Wednesday, June 25, 2008

RM1 juta untuk EMAS Olimpik?

Wowww...hebatnyer! Kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Najib memang pemurah. Sogokkan lagi duit banyak-banyak. Kalau tak berjaya juga tahun ni, gandakan lagi jadi RM2 juta.
Inilah budaya kita. Saya cuba untuk berfikiran positif tetapi masih tidak nampak akan rasionalnya mempertaruhkan sejumlah wang yang begitu banyak untuk tujuan itu. Mungkin ada yang bersetuju dengan saya, mungkin juga ramai yang tidak. Tidak mengapa jika infrastruktur dan kemudahan yang ada di negara kita tidak menepati piawaian antarabangsa mahupun dunia, sebaliknya dengan aplikasi dan pendekatan serta sikap yang betul, sepatutnya kita sudah mampu mencapai apa yang kita kehendaki. Jangan mula membentuk budaya sukan yang dimonopoli oleh wang ringgit. Apa sudah jadi dengan juara-juara kita sebelum ini? Lepas dapat habuan entah ke mana perginya.
Negara kita perlukan juara sejati, juara yang lahir hasil komitmen dan kesungguhan yang mantap dan tinggi. Tidak mengapa dengan ganjaran yang berpatutan tetapi menyogok dan mengumpan dengan nilai wang ringgit sebelum kejayaan dicapai adalah satu malapetaka kepada sukan negara. Wallahualam.

Sunday, June 22, 2008

Kedah kekalkan Piala FA - Tahniah!

Selepas mempertahankan kejuaraan Liga, sang Kenari kekal unggul dengan mempertahankan Piala FA yang dimenanginya musim lalu. Bertambah hebat keunggulan Kedah apabila menundukkan pasukan Gergasi Merah di gelanggang mereka sendiri di hadapan hampir 50,000 penyokong kedua-dua pasukan. Turut berangkat mencemar duli ke pertandingan akhir itu ialah DYMM Tuanku Sultan Kedah, yang sentiasa menjadi pendorong kepada setiap anggota pasukan untuk terus memberikan yang terbaik kepada bumi Hijau Kuning.
Kalungan tahniah kakibola khususnya kepada barisan kejurulatihan Kedah yang diterajui oleh saudara Mohd Azraai Khor Abdullah dan didokong oleh Tuan Hj Muhamad Radhi Mat Din dan saudara Ahmad Sobri Ismail yang telah mampu membimbing barisan muda serta mengekalkan semangat juang dan berpasukan yang tinggi di dalam pasukan. Keupayaan Mohd Azraai Khor dalam mengenalpasti bakat serta menyerlahkan kemampuan barisan muda Hijau Kuning adalah sesuatu yang amat membanggakan. Tanpa terlalu bergantung kepada pemain luar, beliau telah mampu menjelmakan semangat cintakan negeri dan meraih sokongan para peminat, penyokong dan pengikut setia negeri Jelapang Padi.
Bagi kakibola, tiada lain yang dapat diungkapkan melainkan tabik hormat kepada rakan karib kakibola di Kedah (saudara Mohd Azraai Khor, Hj Muhamad Radhi dan saudara Ahmad Sobri). Kekalkan rentak kejayaan seterusnya dalam pertandingan Piala Malaysia, insyaAllah.

Thursday, June 19, 2008

Selangor Dapat Pengurus Baru

Tahniah kepada Persatuan Bolasepak Selangor kerana mempunyai Pengurus baru bagi menggantikan Datuk Satim Diman yang telah meletakkan jawatan pada bulan Mac lalu. Zakaria Ab Rahim telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan yang bukan sahaja mengurus pasukan utama Selangor tetapi turut juga dipertanggungjawabkan untuk mengurus barisan pelapis pasukan Selangor seperti Liga Simpanan, Liga Remaja dan Akademi FAS. Sudah tentu harapan menggunung oleh peminat-peminat setia Merah Kuning akan terarah kepada beliau dalam mengembalikan reputasi pasukan Selangor di arena bolasepak kebangsaan.
Bagi kakibola, ini satu pendekatan yang baik yang telah diambil oleh Pengurusan FAS dalam usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan aspek pentadbiran dan pengurusan pasukan bolasepak professional di Malaysia.
Apapun bagi kakibola, pendekatan yang lebih mantap mungkin boleh diambil oleh kelab-kelab atau persatuan-persatuan bolasepak di negara ini untuk melantik Pengurus Besar atau CEO bagi mentadbir persatuan dan kelab masing-masing. Ini kerana kalau sekadar menguruskan pasukan, ianya MUNGKIN tidak memberi impak yang besar kepada sebarang perubahan yang mahu diambil. Sebaliknya seorang Pengurus Besar atau CEO mampu melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan kerana ianya juga melibatkan soal pengurusan kewangan serta pembangunan secara menyeluruh termasuk aspek pemasaran (jenama). Ini selaras dengan pendekatan profesional yang ingin dan perlu dilaksanakan dengan segera dalam bolasepak negara. Wallahualam

