Saturday, February 5, 2011

"Demam Baru" Bolasepak Malaysia

Tatkala tamat kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010, bolasepak Malaysia dilanda 'demam baru'. Ketika situasinya yang belum pasti, kecoh 1Malaysia tentang penghijrahan pemain-pemain Malaysia yang akan dipancing oleh kelab-kelab luar. Antara yang dikaitkan dengan 'penghijrahan' itu ialah Safee Sali, Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha. Dalam kita menyambut baik akan adanya pihak yang 'berminat' untuk mendapatkan khidmat mereka di samping membuka ruang kepada pemain negara beraksi di liga luar negara, jangan sampai umum menganggap berita itu hanya 'syok sendiri'. Namun al-kisahnya, tidak ada satu pun tawaran yang diterima oleh pemain-pemain berkenaan, kecuali Safee Sali yang dikatakan hampir pasti menyertai Persib Bandung.
Terbaru, timbul pula usaha FAM untuk menjadi 'ejen' menghantar 3 pemain bagi mencuba nasib di Liga J. Nama Khairul Fahmi, Norshahrul Idlan dan Safee Sali muncul sebagai calon pilihan tatkala liga negara baru bermula. Kakibola tertanya-tanya, apakah status kontrak pemain-pemain tersebut dengan majikan mereka? Setelah diikat kontrak untuk tempoh tertentu, dengan khidmat mereka ditagih sepenuhnya oleh pasukan masing-masing, mahukah majikan mereka melepaskan begitu saja? Siapa yang menentukan hala tuju pemain-pemain ini? Apakah pemain-pemain dan majikan mereka merestui 'hasrat murni' ini atau mereka dipaksa pergi? Kakibola masih ingat akan status bekas penyerang kebangsaan dan kini bersama Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (gambar), yang pada satu ketika mempunyai kontrak bersama Kedah, telah dihantar oleh FAM untuk mencuba nasib bersama kelab RC Strasbourg di Perancis. Hasil percubaan, beliau telah diterima untuk menjalani latihan bersama kelab tersebut. Malangnya, Kedah selaku majikan beliau ketika itu yang telah mengikat kontrak selama 2 tahun, diketepikan begitu saja tanpa sebarang pampasan atau gantirugi. Akibatnya beliau mengikat 2 kontrak dengan 2 kelab yang berbeza dalam satu tempoh masa yang sama.
Dalam keghairahan untuk meneruskan bahang kehangatan 'demam baru' bolasepak Malaysia, jangan ketepikan pihak yang berkepentingan agar tidak merugikan banyak pihak. Jangan dibiarkan episod '3 Abdul' berulang dan akibatnya mengaibkan bolasepak negara. Wallahu'alam.

Thursday, February 3, 2011

Latihan Bulanan Untuk Pasukan Kebangsaan?

Tatkala terbaca laporan akhbar akan hasrat pasukan kebangsaan untuk mengadakan latihan pusat setiap bulan, kakibola tertanya-tanya apakah logiknya program sedemikian? Apakah perlu diadakan latihan pusat setiap bulan untuk sebuah pasukan kebangsaan tatkala kalendar tahunan FAM tidak memiliki apa-apa pertandingan rasmi antarabangsa. Reaksi pertama yang diperolehi dari sebilangan besar jurulatih ialah mereka terkejut dan kecewa. Tetapi sudah tentu bagi mereka untuk meluahkan pandangan dan perasaan secara terbuka, bakal menjerat mereka kepada tindakan termasuk penggantungan oleh FAM.
Program latihan pusat setiap bulan untuk pasukan kebangsaan dilihat mereka sebagai merosakkan segala perancangan yang telah diatur terlebih awal bagi memantapkan pasukan masing-masing bagi mengharungi cabaran dalam liga. Jika ianya dilaksanakan, para pemain terpaksa berhempas pulas melengkapkan jadual pertandingan akan yang dipadatkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT). Akibat daripada jadual yang padat maka para pemain bakal terdedah kepada risiko kecederaan dan hasilnya pasukan kebangsaan akan hanya memperolehi barisan pelatih yang cedera. Perlu dipertimbangkan juga akan komitmen para pemain yang terlibat terhadap majikan mereka di dalam Liga M. Mereka dituntut untuk memberi prestasi terbaik untuk mendapatkan keputusan kerana mereka dibayar gaji dan diupah untuk menghasilkan keputusan. Tanpa menolak kepentingan pasukan kebangsaan namun dalam situasi ini, perlu dilihat kewajaran latihan pusat setiap bulan yang bakal menganggu rentak prestasi pasukan di dalam liga dan sekaligus merencatkan keghairahan penonton memandangkan pasukan kebangsan tidak punya komitmen dalam pertandingan antarabangsa. Rata-rata sebilangan besar jurulatih menolak idea ini sebaliknya mencadangkan supaya pasukan kebangsaan mencontohi kalendar pertandingan persahabatan antarabangsa FIFA atau UEFA yang menetapkan tempoh tertentu agar pasukan kebangsaan mendapat perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan yang benar-benar berkualiti. Mereka juga berpandangan bahawa Malaysia tidak memiliki ramai pemain yang berkualiti untuk menyarung jersi kebangsaan, justeru jangan diambil risiko yang bakal merugikan pasukan kebangsaan itu sendiri.
Apapun, dalam keghairahan untuk melonjakkan kehebatan diri, perlu berlaku adil pada orang lain yang turut menuntut perkara yang sama daripada pemain2 dengan pasukan mereka. Wallahu'alam.