Final Piala FA edisi 2010 yang akan berlangsung Sabtu ini (10 April 2010) di Stadium Nasional, Bukit Jalil telah menyemarakkan suasana bolasepak di negara kita. Pertemuan di antara Negeri Sembilan menentang Kedah adalah satu perlawanan akhir yang dijangka akan mencetuskan senario baru bolasepak Malaysia. Apa tidaknya, kerana ini adalah kali pertama kedua pasukan bertembung di pentas final dan sudah tentu Stadium Nasional akan menyaksikan gabungan warna baru mencorak senario di sekeliling stadium.
Sudah menjadi resam apabila setiap kali tibanya final sesuatu pertandingan, pasukan-pasukan terbabit melalui presidennya atau ketua eksekutif negerinya sibuk dengan pengisytiharan ganjaran kemenangan jika berjaya membawa pulang piala yang dipertandingkan. Samada soalan ini dibangkitkan oleh media atau sememangnya pengisytiharan ini sengaja ditimbulkan untuk meningkatkan populariti pemimpin atau persatuan, hanya mereka yang tahu. Tetapi apakah pengisytiharan ini perlu? Atau apakah para pemain dan pegawai pasukan dahagakan pengisytiharan seumpama itu untuk meningkatkan semangat mereka ketika bersaing di pentas final? Kakibola penuh yakin, para pemain yang memiliki semangat profesionalisme yang tebal di dalam diri dan jiwa, tidak memerlukan pengisytiharan seumpama itu untuk menyuntik semangat perjuangan mereka. Perjuangan mereka adalah tulin dan mereka akan berjuang habis-habisan di atas padang. Tanya pemain-pemain Negeri Sembilan dan tanyalah pemain-pemain Kedah. Akan menjadi lebih malang apabila janji yang asalnya untuk menaikkan semangat mereka ketika final menjadi runtuhan moral yang tidak terhingga gara-gara kegagalan pemimpin persatuan menunaikan janji-janji mereka. Sudah lama dan sudah banyak kakibola dengar rintihan dan keluhan para pemain akan janji-janji masam yang dilontarkan oleh para pemimpin persatuan bolasepak. Tanyalah kepada mereka yang pernah beraksi di pentas final dalam banyak pertandingan yang dipertandingkan di negara kita. Tanya pemain Trengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Kelantan, Selangor dan juga pemain-pemain kebangsaan. Mereka sudah melalui dan merasai keperitan menunggu sesuatu yang yang sepatutnya menjadi hak mereka tetapi tidak dihormati.
Alangkah baiknya jika ditanamkan semangat berjuang untuk kemenangan di kalangan atlit kita daripada terus bergantung kepada suntikan ganjaran semata-mata untuk berjaya. Memang tidak dinafikan ganjaran itu perlu dan ganjaran itu penting sebagai menghargai pengorbanan mereka tetapi biar kejayaan itu dikecapi dulu dan bukannya sebelum melangkah ke medan juang. Wallahu'alam.