Adakah dengan kembalinya tajaan dari syarikat rokok bakal menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh bolasepak negara dan persatuan bolasepak negeri? Inilah keluhan dan cadangan yang bakal disuarakan oleh Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kepada kerajaan.Sebelum ini, FAM pernah mendapat tajaan dari syarikat pembuat rokok terkemuka Dunhill dengan jumlah tajaan bernilai RM40 juta setahun berbanding tajaan sekarang oleh TM yang hanya sebanyak RM10 juta. Dalam tajaan sebelum ini, PBN pernah menikmati subsidi dari FAM yang bernilai RM2 juta setahun. Malangnya selepas perjanjian yang ditandatangani kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2003 mengakibatkan syarikat tembakau membatalkan tajaan ke atas sebarang aktiviti sukan di negara ini. Di Indonesia, syarikat pembuat rokok Djarum masih lagi mengekalkan tajaan mereka dalam Liga Indonesia.
Dalam konteks ini, kakibola merasakan tidak salah untuk membenarkan syarikat rokok untuk kembali menaja sukan bolasepak negara kerana ia mungkin menjadi satu tanggungjawab sosial mereka setelah menjahanamkan jutaan rakyat Malaysia dengan ketagihan rokok, apa salahnya jika ia kembali berbakti melalui tajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia hidup sihat melalui sukan yang amat popular. Lagipun, pengharaman tajaan rokok tidak langsung menjejaskan aktiviti mereka untuk terus meningkatkan jualan rokok di negara kita. Kerajaan Malaysia tetap menikmati hasil cukai yang amat lumayan dari penjualan rokok dan di sebalik usaha kerajaan menakut-nakutkan rakyat Malaysia dengan tabiat merokok, aktiviti jualan tetap laris dan semakin meningkat. Wallahu'alam.




Angin bertiup kencang tentang perkhabaran kemungkinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuanku Sultan Hj Ahmad Shah bakal meletakkan jawatan tahun depan bagi memberi ruang kepada Presiden baru dilantik pada tahun 2010. Perletakan jawatan Pegawai Pembangunan Bolasepak FIFA, saudara Windsor John Paul juga telah dikaitkan dengan kemungkinan penyertaannya ke Wisma FAM bagi menggantikan Setiausaha Agung FAM sekarang, Datuk Azzuddin Ahmad yang dirumuskan banyak pihak sebagai gagal menjalankan tugasnya dengan berkesan. Sesungguhnya situasi ini boleh dianggap sesuatu yang menarik untuk dinilai dari sudut pembaharuan dalam FAM.


Kakibola menerima panggilan telefon daripada beberapa orang teman jurulatih dari India dan Indonesia yang bertanyakan samada ada pemain dari Malaysia yang berhajat untuk mencuba nasib mereka di dalam Liga Bolasepak India dan Liga Indonesia. Menurut mereka, peraturan pertandingan kedua-dua liga bolasepak kebangsaan di kedua-dua buah negara tersebut membenarkan kelab yang mengambil bahagian untuk mendaftarkan seorang pemain dari kalangan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai pemain tempatan.

