Salam hormat buat semua yang pernah mengikuti coretan kakibola sebelum ini. Akibat terlalu fokus dengan facebook maka masa untuk menulis di ruangan blog terabai. Apapun kini kakibola kembali untuk melontarkan pandangan mahupun kritikan yang menjurus kepada perkembangan bolasepak tanahair, insyaAllah.
Perkembangan terhangat bolasepak negara kini sudah tentulah berkisar tentang penangkapan warga Malaysia (pengadil bolasepak, Shokri Nor dan bekas pemain, S.Thanasegar) oleh CPIB Singapura (Corrupt Practices Investigation Bereau) yang dituduh menerima suapan untuk mengatur perlawanan Liga Super yang melibatkan pasukan Lions XII. Kakibola ucapkan tahniah kepada CPIB kerana kepantasan menghidu aktiviti ini dan juga tindakan penangkapan segera. Yang peliknya ialah kenapa 2 (Dua) insiden yang berlaku di pulau Singa itu dapat dikesan dengan pantas oleh pihak berkuasa Singapura? Apakah situasi yang sama tidak berlaku di Malaysia? Persoalan yang sudah tentu berlegar di kepala seluruh peminat & penggemar sukan bolasepak tanahair. Apapun, kakibola benar-benar berharap agar gejala rasuah bolasepak ini ditangani dengan segera dan serius oleh pihak-pihak yang berkaitan seperti PDRM, SPRM dan FAM sendiri.
Perkembangan menarik seterusnya adalah berkaitan dengan bintang sensasi muda negara, Nazmi Faiz Mansor (gambar atas) yang dilaporkan telah mengikat kontrak 3 tahun bersama kelab Divisyen 1 Portugal, SC Beira-Mar. Perkembangan ini sudah tentu bakal membuka lembaran baru bolasepak negara khususnya di kalangan pemain-pemain muda yang mengimpikan beraksi dengan kelab bolasepak profesional luar negara. Kalau sebelum ini, hanya nama kelab-kelab dari Britain (Liga BPL) sahaja yang menjadi sebutan serta arahtuju bolasepak profesional, namun kini sudah tentu ramai yang menyedari betapa bolasepak profesional itu bukan hanya di England. Ucapan tahniah sudah tentu harus ditujukan kepada jurulatih bolasepak B23 negara, Ong Kim Swee yang berani mendedahkan pemain-pemain muda di peringkat antarabangsa. Fenomena ini sekaligus pasti memberi kesedaran dan keyakinan kepada jurulatih-jurulatih bolasepak tempatan betapa ramai pemain-pemain muda yang berbakat seharusnya diberi tempat di dalam pasukan masing-masing dalam pertandingan tempatan selain hanya bergantung kepada 'orang-orang lama' untuk memeriahkan arena bolasepak tanahair. Buat Nazmi Faiz Mansor, selamat maju jaya dan jangan lupa akan tugas & tanggungjawab sebagai seorang Muslim di bumi asing. Wallahu'alam.