Friday, July 13, 2012

Rozaimi Bakal Cuba Nasib Bersama BEC Tero Sasana FC

Berita tentang tawaran kelab bolasepak ternama Thai Premier League (TPL), BEC Tero Sasana FC kepada bintang muda negara asal Sabah yang kini bersama pasukan Harimau Muda B di bawah kendalian jurulatih Ong Kim Swee, Mohammad Rozaimi Abdul Rahman (gambar), seharusnya membuka satu lagi lembaran baru buat arena bolasepak negara. Selepas Safee Sali (Pelita Jaya FC, Indonesia) dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor (SC Beira Mar, Portugal), kini beliau akan mengikuti langkah dua lagi rakan seniornya (Wan Zack Haikal & Wan Zaharul Nizam) untuk mengembangkan bakatnya ke negara asing.
Ketika dihubungi, beliau menegaskan bahawa buat masa ini tumpuannya adalah untuk memastikan Sabah memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir acara bolasepak SUKMA 2012 menentang Perak esok (Sabtu 14 Julai). Sebaik sahaja tamat perlawanan akhir SUKMA, beliau perlu bergegas pulang ke kampung halamannya di Bongawan, Sabah untuk mengemaskan pakaian dan kelengkapannya untuk melaporkan diri ke kem latihan pasukan kebangsaan 18 Julai nanti.
Apapun tawaran dari kelab TPL ini tidak perlu dipersiakan oleh beliau seandainya beliau ingin melangkah lebih jauh dalam bidang yang diceburinya ini. Kelab BEC Tero Sasana FC ini adalah sebuah kelab yang berpusat di kotaraya Bangkok dan pernah beberapa kali beraksi dalam AFC Champions League dengan pencapaian terbaik ialah menjadi naib juara pada musim 2002-2003.
Beliau menafikan kononnya ada desas desus yang mengatakan beliau telah menolak tawaran dari BEC Tero Sasana FC sebaliknya akan menyertai Selangor bagi kempen Piala Malaysia 2012. Yang pasti beliau akan berangkat ke Bangkok untuk menjalani latihan bersama mereka selama seminggu sebaik tamat latihan pusat dan perlawanan persahabatan menentang Arsenal dan Manchester City nanti. Baginya peluang yang datang ini tidak akan ditolak mentah-mentah kerana menyedari peluang untuk beraksi dengan sebuah kelab ternama Thailand adalah pentas terbaik untuk memasarkan dirinya ke tahap yang lebih tinggi.

No comments: