Tuesday, April 28, 2009

Meriah Di Ruang Penyokong, Suram Di Atas Padang

Kakibola berkesempatan menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Gergasi Merah, Selangor menentang Wira Merah, Kelantan yang telah diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Final yang menonjolkan kemeriahan luar biasa dengan kehadiran skuad Kijang buat pertama kalinya sejak sekian lama tenggelam dari arus kemeriahan bolasepak tanahair. Dianggarkan seramai 80,000 penyokong bolasepak kedua-dua pasukan telah membanjiri dan memeriahkan stadium dan menyemarakkan lagi suasana final yang memang amat sesuai dan selari dengan namanya.
Namun begitu sayang sekali, kemeriahan di luar padang tidak sama dengan mutu persembahan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan yang menduduki status pasukan terbaik dalam Liga negara. Apa tidaknya, permainan begitu membosankan di sepanjang tempoh 90 minit permainan. Percaturan taktikal yang kurang tepat yang diterapkan oleh kedua-dua jurulatih juga kurang sesuai dengan kemuncak pertandingan kedua terunggul negara. Kedua-dua pasukan kelihatan terlalu berhati-hati dalam pendekatan mereka dan mengakibatkan banyak kesilapan dan tiada kelancaran dalam permainan mereka.
Rumusan yang ingin kakibola nyatakan di sini ialah betapa jauhnya langkah pasukan atau kelab dari Liga Malaysia untuk beraksi dan menyaingi pasukan lain di dalam pertandingan di peringkat antarabangsa apatah lagi pasukan kebangsaan yang bakal dibarisi oleh pemain-pemain dari kelab dan pasukan negeri. Wallahualam.

Saturday, April 11, 2009

FAM Gantung Stadium Sultan Muhamad Ke IV

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan drastik menggantung pasukan Kelantan dari beraksi di Stadium Sultan Muhamad ke IV hingga 31 Disember 2009 ekoran insiden yang telah mengejutkan negara apabila penyokong skuad Kijang itu merusuh sehingga membakar sebuah trak polis. Lanjutan dari insiden berkenaan, FAM telah memutuskan untuk menggantung gelanggang skuad Kijang. Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pula dengan serta merta membalas tindakan FAM itu dengan mengugut untuk menarik diri dari Liga Super kerana merasakan bahawa FAM telah mengenakan tindakan yang keterlaluan dalam menghukum mereka.
Apapun bagi kakibola, keputusan yang diambil oleh FAM adalah wajar sebagai pengajaran kepada KAFA serta lain-lain persatuan bolasepak negeri dalam menangani keganasan bolasepak. Sekalipun ada yang telah mula meluahkan rasa simpati kepada KAFA dan marah kepada FAM, bagi kakibola perkara seumpama ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan. Buat peminat dan penyokong pasukan Kelantan, perlu diambil iktibar betapa dalam menuntut profesionalisme di kalangan pemain dan juga pasukan negeri itu, mereka sendiri juga perlu menerapkan nilai yang sama dalam menerima hakikat sesuatu keputusan sekalipun umum mengetahui bahawa dalam setandang pisang tetap akan ada yang busuk. Cuma dalam keputusan drastik FAM ini perlu konsisten dalam menangani insiden-insiden serupa yang bakal hadir nanti. Pengamatan pelbagai pihak ialah bagaimana Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) boleh terlepas daripada sebarang tindakan dan denda akibat daripada insiden yang hampir sama di antara penyokong Kelantan dan Selangor sekalipun corak insidennya adalah berbeza.
Yang menarik untuk dilihat sekarang ialah adakah FAM akan mula mengubah pendirian mereka dalam keputusan yang telah dibuat hasil ugutan KAFA? Bagi kakibola, FAM tidak seharusnya tunduk kepada sebarang ugutan oleh persatuan bolasepak negeri dalam apa jua hal. Inilah masanya untuk membawa negeri-negeri mematuhi akan apa jua polisi dan ketetapan yang telah sama-sama mereka putuskan untuk menjamin kelancaran bolasepak negara. Sebelum ini persatuan bolasepak negeri telah lama bermaharajalela dalam "mengajar" FAM untuk mengikut telunjuk mereka dalam melaksanakan pelbagai polisi sehingga membuatkan FAM hilang kredibiliti sebagai badan induk sukan bolasepak negara. Wallahualam

Wednesday, April 1, 2009

Antara Dollah, Devan, Wan Jamak & Azraai..

New Straits Times hari ini meramalkan bahawa jurulatih Shahzan Muda, Dollah Salleh bakal diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih bolasepak negara yang baru. Kenyataan ini bakal disahkan apabila Majlis Bolasepak FAM bersidang pada 11 April nanti. Apapun persoalannya apakah spekulasi ini menepati kehendak dan keperluan bolasepak negara yang ingin menyaksikan satu perubahan positif terhadap pencapaian dan peningkatan mutu bolasepak negara?
Kakibola secara peribadinya merasakan calon terbaik bagi mengisi jawatan tersebut adalah saudara Wan Jamak Wan Hassan dan K.Devan berdasarkan kepada keupayaan mereka mengemudi barisan pemain baru dan lama dalam pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia sekalipun Liga Malaysia bukanlah pentas terbaik bagi mengukur kemampuan sebenar mereka. Apapun kakibola mengambil kira karisma, perwatakan dan pendekatan terhadap pemain serta pengalaman yang ada pada kedua calon berkenaan bagi membentuk sebuah pasukan bolasepak negara yang mantap. Keupayaan Dollah Salleh mengemudi pasukan bertaraf kelab bukanlah satu isu kerana samada kelab atau negeri ianya tetap sebuah pasukan yang bertanding. Kelebihan MPPJ pada ketika itu ialah kedudukan kewangan yang kukuh serta kemampuan memiliki pemain yang terbaik. Mana-mana pasukan (negeri atau kelab) sekalipun jika memiliki barisan pemain yang mantap, sudah tentu mampu mengecap kejayaan sepertimana Kuala Muda NAZA dan KL Plus. Jadi di sini status pasukan bukanlah jadi ukuran yang hanya suka disensasikan oleh media negara. Ataupun adakah mungkin FAM mengambil jalan mudah untuk melantik Dollah kerana beliau hanya mengemudi pasukan yang tidak berada dalam kelompok persaingan Liga Premier dan sekaligus memudahkan FAM mendapat pelepasan dari majikannya berbanding 3 calon lain yang mengemudi pasukan berstatus elit dan bakal menyukarkan usaha mereka untuk mendapatkan pelepasan dari majikan masing-masing? Apapun sama-samalah kita tunggu keputusan yang bakal diumumkan oleh FAM nanti. Wallahualam.