Saturday, May 31, 2008

Pemain Liga Super di SUKMA 2008

Telah mula kedengaran rungutan daripada wakil pasukan-pasukan bolasepak di SUKMA Terengganu, khususnya jurulatih-jurulatih yang terlibat akan penyertaan pemain-pemain Liga Super ke pertandingan bawah 23 tahun dwi tahunan ini. Apatah lagi pasukan-pasukan yang menghadapi kesukaran untuk menghadapi lawan mereka yang memiliki ramai pemain berstatus elit.

Bagi kakibola, sepatutnya pemain-pemain yang telah beraksi di Liga M (Super dan Premier) tidak dibenarkan turut serta dalam SUKMA. Ini secara tidak langsung menyekat perkembangan lebih ramai bakat baru yang seharusnya mendapat peluang untuk mempamerkan bakat mereka secara mendedahkan prestasi mereka ke peringkat yang kompetitif. Ianya juga secara tidak langsung menyerlahkan kelemahan pihak yang terlibat dalam sukan negeri dan negara yang lebih mementingkan keputusan dari pendedahan demi melahirkan lebih ramai pemain yang berkaliber. Maka akibat daripada itu, kelahiran bakat-bakat baru tersekat kerana kelompok kecil yang mendominasi sukan di pelbagai peringkat pertandingan, samada kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Kakibola berharap, pihak penganjur SUKMA perlu beri perhatian serius atas rungutan pihak yang terbabit secara langsung, bukan sahaja dalam sukan bolasepak malahan sukan-sukan lain yang memerlukan lebih ramai lagi pemain atau atlit yang kompetitif.

Wednesday, May 28, 2008

Liga Super 2008-2009 hanya untuk negeri?

Akhbar NST melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh, bakal mencadangkan agar Liga Super bagi musim 2008-2009 nanti hanya akan disertai oleh pasukan-pasukan negeri sahaja atau lebih tepat Persatuan Bolasepak Negeri. Walaubagaimanapun kedudukan Persatuan Bolasepak Polis dan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera belum dapat dipastikan kedudukan mereka samada akan kekal menyertai kumpulan elit ataupun dituruntaraf ke Liga Premier. Situasi ini bakal menyaksikan 2 kelab yang sedang beraksi dalam kumpulan elit, UPB/MyTeam dan Johor FC, bakal turun pangkat. Sekaligus ianya juga menyekat hasrat 2 lagi kelab yang mengungguli Liga Premier iaitu Kuala Muda NAZA FC dan KL Plus FC.
Bagi kakibola, keputusan ini agak drastik dan sukar diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung di dalam pasukan-pasukan atau pun kelab-kelab yang berkenaan kerana menjadi impian setiap kelab yang menyertai apa jua pertandingan untuk melonjakkan diri mereka ke tahap yang lebih tinggi. Tapi untuk jangka masa panjang, kakibola merasakan tindakan ini perlu dan cadangan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan untuk melaksanakan pendekatan ini seharusnya dipuji. Namun persoalannya ialah adakah masa ini bertepatan dengan hasrat mereka..
Mengapa kakibola menyokong langkah ini? Antaranya ialah faktor sokongan penonton. Liga yang baik seharusnya mampu menarik minat penyokong untuk menyokong pasukan mereka yakni hadir memenuhi ruang di stadium. Format yang sedia ada sekarang bukan menambah minat penyokong sebaliknya memecah-belahkan penyokong. Mana tidaknya, dalam sebuah negeri terdapat 3-4 pasukan yang bertanding dalam liga yang sama. Selangor mempunyai 3 pasukan (FA Selangor, PKNS FC, Proton FC) manakala Kuala Lumpur mempunyai 3 pasukan (KLFA, KL Plus FC, Felda FC) yang semuanya berada dalam liga yang sama, Pahang, 2 pasukan (Pahang FA & Kuantan Port/Shahzan Muda), Johor 2 pasukan (Johor Pasir Gudang FC & Johor FC). Ini secara tidak langsung memecahbelahkan jumlah penyokong.
Persatuan Bolasepak Negeri seharusnya diberi kuasa mutlak untuk mendapatkan pemain-pemain yang terbaik di dalam negeri untuk mewakili pasukan mereka. Sejarah juga membuktikan bahawa sentimen kenegerian memainkan peranan yang penting dalam menzahirkan pasukan dan sokongan yang kuat.
Dalam sudut yang lain, peranan kelab boleh ditonjolkan sebagai pasukan pelapis yang beraksi dalam Liga Premier. Namun begitu, setiap negeri hanya boleh diwakili oleh sebuah kelab sahaja dan kelab yang mewakili negeri dalam Liga Premier ini hanyalah satu dan tidak lebih dari itu. Sekurang-kurangnya Persatuan Negeri tidak lagi dibebankan dengan tanggungan kewangan yang lebih untuk menguruskan 2 buah pasukan sekaligus. Ini jelas akan membawa kepada format Piala Malaysia sebelum Liga Semi-Pro dan Liga Profesional diperkenalkan. Setidak-tidaknya kita tak berundur ke belakang untuk membawa pemain menjadi amator. Secara tidak langsung, Persatuan Bolasepak Negeri boleh kembali memberi tumpuan untuk mengaktifkan kembali liga negeri dan daerah di negeri masing-masing...wallahualam

