Saturday, May 31, 2008

Pemain Liga Super di SUKMA 2008

Telah mula kedengaran rungutan daripada wakil pasukan-pasukan bolasepak di SUKMA Terengganu, khususnya jurulatih-jurulatih yang terlibat akan penyertaan pemain-pemain Liga Super ke pertandingan bawah 23 tahun dwi tahunan ini. Apatah lagi pasukan-pasukan yang menghadapi kesukaran untuk menghadapi lawan mereka yang memiliki ramai pemain berstatus elit.

Bagi kakibola, sepatutnya pemain-pemain yang telah beraksi di Liga M (Super dan Premier) tidak dibenarkan turut serta dalam SUKMA. Ini secara tidak langsung menyekat perkembangan lebih ramai bakat baru yang seharusnya mendapat peluang untuk mempamerkan bakat mereka secara mendedahkan prestasi mereka ke peringkat yang kompetitif. Ianya juga secara tidak langsung menyerlahkan kelemahan pihak yang terlibat dalam sukan negeri dan negara yang lebih mementingkan keputusan dari pendedahan demi melahirkan lebih ramai pemain yang berkaliber. Maka akibat daripada itu, kelahiran bakat-bakat baru tersekat kerana kelompok kecil yang mendominasi sukan di pelbagai peringkat pertandingan, samada kebangsaan mahu pun antarabangsa.

Kakibola berharap, pihak penganjur SUKMA perlu beri perhatian serius atas rungutan pihak yang terbabit secara langsung, bukan sahaja dalam sukan bolasepak malahan sukan-sukan lain yang memerlukan lebih ramai lagi pemain atau atlit yang kompetitif.