Saturday, October 9, 2010

Nasib Si Jurulatih

Herdikan, cacian, maki hamun & segala kata-kata kesat adalah satu perkara yang lumrah dalam dunia jurulatih tatkala keputusan yang diperolehi tidak memihak kepada pasukan yang dibimbing. Apa saja yang dibuat semuanya tidak betul, seolah-olah apa yang dipandang & dinilai oleh penonton, peminat atau penyokong saja yang betul. Senario ini berlaku dan boleh dilihat di mana-mana sahaja. Lebih buruk lagi jika situasi ini berlaku akibat didalangi oleh individu atau pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi keadaan akibat tidak puas hati dengan sesuatu keputusan yang tidak memihak kepadanya.
Bercakap tentang bolasepak hari ini, pemain adalah aset utama yang perlu dilindungi oleh pengurusan mahupun persatuan atau kelab. Jurulatih hanyalah pelengkap kepada organisasi pasukan untuk melaksanakan tugas membentuk sebuah pasukan bagi menghasilkan kejayaan. Jika kejayaan tidak menyusul, maka kesalahan pastinya diletakkan ke atas bahu jurulatih kerana gagal menghadirkan kemenangan tanpa mengetahui akan masalah sebenar, kekurangan yang dimiliki pasukan di samping kelemahan yang mungkin timbul akibat kurangnya sokongan dari pelbagai faktor dari pihak pengurusan dan pentadbiran pasukan serta persatuan. Ini realiti!
Di Malaysia, kelab-kelab penyokong semakin ghairah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap jatuh bangunnya pasukan yang mereka dokongi. Namun begitu, dalam keghairahan mereka menyokong, ada yang sudah tergelincir dari matlamat asal 'menyokong' kepada meruntuhkan pasukan dan lebih buruk lagi ialah usaha untuk menyingkirkan jurulatih. Jauh dari situ ada juga yang berhasrat untuk menempatkan diri mereka dalam kelompok pembuat dasar bagi menentukan hala tuju pasukan kerana merasakan suara mereka perlu didengar dan mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk pasukan. Mungkin ada benarnya dalam sesuatu situasi pihak pengurusan telah tersalah pilih jurulatih dalam mengemudi pasukan kerana faktor-faktor tertentu tetapi kesalahan tidak boleh diletakkan kepada jurulatih, sebaliknya kepada pengurusan dan pentadbiran pasukan.
Pemain hari ini ditatang bagai minyak yang penuh. Apa yang mereka cakap dan lakukan memang benar belaka. Pemain hari ini boleh menentukan jatuh bangun seseorang jurulatih termasuk memilih jurulatih mana yang mereka suka atau selesa. Peminat, penyokong dan pengurusan pasukan lebih suka dan mudah mendengar 'keluhan' pemain daripada mendengar keluhan dan permasalahan jurulatih. Kenapa jadi begitu? Ini kerana pemain lebih mudah dihampiri, pemain lebih mesra dengan peminat berbanding jurulatih. Maka mudah untuk peminat, penyokong dan pengurusan mendengar 'masalah' yang mereka hadapi. Apa saja kenyataan atau alasan yang mereka beri (yang memihak kepada kelemahan mereka sendiri) diakui membabi buta sahaja oleh sebilangan besar yang mendengar. Tetapi siapa yang ingin mendengar keluhan jurulatih? Kakibola pernah mendengar cerita seorang sahabat tentang 'dongengan' seorang pemain kerana tidak sehaluan dengan jurulatih. Tetapi itu cerita versi pemain yang rapat dengannya kerana tinggal sekampung. Tetapi apabila jurulatih berkesempatan menceritakan versinya pula, maka baru difahami mengapa pemain tersebut bertindak demikian.
Dalam hal ini, berilah peluang kepada jurulatih untuk mencorak pasukan dan keputusan pasukan. Selamilah masalah jurulatih dan fahamilah kesukaran yang dilalui oleh insan bergelar jurulatih. Mereka tidak mampu memuaskan hati semua pihak dalam satu masa. Kepada para penyokong pasukan, janganlah dibuai akan mimpi kejayaan semalam kerana apa yang dilalui hari ini tidak sama dengan apa yang sedang dihadapi sekarang. Jadilah penyokong yang setia kepada pasukan kerana tidak ada seorang jurulatih atau pemain pun yang inginkan kegagalan. Wallahu'alam.