Wednesday, July 16, 2008

Hilangnya Pejuang Bolasepak Negara - Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil

Tatkala rakyat negeri Kedah sedang meraikan Ulangtahun ke 50 Pemerintahan DYMM Tuanku Sultan Kedah, seorang insan yang telah mengabdikan dirinya kepada pembangunan dan kejayaan bolasepak negeri Kedah Darul Aman, telah kembali menemui penciptanya. Datuk Paduka Hj Ahmad Basri Mohd Akil, 69 tahun, telah kembali ke rahmatullah setelah beliau rebah di Majlis Pelancaran Setem Kenangan 50 tahun pemerintahan Tuanku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit.

Mengenang kembali penglibatan kakibola dengan Allahyarham sewaktu melatih pasukan Kedah Darul Aman (1991-2000), memang tidak dapat dinafikan lagi sepertimana yang diakui ramai pihak yang pernah bekerja bersama beliau, Allahyarham adalah insan yang mempunyai visi yang jauh dalam mentadbir serta melaksanakan pelbagai program khususnya pembangunan bolasepak. Hasilnya jelas dengan kejayaan pasukan Kedah Darul Aman sehingga kini. Hasil perancangan yang teliti dengan kaedah yang mantap, negeri Kedah telah mencapai pelbagai kejayaan. Sebagai Pengurus Pasukan, beliau meletakkan dirinya sebagai seorang ayah kepada para pemain dengan mengutamakan kebajikan sebagai asas untuk mencapai kejayaan. Sebagai insan yang amat prihatin akan perkembangan bolasepak tanahair, beliau kerap melemparkan kritikan yang pedas tetapi membina agar sesuatu yang positif dapat dilaksanakan namun begitu kelantangan beliau mengakibatkan beliau digantung oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Apapun, kehilangannya jelas akan diratapi oleh setiap peminat dan pencinta bolasepak Hijau Kuning khasnya dan peminat bolasepak negara amnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkannya di sisi para solihin, anbia dan syuhada. Al-Fatihah