Saturday, October 25, 2008

Pestabola Merdeka Edisi ke 40


Salam sejahtera buat semua. Setelah agak lama menyepikan diri kerana kesibukan beberapa tugas penting, kini kembali untuk mengasah mata pena yang telah lama tersimpan. Kesepian arena bolasepak negara membuatkan saya juga menyepikan diri sehingga munculnya semula kehangatan Pestabola Merdeka yang melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan pasukan Vietnam menjuarai kejohanan edisi ke 41 dengan menewaskan pasukan negara 6-5 melalui sepakan penalti.
Tanpa ada niat memperkecilkan pasukan negara, namun apa yang disajikan oleh mereka dalam final semalam jelas menunjukkan kelemahan dan kedangkalan mereka dalam aspek psikologi dan kekuatan mental. Pemain Malaysia bermain mengikut arahan dan "buku" manakala pemain lawan bermain mengikut kesesuaian situasi dan ini hadir dari kreativiti dan kekuatan mental mereka. Pengalaman setahun kakibola di bumi Vietnam yang amat menyanjungi Karl Heinz Weigang, begitu kagum dengan kreativiti pemain-pemain muda Vietnam. Ini jelas melalui persembahan pemain bawah 23 Vietnam ketika beraksi menentang Malaysia. Kakibola kagum dengan pemain jersi 16 yang sering menganggu konsentrasi dan emosi pemain-pemain Malaysia.
Keghairahan pasukan negara menewaskan lawan satu demi satu pada peringkat awal dan separuh akhir, jelas tidak menggambarkan kualiti pasukan negara secara komprehensif. Kualiti pasukan lawan pada peringkat awal boleh dipertikaikan. Bermula dengan Nepal dan disusuli dengan Sierra Leone yang diwakili oleh pemain bawah 20 serta kemudiannya Afghanistan, tidak hairanlah mengapa peminat-peminat enggan ke stadium. Di pihak FAM, sekalipun ingin mengubah ranking negara ke tahap yang lebih baik, jangan pandang mudah akan aspek kualiti. Pendedahan luar negara yang diberikan hanya untuk pertandingan seumpama ini seharusnya diteliti semula. Akan hadir pelbagai alasan selepas ini, namun kita mengharapkan segala kelemahan yang terserlah dalam Pestabola Merdeka ini akan segera diatasi. Yang paling utama baki kakibola ialah betapa pentingnya aspek teknikal dan kekuatan mental serta kreativiti dititikberatkan dan bukan hanya sekadar arahan taktikal. Apapun untuk B.Sathianathan, tahniah kerana telah membuktikan jurulatih tempatan mampu melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan yang berpotensi. Wallahualam.