Final Piala FA 2008 - Selangor v Kedah

Selangor dan Kedah bakal menentukan siapakah juara Piala FA bagi musim 2007/2008 pada hari Sabtu 21 Jun 2008. Stadium Shah Alam akan menjadi gelanggang kepada perlawanan Akhir ini dan bakal menyaksikan samada Kedah mampu mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lepas atau Selangor akan merampasnya kembali. Sayang sekali perlawanan Akhir ini berlangsung di tengah-tengah kehangatan Euro 2008 yang lebih banyak mendapat tempat dan publisiti di punggung-punggung akhbar mahupun TV. Harapnya peminat bolasepak tempatan masih setia menyokong bolasepak negara sekalipun ianya sedang menghadapi zaman kemuruduman.
Kakibola masih teringat akan nostalgia kehangatan Stadium Shah Alam ketika dalam barisan jurulatih bersama pasukan Kedah beraksi menentang Selangor pada tahun 1994 dalam Liga Divisyen 1 (ketika itu). Itulah julung-julung kalinya Stadium Shah Alam dipenuhi 96 ribu orang penonton (mengikut catatan tidak rasmi di dalam akhbar). Suasana yang penuh dengan teriakan dan jeritan para penyokong kedua-dua pasukan yang menjadikan Stadium Shah Alam dan perlawanan tersebut kekal dalam memori kakibola. Perlawanan tersebut memihak kepada pasukan pelawat (Kedah) dengan jaringan 1-0. Andainya sebelum ini kita hanya dapat membaca, mendengar dan melihat dari kaca TV akan kehebatan Stadium Wembley di England atau Stadium Maracana di Brazil, di mana kedua-dua stadium tersebut ketika itu dilaporkan mampu memuatkan 100 ribu penonton dalam setiap perlawanan, namun suasana tersebut sempat kakibola rasai dan nikmati pada tahun 1994.
Tetapi sayangnya sekarang, kesemua stadium di negara kita layu (kecuali Stadium Darulaman) dan tidak bermaya dengan hampir setiap perlawanan hanya disaksikan oleh segelintir peminat setianya sahaja. Mengapa terjadi begini?

Thursday, June 5, 2008

CYC oh CYC....Oh I See!

Dalam kehangatan liputan SUKMA di Terengganu, akhbar-akhbar utama masih tetap juga memberi perhatian kepada kemelut yang melanda penganjuran Champions Youth Cup (CYC) antara KBS-GGL-FAM. Kemelut kini lebih terarah kepada tafsiran isi kontrak yang termaktub di dalam perjanjian antara KBS-GGL. Dalam situasi terbaru nampaknya KBS seolah-olah ingin menghalalkan penganjuran CYC di Malaysia setelah dilaporkan oleh media bahawa sejumlah RM8juta telah dibayar kepada GGL bagi penganjuran untuk tahun 2008.
Apa dah jadi ni? Takkan la peguam sebelum ni dan peguam sekarang tak dapat memahami terma yang termaktub dalam kontrak berkenaan. Atau adakah kerana KBS dalam situasi terpaksa kerana duit dah dilepaskan kepada GGL, nak tarik balik, mungkin akan menambah masalah kerana perlu membayar balik dalam bentuk gantirugi?
Dalam keresahan rakyat dengan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel sehingga 40%, duit dilonggokkan begitu mudah sekali tanpa sebarang manafaat utk rakyat? Nak suruh gunakan bahasa yang molek lagi ker?
Rakyat disuruh dan dipesan untuk belanja dengan berhemah, berjimat cermat, tapi kerajaan membelanjakan duit rakyat dengan senang lenang macam duit tu bapak diorang yang punya? Mana perginya Kepimpinan Melalui Teladan, cakap lain buat lain, cakap tak serupa bikin. Terima kasih kerana kerajaan telah menganugerahkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran kepada rakyat jelata (Slogan pilihanraya - SEJAHTERA - AMAN - MAKMUR). Tradisi Membela Rakyat kini sudah bertukar menjadi TRADISI MEMBEBANKAN RAKYAT.