Saturday, May 24, 2008

FAM tidak iktiraf CYC

Syabas FAM! Keputusan yang diambil oleh FAM untuk tidak mengiktiraf Kejohanan CYC di Malaysia adalah keputusan yang bukan sekadar tepat jika dilihat serta diambil kira senario terkini penganjurannya, malahan keputusan bermaruah. Bermaruah dalam menjaga imej badan induk itu serta pentadbiran bolasepak negara agar tidak diperkotak katikkan oleh orang luar yang datang mengaut untung di negara kita hasil kebodohan pihak yang menganjurkan kejohanan ini.
Di pihak KBS, pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan penganjuran tanpa merujuk kepada peraturan dan perundangan bolasepak negara seharusnya dilanyak habis-habis. Tuanku Presiden sendiri pun dah tahu nak bertitah tentang pembaziran duit rakyat yang dibelanjakan oleh KBS macam duit bapak dia yang punya. Siapalah penasihat dibelakang penganjuran CYC ni...wallahualam....

Thursday, May 22, 2008

Malaysia tercicir dari AFC Champions League

Sudah jatuh ditimpa tangga...itulah ungkapan yang mungkin tepat ke atas kemelut yang melanda bolasepak negara. Dalam huru hara mereka dengan penganjuran Inter Continental Cup, dah permasalahan dalam penganjuran CYC, kini tiba satu lagi perkhabaran yang mungkin tidak enak didengar oleh badan induk bolasepak negara apabila AFC dalam perancangan mereka untuk menaikkan taraf bolasepak Asia, telah memutuskan bahawa Malaysia dikategorikan dalam kelas D sekaligus menidakkan peluang kelab Malaysia untuk beraksi dalam AFC Champions League.
Ini satu tamparan yang cukup hebat. Ketepikan konflik yang ujud antara AFC dan FAM, nyata apa yang ingin dilaksanakan oleh AFC, telah menimbulkan satu situasi yang agak malang bagi bolasepak negara. Bagi AFC mungkin ianya agak drastik tetapi jika dilihat dengan lebih tepat lagi, langkah ini mungkin sesuai dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan badan induk bolasepak dunia, FIFA, akan pasukan pasukan bolasepak di Asia.
Jadi FAM, mula lah bangun dari tidor, sedar lah dari mimpi, di mana kita sekarang? Selarikah perancangan kita jika India, Singapura, Indonesia dan Vietnam sudah berada lebih atas dari kita sedangkan sejarah liga bolasepak kita GAH menampilkan bahawa liga kita adalah yang terbaik.
Jangan terlalu bersandarkan kepada sejarah dan tradisi jika ingin terus bersaing....

