Monday, June 22, 2009

Liga M Balik Ke Semi Pro Pula?


Aduh FAM aduh...nak balik ke Semi Pro pulak? Lepas ni apa nak jadi pulak?
FAM selepas Kongres Tahunannya di Kuala Lumpur semalam, telah dititahkan oleh Presidennya supaya Jawatankuasa Pertandingan Tempatan mengkaji semula status Liga Malaysia yang didapatinya selama ini tidak menepati hasrat membangunkan sukan itu dan meningkatkan kualiti permainan bolasepak di negara ini. Salah status kah? Atau salah pemain kah? Atau salah mereka yang mentadbir dan menguruskan liga itu sendiri? FAM lebih arif dan faham di mana silapnya tetapi lebih gemar mengambil pendekatan menyalahkan orang lain daripada mengakui kesilapan diri sendiri.
Tanya Setiausaha Agung FAM tentang cadangan yang telah kakibola kemukakan agar liga kita kembali meriah dan mampu menarik semula penonton untuk memenuhi ruang stadium. Kakibola pernah mencadangkan supaya Liga Utama hanya disaingi oleh pasukan-pasukan negeri sahaja manakala kelab yang amat berminat untuk bersaing diletakkan dalam Liga Pelapis atau Liga Simpanan memandangkan mereka lebih berkeupayaan dari segi kewangan yang tidak terlalu bergantung kepada kehadiran penonton ke stadium dan juga kutipan pintu. Persatuan-persatuan negeri yang tidak berkeupayaan untuk menyediakan sumber kewangan yang kukuh bagi membentuk pasukan mereka bolehlah dibenarkan untuk menjemput kelab mewakili mereka dalam Liga Utama. Namun begitu, setiap negeri hanya boleh diwakili oleh sebuah pasukan sahaja samada dalam Liga Utama mahu pun Liga Pelapis atau Liga Simpanan. Secara tidak langsung, pasukan negeri akan mampu mendapatkan pemain-pemain terbaik untuk mewakili pasukan mereka manakala kelab menumpukan perhatian mereka dalam aspek pembangunan.
Selaras dengan itu juga, para pentadbir dan pengurusan persatuan bolasepak negeri dan FAM sendiri perlu didedahkan dan dididik untuk mampu mentadbir persatuan masing-masing secara komersial dan tidak terlalu bergantung kepada sumbangan Kerajaan Negeri atau Pusat untuk menjalankan aktiviti mereka. Keadaan kebanyakan persatuan-persatuan negeri sekarang tidak kurang kedudukannya sebagai pengemis.
Untuk menukar status liga bukanlah penyelesaiannya sebaliknya harus mendedahkan persatuan negeri untuk benar-benar memahami apakah maksud sebenarnya Liga Bolasepak Profesional. Wallahualam.

Saturday, June 20, 2009

Federation of Malaysian Football Clubs?

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan Kongres Tahunannya pada Ahad 21 Jun 2009 bertempat di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur. Apa yang bakal dibincangkan di dalam kongres ini antaranya ialah pindaan terhadap Perlembagaan FAM. Selebihnya mungkin tiada apa yang menarik untuk dibincangkan.
Dalam hal ini apa kata kita lontarkan satu cadangan agar Persatuan Bolasepak Malaysia ini dicabar keberkesanan mereka dalam membangunkan bolasepak negara dengan menubuhkan Persekutuan Kelab-Kelab Bolasepak Malaysia atau Federation of Malaysian Football Clubs (FMFC) yang mana keanggotaannya hanya diwakili oleh kelab-kelab bolasepak seluruh Malaysia. Kelab-kelab bolasepak di Malaysia nampaknya lebih profesional pendekatan mereka dan ini adalah lebih baik dari struktur pentadbiran Persatuan Bolasepak Negeri yang sentiasa bercelaru. Tambahan pula kedudukan kewangan kelab-kelab adalah jauh lebih baik dari persatuan Negeri. Ini bagi memberi saingan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia agar mereka segera celik dan peka terhadap kemahuan dan keperluan bolasepak negara demi meningkatkan kualiti sukan berkenaan. Apa kata Felda United FC yang dinaungi oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Abdul Razak mengepalai reformasi ini?