelar sebagai "Pekerja Bolasepak" dan bukannya pemain bolasepak. Situasi ini berlaku kerana aspek pembangunan diabaikan secara total. Pertandingan di peringkat remaja pula lebih menekankan kepada keputusan dan bukannya pendedahan. Maka pemain-pemain yang lambat mencapai proses kematangan akan tercicir sedangkan mereka adalah di kalangan yang memiliki keupayaaan teknikal yang baik.
Kakibola ingin menyarankan kepada FAM dan Persatuan Bolasepak negeri agar mengenepikan pertandingan yang menekankan kepada aspek keputusan ala mee segera. Hapuskan pertandingan yang berorientasikan hadiah kemenangan sebaliknya ditekankan aspek pendedahan, barulah pasukan-pasukan akan terus memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang berterusan. Pertandingan yang dilakukan lebih menjurus kepada pendedahan dan pembangunan dalam membentuk kematangan, kekuatan mental dan fizikal pemain serta memiliki aspek pembelajaran perlu diberi penekanan. Maka dengan itu, kakibola yakin, pemain yang bakal mewakili negara nanti mampu bersaing secara kompetitif di peringkat antarabangsa, insyaAllah. Wallahualam.

Pengurus Pasukan Kedah - Gila Jawatan Tapi Tak Mau Bekerja?

Kakibola amat bersimpati dengan teman-teman rapat di negeri Jelapang Padi dengan kemelut masalah yang dihadapi oleh pasukan sang Kenari yang hingga sekarang masih menghadapi masalah pengurusan pasukan. Keputusan perlawanan juga tidak menyebelahi mereka apabila telah tewas kepada Selangor dan Negeri Sembilan, 1-4 dan 0-3 dalam 2 perlawanan awal mereka.
Sebelum ini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah memutuskan untuk mengekalkan Datuk Othman Abdul Aziz selaku Pengurus Pasukan bagi musim 2009 berdasarkan kepada "kontrak' yang telah ditandatanganinya sehingga Jun 2009. Walaubagaimanapun laporan akhbar memetik saudara Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai tidak bersetuju dengan pengurus tersebut atas alasan tidak mendapat kerjasama di samping sering membelakangkan barisan kejurulatihan dalam banyak keputusan. Yang paling dipertikaikan ialah keputusan Datuk Othman Abdul Aziz yang telah melepaskan 2 pemain harapan pasukan tersebut, Bunyamin Omar dan Zainur Fitri. Situasi ini jelas bahawa pengurus pasukan hanya mementingkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan pasukan. Kakibola yakin kejayaan yang dikecapi pasukan Hijau Kuning banyak terletak kepada kesungguhan dan kebijaksanaan jurulatih dan kesungguhan pemain untuk mencapai kejayaan.

Persoalannya di sini apakah motif sebenar Tok Man Aziz bermain tarik tali dalam isu jawatannya sebagai pengurus pasukan? Awalnya beliau mengumumkan penarikan diri kerana tidak akan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri yang memerintah negeri Kedah sekarang kerana perbezaan politik dan kemudiannya menarik balik keputusan itu dan mengumumkan untuk meneruskan jawatannya kerana masih terikat dengan kontraknya. Bagi kakibola, kalau dah rasa takkan dapat bekerjasama dengan pimpinan negeri dan juga tidak yakin akan dapat memberi komitmen yang padu kepada pasukan, elok tarik diri jer la. Jangan pertaruhkan maruah pasukan kerana cita-cita peribadi dan membuatkan keseluruhan pasukan dicemuh oleh peminat setia Hijau Kuning yang tidak faham apa apa akan kemelut yang melanda pasukan kesayangan mereka. Di pihak kepimpinan tertinggi KFA, renung-renungkanlah masalah pasukan, jangan kerana hanya ingin menjaga hati sesetengah pihak yang berkepentingan, kehendak pasukan terabai. Pada mereka yang punya cita-cita dan agenda tersembunyi pula, janganlah diambil kesempatan dalam kegawatan ini untuk menikam dari belakang. Wallahualam.