Tuesday, May 20, 2008

Mesyuarat EXCO FAM

Mesyuarat EXCO FAM yang berlangsung pada hari Sabtu lepas, diharapkan media agar ada isu-isu panas yang sedang hangat diperkatakan, akan beroleh respons atau maklumbalas, tapi hampeh. Mesyuarat yang dilaporkan berlangsung selama 5 jam itu hanya membincangkan beberapa isu seperti tawaran kontrak kepada B.Sathianathan, keputusan tidak melanjutkan kontrak Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts dan yang paling lama berlangsung tentulah undian pasukan bagi pertandingan Piala Malaysia. Isu CYC dan rasuah yang sedang hangat diperkatakan, disejukkan sementara. Mungkin isu CYC dan rasuah yang melibatkan 2 buah pasukan itu tidak cukup penting..wallahualam.
Apapun yang menarik ialah selain daripada undian Piala Malaysia ialah keputusan FAM untuk tidak melanjutkan kontrak Pengarah Teknikal FAM. Atas apa alasannya sekalipun, hanya FAM yang mengetahui. Cuma bagi kakibola, FAM mungkin tak memerlukan Pengarah Teknikal. Kakibola sangsi apakah sumbangan dan keberkesanan Pengarah Teknikal kepada FAM. Selama ni, Pengarah Teknikal ini hanyalah sekadar jawatan. Puluhan ribu ringgit sebulan dibayar tapi faedahnya tiada. Kebanyakan keputusan yang melibatkan hal ehwal bolasepak, Ahli Majlis yang bijak pandai saja yang bincang dan putuskan...kan lebih baik tamatkan saya riwayat Pengarah Teknikal dalam FAM. Lantik saja salah seorang di kalangan bijak pandai Ahli Majlis untuk memberi pandangan dan nasihat dan kepada Ahli yang lain dalam hal ehwal nak memajukan bolasepak negara. Sekenal kakibola, sejak dari Richard Bates, Ronald Smith, Karl Heinz Weigang, Lim Kim Chon dan Robert Alberts...keberkesanan mereka hanya dalam mengendalikan Kursus Kejurulatihan sahaja.....cukup ke?

Tuesday, May 13, 2008

Lepas Argentina, Ghana pula.....

Alahai FAM...nama pertandingan cukup hebat - Piala Antara Benua atau nak lebih glamour Inter Continental Cup. Di mana hebatnya pertandingan ini, saya kurang pasti. Dari sudut nama, rasanya memang dah gah tapi dari segi penyertaan, wallahualam. Kemeriahan yang diharapkan dengan MENJEMPUT (bukan hadir atas dasar merit) pasukan kebangsaan yang hebat, mula berkubur. Argentina mendahului pasukan hebat menarik diri dari kejohanan sulung ini, dan terbaru Ghana. Di mana kehebatan yang bakal terserlah, sama-sama kita tunggu.
Cuma satu pandangan saya kepada FAM atau mana-mana pihak yang "gatal" nak anjur pertandingan seumpama Inter Continental Cup, Champions Youth Cup, baik berhenti saja lah. Tak pernah pulak saya dengar atau terbaca negara yang nak tingkatkan mutu bolasepaknya perlu mengadakan pertandingan sendiri untuk mendedahkan pasukan kebangsaan mereka. Yang terbaik ialah banyakkan perlawanan pendedahan di luar negara secara konsisten dan berkala. Pemain-pemain negara perlukan keyakinan diri yang tinggi untuk mencapai peningkatan atau kejayaan di peringkat antarabangsa. Bukan sekadar pendedahan dalam negara melalui pembabitan dalam pertandingan anjuran sendiri. Kalau di Asia Tenggara, pergilah main dengan Indonesia, Vietnam, Thailand...dedahkan mereka dengan bukan sahaja pasukan lawan yang lebih kompetitif tetapi juga dengan suasana stadium yang penuh dengan penyokong fanatik mereka....wallahualam

Malaysia 1 Maldives 1

Tinggal 3 hari sebelum perlawanan pembukaan Piala Antara Benua, pasukan Malaysia yang sedang dalam rangka persiapan menghadapi Kejohanan Terulung negara (nama pun antara benua, tentu hebat) sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Maldives di Stadium MBPJ. Hasil perlawanan tersebut ialah Malaysia 1 Maldives 1.
Luahan pertama yang kedengaran daripada Ketua Jurulatih kebangsaan ialah kesuntukan masa dalam mengumpul para pemain bagi menghadapi perlawanan tersebut. Satu alasan lumrah yang kita dengari dalam bolasepak Malaysia. Entah bila kita akan sentiasa bersedia pun tak tahu.
FAM pun kalau dah tahu jurulatih negara tak ada masa nak kumpulkan pemain dan memantapkan pasukan, pilihlah tarikh lain untuk anjurkan kejohanan ni, kasihan la pulak. Ini seolah-olah memaksa pasukan kebangsaan beraksi pada ketika mereka tidak atau belum bersedia. Kita dah tak nak dengar alasan belum bersedia, tidak cukup masa...zaman profesional ni semuanya melibatkan perancangan dan ketelitian.
Selamat berjaya menjuarai Piala Antara Benua...

Saturday, May 3, 2008

Lebih baik hentikan CYC..

Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Lef Jen (B) Datuk Azzudin Ahmad dalam Utusan Malaysia (3 Mei 2008) hari ini. Tahniah lah kalau FAM sendiri sedar akan perkara ini. Sememangnya CYC dengan nilai penganjuran sebanyak RM17 juta ringgit setahun tidak pernah ada nilai dan sumbangannya ke arah pembangunan bolasepak negara. Hanya mengenyangkan pihak-pihak yang terbabit dalam urusan perjanjian penganjuran sahaja.
Tak tahu lah pulak kalau kenyataan itu dikeluarkan hanya selepas "kekecewaan" FAM ekoran tindak-tanduk GGL yang membelakangkan FAM kerana sedar bekerjasama dengan FAM tak akan bagi pulangan yang lebih lumayan kepada mereka (GGL). Atau betul-betul FAM sedar yang CYC tak memberi apa apa manafaat. Pakcik-pakcik di kampung pun tahu akan pembaziran CYC, ini kan pulak mereka yang mengikuti akan perkembangan bolasepak negara. Cukuplah...
Duit kita punya, nak belanja macam mana, GGLyang tentukan? Pooraahhhhh...
Inter Continental Cup macam mana pulak FAM? Ada manafaat ker? Renung-renungkan lah...

Aneh Tapi Tidak Pelik

Aneh tapi tidak pelik? Itulah kata-kata yang diluahkan oleh pengkritik sukan negara, Profesor Datuk Dr Khoo Kay Kim berhubung kes rayuan Persatuan Bolasepak Selangor ke atas keputusan yang dijatuhkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia kepada Ketua Jurulatih pasukan Selangor dan 3 pemainnya ekoran insiden meninggalkan program klinik Ian Rush yang dianjurkan oleh badan induk bolasepak negara baru-baru ini. Kes tersebut yang telah dirayu keputusannya oleh FAS akan didengar oleh Jawatankuasa Rayuan FAM hanya selepas tamat Liga 2007-2008 nanti.
Bagi bola-kempis perkara ini memang tidak pelik sebab perkara seumpama ini pernah berlaku sebelumnya. Ianya berkaitan dengan insiden yang pernah menjadi isu hangat negara yang di mana isu ini turut diperdebatkan di Parlimen, tetapi bagi FAM perkara ini tidak lah sebegitu penting. Yang saya maksudkan ialah isu pergaduhan yang membabitkan pemain dari Kelab TNB Kelantan yang dipukul oleh pemain dan pegawai pasukan lawan. Pemain dan pegawai terbabit hanya dipanggil untuk membela diri selepas tamat Liga Premier 2005. Dalam hal ini ianya boleh dilihat sebagai seorang penjenayah yang telah dirakam kesalahannya melalui cctv dan boleh serta telah dikenalpasti identitinya dibiarkan bebas melakukan jenayah yang sama tanpa ditahan untuk disiasat. Sebaliknya bila liga tamat, barulah Jawatankuasa Disiplin memanggil pihak-pihak yang terbabit untuk dibincangkan dan dijatuhkan hukuman. Persoalannya ialah mengapa hanya selepas Liga tamat? Kenapa tidak sebelumnya atau pun setidak-tidaknya pemain tersebut sepatutnya digantung "ditahan reman" terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan.
Mungkin Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan terlalu sibuk dengan tugas-tugas resmi mereka agaknya..wallahualam

Thursday, May 1, 2008

CYC - Apa hal lah pulak...

Dalam keghairahan masyarakat nak menyaksikan satu lagi siri pembaziran wang yang tak memberi sebarang manafaat kepada bolasepak negara, timbul pulak kekecohan terbaru dalam penganjuran CYC musim ke-2. Apa dah jadi pulak ni? Di mana yang tak kena?
Tu dia la terlampau percaya dan bagi muka sangat kat Mat Salleh buat kerja-kerja macam ni. Dia kira apa janji masyuk jer, yang lain dia peduli apa...
Malaysia nak glamour sangat dalam meletak nama di persada dunia bolasepak sedangkan realitinya tak ada apa sangat yang nak gah. Cuma syok tengok orang datang melawat Malaysia, puji Malaysia bagus sebagai penganjur tapi pengisian tak ada. Cubalah wang yang dibiaya itu kita belanja dengan cara yang betul dalam ertikata pembangunan yang realistik, tentu lebih baik faedahnya. Tapi apa nak buat, duit bukan Menterian punya, bukan FAM punya, macam mana nak belanja...lantak laa...
Tingkatkan lagi kualiti liga bolasepak kita, itu saja antara jalan utama untuk tingkatkan kualiti bolasepak negara. Kalau liga sekadar layak main di padang MPBJ saja, baik tak payah. Namanya liga profesional, tapi penonton tak ada, macam mana nak dapat pulangan. Last last jadi macam Public Bank FC, MPPJ FC, TNB FC, MK LAND FC yang terpaksa gulung tikar...